Tuesday, October 30, 2007

Siti, Situ, Sana, Sini...

Musim rumah terbuka sudah tiba. Hari Sabtu lalu saja aku mendapat tiga jemputan. Masing-masing di Setiawangsa, Shah Alam dan Bukit Antarabangsa. Disebabkan ketiga-tiga bermula waktu malam, aku hanya sempat ke rumah Eddy di Setiawangsa dan Joe di Shah Alam. Rumah terbuka Othman tidak dapat aku sertai kerana sudah lewat dah hanya diberitahu petang hari sabtu.

Aku terpaksa memakai kurta yang dibeli di Mumbai bulan lalu kerana baju melayu aku agak besar kerana aku semakin kurus sejak puasa lalu. Terasa seperti 'over' la pulak tapi aku buat bodoh saja. Sepatutnya Ajeem, Nurul dan Shay mengikut aku tetapi hanya Shay saja yang menemankan aku akhirnya. Ada masalah komunikasi dengan Nurul, mungkin dia merajuk agaknya.. he he he. Ajeem pula terlewat kerana beraya di rumah temannya. Aku mengambil Shay di rumahnya sebelum sama-sama ke rumah Eddy. Ramai teman-teman yang aku jumpa di sana. Terdapat juadah raya yang biasa seperti rendang, sate dan mee goreng.

Bertolak dari Setiawangsa, aku terus ke Shah Alam bersama Ajeem dan Shawn. Kami tiba agak lewat dalam jam 11 malam. Tidak lama duduk di situ, selesai makan, kami pulang. Aku ke rumah Joe kerana keesokkannya Joe akan terbang ke London untuk menyambung pelajarannya. Makanan yang dihidangkan berupa nasi lemak berserta lauk dan nasi impit bersama kuah kacang. Pedas sungguh.

Ahad pula, Azizul akan bersanding dan kami semua sudah sepakat untuk pergi beramai-ramai. Aku, Fadhil dan Zue menumpang kereta Sue. Kami tiba agak awal di Ulu Langat dan sebaik saja kami tiba, Azizul tiba untuk bersiap menukar pakaian pengantin berdekatan dengan rumah pengantin perempuan. Kami pun menemaninya walaupun perut agak lapar. Lebih kurang sejam bersiap, kami pun berarak sama dengan rombongan pengantin lelaki. Sebaik saja pengantin bersanding, kami terus menuju ke khemah jamuan dan apa lagi, aku sendiri makan dua pinggan nasi.

Cadangan asalnya setelah selesai kenduri hendak ke Air Terjun Sungai Gabai yang terletak tidak jauh dari rumah pengantin perempuan. Lebih kurang 15 minit berjalan kaki saja sudah tiba. Tapi ada lagi kejutan rumah terbuka Ina yang diberitahu disaat-saat akhir. Kami terus ke rumah Ina manakala yang lain ke Air Terjun Sungai Gabai dahulu sebelum ke rumah Ina di Taman Melati.

Di rumah Ina kami dijamukan dengan Laksa, Mee Hoon goreng ala cina dan melayu serta kuih raya. Sekitar jam 6 petang, kami pun pulang. Shidi pula mengajak aku keluar. Aku temankannya ke Pavillion untuk membeli-belah. Kami singgah di Haagen Dazs untuk makan ais krim sebelum pulang.

Letih sungguh....

Thursday, October 25, 2007

Terhibur...

Aku menyaksikannya pada hari kedua pementasan. Memang tiket sudah siap dibeli awal-awal lagi kerana aku tidak mahu ketinggalan seperti waktu pementasan PGL dulu. Aku hanya membeli tiket RM80 dan memandangkan aku masih boleh dianggap pelajar, aku mendapat diskaun 20%. Jadi tiket aku berharga RM68 sahaja. Walaupun tempat duduknya agak ketepi sedikit, namun ia agak dekat dengan pentas. Lebih menyeronokkan aku dapat beranjak ke tempat duduk yang lebih selesa kerana minggu pertama banyak tiket yang diberikan kepada penaja tidak terisi. Jadi berbaloi aku membeli tiket RM80 dan duduk di kerusi RM120.

Pementasan kali ini memang bagus walaupun ramai yang membandingkan dengan PGL,namun pada pandangan aku ia adalah dua teater yang berbeza. Berbeza era, berbeza cerita, berbeza karektor. Memang tidak aku nafikan, aku teruja untuk menyaksikan Siti Nurhaliza beraksi dalam teater pertamanya. Aku rasakan itu persembahan yang terbaik dari beliau berbanding dengan iklan 'OLAY' yang memang kaku dan tidak 'natural'. Nyanyiannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dari keseluruhannya, aku lebih tertarik dengan persembahan Atilia. Sesuatu yang segar dan lakonannya juga amat baik. Liza Hanim memang seorang pelakon yang bagus dan nyanyiannya seiring. Tugas paling besar sudah tentu digalas oleh Sean Ghazi dan aku pasti dia sudah lakukan yang terbaik. Namun ada ketika Sean terlepas que sewaktu menyanyi. Lakonan Melissa Saila juga mantap tetapi mungkin lebih baik untuk beliau berdialog sahaja tanpa menyanyi. Suaranya menjadi parau dan serak dan 'pitching' nya sentiasa lari.

