Thursday, May 06, 2010

London (23 Sept 2009)

Bila dah tak sibuk, studi pun akan masuk semester baru tak lama lagi, aku ada waktu untuk menulis. Ditambah pulak dengan internet yang macam siput, aku rasa ada baiknya aku ceritakan kisah aku ke Eropah tahun lalu.

Hari Raya Aidilfitri ke-3 aku sudah ke KL untuk amik flight ke Stansted, London keesokkan harinya. Memang la teruja sangat. Kami pergi secara back-pack, tak main beg beroda. Aku pun sudah biasa berkhemah, tidak menjadi masalah untuk aku sebenarnya.

Kami bangun awal untuk ke LCCT. Masing-masing seronok. Aku sempat bawa sebekas kuih tat untuk dimakan dalam penerbangan nanti. Sebaik masuk ke dalam kapalterbang, aku semakin seronok walaupun perjalanan ini akan mengambil masa 13 jam. Sekejap tidur, sekejap baca buku, sekejap makan, sekejap berborak, diam tak diam, akhirnya sampai juga kami di lapangan terbang Stansted, London.

Kami tiba sekitar jam 8 malam dan cuaca agak dingin.Pengangkutan ke hotel sudah diuruskan oleh Nurul jadi kami tidak lama menunggu di airport tetapi kawalan ketat imigresen melambatkan kami. Setiap seorang ditanya soalan bertubi-tubi. Sehinggakan perlu menunjukkan tiket pulang. Yang peliknya di kastam, tidak ada orang pun menunggu. Kalau tahu, dah bawa rokok berkarton-karton yang dipesan Nurul dari Malaysia.

Sampai di London lebih kurang satu jam setengah kemudian, kami terus ke Hotel Royal Cambridge. Nurul berkerja kat hotel milik syarikat Malaysia itu. Dapatlah harga murah sikit. Sebilik berkongsi 4 orang dan sebaik saja masuk kebilik aku, sudah ada donut krispy kreme diatas meja. Kat KL pun tak sempat nak beli, kat London juga merasa. Setelah berehat dan mandi, Nurul mengajak kerumahnya di Paddington. Jalan kaki dalam 15 minit tetapi agak sejuk. Nyaman rasanya.

Rupanya Nurul dah masak nasi ayam untuk kami. Apa lagi, masing-masing kelaparan, habis diselesaikan. Ditambah pula ada dessert ice-cream. Memang sedap. Selesai makan, Nurul ajak ke Embankment, tepi sungai la tu. Kali pertama naik tube kat London. Buruk sungguh gerabaknya. Sampai di Embankment tu, kami berlegar-legar sebentar. Nampak dari jauh London Eye dan Westminster.

Puas amik gambar di Embankment, kami ke Trafalgar Square pula. Dulu sangat terkenal dengan burung merpati di situ tapi sekarang sudah lengang. Pencemaran katanya. Selesai di sana kami pun pulang ke Hotel sebab esok sudah mahu ke Amsterdam. Harus bersiap awal pagi.

Tuesday, May 04, 2010

Siem Reap (Hari 3)

Tujuan asal ke Siem Reap sudah tercapai semalam. Hari ini perancangannya Phomn Kulen, sebuah air terjun terletak lebih kurang sejam setengah perjalanan dari Siem Reap. Seperti hari sebelumnya, kami mula bergerak jam 8.30 pagi dan mendapatkan sarapan di Blue Pumpkin. Kali ini hanya 6 orang ke air terjun manakala yang tiga lagi hanya bersiar-siar disekitar pekan.

Perjalanan agak membosankan kerana cuaca agak panas dan jalan berdebu. Kami tiba di sana hampir jam 11 pagi setelah melawat sebuah kuil yang terletak berdekat dengan air terjun. Ternyata musim kemarau mengakibatkan air agak sedikit berbanding musim hujan. Pada mulanya aku tidak teruja untuk turun bermandi-manda di air terjun itu tetapi setelah lama menanti kawan-kawan, aku turun juga. Lega rasanya.


