Friday, March 30, 2007

Perubahan?...

Ketika melangkah masuk ke dalam dewan, aku lihat sudah ramai orang walaupun baru sejam dibuka. Aku pun dengan segera ke kaunter yang berdekatan tetapi terlalu ramai orang berkerumun. Seperti pasar keadaannya. Ada yang duduk di lantai, ada yang seperti tidak tahu apa yang mahu dibuat, ada yang tolak menolak. Aku jadi bingung sekejap. Tapi aku pun terus aje menyambar mana-mana yang aku sempat dan lihat. Tapi kali ini, tidak banyak minyak wangi yang dijual. Kebanyakkannya barangan penjagaan kulit saja.

Sebenarnya aku berada di jualan gudang oleh Lo'real Malaysia tapi satu produk Lo'real pun tak kelihatan. Yang ada cuma Biotherm, Lancome, Ralph Lauren, Giorgio Armani, Shu Eumura dan beberapa jenama lagi. Aku hanya membeli barangan pesanan Jess saja memandangkan produk yang aku mahu tidak ada. Ajeem yang datang bersama aku hanya menunggu di luar kerana orang ramai berasak-asak dan menolak-nolak.

Kemudian kami terus ke Isetan untuk membeli-belah. Ajeem akan berpindah ke tempat kerja baru. Berbanding dengan tempat lama, dia harus berpakaian lebih kemas. Selepas membeli beberapa helai kemeja, kami terus makan tengahari bersama Jess. Selesai makan tengahari, kami ke Low Yat kerana Ajeem juga mahu mendapatkan external hard drive di sana. Tak cukup lagi, kami ke Isetan semula untuk membeli-belah lagi. Bayangkan aku melakukan itu semua dalam waktu kerja... he he he.

Petangnya, aku menonton wayang bersama Jess di Berjaya Times Square. Sementara menunggu waktu, kami minum di Starbucks. Tiba-tiba aku teringin untuk melihat barangan perhiasan diri di salah satu gerai di situ. Jess juga selalu membeli barangan yang ada di situ. Kebetulan, juru jual itu kenal dengan Jess. Jess menyarankan aku membeli cincin dan gelang tangan serta subang. Perubahan?... Aku membeli sebentuk cincin dan gelang tangan. Subang?... aku belum bersedia ke arah itu. Jess mendapatkan sepasang subang atas saranan aku. Walaupun dia tidak bertindik, subang magnet yang dibeli (aku yang bayar sebenarnya) kelihatan menarik. Jess gembira dengan subang itu dan mungkin akan bertindik selepas ini.

Selesai menonton, kami terus ke warung makanan laut kegemaran kami. Mungkin disebabkan hujung bulan, ramai yang sudah mendapat gaji, kelihatan ramai orang melayu di situ. Mujur, kami mendapat tempat dan makanan tiba agak awal juga. Seperti biasa makanan memang sedap. Jess belanja. Baru dapat bonus katanya...

Wednesday, March 28, 2007

Lama Tak Jumpa...

Aku ke gym petang semalam untuk kelas intermediate steps. NA dan temannya, Sharon pun ada bersama. Bagi aku, kelas ini lebih mudah berbanding dengan kelas advance. Keseronokkan terasa apabila aku dapat melakukan setiap gerak langkah dengan tepat. NA kebingungan dari awal dan Sharon terus keluar dari studio di pertengahan kelas.

Niat aku untuk meneruskan senaman kardio terbantut apabila betis aku kekejangan. Aku terus hentikan latihan dan bersiap untuk pulang. Di bilik persalinan, aku bertemu dengan Kast yang mencari-cari loker yang kosong tetapi waktu itu memang penuh.

Aku bersiap dan berjanji untuk berjumpa dengan NA untuk menyampaikan suratnya. Selesai aku solat maghrib, panggilan aku ke NA sebanyak empat kali tidak berjawab. Aku memutuskan untuk menunggu sebentar dan duduk di foyer Suria. Tiba-tiba aku disapa oleh Zarina. Sudah agak lama aku tidak bertentang mata dengannya. Sejak dia berpisah dengan Yus, hampir dua tahun sudah berlalu walaupun kami masih berhubung melalui email. Dia masih seperti dulu cuma mungkin lebih berisi. Aku rasa kehidupannya bertambah baik berbanding dulu. Setelah berbual seketika, aku pun mengambil keputusan untuk pulang memandangkan NA masih tidak menjawab panggilan aku.

