Friday, April 27, 2007

Selamat Tinggal...

Jalan agak lengang semalam. Kenapa?... Sebab berlangsung istiadat pertabalan Yang Di Pertuan Agong Ke-13. Walaupun kerajaan mengisytiharkan cuti untuk kaki-tangan kerajaan, syarikat swasta diberi kebebasan samada cuti atau tidak. Aku, terpaksa kerja.

Waktu pagi aku diisi dengan kerja-kerja pejabat manakala waktu petang agak lapang sedikit. Petangnya aku terus ke gym. Tidak banyak yang berlaku semalam. Satu hari yang agak biasa.

Selesai gym aku pulang terus ke rumah dan mengemas barang-barang keperluan untuk aku mendaki gunung malam ini. Rasanya semua sudah aku siapkan, cuma menanti perjalanan saja petang nanti. Cuma aku terkilan sedikit kerana pada waktu ini datang pula undangan untuk menyertai Datuk Siti Nurhaliza di Malay Mail Big Walk untuk kategori Fun Walk 3KM Ahad ini. Sudah pasti aku tidak dapat ikut. Yuran penyertaan akan dibayar oleh pihak Datuk... hmmm...

Insya'allah, malam nanti aku akan bertolak dengan keretapi menuju ke Dabong, Kelantan dan bermulalah pendakian Gunung Stong dan Ayam serta bermandi-manda di Air Terjun Jelawang. Blog tidak akan dikemaskini sehingga aku pulang pada hari Selasa nanti atau mungkin... selamanya.

Thursday, April 26, 2007

Makan...

Semalam aku makan tengahari bersama Jess di Prince Hotel. Kata Jess, Dim Sum di situ sedap. Aku mengikut saja kerana dia mahu belanja. Memang ternyata sedap tetapi agak mahal sikit, mujur ada member kad, diskaun 50% untuk 2 orang.

Rancangan untuk menonton wayang hari ini dibatalkan kerana tidak ada cerita seram yang waktu tayangannya bersesuaian. Aku akhirnya merancang untuk memasak makan malam lalu mengajak Nik dan Ajeem untuk makan bersama. Aku sendiri tidak pasti apa yang aku masak... he he he

Malam tadi aku ke rumah Mawi bersama dengan Fadhil untuk menguruskan barang-barang dan kelengkapan perkhemahan. Selesai semuanya aku terus pulang kerana hari ini, aku kerja...

Tuesday, April 24, 2007

Puas!!!...

Letih tapi puas, itu yang dapat aku rasakan selepas selesai kelas basic steps tadi. 'Jadi, lepas ni dua kelas?'tanya Kak Nor... Aku mengiyakan saja. Memang terasa letih apabila pertama kalinya aku menyertai dua kelas step hari ini,Intermediate dan Basic tetapi amat menyeronokkan.

Siang tadi aku diberitahu permohonan pinjaman peribadi dari bank sudah diluluskan. Terasa gembira kerana dapat membantu adikku untuk menyelesaikan hutang piutang bekas suaminya. Terus aku ke bank-bank yang berkenaan untuk menyiapkan segala keperluan. Penyata cukai juga sudah aku siapkan dan boleh dihantar esok.

Di gym tadi, ada beberapa orang yang biasa aku lihat menegurku buat kali pertama. NA pula sedang dalam dilema samada mahu meneruskan keahlian atau membatalkannya terus. Aku sendiri juga sedang memikirkannya. Diam tak diam, sudah setahun aku menyertai gym ini. Memandangkan kontrak hanya boleh dibatal setelah cukup setahun, maka tiba masanya untuk aku membuat keputusan...

Monday, April 23, 2007

Aku atau...

Bodoh! Bodoh! Bodoh!... Hanya itu saja yang mampu aku ucapkan. Aku sememangnya bodoh. Dari dulu, terasa seperti dibodoh-bodohkan dengan mainan perasaan. Sebentar tadi, aku berasa terlalu bodoh... Tapi betulkah aku bodoh?...

