Wednesday, January 31, 2007

Selesai...

Akhirnya, selesai juga kursus yang aku ikuti selama tiga hari ini. Tiada yang dapat aku katakan, hanyalah 'letih'. Aku sememangnya kepenatan dan mengharapkan esok aku dapat berehat secukupnya. Kebetulan esok cuti hari wilayah, aku harap dapat berehat dan tenangkan fikiran sepanjang hari.

Kursus yang aku ikuti tadi aku rasakan tidak memberi manfaat yang banyak kerana sememangnya aku sudah berada ditahap itu. Aku mahu tahap yang lebih tinggi namun aku teruskan juga dan menganggap ia sebagai satu ulang kaji.

Dari segi lain, banyak yang telah berlaku sepanjang minggu ini. Ada yang manis, ada yang pahit, baik buruk... semuanya aku terima. Temuduga yang aku pergi, aku berjaya namun ganjarannya tidak memadai dan aku terpaksa menolak. Insya'allah, masih ada peluang lain yang lebih baik untukku.

Kursus...

Pulang saja dari Melaka, aku perlu menghadiri kursus kerjaya selama 3 hari bertempat di Grand Seasons Avenue. Tak jauh dari rumahku. Hari pertama agak membosan dengan kehadiran orang-orang yang tidak pernah mengikuti atau menggunakan perisian komputer ini sedangkan ini adalah kursus advance. Pensyarah terpaksa membuat sedikit ulangkaji atau pengenalan kepada mereka. Dari 10 peserta, ternyata hanya 6 orang yang muncul dan seorang lagi menghilangkan diri setelah selesai sesi pagi.

Hari kedua dengan hanya 5 orang, kursus berjalan dengan lebih lancar walaupun salah seorang peserta wanita memang tidak tahu menahu langsung malah tidak pernah mendengar jenama perisian komputer yang digunakan. Tapi kami saling bantu membantu. Ternyata peserta yang lain datang dari latar belakang yang agak sama kecuali aku dari minyak dan gas.

Dari pengamatan aku, kursus ini mudah bagiku sebab aku sudah menggunakan segala fungsi yang ada dalam perisian ini. Aku menjangkakan kursus ini akan diajar dengan perisian yang terbaru. Namun begitu, sijil yang akan aku terima mengiktiraf kebolehan aku secara rasmi.

Hari ini adalah hari terakhir. Aku berharap kursus akan bertambah seronok dan tidak mengantuk seperti semalam.

Isnin dan semalam aku sempat ke gym. Aku melakukan senaman kardio dan weights seperti biasa. Namun semalam, aku mengikuti kelas intermediate steps. Sudah lama aku tinggalkan kelas steps atau bodysteps. Ternyata menyeronokkan walaupun terkial-kial dengan beberapa langkah yang baru. Namun dengan sokong dari Kak Nor, aku harap akan dapat melakukan dengan lebih baik lagi untuk kelas yang akan datang.

Aku tidak sabar menantikan hari Khamis ini memandangkan hari cuti umum bagi KL. Aku terlalu letih dan aku hanya mahu rehat. Mungkin aku akan berkaraoke bersama teman-teman khamis ini dan juga sabtu bersama shi. Sudah agak lama tidak bertemu dengan shi. Kain sarinya masih lagi bersamaku.

Monday, January 29, 2007

A Famosa Resort...

Belum sempat aku berehat secukupnya sejak pulang dari Mumbai, aku terpaksa pergi ke A Famosa Resort, Melaka untuk sessi teambuilding ahli jawatankuasa kelab sukan jumaat lalu. Aku sebenarnya tidak terpilih sebagai ahli jawatankuasa kelab sukan tetapi entah macamana ditarik untuk ikut serta.

Selama tiga hari di sana, aku keletihan yang amat sangat. Bukan sekadar aktiviti riadah malah sessi brainstorming juga diadakan. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk menyertai setiap aktiviti dan aku dapat rasakan aku bukan saja sekadar turut serta saja, malah memberikan idea-idea yang bernas. Aku harap dapat kekal sikap positif ini untuk selamanya.

