Thursday, May 31, 2007

Forum...

Selasa lepas, aku seperti biasa pergi ke gym untuk kelas kegemaran aku. Aku mengikuti kelas intermediate steps dan sejam kemudian kelas basic steps. Kelas basic steps lebih menarik kerana kami berkongsi board.

Selesai gym, aku terus pulang. Aku memeriksa myLMS. Ternyata sudah banyak respons di forum. Aku perlu mengaktifkan diri dalam forum kerana ia akan memberi sedikit markah untuk peperiksaan akhir nanti. Disamping itu, aku dapat berkenalan dengan rakan-rakan pelajar maya.

Tugas di pejabat semakin bertambah. Aku sebenarnya diminta oleh boss untuk ke Perth minggu depan tetapi rakan sepejabat aku yang belum pernah kesana teringin untuk pergi. Aku membiarkan saja. Aku tidak teruja sangat untuk kesana kerana ada tugasan OUM yang perlu aku siapkan. Mungkin aku akan ke Mumbai lagi selepas ini.

Tuesday, May 29, 2007

Tugasan...

Aku membuka myLMS pagi semalam. Iya, ternyata sudah ada tugasan yang perlu aku buat. Dua tugasan untuk dua subjek yang aku ikuti semester ini. Satu di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan satu lagi diberi pilihan samada bahasa Malaysia atau Inggeris. Setelah aku amati, realitinya mula timbul. Bukan mudah untuk menyelesaikan tugasan ini tetapi aku perlu sematkan azam yang tinggi. Aku perlu mendapatkan markah yang tinggi untuk semester ini kerana subjek yang aku ambil boleh dikira sebagai mudah.

Kerja-kerja di pejabat pula semakin bertambah. Kadang-kala aku hairan kerana sewaktu aku belum bergelar pelajar semula, tidak banyak kerja yang perlu aku lakukan. Setelah aku mendaftar dengan OUM, tiba-tiba kerja menjadi semakin banyak. Mungkin ini dugaan agaknya. Aku harus kuat.

Malam tadi aku ke gym. Setelah hampir sebulan tidak mengikuti kelas intermediate/advance, akhirnya semalam aku kembali semula. Rasanya pergerakan aku bertambah baik. Hampir separuh pergerakan yang dibuat aku dapat ikuti. Ramai juga yang bertanya kerana aku sudah lama tidak hadir ke kelas itu.

Selesai gym, aku terus pulang dan membuat sedikit ulangkaji sebelum aku terasa begitu mengantuk sekali dan terus tidur.

Monday, May 28, 2007

Hampa...

Aku hanya pulang dengan tanya kosong. Hampa... Yang dapat hanyalah kenangan dan pengalaman yang menyeronokkan. Inilah pertama kali aku menyertai acara mencari harta karun anjuran Kiwanis. Walaupun aku pernah dulu menyertai acara sebegini anjuran majikan aku dulu tetapi kali ini lebih payah dan tidak semudah yang disangka.

Kami mula melekatkan segala pelekat pihak penaja yang diberikan kepada kami pada malam Jumaat lalu. Unie, Nisa dan Arniee singgah ke rumahku untuk makan malam dahulu sebelum memulakan tugasan. Hampir jam 12 tengahmalam, barulah selesai segala pelekat dihiaskan pada kereta aku. Kami juga perlu berada digarisan pelepasan seawal jam 6 pagi tapi seperti kebiasaannya, Unie lewat. Kami hanya berada di sana sekitar jam 6.45 pagi. Aku yang sudah bangun jam 4 pagi untuk menyediakan 'sandwich' dan ayam goreng terasa begitu mengantuk sekali sementara menunggu ketibaan mereka.

Perjalanan bermula dari Kelana Jaya Seafood dan membawa kami melewati Subang Jaya, Banting, Morib, Seremban dan akhir sekali di Melaka. Soalan-soalan yang diberi begitu susah sekali dan kami menghadapi masalah dari soalan pertama lagi. Namun kami mencuba sedaya upaya dengan kesedaran bahawa ini adalah kali pertama kami. Akhirnya, walaupun dengan jawaban yang tidak lengkap, kami harus menghantar kertas jawaban tepat 8 jam dari garis permulaan. Kami tiba di Mahkota Hotel jam 3.45 petang. Kami terus menyerahkan kertas jawaban dan harta karun yang diminta dan terus 'check-in' ke bilik hotel. Aku begitu mengantuk sekali dan terus tidur sebentar.

