Friday, June 29, 2007

Tidur...

Aku tidur dalam panggung wayang semasa menonton 'Transformers' malam tadi. Aku sudah agak ini akan berlaku. Aku cuba mengelak kalau ada tayangan tengah malam. Pasti aku akan mengantuk jadinya. Tapi disebabkan rakan-rakan yang lain sudah setuju, aku mengikut saja. Kesudahannya, aku tidak tahu hujung pangkal ceritanya.

Aku sedang bersiap-siap untuk percutian ke Bangkok sekarang ini. Penerbangan berlepas tengahari ini. Aku akan berada di sana selama 5 hari. Nantikan kepulangan aku selasa ini...

Wednesday, June 27, 2007

Peluh...

Memang berpeluh habis semalam. Dua kali aku masuk kelas steps, dua kali aku berpeluh sakan. Seronok sangat kerana dapat mengeluarkan peluh yang banyak selain dapat mengikuti setiap gerak langkah Kak Nor.

Selesai gym, aku terus membersihkan diri dan dalam perjalanan keluar tu bertembung dengan Chong Wei. Dia mengajak untuk makan malam. Pada mulanya aku agak berat hati tapi aku ikutkan juga. Selain Chong Wei, Finas, Kak Nor dan Saiful juga ada. Kami makan di Nando's. Sementara menunggu makan tiba banyak yang kami bualkan sehingga pecah perut jadinya. Seronok sesekali makan bersama mereka.

Tuesday, June 26, 2007

Lega...

Setelah berhempas-pulas dengan kerja di pejabat minggu lepas, aku kembali lega apabila kerja-kerja sudah selesai. Minggu ini hanya ada satu tender yang perlu dihantar.

Jumaat lalu, aku menonton cerita 'Ghost Tunnel' di Cineleisure bersama Jo dan Fendi. Memang genre seram ini kegemaran aku cuma cerita kali agak merepek di penghujungnya. Lakonannya juga seperti kurang emosi menyebabkan banyak persoalan yang kami timbulkan selepas selesai menonton.

Keesokannya, Chong Wei mengajak aku untuk berkaraoke. Pada waktu yang sama Jo dan Fendi turut sama mengajak. Untuk memuaskan hati semua pihak, aku menyarankan agar sesi karaoke digabung dan ternyata semua setuju. Akhirnya, seramai lapan orang yang hadir. Faham-faham sajalah bila sudah ramai maka ada yang kurang berpuas hati. Aku cuba sedaya upaya untuk mengawal keadaan.

Ternyata Chong Wei mempunyai bakat yang luar biasa. Aku sedikit terpegun dengan nyanyiannya. Selesai karaoke, kami beredar dan Shai mengajak ke rumah Abang Man. Aku turutkan saja, Chong Wei juga tidak membantah. Setelah hampir dua jam di rumah Abang Man aku pun mengajak Chong Wei pulang kerana aku keletihan yang amat sangat.

Ahad aku ada tutorial. Malam sebelumnya aku bertungkus lumus untuk mengulangkaji sedikit dan menyiapkan tugasan yang diberikan. Sehari suntuk berada di kelas yang panas membuatkan aku resah dan mengantuk. Aku harap aku dapat bertahan sehingga selesai pengajian aku.

Selesai kelas, Jo menjemput aku makan malam di rumahnya. Ternyata dia seorang yang pandai memasak. Kenyang sekali sehingga terlupa aku perlu berdiet. Selesai makan aku pun pulang. Aku terasa begitu mengantuk sekali. Aku terus membersihkan diri dan tidur...

Friday, June 22, 2007

Banyak Kerja...

Setelah berhempas-pulas beberapa hari yang lalu dengan tugas-tugas di pejabat, aku terasa sedikit lega. Itu belum lagi memikirkan tugasan kursus yang perlu aku siapkan. Tinggal lebih kurang seminggu saja lagi untuk dihantar.

Minggu ini tidak banyak yang aku lakukan melainkan kerja-kerja pejabat dan ke gym seperti biasa. Kerja di pejabat semakin bertambah. Tidak lagi seperti dahulu, masa terluang begitu saja. Akan datang, aku dapat tahu, kerja-kerja tender tempatan yang sudah lama aku tinggalkan akan kembali semula. Aku harap ini tidak akan mengganggu pelajaran aku nanti.
Di gym, seperti biasa aku masih lagi ligat ke kelas steps. Sempat juga kenal dengan orang-orang baru di sana dan mengenali dengan lebih dekat lagi teman-teman yang lain.
Minggu depan, aku akan ke Bangkok bersama NA dan beberapa lagi teman-teman. Masih tidak pasti lagi apa perancangan aku sebenarnya. Cadangnya hanya ingin lepak-lepak saja tapi mungkin NA mempunyai idea. Tunggu sajalah nanti...