Sebenarnya bila aku fikir semula, tadi aku tidak bodoh. Malah orang yang sudah lama dalam kelas intermediate/advance steps itu juga masih terkial-kial. Memang rutin kali ini susah. Ada juga yang berlanggar sesama sendiri. Chong Wei yang boleh dikatakan baik juga tersalah posisi. Jadi, tadi aku tidak bodoh. Cuma aku masih diperingkat permulaan. Aku perlu bertatih dan banyak bersabar. Tetapi malam ini pertama kali menyaksikan aku keluar dari kelas steps walaupun baru bermula kurang dari 15 minit. Memang aku menyerah kalah kali ini. Apakan tidak?... aku asyik saja terlanggar orang di sebelahku. Terasa aku mengganggu pergerakan mereka.

Di pejabat tadi, ada mesyuarat tentang projek baru. Aku terlibat sama. Rakan sekerja aku sepertinya teringin sangat mengambil bahagian dengan harapan dapat ke Australia nanti. Aku biarkan saja.

Hujan Lebat...

Hujan lebat di luar. Aku terpinga-pinga memikirkan bagaimana mahu ke hotel. Mahu ke kereta saja sudah satu kesukaran kerana angin terlalu kencang diselang-seli dengan petir. Aku menunggu hampir setengah jam sebelum aku nekad untuk berlari menuju ke kereta dan terus memandu ke hotel. Petang Jumaat lalu ada acara makan malam syarikat dan aku seperti biasa salah seorang ahli jawatankuasa yang tidak bertauliah menguruskan perjalanan majlis.

Malam ini sepatutnya juga malam meraikan dua orang pengarah yang akan meninggalkan syarikat. Tetapi seperti yang dijangka, kedua-duanya tidak hadir tetapi majlis diteruskan juga. Aturcara majlis bermula dengan doa dan makan malam. Tugas aku, menyediakan hiburan sewaktu malam malam dan juga pertandingan bakat berkumpulan. Segalanya berjalan dengan baik. Aku juga menang tempat pertama dalam pertandingan bersama Fauzee walaupun tidak berkesempatan untuk berlatih. Peserta yang lain agak bagus juga.

Hampir jam 11 malam, majlis pun selesai dan aku terus pulang. Adik ku sudah berada Aku bangkit jam 12 tengahari. Hampir 12 jam aku tidur. Petang itu aku berehat tanpa membuat apa-apa. Waktu malamnya aku mengajak Nik dan Ajeem untuk makan malam di rumah sambil menonton konsert AF. Aku menyediakan macaroni goreng dan ayam goreng.

Semalam, aku karaoke bersama William dan Ariff. Lama sudah tidak berjumpa dengan William. Dia datang bersama seorang teman, lupa pula namanya. Walaupun masih batuk, sempat juga aku menyanyi sehingga hampir hilang suara. Dari situ, aku terus ke gym untuk bersenam sebentar. Hujung minggu ini aku akan menyertai ekspidisi mendaki Gunung Stong di Kelantan. Aku harus berada dalam kesihatan yang cergas....

Friday, April 20, 2007

Batuk...

Semalam ada tugasan baru untuk projek di Australia. Aku sedikit gementar kerana pihak sana begitu teliti dan terperinci dengan setiap prosedur-prosedur kerja mereka. Tugasan ini harus dihantar pertengahan bulan hadapan. Aku tidak pasti siapa yang akan ke sana, cumanya rakan sekerjaku seakan berminat untuk ke situ. Biarkanlah...

Aku sempat makan malam dengan Jess di Chilis, KLCC. Berborak-borak seperti biasa. Sebelum pulang aku ke farmasi untuk mendapatkan ubat bagi batuk aku yang masih tidak mahu hilang. Tidur aku juga menjadi sukar kerana agak sesak nafas. Aku diberi ubat batuk yang akan membuatkan aku mengantuk. Harap-harap tidur aku menjadi lena.

Petang nanti aku terpaksa menguruskan persembahan untuk jamuan syarikat di Best Western Seri Pacific Hotel. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar. Aku sendiri tidak pasti samada aku boleh menyanyi atau tidak dengan keadaanku yang masih batuk ini...

Wednesday, April 18, 2007

Kembali...

