Monday, August 20, 2007

Semusim...

Semusim, t'lah ku lalui, t'lah ku lewati, tanpa dirimu... begitulah antara bait-bait lagu 'Semusim' nyanyian Marcell ketika aku menyaksikan persembahannya di Planet Hollywood malam Ahad lalu. Tiada dalam perancangan sebenarnya tetapi NA yang telah membeli tiket untuk show malam itu mengajak aku lantaran teman lelakinya tidak berminat untuk ikut sama.

Sebaik saja tampil di pentas, terdengar jeritan peminat-peminat wanita disamping suara-suara sumbang lelaki juga... he he he. Persembahannya memang menarik apatah lagi apabila semua penonton diajak menyanyi bersama. Mujur aku masih ingat lagi lirik lagu-lagunya.

Sabtu lepas tidak banyak yang aku lakukan. Seminggu itu juga aku hanya menghabiskan masa di gym. Hari Ahad aku berkaraoke bersama NA dan Shidi buat pertamakalinya di Redbox, The Curve. Puas menyanyi sehingga hampir hilang suara. Dari situ kami terus ke persembahan Marcell.

Thursday, August 16, 2007

Lemah...

Memang ini selalu terjadi sebaik saja pulang dari bercuti. Fikiran ku masih lagi di awang-awangan. Masih lagi berada di Pulau Perhentian agaknya. Terasa lemah dan letih, walaupun sebaik pulang dari percutian aku terasa begitu segar sekali.

Beberapa hari ini aku banyak berfikir. Tentang masa depan dan perancangan seterusnya. Aku cuba menyusun jadual harianku dengan lebih baik lagi. Aku cuba untuk tidur tepat jam 12 tengah malam dan bangun jam 6.30 pagi. Harap-harap ia akan berterusan.

Seperti biasa, hari-hari ku dipenuhi dengan beriadah di gym. Rutin aku saban minggu tetap saja serupa. Hari ini, kelas HiLo di ikuti dengan Intermediate/advance Steps. Seronok sangat apabila aku dapat mengikuti setiap langkah dalam intermediate/advance steps. Hari Selasa, Intermediate Steps dan Basic Steps di Menara Maxis. Kebetulan tidak ramai yang hadir untuk kelas basic steps dan Kak Nor mengambil kesempatan untuk membuat formasi yang jarang dibuat untuk kelas ini. Agak kelam kelibut sedikit untuk orang baru, memenatkan juga tetapi seronok. Semalam aku hanya melakukan sedikit senaman kardio dan weights.

Hari ini, ada kelas bodysteps. Selain tu aku akan melakukan senaman kardio secara sendirian. Esok, sepatutnya ada kelas Advance steps tetapi aku tidak pasti lagi samada mahu ikut sama atau tidak. Jika tidak, esok hari rehat aku.

Minggu depan, jika semua berjalan dengan lancar, aku akan mendaki Gunung Tahan buat kali ketiga.

Monday, August 13, 2007

Ceria...


Ceria dihujung minggu. Keseronokkan bersama teman-teman ke Pulau Perhentian menjadi satu kenangan yang indah. Sudah lama aku impikan untuk ke pulau yang dikatakan antara yang tercantik di Malaysia. Peluang yang datang aku terima tanpa berfikir panjang.

Bertolak menaiki bas malam Khamis lalu, kami berada di Pulau Perhentian selama tiga hari dua malam. Package yang kami ambil termasuk sarapan, makan tengahari dan makan malam. Selain itu satu sesi snorkelling diadakan pada hari kedua. Kami dibawa ke kawasan batu karang, penyu dan juga ikan jerung. Namun ikan jerung tidak muncul pada hari itu. Kami beruntung kerana dapat melihat seekor penyu sedang makan tanpa menghiraukan kami yang sibuk memerhatikannya.


Dari Perhentian Kecil, kami menaiki bot ke Perhentian Besar. Pantai di sini lebih luas dan panjang dan terdapat perkampungan kecil di sini. Malam terakhir di sini, kami di jamu dengan makan malam dan bbq. Sesi bertukar-tukar hadiah sesama kami dilakukan dan juga sukaneka diadakan. Gelagat teman-teman memang menggelikan hati terutama Ed dan Eddy.


Sepanjang dua hari berada di sini, cuaca amat baik sekali namun pada malam terakhir hujan turun dengan agak lebat waktu dinihari. Esok paginya, cuaca seakan-akan muram mengiringi kami pulang.
Dari Kuala Besut, kami ke Kota Bahru dimana kami akan menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur. Sempat kami singgah di KB Mall setelah meletakkan beg di Hotel Nora yang terletak bersebelahan. Pasar Khatijah jugak tidak dilupakan dimana kami makan tengahari di situ dan membeli-belah untuk dibawa pulang.