Monday, June 18, 2007

Paintball...

Semalam aku bersama teman-teman ke NPNG di Sungai Buloh untuk bermain Paintball. Kak ti, Betty, Sue dengan Amad, Suhilla juga ada bersama. Ini kali pertama kami bermain di sini. Memang terasa teruja bila melihat arena yang disediakan. Terdapat dua arena, satu di dalam dewan tertutup dan satu lagi terbuka. Kami dapat bermain di kedua-dua tempat. Kali ini, aku banyak mendapat lebam-lebam di badan akibat ditembak oleh pihak lawan.


Inilah lebam-lebam akibat ditembak oleh pihak lawan.


Sabtu, aku sempat menonton wayang di BTS. Aku bersama beberapa orang teman menyaksikan 'Fantastic Four' tetapi aku rasa aku tidak dapat mengikuti keseluruhan ceritanya kerana aku mengantuk dan tertidur beberapa ketika.

Wednesday, June 13, 2007

Akhirnya...

Akhirnya tiba jua saat-saat yang aku tunggu beberapa minggu ini. Semalam, aku dipanggil seorang rakan sekerja untuk ke tempat yang di tingkat atas. Aku teragak-agak sedikit kerana tidak pernah di hubungi olehnya. Aku mula membuat andaian. Setibanya di situ, terus aku ditunjukkan halaman suratkhabar berbahasa Inggeris yang terpampang gambar aku. Ya, iklan yang menggunakan muka aku sudah keluar. Ini dia...




Aku pulang dari Perth hari Sabtu tengah malam. Mujur Ajeem sanggup datang untuk mengambil aku di KL Sentral. Kami makan di Pelita sebelum pulang ke rumah. Esoknya, beberapa orang teman datang ke rumah untuk makan malam. Hujan lebat. Keesokkannya, dilapurkan banjir besar di serata Kuala Lumpur. Parking basement di pejabat aku juga tenggelam.

Seperti biasa, Isnin dan Selasa adalah hari untuk steps. Jikalau minggu lepas aku hilang punca dalam kelas intermediate/advance steps, tapi minggu ini aku dapat mengikut gerak langkah yang diajar. Semalam lebih mudah bagi aku kerana itu hanya tahap intermediate dan basic.

Dalam perjalanan pulang aku singgah di Hospital Tawakkal melawat En Razib yang tidak berapa sihat. Jessica pulang sedang murung dengan masalah kerjanya. Aku akan makan tengahari bersama dengan Jessica dan mungkin akan dapat lebih terperinci lagi tentang masalahnya.

Tuesday, June 12, 2007

Entry Bergambar : Perth 2007

Ini pula entry bergambar sewaktu ke Perth. Tidak banyak gambar yang diambil kerana aku berseorangan.


Di belakang aku adalah Swan Bell Tower di Pusat Bandaraya Perth.

Di belakang aku kelihatan Pusat Bandaraya Perth dari Kings Park.

Salah satu tugu peringatan di Kings Park.

Suasana yang hijau dan segar di Kings Park.

Entry Bergambar : Kiwanis Treasure Hunt 2007

Entry bergambar sewaktu Treasure Hunt Kiwanis 2007 - PJ ke Melaka dari 26 hingga 27 haribulan Mei lalu.

Mana lebih cantik... kereta atau dua orang yang perasan model?

Sebelum bertolak...

Ahli kumpulan...aku, Unie, Nissa dan Siti (terlindung)
Makan malam...

Saturday, June 09, 2007

Nak Balik...

Sudah tiga hari aku berada di Bandar Perth ini. Semalam, aku berjalan-jalan ke Kings Park. Sebuah taman peringatan dan taman botani di sini. Cuaca mendung saja dan sejuk. Perjalanan ke Kings Park tidak jauh. Aku berjalan selama 20 minit walaupun aku kurang pasti arah jalan ke sana. Namun berpandukan pada kawasan yang banyak pokok, aku terus saja berjalan dengan harapan aku akan bertemu dengan taman itu. Mujur aku berjaya.