Aku merasa paling seronok dalam sessi brainstorming untuk mencari visi dan misi kelab sukan. Ahli-ahli dibahagikan kepada empat kumpulan dan masing-masing perlu memberikan visi dan misi masing-masing. Ahli kumpulan aku 'The Great Thinker' terdiri dari mai, nor, adi dan aku sendiri. Adi banyak membantu dalam mengetengahkan idea-idea.

Selain itu, acara mini explorace juga mengamatkan. Diadakan di Water Park, kami tak melepaskan peluang mencuba semua permainan air yang ada sebelum kami pulang bersiap
untuk makan malam di Umbai. Makanan laut hidangan malam ini. Aku kenyang...

Rancangan seterusnya pada asalnya adalah bersiar-siar di Bandar Hilir, Melaka tapi ramai yang sudah mengantuk dan keletihan. Ahli-ahli yang masih segar teruskan perjalan ke situ, manakala aku dan beberapa orang lain teman terus pulang ke bungalow dan tidur.

Esok paginya, akibat keletihan, sessi senamantua dibatalkan. Selesai sarapan, sessi brainstorming dijalankan sekali lagi. Kali ini untuk menyenarai aktiviti bagi tahun 2007 hingga akhir 2008.

Kami bertolak pulang sekitar jam 3 petang selepas selesai makan tengahari. Aku tiba di rumah jam 4 petang. Aku teramat letih dan terus terlelap sekejap.

Satu peristiwa yang tidak mungkin aku lupakan semasa di sana adalah semasa aku dan fauzi mandi di kolam renang. Setelah kami terjun dan berenang beberapa ketika, fauzi dengan tidak semena-mena membuka penutup perangkap sampah kolam renang itu dan terdapat seekor tikus mati di dalamnya. Terus kami berhenti berenang. Namun, apabila teman-teman yang lain mahu berenang pula, kami terus memberi galakan. Selesai mereka berenang, kami pun tunjukkan apa yang kami jumpa sebelum itu... ha ha ...

Aku perlu menghadiri kursus selama 3 hari selepas ini. Mujur hanya di KL. Aku letih...

Wednesday, January 24, 2007

Pulang...

Aku selamat tiba di KLIA pagi tadi jam 6.30 pagi. Selesai menunggu bagasi, sekitar jam 7 aku terus menaiki ERL ke KL Sentral dan adikku sudah menunggu. Tiba di rumah jam 8 pagi aku terus bersiap untuk ke pejabat setelah dimaklumkan oleh setiausaha boss untuk datang kerja juga pada hari ini.

Aku cuba untuk menulis dari Mumbai sebelum aku pulang tapi ada masalah sedikit untuk membuka blogspot dari situ. Hari Isnin dan Selasa masa kami habis dengan bermesyuarat. Cuma diwaktu malam, Shariff mengajak lagi aku untuk ke pub menyaksikan band yang beraksi di situ. Hotel Orchid tempat tinggal kami ternyata menghidangkan makanan yang tidak halal namun kami terpaksa juga makan makanan vegetarian yang dihidangkan.

Semalam kami checkout waktu pagi setelah selesai sarapan dan terus ke mesyuarat. Selesai sekitar jam 4 ptg, kami meminta driver untuk menghantar kami ke shopping complex tapi ternyata tidak ada shopping complex yang besar seperti di Malaysia ini. Namun, aku berhabis juga duit dengan membeli loket berlian untuk ibu ku dan subang intan untuk adikku. Aku sendiri tidak membeli apa-apa untuk diriku.

Keluar dari shopping complex itu, aku dan shariff berjalan-jalan di sekitar kawasan itu dan ternyata kawasan itu memang terdapat ramai orang islam. Kami sempat menjamah nasi beriayani di sebuah restoran yang terkemuka di situ. Sebelum itu kami terjumpa kedai menjual sari yang murah-murah. Aku sempat membeli sepasang masing-masing untuk Shi dan Is. Aku harap mereka suka dengan hadiah ini.

Sepatutnya, aku dijadualkan ke Gunung Ledang mengikuti aktiviti team building bersama ahli-ahli kelab sukan syarikat. Namun, perancangan itu ditunda dan kami akan berehat di A Famosa, Melaka. Aku keletihan sebenarnya tapi aku terpaksa juga hadirkan diri untuk aktiviti ini.

