Monday, January 28, 2008

Hujung Minggu Yang Sibuk...

Sememangnya aku tidak menjangka sama sekali, hujung minggu kali ini begitu padat dengan aktiviti selain kerja-kerja di pejabat.

Sabtu pagi bermula dengan sarapan bersama Azam di Oldtown Kopitiam. Sudah agak lama aku diajak makan bersama namun tidak pernah berkesempatan dan kali ini aku cuba juga untuk memenuhi permintaannya. Sebaik saja selesai aku terus ke rumah Hareeff kerana sudah berjanji untuk bermain badminton bersama anak-anaknya dan teman-teman. Aku bukanlah seorang pemain badminton sebenarnya. Cukup hanya membalas balik pukulan, tidak lebih dari itu. Namun, kerana aku terpaksa bermain dengan seorang ibu yang juga seorang hakim mahkamah tinggi, aku gagahi juga walaupun aku tewas kepadanya. Ternyata aku senang dengan permainan ini dan jika berkesempatan untuk bermain lagi, pasti aku akan turut serta. Buat pertama kalinya, aku berpeluh sehingga basah baju kerana sebelum ini aku memang agak payah untuk berpeluh walau berhempas pulas di gym.

Selesai bermain badminton aku terus ke pejabat Yus kerana sudah berjanji dengan Arnee dan Fadil untuk mengadakan sesi casting di sana. Kebetulan pula sedang aku menunggu, aku terima panggilan dari Jessy meminta aku casting untuk sebuah iklan baru. Hampir 2 jam di situ, waktu sudah hampir 3.30 petang aku terpaksa bergegas ke One Utama untuk mengikuti kursus asas memanjat atau 'rock/wall climbing' di Camp 5 yang dijadualkan bermula jam 4 petang. Kepayahan mencari ruang meletak kereta menyebabkan aku terlewat 15 minit. Su dan Shidi sudah berada di sana sejak awal lagi. Eddy yang tiba 10 kemudian juga mengalami masalah mencari ruang letak kereta.

di dalam Camp 5

Hampir 45 minit dibelakang jadual, kami terus diperkenalkan kepada asas-asas memanjat oleh Zack, seorang ahli dalam bidang ini yang berasal dari Australia. Selama 2 jam pertama, banyak asas-asas secara teori diajar kepada kami. Selepas dari itu, kami dibiasakan pula dengan peralatan memanjat dan akhirnya dengan langkah-langkah memanjat yang betul. Ternyata agak seronok dan teruja dengan aktiviti kali ini. Akhir kursus tamat sekitar jam 8 malam setelah kami diarahkan untuk memanjat beberapa kali. Sijil penyertaan juga diberikan.



Pertama kali mencuba

Semalam, hari ahad aku bangun sekitar jam 7.30 pagi untuk membuat sedikit kerja-kerja pejabat kerana sepanjang hari ini sehingga lewat malam aku akan berada di luar. Seawal jam 10 pagi, Shidi datang mengambil aku menuju ke The Curve untuk sessi berkaraoke. Tiba di sana, pintu masuk Redbox masih tertutup. Kami terus bersarapan di kopitiam terdekat. Selesai makan, sekali lagi kami ke Redbox, masih lagi tertutup. Aku diberitahu Ila sudah berada di sana. Rupanya kami ke pintu yang salah, Ila juga mengalami masalah yang sama. Mujur Sheera ingatkan kami. Sebaik kami masuk ke bilik karaoke, Ila sudah memilih beberapa buah lagi tetapi masing-masing seperti hilang mood untuk menyanyi. Sheera dan Yus tiba setengah jam kemudian dan sessi karaoke pun bermula. Seperti biasa, memang kami tidak pernah puas tetapi terpaksa juga pulang kerana waktu sudah tamat.