Tiba di rumah, aku mendapat panggilan dari NA mengatakan dia sudah pulang dan tidak dapat menjawab panggilan aku kerana telefonnya jatuh ke bawah tempat duduk dalam keretanya. Sekurang-kurangnya aku tahu dia berada dalam keadaan selamat.

Kebelakangan ini, memang tidak ada kerja langsung di pejabat. Aku mengambil kesempatan ini untuk membuat kerja-kerja kelab sukan. Segala lapuran mengenai aktiviti dibawah tanggungjawab aku sudah aku selesaikan termasuk segala perkara berkaitan dengan kewangan. Sekarang ini aku sedang merangka sesi pertandingan paintball dan juga berkhemah di Air Terjun Bekelah. Selain itu, kami juga akan mengadakan sekali lagi jamuan makan perpisahan MD yang bakal meninggalkan kami. Seperti biasa, tugas aku... hiburan... he he he

Tuesday, March 27, 2007

Badut Lagi...

Setelah seminggu aku berehat, semalam buat pertama kalinya aku ke gym semula. Aku cuba berlari dan mengayuh basikal. Alhamdulillah, aku terasa badan aku mampu untuk melakukannya. Namun, tujuan utama aku ada untuk kelas intermediate/advance steps. Kak Nor bertanyakan khabar aku dan kami pun duduk bercerita sedikit sebelum kelas bermula. Sempat juga Kak Nor mengusik aku tentang orang yang bertanya kenapa aku tidak hadir minggu lalu. Aku sudah tahu siapa gerangan orang itu...

Sebelum ke gym, aku menemankan Jess untuk minum petang di KLCC. Sebenarnya Jess mengajak aku untuk shopping tetapi aku ingin ke gym, jadi hanya sempat untuk minum dan berborak sahaja. Aku berjanji akan menonton wayang bersamanya Khamis ini dan terus makan malam di makanan laut kegemaran aku.

Kelas semalam ternyata membuatkan aku hilang punca dan kelihatan seperti badut tetap dalam kelas. Untuk lebih adil kepada peserta yang mahir, Kak Nor melakukan rutin yang agak rumit. Aku hanya mampu mengikuti separuh saja dan itu juga hanya sebelah sahaja. Apabila bertukar posisi, aku kehilangan segalanya... he he he. Masih banyak yang perlu aku belajar. Aku lebih banyak melihat dari tepi bagaimana mereka yang sudah mahir melakukannya. Kali ini, setiap dua orang akan berkongsi empat papan. Kalau tak kena gaya akan bertembung dengan rakan di hadapan dan juga tepi. Tapi rutin kali ini memang menarik tetapi terlalu pantas buat aku.

Perancangan Shi dan aku mungkin tidak dapat diteruskan memandangkan masih ada masalah dengan video yang telah kami ambil itu. Tapi di satu sudut lain, Shi sudah mendapatkan passport barunya. Mungkin di lain kali agaknya...

Monday, March 26, 2007

Shooting...

Aku berkaraoke semalam dengan Shi, Yus, Meng, Ila dan seorang teman Yus, G. Aku tiba paling awal dan kesempatan ini aku gunakan untuk 'memanaskan' suara. Sudah agak lama aku tidak dapat menyanyi kerana batuk teruk dan aku tidak pasti samada aku dapat menyanyikan nada tinggi seperti biasa. Namun, percubaan demi percubaan, aku dapat lakukannya.

Hari Sabtu, aku sepatutnya pergi ke dua sessi casting berlainan. Yang pertama, berjalan dengan lancar. Aku suka dengan cara pengarah itu mengarah. Dia mahukan aku relaks dan tenang. Dia mahukan aku berlakon seperti diriku sendiri dan bukan watak yang sepatutnya aku lakunkan. Cara pengarahannya membuatkan aku tenang tanpa rasa tertekan. Maklumlah, aku bukan pelakon... he he he

Sessi yang kedua di Jalan Ampang agak mengecewakan kerana aku pulang tanpa casting. Aku menunggu hampir sejam dan kelihatan orang yang datang lewat dari aku dipanggil masuk lebih awal dari aku. Aku terus tinggalkan tempat itu. Malamnya, aku hanya menonton konsert AF5 yang aku rasakan semakin hambar dan tiada seri langsung.