Lagu-lagu baru yang diselang-selikan dengan lagu-lagu P Ramlee memang menarik. Melodinya menangkap di telinga walaupun pertama kali mendengarnya. Pertama kali aku mendengar nyanyian Atilia, aku rasakan semacam terbuai dengan suaranya.

Kali ini aku perhatikan ramai penonton bukan melayu yang hadir. Tidak pasti kerana gahnya nama P Ramlee sebagai seniman agung atau gahnya nama Tiara Jacquelina sebagai penerbit teater yang mantap. Cuma aku rasakan penonton malaysia masih lagi lokek untuk menunjukkan aprisiasi terhadap persembahan ini. Masih sukar untuk bertepuk tangan. Yang nyata setelah selesai pementasan, sewaktu pengenalan pelakon, Siti Nurhaliza mendapat tepukan paling gemuruh. Peminat-peminat Siti agaknya...

Tuesday, October 23, 2007

Hari Raya 2007...

Pada aku, hari raya tidak ada bezanya dengan hari-hari biasa. Cuma ada ketupan rendang dan solat hari raya dan dapat cuti panjang.

Seperti biasa, raya kali ini juga aku hanya ke rumah abang yang terletak berdekatan dan aku sudah mula berpuasa enam pada hari kedua. Joon Meng datang ke rumah pada hari pertama bersama keluarganya. Dia merupakan teman sedarjah semenjak tingkatan 3. Hari-hari lainnya aku hanya menghabiskan masa menonton tv.


Aku pulang ke KL setelah 4 hari bercuti di kampung. Aku harus pulang awal kerana perlu menyiapkan tugasan yang mesti dihantar hujung minggu itu. Dalam kesibukan beraya itu, aku sempat juga selesaikan satu tugasan walaupun aku kurang pasti samada betul atau tidak. Mujur satu lagi tugasan diberi lebih masa oleh pensyarah.


Mungkin rezeki hariraya, aku mendapat lagi satu tawaran iklan tetapi masih lagi mendapat 'bapa' tetapi kali ini dengan LIMA orang anak. Penggambaran mengambil masa sehari bertempat di Kg Sungai Kembung, Pulau Indah. Sehari suntuk hujan dan kami terpaksa menunggu sehingga petang sebelum mula penggambaran untuk lokasi luar. Mujur dapat diselesaikan dalam satu hari.

Aku didepan rumah yang menjadi lokasi penggambaran.

'Keluarga' ku - Ayah, Mak, Isteri serta anak-anak

Terlupa...

Aku betul-betul terlupa kali ini walaupun sudah pastikan dengan Yus dan mengingatkan diri aku sehari sebelum tarikh itu tetapi aku terlupa juga. Jadi dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan 'Selamat Ulang Tahun' pada Sheera yang aku terlupa hari lahirnya itu.



Jadi, untuk tidak menghampakannya, Aku mengajak Yus, Mad Nor, Shidi, Nurul untuk makan bersama di Chilis, KLCC sebaik aku pulang ke KL dari cuti raya. Sekali lagi, Selamat Ulang Tahun yang ke *1 dan semoga panjang umur dan murah rezeki.

Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya...

Dikesempatan ini, buat keluarga dan teman-teman semua aku ucapkan...

Raya Bollywood?...

Penerbangan dari Mumbai berlepas hampir setengah jam lewat dari yang dijadualkan. Walaupun penerbangan balik hanya pada jam 11.30 malam, aku sudah daftar keluar dari hotel sekitar jam 5 petang kerana sehingga waktu itu sahaja aku diberi pelepasan percuma. Jika lebih lama lagi aku perlu membayar separuh harga. Jam 6 petang aku dihantar ke lapangan terbang Chhatrapatti dan aku berbuka di situ dengan hanya memakan roti kosong and sebotol jus oren. Sekitar jam 7 petang, aku diminta untuk daftar masuk dan mujur kali ini aku dapat kelas busines kerana kelas ekonomi sudah penuh. Sebagai penumpang kelas busines, aku dapat masuk ke Clippers Lounge sementara menunggu tibanya waktu penerbangan secara percuma.

Kali ini, walaupun lawatan yang hanya semalam saja di Mumbai, aku sempat membeli dua helai kurta siap dengan kasutnya sekali. Sebelum kesini, aku sudah nekad tidak mahu membeli apa-apa kerana itu aku tidak langsung membawa wang saku lebih. Namun, setelah aku berjalan-jalan di satu kawasan yang tidak jauh dari hotel, aku dapati banyak barangan yang menarik minat aku. Tapi aku hanya membeli kurta itu saja memandangkan aku tidak membeli baju melayu tahun ini. Jadi tahun ini, bergaya bollywood lah...