Semalam aku ke kelas Intermediate steps seperti biasa. NA juga ada tetapi hanya mengikuti separuh jalan saja. Mungkin dia kepenatan. Selesai kelas, aku berborak dengan Kak Nor dan mungkin aku akan kembali ke kelas Basic steps minggu depan.

Pagi tadi, agak banyak kerja yang perlu aku siapkan. Mujur semua kerja-kerja projek berjalan dengan baik kecuali kerja-kerja kelab sukan untuk mendapatkan peserta-peserta bagi pertandingan karaoke berkumpulan Jumaat ini. Aku menjadi buntu apatah lagi aku sendiri belum membuat persediaan.

Tengahari tadi, Wan Hazlan singgah ke rumah dengan jurufoto untuk mengambil gambar ruang balkoni. Katanya mahu dijadikan artikel menghias balkoni dalam majalah. Majalah apa, aku sendiri kurang pasti dan seperti biasa aku tidak bertanya panjang lebar.

Tadi aku ke gym dan waktu dalam perjalanan pulang, Fadhil meminta bantuan untuk menempah tiket Air Asia ke Surabaya untuk rakan sekerjanya yang ingin pulang. Aku merasa gembira kerana Fadhil datang dengan dua pokok daun yang agak cantik ...


dan satu lagi yang memang menjadi kegemaranku walaupun tidak sesegar dan semontel yang pernah aku lihat...kiambang.


Teringat aku pada janji seseorang untuk membelikan pasu seperti di atas sebagai hadiah ulangtahun hari lahir aku tahun lalu tapi hanya tinggal kenangan. Yang pasti, aku tidak meminta... he he he. Apa pun, aku gembira sekali dengan pemberian ini. Mungkin aku akan mencari sendiri kiambang yang lebih segar.

Tuesday, April 17, 2007

sakit...

Sudah lebih seminggu aku mengalami sakit tekak. Kadang-kadang menyebabkan aku batuk terutamanya diwaktu malam. Pagi semalam aku ke klinik untuk rawatan. Menurut doktor kerongkong aku agak sensitif. Mudah dijangkiti. Aku diberi cuti sehari dan ubat-ubatan. Terdetik juga untuk menonton wayang tapi aku fikirkan lebih baik aku berehat saja di rumah.

Petang semalam seperti biasa adalah hari yang sentiasa aku tunggu. Kelas intermediate/advance steps memang menyeronokkan lebih-lebih lagi rutin semalam agak mudah atau aku sudah bertambah baik?...

Monday, April 16, 2007

Letih...

Pejam celik, pejam celik dah hari Isnin. Masa berlalu begitu pantas tanpa disedari. Sempat aku menyelesaikan satu tugasan mudah yang diminta oleh boss aku. Barulah aku boleh menulis sekarang ini.

Sabtu lepas aku pergi casting sekali lagi. Kali ini untuk iklan TM. Sedang aku menjalani sesi casting, ada seorang lagi calon yang tiba. Agak tampan dan tinggi dari aku. Pasti dia akan dapat watak itu. Tak pe, yang penting aku cuba sebaik mungkin.

Dari sesi casting, aku terus ke majlis perkahwinan Najmi dengan Huda di Pandan Jaya. Mereka berdua adalah rakan-rakan berkhemah dan memanjat gunung aku. Mulanya terasa malas hendak pergi tetapi selepas aku menelefon teman-teman lain, ramai juga yang tidak pergi, terpanggil pula aku untuk menghadirkan diri. Tiba di sana, rupanya Khalid dan keluarga, Mawi, Eddy, Betty, Haiza sudah ada. Tidaklah aku keseorangan.

Sedang aku menikmati hidangan nasi minyak itu, aku menerima satu sms. Agak mengejutkan tetapi ia membuatkan aku tersenyum sendiri. Belum pernah lagi terjadi perkara begini pada diriku. Rupanya, ada juga peminat aku... he he he

Selesai kenduri kahwin, aku terus pulang berehat sementara menunggu waktu untuk berjumpa dengan rakan-rakan berkhemah yang lain untuk taklimat mendaki Gunung Stong akhir bulan ini. Perjumpaan diadakan di Tasik Titiwangsa. Cuaca agak suram kerana baru lepas hujan. Aku terus pulang ke rumah selesai perbincangan.

