Tuesday, April 22, 2008

Kembali ke gagang...

Kurang dua minggu lagi, aku akan berubah angin ke tempat baru. Bukanlah baru sebenarnya cuma kembali ke tempat lama yang aku rasa sudah banyak berubah. Aku akan memulakan tugas sebagai pengurus di syarikat aku mula-mula bekerja dulu awal bulan Mei nanti. Walaupun berat rasa hendak meninggalkan Kuala Lumpur yang sudah mula sebati dengan diri ini, langkah ini perlu aku ambil demi kemajuan diri dan kerjaya. Disamping itu, aku rasa ini juga masa yang sesuai untuk menjaga kedua orang tua aku yang tinggal berdua saja di kampung.
Masih lagi ramai teman-teman yang belum tahu tentang rancangan aku ini. Insya'allah aku akan sampaikan kepada mereka apabila tiba waktunya kelak. Aku hanya ingin mengelakkan dari dianjurkan majlis perpisahan kerana bagi aku, kami tidak berpisah hanya jarang berjumpa.
Doakan semoga aku berjaya.

Tuesday, April 15, 2008

Tempat Baru...

Di KLIA
Ketika ini Nurul sudah pun berada di London dengan selamatnya. Terimakasih juga pada Joe yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut ketibaan Nurul. Sekurang-kurangnya ada tempat mengadu dan meminta bantuan jika terjadi apa-apa di sana nanti.

Sebelum itu, sepanjang dua minggu terakhir di Malaysia ini, kami sempat berkaraoke, ke Sanctuary bersama dengan Sheera, Yus, Meng, Ajax, Ila dan ramai lagi. Ada juga teman yang mengadakan jamuan perpisahan untuk Nurul sehari sebelum penerbangannya.

Sesuatu yang melucukan apabila aku, Sheera dan Yus cuba untuk membuat kejutan buat Nurul sebelum dia berangkat. Kami mengatakan tidak akan menghantarnya di KLIA namun dalam diam-diam kami sudah ke situ. Tetapi dalam perjalanan, Nurul pula yang memintas kereta kami. Dari kami mahu membuat kejutan, kami pula yang dikejutkan.

Semoga Nurul akan berjaya dan bergembira di sana.