Aku tiba di KLIA lebih kurang jam 7.30 pagi dan terus mengambil ERL ke KL Sentral dan seterus ke pejabat kerana aku tinggalkan kereta di sana. Separuh hari di pejabat, aku pulang kerumah kerana mengantuk. Lewat petang Ajeem ajak berbuka bersama di Nailis tetapi apabila tiba waktunya, aku diberitahu Nailis tutup. Dalam waktu hampir berbuka, aku hanya memakan maggi mi yang senantiasa aku sediakan untuk waktu-waktu begini. Dalam jam 10 malam aku keluar bersama Am dan Azam untuk minum di Oldtown kopitiam. Aku makan habis-habisan waktu ini.

Sunday, October 07, 2007

Santai...

Sabtu lalu, aku ke rumah Ajeem untuk berbuka. Selain aku, NA, Sheera dan Yus juga dijemput sama. Ada juga tetamu-tetamu lain yang aku sendiri tidak kenali. Rasa janggal berada di situ tidak lama kerana ada seorang rakan Ajeem yang terlebih peramah dan menjadikan suasana riuh-rendah setelah berbuka.

Konsep berbuka kali ini ala 'pot luck' dan masing-masing membawa juadah samada dimasak sendiri ataupun dibeli. Aku membawa lemang, ketupat palas dan rendang tok. Beli saja di the Mall. NA pula memasak Udang masak lemak dan ayam masak merah yang teramat pedas... he he he. Sheera membawa pencuci mulut berupa cheesecake yang kurang keras kerana tidak sempat untuk diletak dalam peti sejuk tetapi habis dimakan.

Kebetulan pula hari itu juga merupakan ulangtahun hari lahir teman serumah Ajeem, Faris. Pertama kali aku berjumpa dengan dia dan ketika hendak pulang barulah aku tahu namanya. Faris membawa keknya sendiri... he he he. Kami banyak berbual dan hampir jam 10 malam aku dan NA beredar kemana lagi kalau tidak ke Oldtown Kopitiam. Berborak lagi di sana sebelum kami pulang kerumah.

Aku bangun hampir jam 10 pagi dan terus mengemas rumah. Seharian aku tidak kemana-mana. Terasa begitu relaks dan santai sekali. Niat aku hendak membincangkan tentang tugasan aku tidak kesampaian kerana Ariff mempunyai rancangan lain. Aku hanya keluar rumah untuk membeli juadah berbuka sekitar jam 6 petang. Dan sehingga sekarang ini, aku terperuk di depan komputer untuk menulis. Terasa mengantuk pula...

Thursday, October 04, 2007

Menjelang Raya...

Diam tak diam, sudah lebih 20 hari berpuasa. Semakin hampir untuk menyambut raya, semakin terasa letih berpuasa. Kebetulan juga cuaca agak panas beberapa hari ini. Minggu ini agak kerap aku berbuka di luar. Sejak dari hari Ahad, aku hanya berbuka sekali sahaja di rumah sendirian.

Setelah berbulan-bulan lamanya, akhirnya aku berkesempatan untuk menziarahi makcik di Ara Damansara. Tujuan utama juga untuk mendapatkan kuih raya yang ditempah teman-teman walaupun pada asalnya aku tidak berniat mahu menjual tetapi disebabkan ramai yang bertanya maka aku turutkan saja. Aku ke sana setelah selesai kelas pertama kerana ada waktu lapang sebelum kelas yang seterusnya. Kelas petang ada kuiz dan aku rasa aku gagal kali ini. Harap-harap kuiz kedua nanti aku akan buat yang lebih baik.

Selesai kelas sekitar jam 5, aku terus pulang kerana ada majlis berbuka bersama Jejak Alam. Aku teruja untuk pergi kerana setelah sekian lama, aku dapat berjumpa semula dengan Kak Lang dan Nana, antara orang yang paling awal menjadi ahli Jejak Alam. Memang banyak cerita yang dikongsi sepanjang berbuka dan tidak kering gusi mengenangkan gelagat teman-teman.

Isnin aku berbuka di rumah saja dan berterawih bersama Ariff sebelum minum di Oldtown Kopitiam. Selasa pula, Azlan yang juga bekas rakan sekerja mengajak aku, NA, Fendi dan Arman untuk berbuka. Kami ke Restoran Rasa Sayang di Jalan Yap Kwan Seng. Mujur Azlan yang belanja. Semalam, aku berbuka di Shangri La atas jemputan NA. Kenyang sungguh.

Malam ini, Joe mengajak untuk berbuka di Kelana Jaya Seafood manakala esok pula, aku akan berbuka di Nikko Hotel atas jemputan NA juga. Aku sudah mulai muak dengan makan buffet. Tidak pasti samada aku mahu pergi atau tidak. Tengoklah macamana nanti.