Malam ini aku hanya menonton Konsert AF5 di rumah. Membosankan.

Esoknya, Ariff mengajak aku ke gym di The Curve. Selesai gym, kami menikmati Dim Sum di Eden memandangkan ada promosi. Memang murah. Puas aku hati aku. Sebelum itu, Othman mengajak aku untuk menyaksikan pencarian Lelaki Maskulin di BTS. Aku turutkan saja. Ajeem pun datang tidak lama kemudian. Agak membosankan tetapi peserta pilihan aku menjadi juara... he he he. Kemudian aku dan Ajeem berpusing-pusing di sekitar bukit bintang untuk membeli-belah. Dari pagi sehingga malam aku berada di luar. Keletihan...

Saturday, April 14, 2007

Makan...

Pagi semalam aku ke KWSP untuk mengaktifkan I-Akaun bagi memudahkan penyemakan akaun aku. Tak lama dan tak rumit. Dalam masa 15 minit segalanya selesai, itu termasuk waktu menunggu selama 13 minit.

Seperti hari-hari yang lepas, tiada sebarang kerja yang ada untukku. Sepanjang hari, aku hanya melayari internet. Selesai solat Jumaat, aku terus ke Cheras untuk menghadiri satu pertemuan dengan sebuah syarikat yang sedang mencari pekerja. Aku dipanggil bukan untuk ditemuduga tetapi lebih kepada sesi suai kenal sebelum temuduga yang sebenarnya. Jawatan yang ditawarkan agak baik tetapi aku harus memikirkan dengan lebih mendalam lagi.

Malam tadi, aku mengajak Sheera, Yus, Ezz dan Ajeem untuk makan malam di warung makanan laut kegemaranku. Mujur tidak ramai orang di sana dan kami mendapat meja yang besar berbanding dengan kali terakhir kesitu dulu. Seperti biasa, makanan memang sedap. Selesai makan kami beredar ke Bintang Walk untuk menikmati ais-krim di situ. Kami menghabiskan set fondue ais-krim dan buah-buahan yang dicelup ke dalam coklat cair. Sedap tetapi masih tidak puas, masing-masing memesan satu skoop ais-krim lagi.

Sebentar lagi aku harus menghadiri sesi casting untuk iklan yang aku sendiri tidak pasti. Malas rasanya tetapi aku akan pergi sebelum aku terus ke Pandan Jaya untuk menghadiri majlis perkahwinan Najmi dan Huda. Selepas itu, aku akan ke Tasik Titiwangsa untuk perbincangan mendaki Gunung Stong di Kelantan akhir bulan ini.

Esok, aku mahu tidur saja...

Friday, April 13, 2007

Bincang...

Aku ke gym petang semalam. Diluar kebiasaan aku sekarang ini, aku sertai kelas bodysteps. Seronok kerana dapat mengeluarkan peluh yang banyak. Selain itu, aku melakukan senaman kardio yang lainnya.

Selesai gym, aku bertemu dengan Eddy dan Bard untuk membincangkan percutian ke Bangkok akhir bulan Jun nanti. Sebetulnya, aku merancang untuk pergi sendirian tetapi bila aku bertanya pada Eddy samada mahu ikut atau tidak, akhirnya Eddy dan teman-temannya seramai lima mahu ikut serta. Perbincangan lebih menjurus kepada tempat penginapan dan aturcara di sana nanti. Seperti kebiasaannya, apabila sudah ramai, banyak pula idea yang datang. Aku hanya membiarkan mereka dengan idea mereka, yang penting pada aku adalah tempat tinggal sewaktu berada di sana nanti. Yang lainnya, boleh dirancang waktu di situ nanti.


Thursday, April 12, 2007

Jangan...

