Monday, May 18, 2009

Futsal, Gua Tempurung, Sungai Kampar dan Sebuah Majlis Harijadi

Cadangan gila-gila dari teman rapat akhirnya membawa kami semua bermain futsal Jumaat yang lalu. Bertempat berhampiran Extreme Park Sunway Lagoon, tepat jam 8.30 malam kami bertolak ke situ. Aku pernah bermain futsal dengan teman-teman sekerja beberapa tahun lalu. Aku tahu ia pasti memenat kerana ia memerlukan stamina yang tinggi.

Seramai 12 orang teman-teman rapat yang muncul untuk bermain. Walaupun terasa penat pada mulanya, namun ketika saat-saat akhir masih ramai lagi yang mahu terus bermain. Dengan itu, timbul cadangan untuk bermain sekali lagi di masa akan datang.

Keesokkanya, aku sudah bersiap sedia untuk menyertai ekspidisi Gua Tempurung dan seterusnya bermain water rafting di Sungai Kampar. Pertama kali aku ke Gua Tempurung terasa seronok juga kerna selain meninjau dalam gua itu, kamu juga meredah jalan sungai di dalam gua itu.

Setelah meneroka gua selama 2 jam, kami terus ke Sungai Kampar untuk makan tengahari sebelum terus ke sungai untuk menaiki raft. Buat pertamakali, hujan turun waktu taklimat diberikan. Sebelum ini hanya sekali sahaja sepanjang penyertaan aku dalam bermain raft ini, hujan di penghujung perjalanan. Kali ini seawal permulaan, kami sudah kesejukkan dan paras air ternyata agak tinggi dan deras. Namun, aku merasakan Sungai Slim di Tanjung Malim lebih mencabar.

Ahad pula kami sudah merancang untuk meraikan ulangtahun hari lahir Ahmad yang jadi pada Sabtu depan seminggu awal. Memandangkan beberapa orang teman tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh sebenarnya dan juga kerana Ahmad sendiri tidak berada di KL. Setelah hampir seminggu merancang dan membahagikan tugasan, majlis berjalan dengan berjaya dan meriah sekali. Ahmad juga ternyata sangat terkejut dengan majlis yang diadakan khas untuk. Aku hadir agak lewat kerana emosi terganggu sedikit walaupun dikatakan masalah yang remeh, namun pada aku, ia tidak remeh. Niat hati mahu saja batalkan hajat meraikan bersama mereka tetapi aku tidak sampai hati. Aku pergi juga walaupun setelah kejutan dilakukan.

Minggu depan aku akan menjadi pelajar semula kerana semester baru sudah bermula. Semoga aku akan belajar dengan lebih tekun dan gigih.

Wednesday, May 13, 2009

Langkawi, Bangkok, Gunung Yong Belar, Yogjakarta, Water Rafting....

Diam tak diam, sudah hampir 4 bulan aku tidak menulis di sini. Ya, kemalasan mengatasi segalanya. Namun, aku sempat juga menyertai berbagai aktiviti beriadah dan bercuti sepanjang tempoh kemalasan ini.


Bermula dengan percutian pertama kalinya ke Pulau Langkawi, pendakian ke Gunung Yong Belar, ke Kota Bangkok, beberapa kali mengikuti water rafting dan terakhir sekali berlibur bersama teman-teman ke Yogjakarta.


Tahun ini, buat pertamakalinya dalam sejarah hidup aku, aku bercuti ke Pulau Langkawi bersama teman-teman. Selama dua malam di situ, tidak banyak yang menarik perhatian aku kecuali cokelat yang murah. Cuacanya agak panas membuatkan aku kurang selesa. Namun, sempat juga kami menaiki cable car ke Gunung Mat Cincang untuk menikmati pemandangnya yang menarik di situ.


Awal bulan March, aku ke Bangkok bersama Arm dan Azmi. Kesempatan ini aku ambil untuk berjumpa dengan Moss yang pernah berkerja dengan aku sewaktu di Bangkok dulu. Masih lagi kurus dan cantik seperti dulu. Kali terakhir aku berjumpa dengannya pada tahun 2003, kemudian dia telah berkawin dan mendapat seorang anak perempuan. Aku mendengar melalui teman-teman yang lain dia sudah bercerai dengan suaminya selang setahun kemudian dan lebih tragis lagi, anak perempuannya meninggal akibat lemas di dalam kolam. Aku juga sempat berjumpa dengan Sukri dan dibawa berputar-putar sekitar kota Bangkok dan menikmati makan malam buffet muslim buat pertamakalinya di daerah Ramkhamhaeng.


Selang dua minggu, aku mendaki Gunung Yong Belar bersama rakan-rakan Jejak Alam. Seramai 12 orang menyertai ekspidisi kali ini. Ternyata laluan ke Yong Belar lebih mudah berbanding beberapa gunung lain yang pernah aku daki. Ketibaan kami di puncak gunung di sambut dengan hujan yang lebat dan angin kencang. Sememangnya sejuk tetapi aku berasa puas setelah sekian lama tidak mendaki gunung. Perjalanan ke puncak mengambil masa 2 hari dan sehari untuk pulang.


Terakhir, aku ke Yogjakarta bersama Andy, Sham, Faizul, Dimas dan Izat. Puas hati rasanya tercapai cita-cita mahu melihat sendiri Candi Borobudur yang terkenal dalam sejarah. Selain itu kami juga ke Candi Prambanan serta menyaksikan dramatari Ramayana serta berkunjung ke Istana Sultan Hamengku Wibowo ke 9. Sememangnya seronok bersama teman-teman yang agak gila-gila sedikit perangai masing-masing.


Bulan Jun ini aku akan mendaki Gunung Kinabalu sekali lagi dan Insya'allah, bulan September nanti aku akan berjalan jauh. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.