Selesai di Redbox kami menuju ke Green Apple untuk bertemu dengan Ezz dan Zaza. Pertamakalinya aku bertemu dengan Zaza, orangnya peramah dan ceria. Pertamakali juga aku makan donut di Green Apple. Memang lembut dan tidak terlalu manis. Aku dan Shidi terpaksa pulang awal kerana mahu bersiap ke Stadium Putra di Bukit Jalil untuk menyaksikan Anugerah Juara Lagu ke-22. Sebaik tiba di situ, kami lihat barisan kepintu masuk amat panjang. Mujur aku mendapat tiket VIP dan kami di tempatkan dua baris dari pentas. Fendi, Nisha dan Siti datang agak lewak menyebabkan aku agak marah kerana terpaksa menunggu lama. Walau apapun, persembahan malam itu agak mantap dan menghiburkan. Ternyata aura Mawi masih lagi utuh tatkala dia naik ke pentas, penonton bersorak sakan. Namun, kegembiraan aku adalah kerana ini...


bersama Dato' Siti Nurhaliza...

Friday, January 25, 2008

Khabar Gembira?...

Minggu lalu, aku dan teman-teman sepejabat dikejutkan dengan berita syarikat akan dijual. Masing-masing sepertinya panik dan kelam-kabut. Ditambah pula dengan kisah saham syarikat digantung urus-niaga di bursa saham. Akhirnya, semalam Datuk Pengerusi ber'suara' dan memberikan penjelasan melalui surat pekeliling dan email kepada setiap pekerja. Semua yang kabur sudah jelas dan aku hanya mengharapkan segala keputusan yang dibuat akan membawa keuntungan kepada semua pihak termasuk aku sendiri dengan harapan saham syarikat akan naik lebih tinggi...he he.

Semalam juga kami menerima sebuah khabar gembira lagi. Segala usaha aku ke Mumbai, walaupun hanya menghantar tender telah berbaloi. Kami mendapat sebuah projek yang agak besar dan yang membuat aku tersenyum lebar adalah kerana tender ini adalah dibawah peyeliaan aku. Namun tanpa kerjasama semua pihak, kejayaan ini tidak akan berhasil. Semoga aku akan bekerja lebih kuat untuk meningkatkan prestasi aku tahun ini.

Tuesday, January 22, 2008

Saintis?...

Sudah masuk minggu ketiga bulan Januari, 2008. Sedar tak sedar agak pantas masa berlalu. Sudah kembali ke alam realiti, kerja banyak menanti. Namun, rezeki masih lagi menjengah di awal tahun ini. Aku ditawarkan dua iklan walaupun hanya watak sampingan tetapi disebabkan pertembungan jadual, aku hanya mendapat satu sahaja. Kata orang jangan tamak. Mujur aku tidak terima yang satu lagi kerana penggambaran dibuat di tengah-tengah padang waktu tengahari.

Kali ini, aku menjadi saintis walaupun hanya dalam iklan, terasa puas. Untuk babak aku, ada lima orang lagi 'saintis' lain. Pertama kali aku bertemu dengan Isabelle, Alastair, Bernie, Habibah dan Nedim ketika kami hadir ke sesi fitting pakaian Rabu lalu. Ketika itu semua membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan orang lain. Penggambaran dijalankan pada hari Ahad di Green Cow Studio, Bandar Sri Damansara.

dalam makmal...

Aku dikehendaki berada lokasi seawal 7.30 pagi untuk menyiapkan diri. Sepuluh minit sebelum waktu, aku sudah berada di sana dan bersarapan sebelum bersiap untuk penggambaran. Bertemu dengan 'saintis-saintis' lain, hanya sekadar senyum. Selepas dari itu, kami berada di set untuk latihan dan seterusnya penggambaran. Dari jam 9 pagi sehinggalah selesai sekitar jam 6 petang, akhirnya kami mulai mesra dan membuat lawak sesama sendiri kerana kebosanan menunggu set diubai suai. Isabelle merupakan warga tempatan cina berdarah perancis disebelah ibunya. Alastair dan Bernie pula berasal dari UK dan bertugas di sini. Nedim dan Habibah pula merupakan warga Bosnia yang melanjutkan pelajaran di UIA. Akhirnya kami lega kerana penggambaran selesai dan kami dibenarkan pulang. Aku menghantar Nedim dan Habibah ke UIA, sementara juru mekap kami ke Kg Baru.