Baru sebentar tadi, aku mendapat panggilan untuk temuduga. Aku berdoa semoga berjaya dan Insya'allah kerjaya aku akan lebih teratur dengan pendapatan yang agak baik dari sekarang.

Sunday, January 21, 2007

Balik...

Aku menulis dari bilik Hotel Orchid, Mumbai. Aku bosan. Aku nak balik...

Penerbangan ke Mumbai semalam begitu lancar dan tiba tepat pada waktunya. Entah kenapa aku seperti berat hati untuk datang ke sini. Selain Ariff dan Ajeem, tiada orang yang menghantar sms selamat jalan kepada aku. Sedih terasa. Sepanjang pernerbangan, aku menangis beberapa kali. Harap-harap penumpang di sebelah aku tidak perasan aku mengesat airmataku.

Pagi tadi, aku dengan shariff menyewa teksi berjalan-jalan sekitar Mumbai. Tak banyak yang dapat di lihat, jadi kami terus ke Gateway of India. Di sini memang terdapat banyak barangan yang boleh dibeli sebab murah harganya. Aku membeli souvenir untuk teman-teman dan sudah menghabiskan hampir RM200 saja di sini. Shariff sempat membeli kain sari dan jaket kulit serta teropong yang sudah lama di idam-idamkan. Kami menggunakan perkhidmatan kereta sewa setengah hari saja memandangkan masing-masing sudah letih dan pemandu kereta seolah-olah tidak mahu membawa kami ke tempat-tempat shopping yang murah kerana mereka tidak mendapat komisen dari situ.

Sekarang ini aku sedang duduk berehat sambil menulis. Tidak sabar rasanya aku hendak pulang...

Friday, January 19, 2007

Cuba...

Persiapan aku ke Mumbai sudah hampir selesai semuanya. Kalau tidak ada aral, hari ini akan dapat visa dari kedutaan tetapi kerja aku masih lagi tidak siap. Hati aku seolah-olah memberontak. Aku sendiri tidak tahu kenapa.

Semalam, aku telah mencuba beriadah di gym lain. Aku menuju ke Wisma SPK yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Pertama kali ke situ terasa segan juga namun ketibaan aku disambut dengan satu suara yang agak familiar... "terbalik, terbalik, belah sana..." Bila aku toleh ke belakang, rupa-rupanya suara Kak Ros yang dulunya bertugas di gym Maxis. Terasa sedikit lega kerana ada yang kenal akan diriku.

Lalu Kak Ros menunjukkan tempat bersalin pakaian dan kebetulan waktu itu akan ada kelas BodyStep, aku pun ikut serta. Ternyata memang tidak ramai orang di situ. Aku suka dengan suasana yang tidak sesak. Selesai kelas, aku melakukan cardio exercise selain membuat weights.

Selesai di gym aku mahu ke equatorial hotel untuk solat maghrib tetapi hujan lebat. Mujur di Wisma SPK juga ada surau cuma memerlukan kebenaran guard untuk memberi laluan. Aku mulanya tinggalkan keretaku di KLCC kerana sangka aku, parking di Wisma SPK mahal. Setelah aku selidik, ternyata caj parking amat murah sekali. RM1.60 sekali masuk selepas jam 5.30 petang. Hmmm... selamat tinggal menara maxis...

Aku berasa kurang sihat beberapa hari ini. Demam agaknya. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana setiap kali waktu tidur, hidungku berair dan tersumbat. Ini menyukarkan pernafasan aku dan tidur aku terganggu. Aku sudah mulai batuk dan tekakku terasa perit. Aku harap kesihatan aku tidak terjejas teruk semasa di Mumbai nanti.

Thursday, January 18, 2007

Sinar...

Tak dapat dinafikan sehingga hari ini aku masih mengharapkan satu keajaiban akan terjadi. Namun semalam telah menyedarkan aku bahawa aku perlu menerima hakikat. Dan hari ini, aku mesti bangkit dengan sinar yang baru. Lupakan yang lalu kerana yang lalu sudah tidak bermakna dan tidak akan kembali lagi.