Hari ini sepatutnya ada sessi shooting aku bersama dengan Shi. Kami lakukan sedikit di BSC dan di rumah aku. Namun, setelah selesai shooting, rancangan mengalihkan dari mini DVD ke komputer menghadapi masalah. Shi akan cuba untuk menyelesaikan masalah itu sebelum kami teruskan projek ini.

Aku letih... tidur awal semalam. Kesihatan aku sudah bertambah baik. Malam ini aku akan ke SPK untuk kelas intermediate/advance.

Saturday, March 24, 2007

Casting lagi...

Semalam aku pulang awal ke rumah dan terus tidur. Tidak pernah aku berbuat begitu namun aku cuba untuk merehatkan diri agar aku kembali sihat seperti biasa. Aku begitu rindukan gym. Badanku masih terasa lemah-lemah. Sekitar jam 8 aku bangun dan membersihkan diri. Aku goreng ayam yang masih lebihan dari jamuan minggu lalu dan keropok yang sudah lama ada dirumah tapi masih belum tersentuh. Kemudian aku tidur awal.

Hari ini, aku perlu ke casting sekali lagi. Keputusan dari casting untuk watak doctor itu seperti yang aku duga, aku tidak berjaya. Untuk hari ini, aku perlu membawa watak seorang ayah dengan dua orang anak belasan tahun. Mungkin aku tidak cukup tua untuk watak ini, tapi tak salah mencuba.

Tekak aku kering, mulut aku masih belum boleh merasa seratus peratus. Antibiotik sudah aku habiskan satu pusingan. Mungkin aku perlu berjumpa dengan doktor sekali lagi. Mungkin boleh dapat MC lagi... he he he

Thursday, March 22, 2007

Chermin...

Cuba pandang ke dalam cermin dan lihat apa yang anda nampak?...Aku baru saja menonton filem 'Chermin'. Mengisahkan Nasrin, telah digunakan oleh roh moyangnya yang ingin membalas dendam terhadap suaminya yang berkahwin lain. Roh moyangnya hidup di dalam satu cermin antik yang dijumpai ibu Nasrin di dalam setor rumah mereka. Lalu, cermin itu digantikan dengan cermin bilik Nasrin yang sudah retak. Dari situlah segalanya bermula. Satu cerita seram yang simple dan tidak begitu mengerikan. Jalan ceritanya sudah boleh diagak. Mungkin aku perlu tonton 'Jangan Pandang Belakang' pula dibulan hadapan.

Selesai menonton, aku berjumpa dengan Shidi dan Arjit di MAC. Kebetulan hari ini pelancaran set rangkaian Barbie. Arjit seperti biasa mahukan sesuatu yang baru namun hampa kerana tidak satu pun rangkaian terbaru ini sesuai dengan kulitnya... he he he. Ning Baizura dan Yanie juga berada situ selain Syazliana. Aku terus pulang selepas itu kerana Ajeem ingin meminjam kamera untuk acara konvokesyennya nanti. Tiba-tiba kepala aku terasa pening sekarang ini...

Wednesday, March 21, 2007

Buka Minda...

Aku baru saja menyaksikan cerita 'Bridge to Teribithia' di KLCC tadi. Mengisahkan Jess dan Leslie dari latar belakang yang berlainan akhir menjadi kawan baik. Leslie banyak mengajar Jess untuk menjadi lebih terbuka dengan keadaan persekitarannya dan lebih berani menghadapi kehidupan. Bersama-sama, mereka seolah hidup dalam alam khayalan ciptaan sendiri. Begitulah mereka berdua setiap hari sehingga Leslie ditemui mati tatkala Jess keluar ke muzium bersama gurunya. Jess merasa sungguh sedih dan menyalahkan dirinya atas kematian Leslie. Namun pengajaran dari Leslie tidak pernah dilupakan. Buka minda dan impikan apa yang anda mahu.

Sebelum menonton, aku sempat bertemu dengan NA untuk menyampaikan CD Nidji. NA akan mendapat tiket percuma untuk showcase Nidji hujung minggu ini. Sementara itu, di pejabat tidak banyak yang berlaku. Kerja sekarang ini tidak banyak, masing-masing banyak duduk berehat.

Tuesday, March 20, 2007

Pitam?...

Aku terasa lemah seluruh badan, kakiku hampir tidak mampu lagi untuk berdiri. Aku keluar sebentar untuk mendapatkan seteguk air. Kembali semula, keadaan masih sama. Lalu aku terus tinggalkan kelas dengan memberitahu Kak Nor bahawa aku masih kurang sihat lagi. Aku terasa seperti mahu pitam.