CSI TEAM - Isabelle, Habibah, Alastair, aku, Nedim dan Bernie...

Aku suka dengan gambar set yang diambil sewaktu penggambaran. Terasa puas...

Tuesday, January 15, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1429

Aku meraikan tahun baru hijrah kali ini di Mumbai. Niat hati untuk tinggal dua malam di sana akhir menjadi tiga malam kerana tiada tempat untuk penerbangan balik. Semenjak konsulat Malaysia dibuka di Mumbai, semakin ramai pelancong dari India ke Malaysia. Seperti biasa, ramai yang sudah memesan barangan yang hendak dibeli dan sudah sifat aku tidak mahu mengecewakan sesiapa, aku cuba juga untuk mencari walaupun hampa.


Stesen Keretapi Ville Parle


Trip kali ini membuatkan aku teruja kerana buat pertamakalinya setelah tujuh kali ke sana, aku memberanikan diri untuk menaiki keretapi menuju ke bandar. Dari hotel aku berjalan ke Stesen Ville Parle, kira kira 15 minit perjalanan. Setelah aku mendapatkan maklumat yang secukupnya, aku mendapatkan tiket dan terus ke platform 2. Walaupun waktu sudah melewati jam 10 pagi, masih ramai lagi yang berasak-asak di dalam gerabak. Aku berjaya untuk masuk juga ke dalam gerabak. Mujur ada yang berhati mulia memberikan aku tempat duduk walaupun ramai yang berdiri di dalam gerabak sebelum aku masuk. Setengah jam kemudian, aku sudah tiba di Churchgate, stesen terakhir dan terus keluar menuju ke Crawford Market. Berbanding dengan teksi yang sering aku ambil perjalanan mengambil masa satu jam dan aku terpaksa membayar sekitar RM100. Kali ini aku hanya membayar Rupee 8 bersamaan dengan 80 sen sahaja. Aku tersenyum sendirian...

Dalam gerabak bersesak-sesak...


Puas aku berpusing di sekitar bandar untuk mencari Crawford Market, lenguh rasanya. Cuaca agak panas dan sentiasa berdebu. Setelah berjalan selama satu jam, akhirnya aku menjumpainya namun barangan yang dikehendaki tidak ada disitu. Aku terus mengambil teksi menuju ke Colaba Causeway kerana di situ ada barangan yang aku mahu. Setelah mendapatkan apa yang aku kehendaki aku terus ke stesen Churchgate semula untuk pulang ke hotel. Sepanjang jalan dari stesen Ville Parle ke hotel aku tersenyum lagi. Manakan tidak, setelah sekian lama aku membayar ratusan ringgit untuk ke tempat yang sama, hari ini aku hanya membayar 80 sen sahaja. Puas hati aku.


Keesokannya, sekali lagi aku merayau sekitar Mumbai Utara ke sebuah shopping kompleks di sana. Ini juga kali pertama aku menjejakkan kaki ke sebuah shopping kompleks di sana. Aku mendapatkan maklumat dari hotel namun disarankan untuk mengambil teksi kesana. Sebaik keluar dari hotel, aku menaiki bajaj atau lebih kurang tuk-tuk di Thailand itu untuk ke Inorbit. Agak jauh juga dan aku terpaksa membayar Rupee 200 untuk perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku berlegar-legar di sekitar kompleks itu selama 3 jam walaupun ia hanay sebuah kompleks yang kecil. Waktu pulang semula ke hotel, aku mendapatkan maklumat ke stesen keretapi yang terdekat. Ternyata aku hanya perlu membayar bajaj Rm1.70 untuk ke stesen Goregoan dan 40 sen untuk ke Stesen Ville Parle. Sekali lagi aku tersenyum lebar.