Malam itu, kami diraikan dengan jamuan makan malam ala cina. Terdapat cabutan bertuah dan juga jawaban kepada semua soalan dibentangkan. Ternyata kami hanya mampu menjawab dengan betul kurang dari 10 soalan sahaja. Selesai makan malam, Unie mengajak kami keluar bersiar-siar dengan teman sekolahnya dan kami berborak sehingga jam 3 pagi. Keesokannya, kami sudah bangun jam 8.30 pagi dan terus bersiap untuk bersarapan dan pulang ke KL.

Kami tidak sempat untuk bersiar-siar di Bandaraya Melaka kerana Arnee terpaksa pulang awal ke rumah. Mungkin lain kali. Memang berbeza keadaan Bandaraya Melaka sekarang berbanding dengan kali terakhir aku ke sana.

Friday, May 25, 2007

Terganggu...

Beberapa malam ini tidur aku seakan terganggu. Aku seperti terbayang ada sesuatu di dalam bilik tidur. Malam tadi, mungkin aku terlalu letih dan sakit-sakit badan menyebabkan aku tidak boleh tidur dengan nyenyak. Aku bangkit menonton tv sehingga jam 2.30 pagi sebelum menyambung tidurku.

Petang semalam aku ke gym lagi. Mungkin aku terlalu ghairah untuk menurunkan berat badan sehingga aku terlupa, aku sudah 'over exercise'. Selesai gym, aku makan malam dengan NA di Chilis. Walaupun risau dengan berat badan, namun aku masih lagi makan 'tanpa sempadan'... ha ha ha

Esok, Unie, Siti, Nisa dan aku akan menyertai pencarian harta karun anjuran Kiwanis Down Sydrome Club. Perjalanan dari Petaling Jaya ke Melaka dan diberi masa untuk menamatkan pencarian selama 8 jam. Kami akan bermalam di Bandaraya Melaka. Petang ini, kami akan menghias kereta dengan pelekat-pelekat pihak penaja yang sudah disediakan. Kami juga perlu tidur awal kerana perlu hadir ke garis permulaan seawal jam 6 pagi. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Wednesday, May 23, 2007

Dua Kelas...

Entah kenapa, kerja datang berduyun-duyun pula minggu ini. Sedang aku baru saja memulakan langkah sebagai pelajar, masa aku agak terhad untuk mengulangkaji pelajaran. Namun aku perlu kuatkan azam. Dua projek harus aku selesaikan dalam masa sebulan ini, datang pula satu projek dari unit lain meminta bantuan aku.

Selesai kerja semalam, aku terus ke gym mengikuti kelas intermediate steps. Seronok tak terkira kerana aku semakin mudah mengikuti setiap langkah. Aku juga mengikuti kelas basic steps selang sejam kemudian. Basic steps kelolaan Kak Nor bertambah rancak sekarang ini. Tidak seperti waktu Azmi mengajar, aku rasakan seperti amat membosankan. Letih rasanya mengikuti dua kelas dalam sehari tetapi aku puas.

Beberapa hari ini aku terpaksa mengawal pemakanan aku. Berat badan aku semakin bertambah. Aku hanya mengambil sarapan pagi yang agak berat dan tinggalkan makan tengahari dan malam. Hanya mengambil sedikit makanan sebagai pengalas perut.

Selesai gym, aku terus pulang ke rumah dan mengulangkaji pelajaran sedikit. Hujung minggu ini aku sepatutnya menghadiri tutorial pertama untuk pelajaran aku. Tetapi memandangkan aku sudah membuat perancangan untuk menyertai treasure hunt, aku terpaksa tinggalkan tutorial itu. Harap-harap aku dapat menggantikannya di tutorial yang akan datang.