Sebelum kelas bermula, sempat Kak Nor bertanyakan kenapa aku tidak hadir semalam. Ada juga orang lain yang bertanyakan kehilangan aku. Tapi Kak Nor masih berahsia. Sengaja tidak mahu memberitahu. Aku sangkakan aku sudah cukup kuat untuk mengikuti kelas hari ini. Ternyata aku tewas. Aku juga terasa lapar. Baru aku teringat kembali, aku cuma makan semangkuk bubur siang tadi. Mujur Jess menghantar sms mengajak aku makan malam. Terus saja aku ke Chilis.

Esok, Ulangtahun hari lahir Jess. Sebelum ke Chilis, aku singgah untuk membelikan hadiah buat Jess. Seperti biasa menu aku mesti yang sama. Selain Jess, Mei Li juga ada. Banyak topic yang menggelikan hati jadi perbualan kami. Dari soal agama sehinggalah ke masalah seksual. Selesai makan, aku pun pulang. Kepala terasa berat namun masih belum mahu tidur.

Esok... Esok aku terpaksa kerja... hu hu hu

Monday, March 19, 2007

Ganas...

Sungguh mengerikan. Ganas dan kejam... aku baru sahaja lepas menyaksikan cerita '300'. Mengisahkan Leonidas, Raja Sparta yang cuba melawan Xesxes, Raja Parsi yang berkuasa. Banyak adegan-adegan ganas dan kejam yang di paparkan. Selain sedikit unsur seksual. Namun, aku faham mengapa Leonidas tidak mahu tunduk kepada Xesxes walaupun dia di kenali sebagai raja kepada segala raja malah bertahap dewa?...Kerana Xesxes kelihatan seperti seorang 'drag queen'... he he he.

Aku sebenarnya mendapat cuti sakit untuk dua hari. Tetapi aku juga sudah ada temu janji pada pukul 11 pagi hari ini dengan Yus. Kali ini, Yus berpesan supaya jangan cukur misai dan janggut kerana produser mahu aku kelihatan lebih tua untuk watak sebagai doktor dalam iklan ini. Aku antara yang disenarai-pendekkan untuk iklan yang aku pergi casting minggu lalu. Produser mengatakan dia suka dengan lakunan aku kerana kelihatan bersahaja disamping kefasihan aku berbahasa mandarin berbanding calon lain. Namun, klien kurang pasti kerana aku kelihatan muda dan mereka mahukan seorang doktor yang lebih berusia. Aku dimekapkan oleh makeup artis untuk kelihatan tua siap dengan rambut dan misai beruban. Dengan keadaan kurang sihat, aku gagahi juga. Aku tidak pasti aku telah melakukan yang terbaik. Selesai casting, aku terus pulang dan ubat yang aku ambil menjadikan aku mengantuk dan terus tertidur. Bangun dari tidur, seluruh tubuhku dan cadar basa dengan peluh.

Aku terus bersiap untuk ke gym kerana aku mahu mengikut kelas intermediate/advance steps. Setibanya di KLCC, aku merasakan badan aku masih lemah dan belum sihat sepenuhnya aku pun terus membeli tiket untuk menyaksikan 300.

Sunday, March 18, 2007

Memang Demam...

Sah...Aku sudah bersin banyak kali sepanjang hari ini.Hingus meleleh. Batuk bertalu-talu. Aku benci. Aku tidak dapat bercakap, kerana setiap kali aku cuba bercakap, aku akan batuk. Aku risau. Aku ada tugasan penting hari Isnin yang perlu aku lakukan dan ini akan membukakan peluang baik untukku bagi tugasan-tugasan akan datang.

Tengahari tadi aku ke The Mall untuk membeli belah. Terlupa aku MATTA Fair sudah bermula. Parking di sana penuh. Aku kemudian terus ke SOGO mujur ada parking. Namun barangan yang aku mahu tidak terdapat di situ. Aku menaiki LRT untuk ke The Mall dan balik semula ke SOGO untuk mengambil keretaku. Selesai membeli belah, terus pulang ke rumah untuk masak. Aku sudah menjemput teman-teman berkhemah untuk makan malam di rumah. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar. Makanan juga cukup dan tidak berlebihan. Seronok juga sekali-kali berkumpul di rumah dengan mereka. Ternyata sudah lama mereka tidak menjejakkan kaki di rumahku kerana dek kesibukan aku dengan teman-teman lain.