Hampir jam 2 petang, kami pun bertolak pulang ke pekan untuk makan tengahari dan berehat di hotel. Waktu malamnya, kami bersiar-siar untuk membeli cenderahati di pasar lama dan pasar malam.

Aku tidur agak awal pada malam ini kerana kami akan pulang ke KL keesokkanya jam 8 pagi. Cambodia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan sejarah tetapi penduduknya rata-rata masih lagi dibelenggu kemiskinan. Ramai juga kelihatan anak-anak kecil yang meminta sedekah sehingga menangis teresak-esak apabila tidak mendapatkan apa-apa dari pelawat. Syukur dengan kehidupan di Malaysia.

Siem Reap (Hari 2)

Waktu di Siem Reap sejam lewat dari Malaysia tetapi seawal jam 5.30 pagi matahari sudah terbit. Hari ini sememangnya kami teruja kerana akan ke tempat bersejarah dan inilah tujuan asal kami ke sini. Pagi ini hujan turun dengan lebat tetapi berhenti sebaik kami sudah bersedia untuk keluar. Terasa dingin sedikit hawa di sini.

Seperti yang dijanjikan, Sen telah menunggu kami tepat jam 8.30 pagi untuk ke Angkor Wat. Kerana kesuntukkan masa, hanya sempat membeli pastri di Blue Pumpkin sebelum meneruskan perjalanan. Tidak jauh, kurang dari setengah jam sebelum kami tiba di pintu masuk ke Angkor Wat. Perlu mendapatkan tiket untuk melawat dan dijual mengikut jumlah hari. Kami hanya mengambil tiket sehari berharga USD20.


Semakin hampir dengan Angkor Wat semakin seronok kerana dapat lihat dengan dekat peninggalan sejarah. Kami berada di sana lebih kurang 2 jam sebelum bertolak pula ke Bayon, sebuah kuil yang agak kecil tidak jauh dari Angkor Wat. Dari situ kami ke Ta Phrom pula di mana kuil banyak ditumbuhi pokok yang besar di beberapa bahagian kuil ini dan di sini jugalah penggambaran "lara croft' dibuat suatu masa dulu.

Semakin meginjak tengahari, suhu semakin panas. Setelah hampir 5 jam melawat kuil, terasa lapar pulak. Terus pulang untuk makan tengahari dan kembali ke hotel untuk berehat. Waktu malamnya merupakan aktiviti bebas dan kami hanya bersiar-siar di Pub Street.

Thursday, April 29, 2010

Siem Reap (Hari 1)

Selepas Melaka, kali ini destinasi aku ke Siem Reap, Cambodia pula. Tiket sudah kubeli sejak April 2009 hampir setahun lalu dengan hanya RM88 sahaja. Setahu aku juga hanya beberapa teman gym yang akan pergi bersama, rupa-rupanya seramai 8 orang akan turut serta dan mujur aku kenal kesemuanya.

Seperti biasa menjadi tugasan aku untuk memastikan semua berjalan dengan lancar. Penginapan sudah ditempah, pengangkutan juga sudah diatur. Hanya perlu berbincang tempat-tempat yang mahu dilawati.

Kami berlepas pada 23hb April, jam 7 pagi dan tiba di Siem Reap jam 8 pagi waktu tempatan. Penerbangan mengambil masa 2 jam dan waktu di sana adalah sejam lewat dari waktu di Malaysia. Walaupun baru jam 8 pagi tetapi sudah panas terik di sana, jam 5 pagi sudah terang benderang.

Setelah dijemput oleh pihak hotel Ei8th Rooms, kami terus keluar bersiar-siar. Siem Reap hanyalah sebuah pekan kecil tanpa shopping kompleks. Ia lebih terkenal disebabkan oleh peninggalan sejarah terutamanya Angkor Wat. Pertama-tama sekali kami mencari tempat makan yang halal. Bukan mudah untuk mencari ditempat yang rata-ratanya beragama buddha. Kami ketemu dengan satu-satunya restoran makan segera di sini, Kentucky Fried Chicken dan ternyata halal. Memandangkan cuaca sangat panas, kami singgah sebentar untuk makan tengahari dan melepaskan kepenatan. Selesai makan kami berjalan sekitar pekan dan berjaya mencari makanan halal india di Pub Street. Selain itu ada juga Maybank dan Public Bank di situ. Kami pulang untuk merehatkan diri sebelum bersiap untuk ke Ton Le Sap pula.