Jangan... Jangan pandang belakang, tapi kalau pandang pun tak pe. Memang boleh dikatakan filem 'Jangan Pandang Belakang' adalah antara filem seram tempatan yang benar-benar menyeramkan yang pernah aku tonton. Walaupun efeknya kurang nyata, tetapi impak seram itu kadang kala membuatkan bulu roma aku berdiri. Aku sedikit kecewa dengan jalan ceritanya yang meleret di permulaan cerita. Aku mengharapkan lebih banyak adegan membuang saka itu ditunjukkan kerana itu memang ada dalam budaya orang melayu. Terlalu singkat. Boleh dikatakan klimaks agak lemah atau tiada klimaks. Bab-bab seram yang sama boleh ditonton dalam mana-mana filem seram Korea atau Jepun.

Sebelum menonton wayang dengan Ajeem, aku sempat ke gym terlebih dahulu. Sempat berbual dengan beberapa orang kenalan yang agak lama tidak bersua.

Sementara itu, perkembangan terbaru, aku sudah tidak boleh 'chat' di pejabat. Semuanya sudah disekat. Bertambah bosanlah hari-hari ku ini.

Esok aku dipanggil untuk berjumpa dengan orang kuat sebuah syarikat yang bakal aku pergi untuk temuduga. Katanya perjumpaan biasa saja sebelum temuduga nanti.

Wednesday, April 11, 2007

Sedia atau tidak? ...

Hari Selasa memang dinanti-nantikan. Tidak sabar rasanya untuk masuk kelas intermediate steps. Selepas kegagalan untuk melakukan gerakan dalam kelas intermediate/advance steps semalam dengan baik, aku mengharapkan kelas hari ini lebih menyeronokkan. Ternyata hari ini lebih menarik kerana aku dapat melakukan setiap gerakan dengan betul. Terdetik seketika untuk masuk ke kelas basic steps kerana Kak Nor pernah bertanya tapi mungkin bukan waktunya lagi.

Semalam aku terima panggilan dari Yusri meminta aku menghantar CV aku kepadanya secepat mungkin. Walaupun aku sedikit teruja tetapi aku cuba untuk mengawal perasaan kerana majikan Yusri adalah klien project terbaru kami. Aku tidak pasti bagaimana untuk bertindak dan sudah pasti boss aku sendiri tidak gembira dengan perkembangan ini. Aku juga tidak pasti samada aku sudah bersedia untuk berpindah atau tidak.

Selesai gym, aku sempat membeli barangan dapur di Cold Storage dan terus pulang. Saiful dan temannya masih lagi menumpang di rumahku. Aku membawa mereka ke Nailis untuk makan malam. Seperti biasa banyak perkara diborakkan sehingga kami pulang kerumah.

Tuesday, April 10, 2007

Demam Lagi?...

Setelah lebih lima hari tidak ke gym, aku mengikuti kelas intermediate/advance steps semalam di Wisma SPK. Aku tiba agak awal dan melakukan senaman lazim seperti biasa. Aku berlari dan mengayuh. Apabila hampir waktu kelas bermula, aku terasa seperti hendak demam namun aku teruskan juga. Kali ini, papan di susun memanjang di kiri dan kanan kami sebaris. Begitu juga dengan baris di belakang. Kami akan menggunakan papan-papan di kiri dan kanan dan juga di belakang. Seperti biasa, aku hanya dapat melakukan separuh daripada rutin sepenuhnya. Selebihnya aku hanya melihat.

Pulang ke rumah, aku terasa sakit-sakit sendi seperti hendak demam. Aku memakan ubat dah terus tidur. Habis basah bantal aku dengan peluh. Hari ini masih terasa sedikit demam. Harap-harap petang nanti bertambah baik kerana aku ingin masuk kelas steps lagi.

Semalam aku berjumpa dengan NA di KLCC untuk menyampaikan sesuatu padanya. Kami sempat minum dan berborak di La Cucur sebelum aku ke gym.

Monday, April 09, 2007

Kerja...

Hari ini aku kembali semula ke pejabat dengan kerja-kerja biasa yang aku lakukan. Masih lagi terasa penat dari 4 hari terlibat dengan rakaman iklan. Hari ini juga aku dapat rasakan banyak kerja yang perlu aku lakukan terutama dengan projek baru yang masih lagi belum mendapat ahli projek mereka dan sering meminta pertolongan dariku untuk membantu. Aku kadang-kadang tidak faham mengapa sehingga kini sudah hampir dua bulan, masih belum dapat mengumpulkan keseluruhan ahli projek untuk menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya. Apakah mereka merasa lebih mudah untuk meminta bantuan dariku setiap kali memerlukannya?...