Hari ini aku menyediakan Soto, Macaroni goreng, ayam goreng, pudding jagung dan kek cokelat. Hampir kesemua yang dijemput hadir kecuali Yusnor seorang. Gembira bila aku lihat makanan habis dan cuma tinggal sedikit lagi soto untuk aku nikmati esok hari... he he he...

Aku demam...uhuk! Uhuk! Uhuk!

Thursday, March 15, 2007

Demam?...

Hari ini, aku masuk kelas bodystep yang telah lama aku tinggalkan. Seronok juga bila dicampur adukkan dengan steps intermediate yang telah aku pelajari. Selesai kelas, aku teruskan dengan berlari dan mengayuh basikal tetapi hari ini terasa letih yang amat sangat. Aku terasa badan ku panas seperti hendak demam. Harap-harap esok aku sihat kerana aku ada casting yang perlu aku lalui esok. Minggu ini saja, aku sudah menjalani lima sessi casting namun satu pun belum lagi berhasil tetapi aku akan tetap berusaha.

Lusa, aku menjemput rakan-rakan berkhemah untuk makan malam di rumah ku. Sudah agak lama aku tinggalkan mereka kerana kesibukkan dengan teman-teman lain. Sekarang ini, aku punya waktu untuk diluangkan bersama mereka. Lagipun, tahun ini banyak aktiviti mendaki gunung yang akan aku sertai bersama mereka. Inilah masanya untuk membuat perbincangan dengan lebih lanjut disamping bertanya khabar sesama kami.

Wednesday, March 14, 2007

Haunted Spirit...

Aku baru saja lepas menonton 'Haunted Spirit' di KLCC tadi. Aku ditemani oleh Ajeem. Sememangnya aku suka dengan filem genre seram. Walaupun disarankan oleh Shi untuk menonton '300', namun aku tetap memilih 'Haunted Spirit'. Mungkin esok lusa aku akan cuba tonton '300'. Cerita kali ini sebenarnya memang menyeramkan tetapi jalan ceritanya agak kurang kemas. Permulaannya agak perlahan tetapi menjadi pantas di pertengahan cerita. Namun, yang paling menyakitkan hati adalah sekumpulan penonton yang kurang adap bila berada di dalam panggung. Sepanjang filem berlangsung, mereka bercakap sesama mereka dengan nada yang kuat.

Tengahari tadi aku keluar sebentar kerana aku dipanggil untuk casting iklan. Kebetulan kerja-kerja pejabat sudah aku bereskan dan boss pun tidak ada di pejabat, aku ambil kesempatan ini untuk ke Damansara Kim dan Pusat Bandar Damansara. Ada dua tempat aku perlu ujibakat. Aku cuma membuat apa yang termampu dan seterusnya menunggu panggilan dari mereka samada berjaya atau tidak.

Mukhsin...

Semalam, aku menonton Mukhsin bersama Ajeem selepas kelas intermediate steps. Seperti filem-filemnya Yasmin Ahmad yang lain, jalan ceritanya mudah tetapi menarik dan banyak realiti kehidupan yang dipaparkan secara halus. Berbanding Sepet, aku lebih menyukai Mukhsin. Selepas menonton Sepet, aku tidak teruja untuk menonton Gubra. Selesai menonton, kami makan malam di Nailis.

Dalam kelas Intermediate Steps, agak ramai juga muka baru yang hadir. NA kurang sihat dan tidak dapat ikut serta. Tiba-tiba aku terlihat kelibat CW yang masuk agak lewat. Samada aku tidak pernah menyedari kehadirannya di dalam kelas sebelum ini atau mungkin aku sememangnya tidak pernah ambil tahu. Pergerakan aku semakin baik dan beberapa langkah yang aku pelajari pada hari isnin dapat aku gunakan kali ini. Ternyata aku dapat melakukan sepenuhnya dari awal hingga selesai. Waktu berlalu begitu cepat tatkala aku sedang dalam keseronokan. Tak sabar untuk menunggu kelas minggu depan atau aku terus saja ke kelas Advance Jumaat ini.

Tuesday, March 13, 2007

Badut III...