Ton Le Sap adalah sebuah tasik yang unik dan yang terbesar di Asia. Ia terjadi apabila air sungai dari Mekong melimpah kedalamnya pada waktu musim tengkujuh dan akan mengalir keluar semula waktu kemarau. Namun, tasik yang terbentuk masih mengandungi air hanya paras air akan turun atau naik bergantung pada musim. Tepat jam 4 petang kami bersiap menaiki van ke jeti bot untuk menyusuri Ton Le Sap. Setiap seorang dikenakan bayaran USD10 untuk menaiki bot dan sebaik bot meluncur aku lihat airnya tidak ubah seperti teh tarik. Mula terdetik dalam hati, apakah keistimewaan tasik ini. Dari jeti ke tasik itu mengambil masa hampir setengah jam kerana banyak bot lain yang lalu lalang dan laluannya sempit. Ketika hampir tiba ke muara tasik hujan turun dengan agak lebat. Kami mula panik kerana ombak kecil sudah mula kelihatan dan bot menjadi terumbang ambing. Pemandu bot terus membawa kami ke sebuah bangunan yang rupanya adalah sebuah surau. Sememangnya terdapat beberapa keluarga islam yang tinggal disekitar surau itu namun keadaan surau agak terbiar dan mungkin hanya digunakan ketika misi kemanusiaan dua buah sekolah dari Malaysia bulan lalu. Kami berteduh sebentar sementara hujan reda. Lebih kurang setengah jam kemudian kami menaiki bot semula dan mahu pulang. Tujuan asal untuk melihat matahari terbenam dibatalkan kerana matahari tidak kelihatan selepas hujan.


Namun begitu, kami dapat melihat kehidupan pendudukan yang tinggal ditasik tersebut. Kebanyakkan rumah dibina dengan pelampung tak kurang juga yang dibina atas tiang. Kami tertanya-tanya sesama sendiri apa punca pendapatan orang-orang ini. Sememangnya kehidupan mereka sangat daif. Ton Le Sap sememangnya kelihatan seperti lautan, begitu luas dan besar sekali.

Sebaik pulang dari Ton Le Sap, kami berehat dan membersihkan diri sebelum keluar untuk mencari makan. Memandangkan sebahagian dari rakan-rakan adalah bukan islam, kami berpecah dan makan di Maharajah yang menyediakan makan halal. Agak kecewa kerana nasi beriyani yang kami pesan kurang menyelerakan. Selesaikan makan, kami berjalan-jalan lagi sekitar Pub Street dan ternyata keadaan diwaktu malam sungguh berbeza. Kawasan ini penuh dengan pengunjung berbanding siang hari yang agak lengang.

Kami pulang ke hotel sekitar jam 11 malam dan terus tidur kerana keletihan.

Wednesday, April 28, 2010

Jalan-Jalan Cari Makan ke Melaka

17hb April lalu merupakan hari peperiksaan bagi subjek terakhir semester ini. Subjek Undang-Undang dan Pengurusan Teknologi sememangnya memerlukan aku banyak membaca tetapi aku lebih banyak mem'baca' facebook dari membaca module. Apapun yang terjadi, aku terus meninggalkan dewan peperiksaan selepas 2 jam (walaupun masa diperuntukkan ialah 3 jam 10 minit). Kereta dipandu menuju ke Kota Damansara untuk mengangkut Sheera, Adeq dan Zeck dan terus memandu ke Kota Bersejarah, mana lagi kalau bukan Melaka.