Setelah bersiap, kami terus ke stesen bas namun bas hanya muncul pada jam 10 malam. Setengah jam lewat dari jadual asal. Akhir jam 5.30 pagi, kami tiba di Stesen Putra dengan selamatnya.

Thursday, August 09, 2007

Melayang...

Beberapa hari ini fikiran aku melayang ntah kemana. Kerja-kerja di pejabat terbiar begitu sahaja. Mujur tidak ada projek besar yang perlu selesaikan ketika ini. Aku sendiri tidak pasti kenapa aku merasa begitu bosan sekali. Mungkin kerana teruja dengan percutian ke Pulau Perhentian esok. Satu pulau sudah lama aku ingin kunjungi setelah banyak mendengar tentang keindahannya. Peluang yang datang terus saja aku ambil apabila Eddy mengajak aku untuk ikut serta rombongan bersama teman-temannya. Malam ini, aku dan teman-teman akan menaiki bas ke Kuala Besut.

Sudah dua hari aku makan tengahari bersama Jess minggu ini. Pertamakali di Sheraton Imperial kerana Jess boleh mendapatkan 50% diskaun jika makan di sana. Kali kedua di Bukit Bintang dan kami hanya makan nasi ayam saja. Malam tadi aku makan bersama Joe dan Fendi di Shogun, One Utama. Buffet makanan jepun dan juga tempatan. Banyaknya makan...

Semalam, selepas makan tengahari bersama Jess, kami telah meronda-ronda sekitar Bukit Bintang. Aku telah singgah di satu tempat ini dan membeli sesuatu yang sudah aku rancangkan beberapa bulan lalu. Akhirnya tercapai sudah segala yang dirancang dan selesai sudah senarai membeli-belah untuk tahun ini.

Masih tinggal satu lagi rancangan riadah untuk tahun ini. Hujung bulan ini aku akan mendaki Gunung Tahan buat kali ketiga bersama teman-teman mendaki gunung. Setakat ini disahkan seramai 18 orang akan ikut serta. Pulang dari Gunung Tahan, bulan puasa akan menjelang sekali lagi. Semua aktiviti tertangguh. Sehingga akhir tahun, aku perlu tumpukan perhatian pada pelajaran yang semakin mencabar. Aku tertekad untuk menyelesaikan pengajian ini walau apa pun terjadi... Insya'Allah.

Monday, August 06, 2007

Pesta Durian?...

Aku, Joe dan Gio sudah bersarapan pagi ahad itu. Niat untuk mendapatkan big breakfast di Mc D berkecai kerana kami lewat. Terpaksa mendapatkan hidangan biasa saja. Lepas menghantar Gio pulang aku mengajak Joe ke Pesta Durian anjuran vendor kepada syarikat tempat NA bekerja. Selain itu, Aman datang bersama teman wanitanya dan juga Fendi.




Joe, aku dan NA

Kami tiba di Pondok Permai, Ulu Langat sekitar jam 3.30 petang dan ternyata semua durian sudah habis. Yang masih tinggal cuma cendol saja. Mujur cendol itu sedap. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membeli saja di tepi jalan dan makan di Air Terjun Sungai Gabai. Aku dan NA membeli hampir 9 biji durian D24 selain rambutan dan pulasan. Waktu itu sudah hampir jam 5 petang. Masih ramai yang berada di air terjun dan kami terus mencari satu sudut untuk duduk dan menikmati durian yang dibeli. Kami mendapat satu tempat di tepi air terjun dan mujur ada membawa bersama tikar untuk duduk dan menikmati durian yang dibeli tadi. Durian yang dibeli agak bagus isinya. Aku puas.

Menikmati durian...

Air Terjun Sungai Gabai

Kami pulang dalam jam 6 petang dan aku terus menghantar Joe pulang ke Shah Alam. Aku keletihan dan hampir tertidur di rumah Joe. Sebaik Fendi tiba di rumah kami ke Pak Li untuk makan malam. Aku pulang ke rumah lebih kurang jam 1 pagi. Terpaksa aku mengambil cuti separuh hari ini...

Cari...

Hari Sabtu lalu memang amat memenatkan. Aku diajak seorang teman untuk menyertai Pencarian Harta Karun sekali lagi. Am yang berkerja dengan I-Perintis mendapat jemputan untuk menyertai treasure hunt ini oleh vendor mereka. Aku pun terus saja setuju kerana tidak perlu mengeluarkan satu sen pun dari wang saku sendiri. Percuma saja.