Aku sempat ber'chatting' dengan seorang kenalan yang sudah agak lama tidak bertanya khabar. Namun, bukan diri aku yang ditanya khabarnya tetapi orang lain. Dia lebih mengetahui tentang orang itu dari diriku sendiri tetapi masih lagi mahu bertanya pada aku. Terdetik dalam hati kenapa perlu begitu?... Segala yang diketahuinya telah membuatkan aku pasti, tidak ada jalan berpatah balik. Aku terus tersedar. Dari kesedaran itu, aku telah melakukan sesuatu buat pertama kali. Sesuatu yang aku kira agak gila namun aku tak akan menyesal.

Aku akan terus pandang ke depan.

Wednesday, January 17, 2007

Malas...

Pasti! Ternyata yang aku mahu elakkan hampir pasti terjadi. Aku diarahkan ke Mumbai sekali lagi untuk perbincangan dengan sebuah syarikat di sana. Seorang rakan setugas akan bersama aku kali. Aku begitu teruja untuk ke Anugerah Juara Lagu ke-21 di Bukit Jalil Ahad ini tetapi ternyata hampa kerana penerbangan ke Mumbai pada malam harinya. Namun, itu tugas yang seharusnya aku lakukan. Yang pasti, perjalanan kali ini tiada lagi membeli-belah untuk teman yang aku sayang walaupun sudah diperuntukkan sehari untuk kami bercuti di sana. Sebenarnya aku malas untuk ke Mumbai lagi...

Semalam, seseorang menegur aku di lobby bangunan pejabat. Nama aku dipanggil. Aku tergamam sekejap. Aku cuba amati dan cuba ingat kembali siapa dia tetapi ternyata aku tak berdaya. Lalu aku bertanya 'errr... saya kenal awak?'. Dia mengenalkan dirinya 'VASU'. Hah! VASU?... iya.. ingatan aku kembali semula. Dia teman dari sekolah rendah hinggalah tamat SPM. Sudah hampir err.. bertahun kami tak jumpa. Aku sememangnya tak sangka dia masih ingat rupa aku. Katanya, rupa aku masih tidak berubah. Err... maksudnya setelah sekian lama, aku masih lagi seperti dulu, hodoh?... Vasu bekerja di bangunan yang sama denganku. Mungkin selepas ini kami boleh berbual panjang kerana pagi itu aku sudah berjanji dengan teman untuk sarapan.

Aku sempat chat panjang dengan Shi. Rindu sangat pada mereka semua. Mungkin Shi memahami situasi aku tetapi dia turut memahami si dia itu. Yang pasti, tanpa pengetahuan Shi, aku menangis sewaktu chat dengannya walaupun sudah aku katakan aku tidak akan menangis lagi. Puncanya bila aku menceritakan kisah sewaktu aku membeli hadiah untuk tahun baru buat teman-teman yang aku sayang. Waktu itu, aku tercari-cari hadiah yang sesuai untuk Shi dan Is. Tapi mudah untuk memilih hadiah untuk mereka. Tapi yang seorang itu, aku memang buntu. Lantas aku terus memanggilnya dan bertanya apa yang dia mahukan. Dia menyatakan mahu satu set kunci rumah aku. Aku terharu. Aku menangis gembira dan sedih. Aku hampir memberikan hadiah itu kepadanya. Aku tanya berkali-kali samada dia benar-benar maksudkan apa yang dia inginkan. Namun tiada jawaban pasti. Aku terus ke KLCC untuk membelikan satu gelang yang aku harap dia hargai. Itu pertama kali aku menangis kerana seseorang. Aku hargai pemberian teman-teman aku berupa bantal bucuk, permainan dart dan sebentuk cincin yang sangat aku suka tetapi sudah aku simpan terus di dalam kotaknya. Mmm... aku sudah menyimpang dari cerita asal.

Aku makan malam di Nailis dengan Ajeem dan Abg Am. Terhibur sedikit hati aku bila bersama mereka. Aku terasa mengantuk sangat malam tadi sebab malam sebelumnya aku tak dapat tidur langsung. Aku hanya baring di katil menantikan subuh. Selesai solat aku terus bersiap ke pejabat. Itulah waktu yang paling awal aku ke pejabat dalam keadaan kerja yang tidak sibuk. Tetapi malam tadi juga tidak menyenyakkan. Pagi ini aku bangun terasa seperti demam sedikit. Aku harap ini tidak berpanjangan atau aku terpaksa melupakan Mumbai...