Selain meraikan ulangtahun Nadia, percutian kali ini untuk bertemu dengan Hedra dan Marlin yang mana kali terakhir berjumpa mereka kira-kira 2 tahun lepas walaupun Melaka itu hanya 2 jam perjalanan. Setibanya di Shah Resort, kami terus mendapatkan bilik masing-masing. Tidak lama kemudian, Ila, Nadia, Azlan, Lyn dan Marlin tiba dengan udang masak kari yang disediakan Marlin. Sememangnya lapar, terasa sedap sungguh kari di makan dengan roti. Shah Resort ini agak menarik juga tetapi keadaan pantai agak tidak sesuai untuk bermandi-manda.

Malamnya, tujuan utama adalah ke Jonker Street. Niat untuk menikmati masakan peranakan terkubur kerana kami terlewat. Terpaksalah kami berjalan-jalan disekitar Jonker Street dan seperti menambahkan lagi kekecewaan kami, hujan turun dengan lebatnya. Terus kami ke Dataran Pahlawan dalam keadaan basah kuyup untuk mencari makanan selain akan berkaraoke disitu.

Selesai makan terus ke Pusat Karaoke Dreambox. Walaupun biliknya besar dan selesa tetapi pilihan lagu agak mengecewakan namun tetap juga kami nyanyi sehingga jam 2 pagi. Dari karaoke kami ke kedai mamak sebelum pulang ke Shah Resort.

Keesokkannya, untuk meneruskan juga niat merasaikan masakan peranakan, kami ke Jonker Street sekali lagi. Sebelum itu sempat singgah makan di warung Coconut Shake yang terkenal di Melaka. Ramai sungguh yang menunggu. Disebabkan itu, kami sekali lagi terlewat ke restoran peranakan dan restoran tutup untuk berehat. Aku mengambil kesempatan itu untuk pulang terus ke JB manakala yang lain terus ke Dataran Pahlawan sekali lagi untuk makan petang.

Universal Studio Singapura

Sudah agak lama aku tidak ke Singapura. Kali terakhir 2 tahun lalu atas ajakan rakan dan kali ini juga atas ajakan rakan yang sama, aku pergi ke sana semata-mata untuk menyaksikan sendiri Universal Studio yang baru dibuka di Pulau Sentosa.

Aku ke Kuala Lumpur pada 9hb April untuk menduduki peperiksaan akhir dan keesokannya aku terus terbang dengan Jet Air ke Singapura bersama Shidi, Dira dan Slosh. Penerbangan jam 8 pagi dan kami tiba sejam kemudian. Hari agak mendung kerana hujan renyai dan kerana masih awal pagi, kami terus mencari penginapan di Bugis Street dan meletakkan bagasi sebelum keluar semula untuk bersiar-siar di Orchard Road. Sememangnya hari ini adalah hari aktiviti bebas. Kami berjalan-jalan di situ dari jam 12 tengahari sehingga jam 7 malam. Sempat juga menonton 'Date Nite' yang sememangnya menggelikan hati.

Selesai makan malam kami pulang ke hotel dan Wandy dan Hidayah tiba tidak lama kemudian untuk memberikan tiket Universal Studio yang sudah dibeli untuk kami. Selepas berbual agak lama, mereka pun pulang dan ... tidur lah.



Awal pagi, kami sudah keluar untuk ke Vivo City bagi mendapatkan bas ke Pulau Sentosa. Ezlyn juga tiba dari KL pada hari itu dan terus ke Universal Studio. Walaupun cuaca agak panas tetapi sememangnya menghiburkan. Buat masa ini ada beberapa lagi permainan yang belum dibuka. Kalau berkesempatan, aku pasti datang lagi setelah taman tema ini dibuka secara rasmi nanti.

Wednesday, April 07, 2010

Perihal Pemandu Teksi

Aku baru saja pulang dari KL semalam kerana menduduki peperiksaan akhir di sana. Lebih mudah menaiki kapalterbang, aku terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail pada Isnin lalu. Penerbangan dijadualkan jam 9.40 malam. Seperti kebiasaannya aku akan berjalan kaki ke Econsave untuk mendapatkan teksi. Tidak seperti selalu, aku terpaksa menunggu sebentar sebelum sebuah teksi tiba. Aku tanpa ragu-ragu terus masuk kedalam, rupanya ada seorang remaja india di dalam. 'Saya hantar dia dulu', kata pemandu teksi itu dan aku mengiyakan aje.