Tuesday, May 22, 2007

Langkah Kiri...

Seperti biasa, Hari Isnin adalah hari lembab bagi diriku. Terasa begitu lemah dan malas untuk memulakan kerja. Namun aku tetap juga membuat serba sedikit yang perlu dilakukan. Tidak ada apa yang terjadi di pejabat kecuali minggu lalu sesuatu yang di luar dugaan telah berlaku. Seramai enam orang pengurus kanan telah meletakkan jawatan secara mendadak dan mereka-mereka ini aku kenal secara peribadi. Rupanya, politik di pejabat aku semakin meruncing. Orang-orang HR rupanya tidak tahu implikasi tindakan mereka. Kita lupakan saja hal itu.

Aku ke gym selepas waktu pejabat dengan harapan untuk mengikuti kelas HiLo. NA juga mahu mengikuti kelas itu. Namun, mungkin aku tersilap langkah. Aku terpaksa batalkan niat itu dan terus membuat sedikit weight training.

Pulang ke rumah, aku membuat sedikit ulangkaji pelajaran sambil menonton tv. Iklan yang aku terlibat sebelum ini sudah pun ditayangkan. Aku tidak sempat melihat iklan penuhnya. Tidak pasti samada tangan dan bahu aku kelihatan atau tidak.

Monday, May 21, 2007

Sibuk...

Hujung minggu ini aku agak sibuk sedikit. Bermula dengan Sabtu petang, aku perlu menghadirkan diri untuk sessi taklimat treasure hunt yang akan aku sertai hujung minggu ini. Aku dijemput oleh Unie dan Siti. Kami berjumpa dengan Nisa di A&W di Amcorp Mall. Sementara menunggu Nisa tiba, kami makan tengahari di sana.

Sessi taklimat sepatutnya bermula pada pukul 2.30 ptg tetapi ramai yang tiba lewat terpaksa dilanjutkan ke pukul 3.20 ptg. Kami sudah pun mengambil goody bag dan juga pelekat kereta. Tidak sabar untuk menghias kereta kerana ada hadiah untuk kereta paling cantik. Hadiah utama treasure hunt ini berupa empat tiket penerbangan ke Manchester, UK.

Malamnya, Fadhil dan Ajeem datang untuk menyaksikan konsert akhir AF5. Aku menyediakan nasi goreng dan puding jagung sebagai juadah makan malam. Harapan aku agar Mila menjadi juara AF5 terlaksana. Selesai konsert, aku terus tidur kerana aku perlu menghadiri bengkel pembelajaran di OUM jam 8 pagi. Ya, aku menjadi pelajar semula bermula minggu lepas. Aku berharap kali ini aku akan berjaya hingga ke akhirnya. Dulu aku pernah terkandas kerana kerja dan kemalasan. Doakan kejayaan aku.

Pagi Ahad aku sudah berada di OUM, dan dewan hanya separuh penuh. Bengkel bermula lewat 45 minit dari yang dijadualkan. Aku hanya berada di situ sehingga jam 10.30 pagi kerana bengkel itu sebenarnya adalah lebih kepada pengenalan cara pembelajaran di OUM. Bab ini juga merupakan salah satu matapelajaran wajib untuk setiap pelajar OUM.

Tengahari itu aku sudah berjanji untuk berkaraoke dengan Sheera dan Yus di tempat biasa. Tidak tahu kenapa, kami hanya menyanyikan lagu-lagu sedih. Bila kami mula menyanyikan lagu-lagu yang rancak, waktu sudah tamat. Selesai karaoke aku terus ke gym. Sudah beberapa hari aku tidak beriadah.

Thursday, May 17, 2007

Iklan...

Aku mengambil cuti separuh hari semalam kerana ada tugasan iklan yang baru. Aku dikehendaki hadir jam 10.30 pagi tetapi krew hanya tiba jam 11 pagi. Aku perlu menunggu untuk mereka menyediakan set, penataan cahaya dan sebagainya. Hampir jam 1 tengahari, barulah mereka bersedia untuk mengambil gambar aku. Memandangkan aku masih lagi baru dalam bidang ini, aku memerkukan panduan dari jurugambar. Hampir 2 jam meneliti foto-foto yang diambil, akhirnya mereka berpuas hati dengan hasilnya. Aku pula... keletihan.

