Wednesday, November 28, 2007

Sibuk...

Waktu ini aku begitu sibuk sekali dengan tugas-tugas di pejabat, mengulangkaji pelajaran, melayan tetamu dari seberang dan juga shooting untuk video korporat. Letih rasanya tetapi terpaksa aku gagahi jua...

Aku akan berangkat ke Mumbai, Ahad ini untuk menghantar tender satu projek baru dan sekali lagi pada 10hb nanti. Sekarang ini sedang sibuk menyediakan segala informasi yang perlu dilampirkan. Waktu rehatku digunakan untuk mengulangkaji pelajaran, peperiksaan akan bermula Jumaat ini. Masih banyak yang perlu aku baca...

Adhi dari Jakarta pula tiba untuk berlibur. Sememangnya sudah diberitahu lebih awal dan aku juga tahu peperiksaan akhir akan bertembung dengan kedatangannya. Aku akan cuba sedaya upaya melayan tetamu dari negara jiran ini walaupun pada asalnya aku hanya mengenali melalui teman-teman lain. Mereka yang mengenali Adhi dari awal nampaknya seolah-olah melepaskan tangan dan tidak mengambil peduli...

Dalam pada itu, aku juga dikejutkan dengan panggil dari Faez meminta aku terlibat sama dalam video korporat untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Aku mulanya menolak kerana penggambaran dijangkakan pada Ahad atau Isnin. Aku tidak mahu mengambil cuti pada hari Isnin kerana banyak yang perlu diselesaikan. Akhirnya, penggambaran dibuat pada hari Ahad dan aku pun bersetuju. Kali ini aku menjadi 'bapa' sekali lagi tetapi hanya mempunyai seorang anak perempuan, Azura namanya. Comel. 'Isteri' aku bernama Aishah, bekas peserta Dewi Remaja '95. Tugas kami mudah saja. Berjalan-jalan di taman dan melihat sebuah keluarga yang bahagia. Tidak sampai setengah jam, siap.


Sekarang ini, aku masih lagi bertungkus-lumus di pejabat.

Saturday, November 24, 2007

Pertembungan Waktu...

Aku sempat menyaksikan pertembungan antara Juara Dunia masa kini dan bekas Juara Dunia di Shah Alam Khamis lalu. Perlawanan pertunjukkan antara Roger Federer dan Pete Sampras sememangnya memukau. Walaupun aku hanya duduk di baris teratas dan agak jauh dari gelanggang, aku tetap berpuas hati kerana dapat menyaksikan perlawanan itu secara langsung di Stadium Malawati. Aku juga berterimakasih kepada Arm kerana tiket ini adalah janji sebagai hadiah ulangtahun hari lahir aku yang lepas beberapa bulan lalu.

Sesi penyampaian hadiah

Selain aku, ada juga beberapa orang rakan Arm yang ikut serta. Sebelum perlawanan ada persembahan gendang dan tarian selain nyanyian dari Jac. Audio di situ kurang baik kerana semua pembesar suara di halakan kebawah dan tidak ke atas tempat duduk kami. Jadi kami hanya dapat mendengar talun sahaja. Bermulanya perlawanan sekitar jam 8.30 malam dan penonton mulai sorak sebaik saja kedua-dua pemain terhandal dunia muncul di gelanggang. Lebih kurang dua jam kemudian permainan tamat dengan Federer menang mudah.

Bergambar dengan banner pun cukup la...

Aku ke rumah Sheera sebaik selesai perlawanan untuk mendapatkan cek kerja-kerja iklan aku yang baru dibayar. Terpaksalah aku belanja Sheera dan Yus makan lepas dapat duitnya nanti... he he he...

Tuesday, November 20, 2007

Kesibukkan...

Hujung tahun bakal menjelang tiba dan seperti kebiasaannya, waktu ini kerja-kerja datang berlambak selain musim peperiksaan. Aku harap aku dapat melaluinya dengan tenang dan jayanya. Cuma satu yang merisaukan aku adalah pertembungan jadual untuk menghantar tender dan peperiksaan akhir nanti.
Ketika ini ada dua tender yang perlu di hantar ke Mumbai pada tarikh yang sama. Sebaik aku pulang ke KL, petangnya aku dijadualkan menduduki peperiksaan akhir Statistiks pada petangnya. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar....

Monday, November 12, 2007

Raya Lagi?...

Sehari sebelum Deepavali, aku ke rumah Othman untuk beraya. Sedar tak sedar aku berada di sana sehingga hampir subuh. Siang aku bersama Nurul, Syed, Shidi, Sheera dan Yus berkaraoke di Redbox Pavillion. Pertamakali ke situ, aku tertarik dengan kemudahan yang ada termasuklah mikrofon tanpa wayar dan bilik air tersedia di dalam. Selesai karaoke aku pulang berehat.

Hari Jumaat ada jamuan makan lagi di pejabat di Jabatan aku. Aku menyediakan spaghetti bolognaise aje selain kek batek. Habis di makan.

Sabtu lalu masih ada lagi rumah terbuka yang aku pergi. Rumah Khalid di Sri Damansara. Khalid terpaksa pulang ke kampung kerana ayahnya kurang sihat. Yang tinggal hanya Gee dengan anaknya.

Ahad, seperti biasa aku menghadiri kelas di Unisel, Shah Alam. Ada ujian pagi itu. Harapnya betul lah jawaban yang aku berikan. Selain itu, markah-markah tugasan untuk subjek lain juga sudah diketahui. Alhamdulillah, aku mendapat markah yang agak baik.

Monday, November 05, 2007

Jamuan Raya...

Sabtu lalu, aku menjemput teman-teman untuk beraya di rumah. Teman-teman berkhemah, teman-teman di gym dan teman-teman pejabat. Setelah aku membuat jemputan, aku terfikir sejenak samada aku mampu untuk menyediakan makanan untuk jemputan yang ramai. Ternyata semua berjalan dengan lancar.

Jumaat malam aku sudah mulai masak setelah membeli-belah barangan dapur sepanjang minggu. Aku hanya memasak soto manakala juadah lain seperti rendang, satay dan lemang aku beli saja. Aku bersengkang mata sehingga jam 3 pagi sebelum lelap sebentar dan bangun sekitar jam 7 pagi untuk ke pasar tani mendapatkan rendang dan lemang.

Walaupun tiada yang membantu, aku berjaya menyiapkan segalanya tepat jam 12 tengahari dan sempat mandi dan menyalin pakaian. Tetamu mula datang jam 12.30 dan tidak putus-putus sehinggalah jam 7 petang walaupun jemputan rasmi aku sehingga 5 petang.

Sebaik tetamu akhir pulang sekitar jam 8 malam, aku terus berkemas. Letih dan aku tidur awal malam itu.

Esoknya, aku perlu ke Unisel untuk menghantar tugasan. Selesai semuanya dan lewat petang aku ke rumah Meg bersama Su, Fendi dan Nisya untuk beraya. Hujan lebat sepanjang jalan dan lebih lebat lagi apabila kami sedang makan dan terpaksa beralih ke ruang makan di dalam rumah. Makanan yang dihidangkan ternyata sedap dan menepati cita rasaku. Ada juga gerai koay teow goreng. Pesan saja dan akan dihantar ke meja, panas dan lazat. Aku makan 2 pinggan koay teow.

Hujan masih lebat waktu aku pulang. Aku terlalu mengantuk dan tidur awal semalam.