Selesai menghantar remaja perempuan itu, terus aku dibawa ke lapangan terbang. 'Mau muzik?' tanya pemandu teksi. 'Tak pe' kata aku tapi terus dinaikkan volume muzik itu sehingga hampir pecah gegendang telinga. Aku diam. Mungkin dia nak menguji aku, dia tinggikan lagi volume. Mujur la jarak lapangan terbang hanya kurang 10 minit dari rumah ku. Aku paling sakit hati sudahlah tidak memandu secara berhemah (memandu laju) kemudian dia hanya turunkan aku diluar pagar dan aku terpaksa berjalan kaki untuk ke pintu masuk. Dalam aku menghala ke arah lapangan terbang aku masih dapat lagi mendengar muzik yang dipasang pemandu teksi itu walaupun sudah jauh menghilang.

Penerbangan AA kali ini agak bagus kerana tiba dan berlepas mengikut waktu. Dalam penerbangan aku bertemu seorang bekas rakan sekerja dan kami berbual perihal kerja. Aku kurang pasti namanya sebab sudah dua tahun tidak berjumpa dan aku pun pasti dia juga tak ingat namaku.

Dari LCCT aku terus mendapatkan bas ke KL Sentral. Aku kurang suka untuk menggunakan teksi yang menunggu di kawasan bas berhenti. Aku rasakan kadang-kala mereka bersikap kurang sopan. Terus aku mendapatkan budget taxi walaupun harganya lebih kurang, atau mungkin lebih murah, mereka lebih berhemah.

Sebaik aku masuk kedalam teksi, aku terdengar 'where to?'... 'Bandar Baru Sentul' jawabku. 'Kat mana?'.. terus dia berbahasa melayu tetapi begitu lembut dan sopan sekali. Setibanya di rumah ku, pemandu teksi wanita ini bertanya lagi. .. 'nak masuk ke dalam ke?'.. 'Tak pe' jawabku. Ketika aku melangkah keluar aku terdengar 'Terimakasih'. Sungguh tersentuh hati dengan budibahasa Kakak itu walaupun kepala aku masih lagi berdengung dengan bunyi bingit teksi di JB itu..

Thursday, April 01, 2010

Motivasi

Minggu lalu dan minggu ini aku bagai tiada motivasi untuk bekerja. Segalanya aku lakukan sambil lewa sehinggakan aku ditegur oleh boss kerana tidak teliti dalam kerja. Entah apa yang aku fikirkan. Mungkin aku sudah terlalu bosan bekerja disini atau mungkin kerana peperiksaan akhir yang akan menjelang tidak lama lagi aku sendiri tidak pasti.

Peluang untuk mewakili division dalam pertandingan tenis inter-division pada bulan Mei akan datang terpaksa ditolak kerana aku tidak dapat memberikan komitment sepenuhnya. Latihan akan diadakan setiap hari Sabtu di PERMATA, Bangi. Sepanjang bulan ini aku banyak aktiviti riadah selain peperiksaan akhir untuk semester ini. Mungkin belum rezeki aku ....

Monday, March 29, 2010

Energizer Night Race

Sabtu lalu, sebaik saja taman waktu kerja, aku terus memandu ke KL. Hajat dihati mahu singgah makan di A&W. Teringin makan Mozza Burger dengan rootbeer float. Tiba saja di sana aku lihat ramai sedang beratur terus terbantut hajat besar aku itu. Aku pun terus ke Al-Ikhsan untuk mendapatkan seluar pendek dan stokin.

Rancangan asalnya aku akan terus ke KL tetapi selepas mendapat panggilan dari Hadi aku terus ke rumahnya di Taman Equine. Hari tu, 27hb aku telah mendaftar untuk menyertai larian "Energizer Night Race". Aku tinggalkan seluar pendek dan stokin di Johor kerana aku mahu mengambil barang-barang itu di rumah KL. Namun setelah rancangan bertukar, aku terpaksa membeli yang baru. Takkanlah aku berlari tak berseluar dan stokin, kan?