Aku terus bergegas untuk kepejabat namun waktu sudah hampir 3 petang dan jalan juga sesak. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk terus pulang saja. Aku mengantuk tetapi tidak mahu tidur.

Lewat malam, aku menemankan Ariff untuk makan malam di Kg Baru.

Tuesday, May 15, 2007

Lapar...

Hari Isnin seperti biasa membuatkan aku tidak bermaya. Lembab. Hampir waktu pulang aku menerima panggilan dari Candid menawarkan tugasan untuk iklan hari bapa yang akan menjelang tidak lama lagi.

Aku ke gym semalam untuk menyertai kelas HiLo. Aku membatalkan niat untuk ke kelas Intermediate/Advance kerana terasa malas. Aku hanya mampu mengikuti kelas HiLo separuh jalan kerana aku terasa terlalu lemah dan lapar. Oh! Ya... aku tidak makan tengahari.

Selesai gym, aku terus makan bersama Nik yang kebetulan ada di gym juga. Sehabis saja aku makan, teman Nik tiba dan aku meminta diri untuk pulang. Niatku untuk membuat ulangkaji tetapi aku keletihan.

Monday, May 14, 2007

Tekad...

Hujung minggu lepas, aku banyak berehat di rumah. Aku hanya keluar Sabtu pagi sehingga tengahari kerana perlu menyelesaikan sesuatu. Aku berharap ini akan menjadi titik tolak aku untuk mencapai impianku selama ini. Itu tekad aku...

Sebaik selesai, aku terus ke KLCC kononnya untuk membeli-belah di Isetan tetapi aku hanya membeli sebuah periuk menggantikan periuk aku yang sudah rosak. Dalam perjalanan ke KLCC, aku menerima panggilan dari Azam dan kami pun makan tengahari di KLCC.

Rancangan untuk berkaraoke Sabtu itu tidak menjadi kerana Shi dan Is terpaksa menghabiskan kerja. Setelah pulang dari KLCC, Shi mencadangkan untuk berjumpa di rumahku dan menonton konsert AF bersama. Aku mengajak Ajeem dan Eddy tetapi Eddy senyap tiada jawaban. Malam itu, Aku, Shi, Yus dan Ajeem menonton konsert bersama sambil makan pizza.

Keesokkannya, hari Ahad, aku hanya menonton tv di rumah.

Friday, May 11, 2007

Gunung Stong IV

Semalam aku sempat ke gym untuk mengikuti kelas bodystep. Selesai gym, aku terus bertemu dengan Jess di Chilis kerana sudah berjanji untuk makan malam bersama. Selesai makan, aku menemankan Jess untuk membeli-belah sebentar sebelum terus pulang ke rumah.

Hari Keempat (1hb. May)

Hari ini Hari Pekerja. Hari ini juga hari terakhir kami di hutan Jelawang ini. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak malam tadi kerana 'sleeping bag' aku basah dan aku kesejukkan. Pagi ini ramai yang sudah bangun awal untuk melihat matahari terbit. Aku membiarkan saja. Aku bangun dan terus membersihkan diri sebelum membantu untuk mengemas khemah dan peralatan. Perancang hari ini, kami akan dibawa ke air terjun Wai, pertemuan sungai dari Gunung Stong dan Ayam bertemu.

Air Terjun Wai

Selesai sarapan, kami pun bersiap-siap untuk ke air terjun. Ada juga yang memilih untuk tinggal di kawasan perkhemahan saja. Penat agaknya. Setelah berjalan dalam 30 minit kami pun tiba di air terjun itu. Memang seronok dapat berenang di situ. Kolamnya agak besar dan dalam. Tidak lama kemudian kami ke Telaga Tujuh. Di sini kami diajak untuk masuk kedalam sebuah lubang yang dipenuhi dengan air. Seorang demi seorang turun ke dalam. Lubang itu boleh memuatkan satu orang dalam satu masa. Dalamnya melebih sedikit dari ketinggianku. Tiada apa yang istimewa cuma kononnya sesiapa yang berhajat sewaktu di dalam lubang itu, hajatnya akan tertunai.