Seawal jam 5.45 pagi aku sudah bangkit dari tidur. Perlumbaan dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi tetapi kami perlu melapur diri jam 7 pagi. Sarapan disediakan diikuti dengan serba sedikit penerangan sebelum perlumbaan dimulakan. Kami merupakan kereta yang ke-6 tiba. Selain aku dan Am, Joe dan Gio juga menjadi rakan perlumbaan kami. Aku menjadi pemandu arah, Am pemandu sementara Joe dan Gio memerah otak untuk mencari jawaban. Perlumbaan dimulakan agak lewat sedikit kerana menunggu ketibaan semua peserta. Tepat jam 9 pagi, kami dilepaskan bermula dari Desa Petaling ke Cyberview Lodge Resort and Spa di Cyber Jaya. Pengalaman pertama bagi Am, Joe dan Gio, perlumbaan ini agak kelam kabut sedikit kerana masih belum dapat menyesuaikan diri.

Ahli Kumpulan O.G.4


Akhirnya, kami tiba juga di garisan penamat dengan aku sedikit pening. Sememangnya aku tidak boleh membaca di dalam kenderaan. Namun sebagai pemandu arah, aku perlu membaca setiap arahan selain aku terpaksa menyelesaikan permainan SODOKU yang menjadi sebahagian dari soalan yang diajukan. Teman-teman yang lain langsung tidak tahu apa itu SODUKU.

Tiba di Cyberview Lodge Resort and Spa, kami dijamu dengan makan tengahari sebelum jawaban-jawaban kepada persoalan diterangkan kepada kami diikuti dengan penyampaian hadiah. Seperti yang dijangka, kami pulang dengan tangan kosong.

Tiba di rumah aku berehat. Aku keletihan. Joe menyarankan untuk ke Berjaya Times Square untuk menyaksikan Mystar Celeb. Q akan beraksi pada malam ini dan kami pun kesana untuk memberi semangat kepadanya. Persembahan Q yang digandingkan dengan Wan Ali memang menghiburkan. Semoga dia berjaya. Lewat malam, kami pun pulang. Pada awalnya, Gio yang ingin pulang mengambil keputusan untuk tidur saja di rumahku. Am pula sudah pulang awal kerana bapa angkatnya sakit tenat.

Friday, August 03, 2007

Tenang...

Kebelakangan ini, kehidupan aku terasa lebih tenang. Segalanya berjalan dengan lancar dan aku berharap ia akan berterusan.

Semalam, aku mendapatkan sesuatu yang sudah agak lama aku idamkan. Aku anggap ini sebagai hadiah buat diriku sendiri.. he he he.

Sebelum itu ke kelas bodysteps di gym. Selesai aku makan malam bersama NA dan Shidi di Chilis. Sudah agak lama aku tidak makan sebanyak itu. Sepatutnya aku ke rumah Joe untuk makan soto dan durian tetapi aku sudah kekenyangan dan keletihan, aku batalkan saja rancangan aku itu. Mungkin malam ini aku akan ke rumah Joe.

Wednesday, August 01, 2007

Gila...

Gilakah aku?... Aku sendiri tidak pasti. Sejak kebelakangan ini, aku gila untuk makan durian. Dari hari Sabtu hingga Isnin, aku tak henti-henti makan durian. Kalau seulas dua, mungkin orang akan faham. Tapi aku sendiri saja tak cukup sebiji, paling kurang dua biji. Sabtu dan Ahad, aku makan bersama teman-teman. Aku menghabiskan dua biji satu masa. Isnin lalu, aku tidak makan tengahari kerana kononnya hendak diet tapi sebaik pulang dari gym, aku begitu teruja untuk makan durian lagi. Niat aku untuk membeli dua biji saja tetapi abang penjual itu menyuruh untuk ambil tiga kerana buahnya agak kecil. Aku pun setuju. Selepas membayar, abang itu memberi aku satu biji lagi secara percuma. Aku pulang dan makan tiga biji dan sebiji lagi aku simpan untuk hari esok. Puas hati...

Minggu ini, seperti biasa aku ke gym. Kerana terasa diri ini sudah bertambah berat badan, aku ke Maxis Tower untuk mengikut kelas Hi-Lo. Joe ingin turut serta. Jadi buat pertama kalinya aku lihat Joe dalam keadaan kelam kelibut mengikut setiap gerak langkah Kak Nor. Selesai kelas di situ, aku bersama Kak Nor dan Saiful terus ke SPK pula untuk kelas Intermediate/Advance Steps. Sebelum itu kami sempat minum teh di Jumpa Cafe. Kelas malam ini agak payah sedikit tapi aku tetap mencuba.

Semalam, aku ke Maxis Tower untuk kelas Intermediate dan Basic steps. Walaupun letih aku perlu teruskan juga untuk kembalikan berat badan aku ke tahap asal. Aku juga sempat untuk ke Maxis Center untuk bertanyakan tentang jalurlebar maxis. Insya'allah, setelah aku mendapatkan komputer peribadi baru nanti, aku mahu menggunakan perkhidmatan itu.