Tiba di rumah Hadi aku berehat sebentar sebelum keluar ke Cyberjaya, lokasi larian, pada jam 7 petang. Walaupun jarak rumah ke lokasi agak dekat, tapi jalan ditutup dan aku terpaksa berpusing beberapa kali untuk sampai ke sana. Tempat yang dituju masih belum kelihatan dan petrol juga sudah menunjukkan warna kuning. Aku mula menggelabah. Agak susah juga mencari stesen petrol di sekitar kawasan ini. Mujur dalam memandu tanpa arah itu terjumpa dengan stesen Petronas dan aku bertanyakan pekerja-pekerja bangla disitu, hala tuju aku sebenarnya sangat dekat.

Larian sepatutnya bermula jam 9 malam untuk kategori aku. 10km saja. Seperti yang dijanjikan, aku bertemu dengan SS hadapan Putrajaya Sentral. Waktu itu sudah hampir 8.20 malam. Tidak kelihatan pun orang yang menunggu bas 'feeder' untuk ke lokasi pelepasan. Rupa-rupanya bas ada dibawah. Aku dan SS terus berlari untuk mendapatkan bas, ternyata ramai juga yang menunggu. Tiba saja di garisan permulaan baru terasa lega. Dalam 15 minit lagi perlumbaan akan dimulakan. Sempat juga mencari-cari rakan-rakan yang lain dalam kegelapan malam kerana lampu telah ditutup sempena 'Earth Hour'. Setiap pelari dibekalkan lampu suluh 'headlights'.

Larian kali ini aku rasa agak mudah berbanding dengan larian kali pertama aku penghujung tahun lalu. Cuma ketiadaan penanda jalan menyebab aku tidak pasti sama ada mahu memecut atau berlari secara konsisten. Bimbang aku pancit lebih awal. Pada 2km terakhir, kami diberi tahu jarak yang masih tinggal untuk habis kan. Aku pun memulakan pecutan. Semakin lama, semakin lagu. Aku terdengar bunyi kompang dan ketukan rebana semakin hampir. Aku lihat kain rentang juga semakin dekat. Aku semakin mengorak langkah tetapi rupa-rupanya aku tertipu. Garisan penamat masih lagi 500 meter kehadapan. Tapi aku teruskan juga. Tiba digarisan penamat tepat 58 minit. Sememangnya dalam target.

Aku terus pergi mendapatkan 'goodie bag' dan posing di photo corner sebelum beredar untuk menunggu feeder bus. SS berjaya menamatkan larian dalam 68 minit. Larian kali ini terasa mudah kerana tidak banyak laluan berbukit seperti di Putrajaya. Aku masih terasa segar dan ini membuatkan aku berkobar-kobar untuk ikuti acara larian yang akan datang tak lama lagi; New Balance Pacesetter pada 16 May ini dan Standard Chartered KL Marathon pada bulan June nanti.

Tuesday, March 23, 2010

Tandas

Hampir dua tahun lalu aku kembali ke pejabat ini setelah meninggalkannya agak lama. Berpuluh tahun la juga. Sungguh berbeza dengan keadaan masa mula-mula aku tinggalkan tempat ini. Walaupun terdapat bangunan yang lebih baru dan kononnya lebih canggih, tetapi kemudahan tandasnya lebih teruk berbanding dahulu.

Pertamakali masuk ketandas, aku kecewa kerana banyak bilik yang dalam keadaan buruk. Ada yang pamnya tidak berfungsi, ada yang tersumbat dan ada juga yang tiada kepala paip langsung.

Dalam begitu, aku terpaksa juga memilih salah satu tandas untuk digunakan. Aku pun memilih satu yang agak besar dan terdapat sinki dalam tandas itu. Alhamdulillah, selamat tetapi aku lihat banyak stokin dan seluar dalam yang diselit celah-celah batang paip dalam tandas itu. Aku keluar dengan perasaan hairan.