Kolam di Air Terjun Wai

Kami semua bersiap untuk pulang sebaik turun dari air terjun. Sekitar jam 4 petang kami semua sudah bersedia. Kali ini perjalanan turun ke Stong Hill Resort dari Baha Camp hanya mengambil masa 40 minit. Aku antara yang terawal tiba di resort. Mujur cuaca agak baik. Kami membersihkan diri di sini sebelum terus ke pekan Dabong. Di stesen keretapi kami meletak semua barangan dan sempat untuk berjalan ke pasar malam untuk membeli-belah. Tidak banyak yang ada di sini hanya buah-buahan, baju-baju bundle dan juga makanan tempatan.

Menunggu keretapi tiba di Stesen Dabong

Keretapi ke Kuala Lumpur tiba agak lewat dari jadual. Setelah menunggu hampir setengah jam, keretapi muncul jam 9.30 malam. Terdapat sedikit kekecohan apabila tempat kami diambil oleh orang lain namun dapat diselesaikan oleh pemeriksa tiket. semuanya tidur akibat kepenatan. Aku juga begitu. Akhirnya kami tiba juga di KL Sentral jam 8 pagi. Setelah bersalam-salaman, kami pun pulang kerumah masing.

Di dalam gerabak keretapi, gembira kerana mahu pulang

Wednesday, May 09, 2007

Gunung Stong III


Hari Ketiga (30hb April)

Masih lagi terasa kedinginan dan kelembapan akibat dari hujan petang semalam, namun di luar sudah mulai cerah dan aku harus bangun. Waktu sudah hampir jam 7 pagi. Ramai juga yang sudah bangun awal untuk melihat matahari terbit.

Hari ini kami akan turun dari puncak Gunung Ayam dan mendaki Gunung Stong pula. Setelah selesai bersarapan, kami mula mengemaskan peralatan perkhemahan dan barangan peribadi. Pagi ini kami dihidangkan dengan maggi goreng, roti dengan telur dan air teh-O. Aku sempat membungkus sedikit maggi berlebihan untuk dimakan dalam perjalanan nanti. Memandangkan kami akan berjalan sepanjang hari, makan tengahari berupa nasi impit dengan serunding daging disediakan.

Mengikut perancangan, perjalanan ke Gunung Stong mengambil masa lebih kurang 2 jam. Selesai mengemas, tepat jam 9.30 pagi kami memulakan perjalanan dan menuruni Gunung Ayam. Bila menurun terasa cepat tiba ke destinasi namun itu tidak lama kerana kami perlu mendaki pula ke puncak Gunung Stong. Mujur tidak sukar laluannya. Jam 11.45 pagi, kami berjaya menawan puncak Gunung Stong. Di sini tempatnya terhad. Kawasannya begitu kecil menjadikan ia tidak sesuai untuk bermalam berbanding dengan Gunung Ayam. Setelah puas bergambar, kami pun menikmati juadah tengahari nasi impit berserta serunding daging.

Puncak Gunung Stong

Setelah berehat hampir 45 minit kami pun mula turun ke Baha Camp. Hujan turun dengan lebatnya sepanjang perjalanan. Habis basah lencun jadinya. Cuaca sejuk, laluan licin, hujan lebat tidak mematahkan semangat kami untuk terus turun ke Baha Camp dan akhirnya aku tiba sekitar jam 4 ptg. Kami tidak dapat menyeberang ke kawasan perkhemahan kerana akibat dari hujan lebat, air sungai sudah mulai naik dan membahayakan keadaan. Kami menunggu dalam satu jam sebelum Zaki (salah seorang guide kami) menyuruh kami menyeberang melalui batu-batuan di sebelah atas. Aku tidak melepaskan peluang terus mengikut Zaki. Hanya seramai 12 orang saja yang menyeberang manakala yang lain lebih selesa berehat di sana. Dengan tanpa disangka, paras air sungai semakin naik dan rakan-rakan lain tidak dapat bersama kami. Hampir 2 jam menunggu, air mulai surut sedikit dan membolehkan teman-teman yang lain untuk menyeberang.