Sudah hampir dua bulan projek ini diberi kepada kami. Sudah hampir dua bulan juga klien masih belum melihat keseluruhan ahli projek dipersembahkan kepada mereka. Aku rasa, tahap kepercayaan dan kesabaran pihak klien juga sudah mulai goyah. Aku cuma berharap mereka tahu apa yang mereka lakukan sebelum klien bertukar fikiran...

Sunday, April 08, 2007

Orang Seni...

Diam tak diam, sudah selesai empat hari aku berada di lokasi dan aku keletihan yang amat sangat. Manakan tidak, semalam aku ke studio jam 11.30 pagi dan pulang jam 5 pagi tadi. Walaupun watak aku tidak seberapa tetapi watak utama tidak dapat menjiwai wataknya menyebabkan aku terpaksa mengulang semula lakonan bersamanya. Pelakon lain amat mudah menjayakan watak mereka. Hanya seorang ini saja masih tidak dapat menyerlahkan lakonannya. Aku dibenarkan pulang jam 4.45 pagi tadi. Tiba di rumah aku terus mandi dan tidur.

Terfikir aku sejenak, kehidupan orang seni, begini rupanya. Aku lebih memahami kerjaya orang seni sekarang. Aku juga lebih menghargai kerja-kerja mereka. Perlu ada tahap kesabaran yang tinggi. Persoalan sekarang ini... apakah aku akan melakukannya sekali lagi jika ada peluang?... Mungkin, kalau bayarannya setimpal dengan usaha aku ... he he he

Aku masih letih, aku nak tidur...

Friday, April 06, 2007

Pengalaman...

Meletihkan. Itu saja yang boleh aku katakan. Walaupun tugas aku hanya sedikit, tetapi ulang rakaman yang berkali-kali dan menunggu untuk set disiapkan sememangnya memenatkan. Betul kata orang, penantian itu suatu penyiksaan. Namun, krew dan pelakon-pelakon yang ramah membuatkan aku agak selesa setelah dua hari bersama mereka.

Semalam sebelum pulang, aku diberitahu untuk ke studio jam 8 pagi. Aku bangun seawal 6.30 pagi untuk bersiap ke set. Aku membiarkan telefon bimbit aku di luar bilik. Sebaik aku memeriksanya, ada pesanan ringkas memberitahu aku tidak diperlukan hari ini. Aku pun terus menukar baju dan terus ke pejabat. Sebaik tiba di pejabat aku menerima panggilan memberitahu aku diperlukan di set. Aduh!... dan aku diperlukan dengan kadar SEGERA!

Aku pun pulang ke rumah untuk menukar pakaian. Sambil itu telefon bimbit berdering bertalu-talu memanggil aku untuk ke set dengan cepat. Tiba di sana, aku terus menukar baju dan terus memulakan rakaman. Begitu rupanya kerja-kerja di belakang tabir walaupun kelihatan indah di kaca tv.

Aku berada di set sehingga jam 2 petang berkerja dengan seorang pelakon dari Thailand. Selebihnya aku cuma diminta untuk menunggu. Akhirnya aku dibenarkan pulang sekitar jam 10.30 malam dan minta untuk datang ke set jam 11 pagi hari ini. Aku terima pesanan ringkas memberitahu untuk ke lokasi petang pula. Harap-harap hari ini selesai semua tugas aku.

Sebagai orang baru, pengalaman ini amat menyeronokkan. Aku dapat melihat bagaimana warga seni berkerja. Seronok bertemu dengan mereka dan aku juga mendapat kenalan baru. Satu perkara yang pasti, makanan dan minuman sentiasa tersedia. Pasti bertambah berat badan aku selepas ini... he he he

Thursday, April 05, 2007

Indah?...