Lama-kelamaan, aku perhatikan tandas ini kadang-kala mendatangkan masalah. Kenapa? Sebab kadang-kadang dengan tidak semena-mena, air tak ada. Kering begitu saja. Bayangkan kalau sedang melepaskan hajat besar?..

Selang beberapa minggu, satu-satunya teman sekerja yang rapat dengan aku membebel-bebel tatkala kami keluar untuk makan tengahari. Rupa-rupanya dia terperangkap dalam tandas kerana ketiadaan air waktu dia membuang air besar. Puas dia menunggu air tak juga datang, akhirnya dia terpaksa mengorbankan stokinnya. Aku tergelak besar sepanjang hari itu. Terjawablah persoalan aku selama ini.

Hampir 5 bulan disini aku dihantar ke Kuantan pulak. Alhamdulillah, Kuantan tidak punya banyak masalah. Setelah selesai di Kuantan hampir setahun aku kembali ke sini. Keadaan tandas masih seperti dulu mungkin lebih baik kerana tiada lagi masalah air kerana aku perhatikan air sentiasa mengalir. Cuma aku terkilan sebab bilik tandas kegemaran aku, pintunya semakin singkat. Setiap apa yang dilakukan dalam tu akan ternampak bayangnya dari luar. Dan itu bukan lagi menjadi tandas pilihan aku sejak aku pulang ke sini.

Fikirkan...

Ahad lalu ketika dalam penerbangan pulang ke JB, duduk diantara aku dan seorang pakcik keturunan Jawa, seorang pemuda cina. Dalam penerbangan hendak berlepas, pakcik tadi bertanya pada pemuda cina disebelahnya, 'ini air kamukah?' sambil menuding jari ke arah sebotol air mineral yang hanya tinggal suku saja terletak di depan pemuda cina tadi. 'Ya' jawab pemuda cina itu. 'Boleh mintak sikit?' kata pakcik itu lagi. Pemuda cina itu pun berkata 'boleh, habiskan lah semua'. Pakcik itu pun mengambil air itu dan terus minum sehingga habis seraya berkata 'Kering tekak saya, cuaca panas'. Dan pakcik itu cuba berbual dengan pemuda cina itu tapi dia seakan tidak berminat untuk berbual dan aku?.. aku terkedu.

Tiga Bulan Berlalu...

Sungguh pantas masa berlalu. Terasa seperti baru saja melangkah ke tahun baru semalam, sudah pun tiba ke penghujung bulan Mac. Selalunya, aku akan melakukan pelbagai aktiviti luar namun setakat ini hanya sempat mendaki Bukit Tabur dan Bukit Broga. Rancangan ke Gunung Yong Yap juga sudah tergendala beberapa kali disebabkan ketiadaan pemandu jalan.

Pelajaran aku juga masih diteruskan. Semoga semuanya akan berjalan lancar dan insya'Allah pertengahan tahun hadapan akan selesai. Atas sebab itu juga tahun ini aku kurang membuat perancangan bercuti kerana takut bertembung dengan jadual peperiksaan yang selalu dikeluarkan lewat. Percutian aku ke Siem Reap yang dirancang tahun lalu juga hampir dibatalkan kerana jatuh pada musim peperiksaan. Namun aku lega kerana ternyata semua subjek aku akan selesai sebelum aku bercuti.

Bermula awal tahun ini, aku kembali bertugas di Pasir Gudang. Tidak lagi di Kuantan. Aku masih terasa kekok bekerja di sini atau aku sendiri tidak mahu membiasakan diri, aku pun tidak pasti. Yang pasti, aku tidak suka dengan keadaan sekeliling dan juga sesetengah orang di pejabat. Peluang kerja baru juga sudah beberapakali menjenguk aku. Namun aku perlu memberikan notis berhenti selama tiga bulan menjadi penghalang kerana majikan baru enggan menunggu terlalu lama. Hampa tapi mungkin bukan rezeki aku. Aku perlu bersabar.