Makan malam disediakan sebaik semua peserta tiba di kawasan perkhemahan. Menu malam ini adalah nasi, kari ayam dan ikan masin. Peserta-peserta semakin mesra dan sudah mula bergurau senda sesama mereka kerana kali ini ramai orang-orang baru. Malam ini aku tidur awal juga.

Tua?...

Setelah hampir lebih seminggu aku tidak ke gym, semalam aku mengikuti kelas intermediate dan basic steps sekaligus. Terasa seronok dapat mengeluarkan peluh dan beriadah sedikit. Tidak ramai dalam kelas dan ini memudahkan pergerakan dengan ruang yang lebih luas.

Sabtu lepas aku diminta untuk pergi ke sesi casting dan perlu melakunkan watak seorang bapa yang mempunyai anak berumur 16 tahun. Aku kurang yakin namun aku cuba juga. Ternyata ramai orang-orang tua yang berpangkat pakcik atau datuk datang untuk casting pada hari itu. Terfikir sejenak, sudah tentu peluang aku tipis. Aku pulang kerana perlu menunggu lama. Ibubapa aku dalam perjalanan ke rumahku. Aku putuskan untuk semula pada keesokan harinya. Setelah selesai casting pada hari Ahad itu, aku dipanggil untuk casting semula tetapi kali ini aku akan di make-up menjadi tua.

Aku jumpa sempat menonton filem terbaru spiderman bersama Ajeem,Sabtu lepas sebelum ke sesi casting. Aku bukanlah seorang peminat filem genre SciFi tetapi aku cuba untuk menghayati ceritanya. Aku tidak pernah menonton filem-filem spiderman yang sebelum ini. Ceritanya agak menarik cuma terdapat adegan-adegan yang aku sendiri kurang faham.

Tuesday, May 08, 2007

Gunung Stong II

Hari Kedua (29hb April)

Seawal jam 6.45 pagi aku sudah bangun untuk solat subuh. Kebetulan, malam tadi aku hanya tidur di surau kerana hujan sehingga lewat malam. Aku membantu mengemas khemah manakala yang wanita pula menyediakan sarapan pagi. Mee Hoon goreng disediakan sebagai sarapan manakala nasi goreng pula untuk makan tengahari. Kami hanya akan berhenti untuk makan tengahari dan tidak memasak sepanjang hari ini.

Kami mula mendaki tepat jam 10.10 pagi. Sepanjang perjalanan kami berhenti di beberapa tempat antaranya, Sungai Rantai, Lata Balak, Sungai Baha dan Puncak Baha sebelum kami tiba berjaya menawan Gunung Ayam. Aku dalam kelompok yang pertama tiba di puncak Gunung Ayam pada pukul 4.00 petang. Ini bermakna kami mengambil 6 jam untuk tiba di puncak. Manakala yang terakhir tiba sekitar jam 6 petang. Namun puncak Gunung Ayam bukanlah tempat yang sesuai untuk berkhemah. Kami di bawa ke suatu kawasan yang terletak tidak jauh dari puncak untuk mendirikan khemah dan bermalam di situ. Sebaik saja kami tiba di sana, hujan turun dengan lebatnya. Kami dalam keadaan basah dan kesejukkan terpaksa menunggu kerana hanya ada satu khemah saja bersama kami manakala yang lain masih bersama rakan-rakan yang belum tiba. Mujur Abg Syuk mendirikan teduhan dan kami berlindung di bawah sehingga hujan berhenti sekitar jam 6 petang.

Puncak Gunung Ayam

Puncak Gunung Ayam memang sejuk. Aku sempat mengikut salah seorang guide kami, Zaki untuk melihat pemandangan dari situ. Kelihatan awan berkepul-kepul terbentuk di bawah dan angin bertiup kencang. Sejuk. Zaki juga sempat menunjukkan pada aku Gunung Tera dan Noring Timur. Kami di situ sebentar saja kerana terlalu sejuk.