Setibanya di hotel aku berehat sebentar sebelum terus ke airport. Aku sudah daftar keluar sejak jam 12 tengahari lagi. Selalunya, aku akan dibawa dengan kereta hotel untuk ke airport tetapi aku terkejut kali ini aku menaiki sebuah bas hotel dan hanya aku seorang sahaja penumpang di dalamnya. Seperti biasa, penerbangan balik pada jam 12 tengahmalam dan aku terpaksa menunggu 6 jam lagi sebelum berlepas. Letih rasanya....

Tuesday, January 08, 2008

Lagi-lagi Mumbai...

Sudah seminggu menjengah tahun baru. Aku kesibukan dek tugas-tugas di pejabat namun aku masih lagi sempat menghadiri satu sesi casting untuk dua iklan yang berlainan di tempat yang sama. Kerja-kerja di pejabat hampir siap. Aku berkerja pada hari Sabtu dan malamnya aku menonton 'Atonement' bersama Am di KLCC.

Ahad, aku berkaraoke dengan Joe dan Fendi di Pavilion dan menonton 'Warlords' setelah puas menyanyi walaupun sebenarnya masih lagi belum puas. Sebelum itu kami sempat menjamah donut 'Jco' yang menjadi kegilaan ramai.

Aku dijadualkan ke Mumbai lagi malam nanti. Aku berjaga sepanjang malam tadi untuk menyiapkan sedikit lagi kerja-kerja pejabat. Sekali lagi aku terpaksa berada lebih lama di sana kerana penerbangan pulang penuh.

Tuesday, January 01, 2008

Selamat Datang 2008...

Semalam, aku meluangkan masa menyambut Tahun 2008 bersama teman-teman. Semua teman-teman rapatku ada bersama dan aku terasa sungguh gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar. Aku menyediakan spaghetti bolognaise selain pencuci mulut yang lain. Sheera dan Yus pula membawa ayam goreng dan apple struddel. Sedap. Arm dan Mad Nor membawa aiskrim seperti biasa. Fendi yang membawa kek datang bersama Joe yang sempat pulang dari London selain Peet, Ajeep dan seorang teman. Ajeem juga bergegas ke rumah sebaik tiba dari Bandung. Ezz, Shidi dan Ila juga ada. Mujur makanan yang disediakan cukup dan tidak berlebihan. Sebaik menjelang tahun baru, kami mengadakan sessi bertukar-tukar hadiah. Seronok dengan gelak- tawa teman-teman.

Diam tak diam tahun 2007 sudah meninggalkan kita. Menoleh kebelakang, banyak perkara yang tidak disangka berlaku dalam hidupku. Antaranya, menyambung pelajaran dan juga terbukanya peluang aku terlibat dengan bidang pengiklanan.

Sepanjang tahun lalu aku kerap ke Mumbai atas urusan kerja. Dalam perkiraan aku lebih dari lima kali, sehinggakan aku terpaksa menyambut Hari Raya Haji di sana. Aku juga berpeluang ke Perth sekali lagi dibulan Mei. Aku juga sempat bercuti ke Bangkok sekali lagi bersama-sama Nurul, Eddy, Bad dan teman-teman yang lain pada bulan Julai. Impian aku untuk ke Pulau Perhentian juga tercapai dalam bulan September bersama Eddy dan Bad serta teman-teman. Setelah hampir 9 tahun, aku berjaya mendaki Gunung Tahan sekali lagi buat kali ketiga.

Tahun 2007 juga, aku ada membeli beberapa barangan yang menjadi idaman aku antaranya komputer riba dan juga sebuah kamera.

Semoga tahun 2008 lebih membawa sinar yang lebih baik dari segi kerjaya atau pun peribadi.