Saturday, November 14, 2009

Kembara 2009

Kali terakhir aku menulis sekitar bulan Ogos lalu. Sekarang ini sudah menghampiri pertengahan bulan November. Sepanjang kehilangan aku dari blog ini, aku buat kali pertamanya menjelajahi benua Eropah setelah sekian lama berangan-angan untuk ke sana. Mujur ada AirAsia X yang menyediakan penerbangan tambang murah ke London dan kesempatan ini tidak aku lepaskan sebaik saja diajak seorang teman.

London : Tower Bridge

Perjalanan kali ini kami seramai 8 orang menjelajahi 4 negara iaitu UK, Peranchis, Italy dan Netherlands. Kami singgah di London, Amsterdam, Paris, Venice, Florence dan Rome. Sempat juga kami melawat ke Vatican City yang penuh bersejarah.

Paris : Eiffel Tower

Selama 17 hari aku merantau, banyak tempat yang menarik aku pergi. Disneyland Paris, London Eye, Madame Tussauds, London Bridge, Buckingham Palace, Museum de Lourves, Chateau de Versailles dan macam-macam tempat lagi yang sememangnya tidak dapat aku lupakan.

Kami sempat juga berkenalan dengan teman-teman baru Hani, Jeril, K, Nik Mohsein, Nizam, Dzuhir, Hanom dan Iskandar di London. Insya'allah jika ada rezeki yang lebih, aku mahu kesana lagi tetapi ke negara Eropah lain pulak.
Banyak lagi yang aku ingin ceritakan.. tapi kemalasan...

Friday, August 28, 2009

Kembali Sekali Lagi...

Pejam celik, pejam celik, sudah tiba ke akhir bulan Ogos dan bulan Ramadhan sudah masuk hari ke-tujuh. Sememangnya sudah agak lama aku tidak menulis di sini. Semua kerana kemalasan dan kecenderungan bermain facebook kebelakangan ini. Sejak dari pertengahan bulan Mei sehingga sekarang ini, agak banyak juga aktiviti yang telah aku sertai. Disamping itu aku juga telah selesai dengan pengajian buat semester Mei ini.
Baru-baru ini aku sempat ke Air Terjun Berkelah dengan rakan-rakan sepejabat. Perkhemahan semalaman di sana agak menyeronokkan sehinggakan ada yang mahu kesana sekali lagi. Sekali lagi pada tahun ini aku mendaki Gunung Kinabalu buat kali kedua. Mungkin kerana persediaan yang agak baik sebelum pendakian, aku tidak menghadapi banyak masalah kecuali berasa sedikit pening setelah turun dari puncak gunung.
Buat pertamakalinya, aku menaiki Bukit Broga di Semenyih berdekatan dengan Kajang. Suatu bukit yang agak berlainan dengan hanya lalang yang tumbuh di puncak bukit. Sememangnya mengkagumkan. Bersama-sama teman gim, aku sempat meluangkan dua malam bersama mereka di Cherating sebelum ke Temerloh memetik buah-buahan di kampung Ariza, rakan sekerjaku.

Minggu lalu aku sempat ke Bangkok untuk menyaksikan teater muzikal 'Mamma Mia' atas jemputan Sukri dan sudah tentu tiket ditanggung olehnya.


Sepanjang bulan Jun dan Julai merupakan musim durian dan ternyata aku puas dapat merasainya terutama yang diberi secara percuma. Selain itu juga terdapat banyak buah manggis dan rambutan.



Bulan puasa ini tidak banyak aktiviti yang dirancang. Selain persediaan menyambut hari raya Aidil Fitri, aku juga bersiap untuk melancong ke Eropah bermula pada hari raya ke-empat selama tiga minggu. Harapanku semua akan berjalan dengan lancar. Awal bulan November aku akan pulang semula ke Pasir Gudang setelah selesai kerja di Kuantan ini.

Monday, May 18, 2009

Futsal, Gua Tempurung, Sungai Kampar dan Sebuah Majlis Harijadi

Cadangan gila-gila dari teman rapat akhirnya membawa kami semua bermain futsal Jumaat yang lalu. Bertempat berhampiran Extreme Park Sunway Lagoon, tepat jam 8.30 malam kami bertolak ke situ. Aku pernah bermain futsal dengan teman-teman sekerja beberapa tahun lalu. Aku tahu ia pasti memenat kerana ia memerlukan stamina yang tinggi.

Seramai 12 orang teman-teman rapat yang muncul untuk bermain. Walaupun terasa penat pada mulanya, namun ketika saat-saat akhir masih ramai lagi yang mahu terus bermain. Dengan itu, timbul cadangan untuk bermain sekali lagi di masa akan datang.