Sementara yang lelaki mendirikan khemah, peserta wanita menyediakan makan malam. Menu malam ini, sardin, telur goreng dan nasi. Mujur perut tidak meragam sepanjang berada di puncak kerana di sini tiada punca air. Suhu sejuk di sini menghilangkan rasa melekit dari peluh dan juga hujan lebat tadi seolah-olah memandikan kami. Terasa segar sedikit walaupun tanpa air.

Selesai makan, aku terus tidur tetapi kurang lena kerana khemah basah di bahagian kaki. Itu menambahkan kesejukkan walaupun hujan sudah lama berhenti.


Pemandangan dari Puncak Gunung Ayam

Monday, May 07, 2007

Gunung Stong I

Minggu lalu, aku berkesempatan untuk mengikuti rakan-rakanku untuk mendaki Gunung Ayam dan Stong di Dabong, Kelantan. Ini kali pertama aku ke gunung ini dan juga julung kalinya kami menaiki keretapi setelah sekian lama menggunakan kenderaan masing-masing sebelum ini. Seramai 39 orang mengikuti ekspidisi ini. Kami semua berada di Sentral Station pada hari Jumaat 27hb dan keretapi berlepas tepat jam 8.30 malam. Perjalanan mengambil masa hampir 12 jam dan tiba di Stesen Dabong, tepat jam 8 pagi.




Stesen Keretapi Dabong

Hari Pertama (28hb. April)

Setibanya kami di Stesen Dabong, kami disambut oleh Pak Tam, salah seorang guide yang akan membawa kami ke puncak Gunung Ayam dan Stong. Setelah selesai sarapan, aturcara pagi itu ialah meneroka gua di sekitar pekan Dabong. Dengan menaiki van, kami dibawa ke Taman Rekreasi Gua Ikan untuk meneroka Gua Gelap, Gua Keris dan Gua Pagar. Memang ternyata keindahan alam semulajadi di sini.

Taman Rekreasi Gua Ikan

Gua Gelap

Hampir tengahari, kami di bawa pula ke Stong Hill Resort di mana kami akan memulakan pendakian. Dari resort ini kami akan ke Baha Camp, base camp di mana pendaki akan bermalam sebelum meneruskan pendakian. Kami tiba di Baha Camp hampir jam 3 petang. Pada kebiasaannya, jika tidak membawa beg atau jalan berlenggang saja, seseorang boleh tiba di Baha Camp dalam masa tidak lebih dari sejam. Memandangkan kami seramai 39 orang, perjalanan kami mengambil masa antara satu setengah jam hingga tiga jam untuk tiba di Baha Camp.

Kami mendirikan khemah di sini dan hujan terus turun tidak lama kemudian. Rancangan untuk minum petang dan makan malam akhirnya terpaksa kami ubah. Hampir jam 8 malam hujan pun reda dan diteruskan dengan makan malam dan taklimat untuk pendakian hari esok. Rancangannya kami akan mendaki ke Gunung Ayam dan tidur semalam di puncak. Malam itu, kami tidur awal.




Peserta-peserta yang terlibat dalam pendakian ini...





Kembali Lagi...

Sudah hampir seminggu aku tidak menulis, tapi rasanya aku ada menulis sesuatu namun ia hilang begitu saja. Ah... mungkin aku terlupa untuk 'save' tulisan aku itu. Sebetulnya, aku sudah hampir mahu menutup blog ini. Bukan kerana aku sudah malas, bukan kerana aku ketandusan idea, cuma aku mahu melarikan diri. Aku tidak mahu kisah kehidupan harianku dihidu seseorang. Tetapi setelah puas berfikir, aku batalkan saja niatku.

Aku pulang dari aktiviti mendaki gunung di Dabong, Kelantan, Rabu lalu. Sehingga hari ini, terbalas sudah penat dan letih memanjat gunung. Walaupun letih dan penat, aku merasakan ini adalah antara pendakian yang mencabar dan menyeronokkan setelah sekian lama tidak menyertai aktiviti seperti ini.

Akan aku ceritakan dengan lebih lanjut dalam tulisan aku yang akan datang.