Sekali lagi aku menjadi badut di dalam kelas Intermediate/Advance Steps semalam. Hanya aku seorang kerana yang lain mampu melakukannya dengan baik. Namun, rakan-rakan yang lain sering memberi perangsang dan ini menaikkan lagi semangat aku. Petang ini ada lagi Intermediate Steps, ini lebih mudah bagiku dan tak sabar rasanya untuk ke gym petang ini.

Tengahari semalam aku makan tengahari bersama Jess di Izzi Corner. Aku kebosanan di pejabat lalu mengajak Jess ke situ. Selesai makan terus ke Haagen Dazs untuk menikmati ais krim. Harap-harap tak bertambahlah berat badan aku.

Sunday, March 11, 2007

Impian Yang Nyata?...

Malam tadi memang gila. Aku tak pernah merasa begitu walaupun kadang-kadang perangai aku memang sukar diduga. Apatah lagi dikelilingi oleh teman-teman yang agak gila juga. Sam begitu gembira sekali menjadi penari latar kepada kami yang menyanyi. Aku, Sheera, Yus dan Meng terpaksa menyanyikan semua lagu yang dipilih oleh Sam dan teman wanita Meng memandangkan kedua-duanya tidak menyanyi.

Kami meraikan ulangtahun hari lahir Sam dengan mengadakan sessi karaoke bersama. Aku yang sudah batuk beberapa hari terpaksa menyanyikan lagu-lagu rock 80'an yang menjadi pilihan Sam (oopsss!!!). Walaupun bernada tinggi aku tetap cuba sedaya upaya untuk menyanyi. Mujur Yus ada untuk membantu. Memang diluar jangkaan. Yus tahu banyak lagu yang aku sendiri tidak. Malam ini juga aku melihat sisi Yus yang lebih ceria dan gila-gila. Selalunya dia kelihatan pendiam dan malu-malu. Sheera seperti biasa dengan vokal mantapnya memang membuat aku kadang-kadang mencemburui bakatnya. Meng?... Kami membiarkan dia menyanyikan lagu-lagu yang susah untuk dibawa kerana jika kami yang nyanyi, lagu itu tetap hancur... he he he.

Dan pagi ini...

Impian Jadi Kenyataan...

Saturday, March 10, 2007

Aku atau Dia?...

Aku baru saja mengambil tempat, tiba-tiba aku menjadi resah. Aku kah?... Tak pernah terjadi begini. Kemudian ia hilang dengan tiba-tiba seperti mana ia datang. Aku lega sebentar. Tiba-tiba ia datang lagi. Kali ini aku mencium ketiak ku. Tiada bau. Aku hairan dari mana datangnya bau itu. Lalu aku menjenguk ke kiri dan kanan, ternyata ada seorang berbangsa india sedang melakukan senaman tidak jauh dari aku. Aku cuba pastikan sekali lagi. Aku atau dia?...Ya, sah bau itu datang darinya. Aku tidak jadi untuk meneruskan senaman kerana bau itu amat meloyakan dan terus aku menuju ke ruang rehat. Terfikir sejenak, apakah mereka tidak dapat merasainya?...

Selesai gym, aku pulang setelah membeli sedikit keperluan dapur. Sememangnya aku tidak mempunyai apa-apa perancangan malam semalam kerana hari ini aku ada sedikit tugas perlu diselesaikan atas permintaan teman baik aku. Jadi aku perlukan rehat yang secukupnya.

Aku baru saja kembali dari tugasan tadi. Aku tidak mengharap cuma kadang-kala aku terasa puas bila dapat membantu teman-teman. Tunggu saja nanti keputusannya.

Thursday, March 08, 2007

Kalut...

Pengumuman rasmi telah dibuat petang semalam. Seluruh pejabat kecoh dengan berita ini. Walaupun sejak dari pagi lagi aku telah diberitahu oleh seseorang, aku hanya buat acuh tak acuh saja.

Agak memeranjat juga Pengarah Urusan syarikat tempat aku bekerja, meletakkan jawatan. Berbagai spekulasi timbul, berbagai teori diungkit.Namun, sudah sekian lama aku dengar mereka memang tidak pernah sebulu. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif sememangnya tidak berfikiran seiring. Masing-masing mahu menegakkan fahaman mereka juga keegoan menutup segala pintu perbincangan.