Aku kepenatan. Seharian aku berada di situ seawal jam 8 pagi. Sarapan disediakan namun aku segan dan sedikit was-was untuk makan. Aku cuma menanti di situ sebelum aku dipanggil Jessi untuk masuk ke dalam. Aku diperkenalkan dengan warga kerja di situ. Aku mencari satu sudut untuk duduk dan lihat kerja-kerja dilakukan. Tidak lama kemudian, aku diminta untuk menyalin pakaian. Aku turutkan sahaja.

Aku terus dipanggil ke set untuk rakaman yang pertama. Kerjaku agak mudah, cuma melangkah ke hadapan dan menghulurkan produk kepada pelakon utama... he he he.

Sebenarnya aku terlibat dalam pembikinan iklan untuk satu produk pencuci serbaguna. Walaupun perkara yang aku perlakukan agak mudah, namun kami terpaksa mengulang perkara yang sama banyak kali. Terlalu banyak. Di luar pengetahuan aku, selain iklan untuk siaran tempatan, aku juga harus melakukannya untuk siaran Thailand dan Korea. Setiap negara akan mempunyai dua versi iklan ini di mana sasaran penontonnya ada golongan berumur dan yang muda. Bermakna, aku perlu melakukannya untuk enam versi tetapi di Malaysia pula ada tiga bahasa. Jadi kesemuanya, aku perlukan untuk sepuluh versi.
Hari ini saja, aku sempat melakukan untuk tiga versi. Aku keletihan kerana banyak mengulang di samping menunggu untuk set disediakan kembali. Sering bila aku melihat iklan di kaca TV, aku terasa alangkah indahnya dunia mereka. Tetapi terlalu berbeza dengan dunia sebenar. Namun, ini adalah satu pengalaman yang berharga buat aku, selain wang saku untuk perbelanjaan... he he he.

Tuesday, April 03, 2007

Baru?...

Telefon berdering. Jam sudah menunjukkan 12.15 tengahmalam. Waktu tidur aku.Disusuli pula dengan pesanan ringkas. Aku lihat. Jess dari Mugshot meminta aku menelefonnya kembali. Aku pun terus mendail nombornya. Ada tugasan untukku rupanya.

Siangnya aku sempat ke kelas intermediate/advance steps. Seperti biasa, aku masih lagi terkial-kial dengan setiap langkah aku walaupun kali ini bersendirian tanpa berkongsi papan dengan orang lain. Namun, aku tetap cuba sedaya upaya aku. Aku meninggalkan kelas lebih awal memandangkan Saiful sudah tiba di KL Sentral seawal jam 8 mlm. Selepas membersihkan diri aku terus menjemputnya.

Petang ini, aku ada sesi temuduga untuk kerja baru. Aku sedikit gementar kerana sudah lama aku tidak membuat kerj-kerja untuk project. Aku harap masih lagi ingat sedikit sebanyak perkara berkaitan tugasan-tugasan itu.

Apakah aku akan ke tempat baru selepas ini?...

Monday, April 02, 2007

Kemas...

Satu lagi hujung minggu berlalu. Tidak ada aktiviti yang aku rancang. Jess mengajak aku keluar menari tetapi aku sudah agak lama tidak keluar malam terasa malas pula. Aku habis masa lapang dengan berehat dan mengemas rumah yang sudah lama terbiar. Jess pula sempat memberitahu dia menghabiskan RM710 waktu jualan gudang Lo'real yang lepas. Walaupun aku sudah mendapatkan barangan yang dia mahu, keesokannya dia pergi sendiri dan menghabiskan wang sebanyak itu.

Sabtu aku ke gym seperti biasa kemudian Ariff mengajak untuk berurut. Aku mengikut saja. Selesai mengurut aku menemankannya untuk membeli hadiah harijadi untuk teman anaknya. Malam itu, aku tidur awal.

Ahad, Ariff datang mahu menonton Konsert AF5 di rumah aku. Aku menyediakan macaroni goreng sebagai hidangan makan tengahari.

Hari ini, Saiful akan tiba dari Bintulu. Dia akan menumpang rumah aku selama seminggu untuk bercuti. Aku juga terpaksa menemankan dia dan keluarganya ke majlis perkahwinan yang aku sendiri tidak tahu siapa pengantinnya.