Keesokkanya, aku sudah bersiap sedia untuk menyertai ekspidisi Gua Tempurung dan seterusnya bermain water rafting di Sungai Kampar. Pertama kali aku ke Gua Tempurung terasa seronok juga kerna selain meninjau dalam gua itu, kamu juga meredah jalan sungai di dalam gua itu.

Setelah meneroka gua selama 2 jam, kami terus ke Sungai Kampar untuk makan tengahari sebelum terus ke sungai untuk menaiki raft. Buat pertamakali, hujan turun waktu taklimat diberikan. Sebelum ini hanya sekali sahaja sepanjang penyertaan aku dalam bermain raft ini, hujan di penghujung perjalanan. Kali ini seawal permulaan, kami sudah kesejukkan dan paras air ternyata agak tinggi dan deras. Namun, aku merasakan Sungai Slim di Tanjung Malim lebih mencabar.

Ahad pula kami sudah merancang untuk meraikan ulangtahun hari lahir Ahmad yang jadi pada Sabtu depan seminggu awal. Memandangkan beberapa orang teman tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh sebenarnya dan juga kerana Ahmad sendiri tidak berada di KL. Setelah hampir seminggu merancang dan membahagikan tugasan, majlis berjalan dengan berjaya dan meriah sekali. Ahmad juga ternyata sangat terkejut dengan majlis yang diadakan khas untuk. Aku hadir agak lewat kerana emosi terganggu sedikit walaupun dikatakan masalah yang remeh, namun pada aku, ia tidak remeh. Niat hati mahu saja batalkan hajat meraikan bersama mereka tetapi aku tidak sampai hati. Aku pergi juga walaupun setelah kejutan dilakukan.

Minggu depan aku akan menjadi pelajar semula kerana semester baru sudah bermula. Semoga aku akan belajar dengan lebih tekun dan gigih.

Wednesday, May 13, 2009

Langkawi, Bangkok, Gunung Yong Belar, Yogjakarta, Water Rafting....

Diam tak diam, sudah hampir 4 bulan aku tidak menulis di sini. Ya, kemalasan mengatasi segalanya. Namun, aku sempat juga menyertai berbagai aktiviti beriadah dan bercuti sepanjang tempoh kemalasan ini.


Bermula dengan percutian pertama kalinya ke Pulau Langkawi, pendakian ke Gunung Yong Belar, ke Kota Bangkok, beberapa kali mengikuti water rafting dan terakhir sekali berlibur bersama teman-teman ke Yogjakarta.


Tahun ini, buat pertamakalinya dalam sejarah hidup aku, aku bercuti ke Pulau Langkawi bersama teman-teman. Selama dua malam di situ, tidak banyak yang menarik perhatian aku kecuali cokelat yang murah. Cuacanya agak panas membuatkan aku kurang selesa. Namun, sempat juga kami menaiki cable car ke Gunung Mat Cincang untuk menikmati pemandangnya yang menarik di situ.


Awal bulan March, aku ke Bangkok bersama Arm dan Azmi. Kesempatan ini aku ambil untuk berjumpa dengan Moss yang pernah berkerja dengan aku sewaktu di Bangkok dulu. Masih lagi kurus dan cantik seperti dulu. Kali terakhir aku berjumpa dengannya pada tahun 2003, kemudian dia telah berkawin dan mendapat seorang anak perempuan. Aku mendengar melalui teman-teman yang lain dia sudah bercerai dengan suaminya selang setahun kemudian dan lebih tragis lagi, anak perempuannya meninggal akibat lemas di dalam kolam. Aku juga sempat berjumpa dengan Sukri dan dibawa berputar-putar sekitar kota Bangkok dan menikmati makan malam buffet muslim buat pertamakalinya di daerah Ramkhamhaeng.


Selang dua minggu, aku mendaki Gunung Yong Belar bersama rakan-rakan Jejak Alam. Seramai 12 orang menyertai ekspidisi kali ini. Ternyata laluan ke Yong Belar lebih mudah berbanding beberapa gunung lain yang pernah aku daki. Ketibaan kami di puncak gunung di sambut dengan hujan yang lebat dan angin kencang. Sememangnya sejuk tetapi aku berasa puas setelah sekian lama tidak mendaki gunung. Perjalanan ke puncak mengambil masa 2 hari dan sehari untuk pulang.


Terakhir, aku ke Yogjakarta bersama Andy, Sham, Faizul, Dimas dan Izat. Puas hati rasanya tercapai cita-cita mahu melihat sendiri Candi Borobudur yang terkenal dalam sejarah. Selain itu kami juga ke Candi Prambanan serta menyaksikan dramatari Ramayana serta berkunjung ke Istana Sultan Hamengku Wibowo ke 9. Sememangnya seronok bersama teman-teman yang agak gila-gila sedikit perangai masing-masing.