Ketua Pegawai Eksekutif yang berbangsa asing itu akan mengambil alih segala tugas Pengarah Urusan berkuat-kuasa serta merta. Aku sendiri kurang faham dengan hala tuju syarikat ini. Khabar angin terbaru bertiup kencang, projek terbaru kami akan ditarik balik. Samada ditarikbalik atau tidak, kedua-duanya akan memberikan implikasi yang buruk. Namun, jika ditarikbalik itu adalah lebih baik.

Aku juga mendapat khabar, menjelang tahun 2009 semua kakitangan akan dipindahkan ke Johor. Nampaknya aku akan meninggalkan juga kota ini dan membawa segala kenangan pahit manis bersama...

Wednesday, March 07, 2007

Suka! Suka! Suka!...

Ya! Aku berjaya. Kali ini aku dapat melakukan semuanya dengan baik. Bukan saja dengan baik malah aku dapat melakukannya mengikut peringkat lain. Aku melihat seseorang yang biasa mengikuti kelas bodystep, terkial-kial mengikut rentak. Timbul sedikit perasaan riak di hati. Namun aku sedar masih banyak lagi yang perlu aku pelajari.

Keseronokkan terasa apabila semua langkah-langkah dalam kelas step intermediate semalam dapat aku lakukan. NA tidak dapat hadir kerana ada perkara yang perlu diselesaikan. Semalam kelas agak penuh dan ditambah pula dengan sedikit renovasi yang dilakukan, studio terasa agak sempit. Ada beberapa orang yang baru pertama kali mengikuti kelas manakala yang lain muka-muka biasa. Aku pulang seusai kelas dan bertemu dengan Kast di ruang persalinan.

Aku membeli sedikit barang dapur sebelum terus pulang ke rumah. Pagi tadi aku menyediakan ayam goreng, macaroni goreng, puding jagung dan kek cokelat untuk dibawa ke pejabat. Sebetulnya, Isnin lepas kami mengadakan jamuan makan tapi disebabkan keletihan dari memanjat gunung hujung minggu lepas, aku langsung tidak membawa apa-apa juadah. Sebagai ganti, aku membawanya hari ini.

Tuesday, March 06, 2007

Badut II...

Aku cuba sedaya upaya, namun masih gagal. Ku lihat kiri dan kanan, semuanya sekata dan senada. Hanya aku yang masih terkial-kial. Aku seperti badut.

Semalam, buat kali keduanya aku mengikuti kelas intermediate/advance steps. Memandangkan Tahun Baru Cina sudah berlalu dengan penutupnya sabtu lepas, ramai yang hadir terutamanya orang-orang cina. Selain aku, Kak Nor dan seorang lagi, yang lain adalah cina. Tapi aku disangka cina juga oleh seseorang yang menegur aku minggu lalu. Dia menyarankan aku agar ke depan untuk memudahkan penglihatan dalam bahasa kantonis. Aku membalas dengan mengatakan aku malu dan tidak berganjak.

Seperti juga minggu lalu, aku masih lagi terkial-kial dengan beberapa langkah yang agak pantas. Namun, dengan perangsang dari beberapa ahli, aku yakin aku akan dapat melakukannya dalam beberapa bulan lagi.

Monday, March 05, 2007

Kata...

Aku menjadi gusar kerana mereka masih tidak turun untuk makan malam. Sebagai penyelaras, menjadi tanggungjawab aku memastikan setiap orang berada dalam keadaan baik dan selamat. Aku mengarahkan mizan untuk mengenjuk mereka sekali lagi. Namun hampa. Kak Ti menyusul kemudian, diikuti oleh Din. Namun tetap sama.

Makan malam diteruskan tanpa peserta-peserta wanita kerana peserta-peserta lelaki sudah lapar dan lama menunggu. Aku dengan berat hati meneruskan juga makan malam itu.

Sebenarnya, aku berada di puncak Gunung Datuk sabtu lepas. Ini merupakan salah satu aktiviti rekreasi kelab sukan syarikat tempat aku bekerja. Seramai 3 orang dari pejabat di HQ manakala 10 orang dari pejabat di Johor. Aku juga mengajak 3 lagi sahabat yang berpengalaman untuk membantu mengendalikan aktiviti ini. Aku tidak mampu melakukannya berseorangan.

Bertolak dari Kuala Lumpur dan Johor masing-masing, kami bertemu di Tol Plaza Pedas-Linggi. Berehat untuk makan tengahari sebentar sebelum bersiap sedia di kaki gunung. Tepat Jam 2.14 petang, kami mula mendaki. Cuaca agak mendung pada kali ini dan hujan sedikit selepas satu jam kami mendaki. Peserta paling awal berjaya sampai ke puncak selepas 2 jam 30 minit. Diikuti dengan yang terakhir sekitar 3 jam.

Namun, walaupun diberitahu renjer bahawa hari ini di puncak tidak ada yang berkhemah, kami dapati kawasan perkhemahan sudah penuh. Aku pun berbincang dengan mereka untuk menginjak sedikit supaya kami dapat berkhemah sama. Mujur mereka memahami dan memang sudah begitu lumrah bagi yang biasa berkhemah, sentiasa membantu sesama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Kami juga berkenalan dengan Din dan Atoi yang kebetulan hanya mendaki berdua. Akhirnya, kami berkhemah bersama dengan mereka dan juga makan bersama.

Cuaca di puncak memang baik. Redup dan sejuk. Seperti yang diharapkan, hujan tidak turun sepanjang kami berkhemah di puncak. Waktu makan malam terjadi sedikit pertelingkahan di kalangan peserta wanita akibat dari kata-kata yang hanya sekadar gurauan. Itu menjadi punca mereka dimahu ikut makan malam. Aku terpaksa biarkan saja. Selesai makan, kami naik ke puncak batu untuk menikmati pemandangan waktu malam. Bulan mengambang namun udara sejuk tanpa angin bertiup. Setelah lebih kurang sejam di sana, angin mula bertiup dan terasa dingin yang amat sangat. Kami pun turun semula ke khemah dan tidur sekitar jam 3 pagi.

Keesokkannya, waktu menyediakan sarapan, kumpulan wanita dari Johor mahu pulang lebih awal. Aku membiarkan saja. Mungkin mereka perlu bergerak lebih awal kerana perjalanan ke Johor lebih lama lagi berbanding kami yang tinggal di KL. Kami yang tinggal, meneruskan sarapan pagi dan kemudian turun ke punca mata air untuk mandi manda. Agak jauh dan curam tapi menyeronokkan. Ini adalah kali pertama aku ke situ walaupun ini adalah kali ke-3 aku mendaki Gunung Datuk. Nyaman sungguh.

Lebih kurang jam 12.30 tengahari setelah berkemas, kami pun turun dan tiba di kaki gunung sejam kemudian. Setelah membersihkan diri, kami pun bertolak pulang dan singgah untuk makan di warung cendol terkenal di Rembau. Aku tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Aku keletihan yang amat sangat.

Saturday, March 03, 2007

Makan Malam...

Malam tadi, aku makan malam bersama Ezz, Sheera, Yus dan Ajeem. Kebetulan juga semalam adalah ulangtahun hari lahir Ajeem. Yang keberapa?... Biarlah rahsia. Aku membawa mereka ke warung makanan laut yang terletak di Bukit Bintang. Ketam masak daun kari, udang mentega, lala sup, koey teow goreng, nasi goreng, wantan goreng dan sotong kangkung menjadi menu kami. Walaupun agak banyak namun habis juga dimakan. Aku agak puas hati juga dengan hidangan kali ini. Aku pasti mereka semua juga. Manakan tidak, Ezz makan ketam sehingga penuh kedua dua belah tangannya.

Aku terpaksa pulang awal kerana ada temu janji untuk menguruskan aktiviti mendaki gunung hari ini. Ezz, Sheera dan Yus terus berlegar di Bukit Bintang tatkala aku dan Ajeem beransur pulang.

Friday, March 02, 2007

Gunung Datuk...

Esok, sekali lagi aku akan mendaki Gunung Datuk. Ini merupakan kali ketiga buat diriku. Sebenarnya ini ada salah satu tanggungjawab terhadap kelab sukan yang perlu aku galas. Walaupun terasa seperti malas, aku perlu jalankan juga tanggungjawab ini.

Sepanjang minggu ini aku agak sibuk dengan tugas di pejabat selain menguruskan aktiviti mendaki ini. Agak gementar juga kerana ini adalah pertama kali aku mengatur ekspidisi mendaki untuk teman-teman sepejabat. Risau dengan reaksi mereka. Aku berharap segalanya akan berjalan dengan lancar.

Thursday, March 01, 2007

Maaf...

Tak terlintas akan begini
Ku harap tenang namun kusut jua
Hati tak pernah membenci
Hanya tak mampu berdepan memandang
Kemesraan bersamanya
Cuba mengerti fahami
Indah yang sementara masih dihati