Bulan Jun ini aku akan mendaki Gunung Kinabalu sekali lagi dan Insya'allah, bulan September nanti aku akan berjalan jauh. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.







Tuesday, January 27, 2009

Water Rafting, Tutorial dan AJL 23...

Sememangnya bulan ini agak padat juga hujung minggu aku dengan pelbagai aktiviti. Selalunya aku menghabiskan masa dengan beriadah di gim dan berjumpa dengan teman-teman untuk bertanya khabar.

17hb lalu, sebagai aktiviti lasak luar yang pertama tahun ini, aku mengikuti rombongan ber 'water rafting' di Sungai Slim, Perak. Perjalanannya lebih kurang sejam setengah sahaja dari Kuala Lumpur. Seramai 15 orang yang menyertai aktiviti kali ini. Sememangnya menyeronokkan berbanding 2 lagi sungai yang pernah aku lalui sebelum ini.

Keesokkannya, aku menghadiri tutorial pertama untuk semester ini. Semester lalu pencapaian aku agak baik walaupun aku merasakan peperiksaan akhir agak mencabar. Kembali semula ke Shah Alam setelah satu semester aku berada di Johor Baru, agak janggal juga kerana ramai muka-muka baru walaupun ada yang aku sudah kenal sebelum ini.

Malamnya aku bergegas ke Stadium Putra untuk menyaksikan Anugerah Juara Lagu ke 23 secara langsung sebaik pulang dari kelas. Sememangnya agak letih tetapi persembahan pada tahun ini agak baik berbanding tahun lepas membuatkan aku teruja. Selesai anugerah aku ikut menyertai 'post party', sayangnya ramai peserta sudah pulang atau tidak muncul di acara akhir itu.

Wednesday, January 07, 2009

Tahun Baru 2009

Tahun Baru 2009 diraikan di Bandung bersama Sheera dan Ijan selain Kareem dan guide kami, Vino. Penerbangan yang sepatutnya ke Bandung akhirnya di tukar ke Jakarta dan mengambil teksi terus ke Bandung pada malam Tahun Baru.

Selama empat hari di sana, kami sempat melawat ke Tangkuban Parahu, Sari Ater Hotspring dan membeli-belah. Kebetulan Ijan mempunyai rakan keluarga, maka pada hari pertama di sana, kami di jamu makan tengahari di restoran makanan laut, Parit 9. Sememangnya memuaskan hati. Selain itu sempat juga merasaikan makanan Sunda di Restoran Sambara, makanan Acheh di Gampoeng Acheh, makan malam di Kampung Daun, makan tengahari di Kedai Makan Berebus dan tidak lupa makan tengahari di Kartika Sari.

Perjalanan agak memenatkan kerana jalan agak sesak. Juga aktiviti berlarutan dari awal pagi sehingga lewat tengah malam. Kami berendam di kolam air di Sari Ater Hotspring sekitar tengah malam setelah puas membeli-belah di Rumah Mode. Sempat juga ke kelab hiburan untuk memenuhi pemintaan Sheera.

Seperti yang dijangkakan, kami pulang dengan lebih muatan. Sheera membeli sebuah beg baru saiz lebih separuh dari ketinggiannya. Ternyata dia juara. Aku hanya membeli beberapa helai tshirt dan pakaian untuk kegunaan di gym.

Penerbangan pulang tertunda selama hampir dua jam setengah. Kami yang sememangnya letih sudah tidak sabar lagi mahu pulang ke tanah air, akhirnya menaiki pesawat jam 8.20 malam dan tiba sekitar jam 11.30 malam. Aku terus meninggalkan Sheera dan Ijan yang masih lagi mahu membeli sesuatu di kedai bebas cukai.

Tiba di rumah, aku masih lagi perlu menyiapkan sedikit tugasan yang perlu dihantar kepada bos aku awal keesokkan paginya. Aku tidur sekitar jam 3 pagi.

Oh! Ya.. agak lama aku menghilangkan diri dan tidak mengemas-kinikan blog ini. Bukan apa..cuma sedikit kemalasan. Namun, sepanjang waktu itu ada berbagai aktiviti yang aku lakukan dan juga berbagai peristiwa yang terjadi. Antaranya, terjalinnya semula persahabatan yang terputus selama hampir 2 tahun. Namun, aku akan tutup semua buku 2008 dan terus berjalan di tahun baru ini. Semoga kehidupan aku, keluarga dan teman-teman semua akan menjadi lebih sempurna dan bermakna.