Satu yang aku suka bandar ini adalah kerana udaranya yang segar dan bandarnya yang bersih. Di Kings Park ini aku dapat melihat dari jauh keseluruhan bandar Perth dan persekitarannya. Aku meluangkan masa lebih kurang sejam setengah di sini. Setelah puas, aku pun pulang ke pusat bandar.

Tiba di pusat bandar, aku bercadang untuk ke Northbridge. Sekali lagi aku kurang pasti dengan arah tujuan aku tetapi aku mengikut saja orang-orang yang melalui jalan itu. Ternyata aku tiba di sana. Lebih mudah berbanding kali pertama aku kesitu. Kawasan situ lebih banyak tempat menjual makanan asia dan juga terdapat sebuah masjid di sini. Setelah puas berjalan di kawasan ini, aku pulang ke hotel.

Petang sedikit, aku keluar berjalan-jalan di Murray Street. Kawasan inilah tempat membeli-belah pusat bandar Perth. Pada hari biasa, kedai di tutup seawal jam 6 petang. Hari Khamis atau Jumaat ditutup lewat sejam. Kadang-kadang terasa sunyi diwaktu malam. Tidak seperti di Kuala Lumpur, sehingga awal pagi masih lagi hingar-bingar. Waktu inilah aku membeli-belah sakan untuk buah tangan buat teman-teman dan keluarga.

Aku sebenarnya sedang menunggu waktu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Aku nak balik. Aku perlu keluar dari bilik hotel jam 10.30 pagi. Penerbangan pulang pada pukul 4.30 petang. Puas sudah aku mundar-mandir di bandar ini. Aku juga sudah makan tengahari di sebuah restoran milik orang melayu. Aku rasa bosan. Mungkin kerana aku sendirian menjadikan aku bosan dengan tempat ini. Namun, hujan batu dinegeri orang...

Thursday, June 07, 2007

Sejuk...

Sebaik saja aku keluar untuk mendapatkan teksi, aku sudah dapat merasakan hawa sejuk disekelilingku. Pertama kali aku sini, begitu juga cuacanya. Aku terus menaiki teksi dan ke hotel Miss Mauds di tengah-tengah ibukota.

Pagi lagi aku sudah bersiap untuk penerbangan yang membawa aku ke Perth. Sebenarnya masih lagi mengantuk kerana aku hanya pulang kerumah jam 12 tengah malam. Terus aku mengemas barang untuk dibawa ke Perth nanti. Aku tidur hampir jam 1 pagi. Tepat jam 5.30 pagi aku sudah bangkit dan membersihkan diri. Terus aku mendapatkan teksi setengah jam kemudian. Mujur tidak perlu menunggu lama kerana sebaik saja aku berdiri di luar pagar apartment, teksi pun sampai.

Segalanya berjalan dengan lancar dan aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth tepat jam 3.15 petang. Aku terus mendapatkan bagasi aku. Peraturan di Perth ini amat ketat terutamanya keatas barangan yang mengandungi susu atau telur. Segala barang perlu diperiksa.

Aku terus ke hotel dan berehat sebentar di bilik sebelum keluar berjalan-jalan sekitar bandar ini. Angin bertiup agak kencang sekejap-sekejap menambahkan kesejukan diwaktu petang. Aku membeli sedikit makanan sebelum terus pulang ke hotel. Kerana keletihan, aku terus tertidur dari jam 6.30 petang hingga pagi ini.

Aku bangun sekitar jam 8 pagi. Menyiapkan diri untuk ke Woodside menghantar tender. Selesai sudah tanggungjawab aku dan sekarang aku sudah bebas untuk bercuti di sini. Tapi bandaraya ini tidak banyak yang menarik. Barang-barang juga agak mahal menyebabkan aku tidak teruja untuk membeli-belah. Cuma aku akan membeli barang yang dipesan orang rakan-rakan.

Aku agak buntu kerana aku perlu tinggal di sini selama satu setengah hari lagi. Aku bosan...

Tuesday, June 05, 2007

Perth...

Aku sungguh tidak menduga langsung aku akan ke sana lagi. Kali pertama dan terakhir aku ke situ pada Disember, 2005. Sebetulnya, aku tahu kami perlu menghantar tender terbaru ke Perth tetapi memandangkan ia dibawah tanggungjawab rakan setugas aku, aku jangkakan dia akan ke sana. Namun, boss tidak membenarkan dia pergi dan aku diminta menggantikan dia.

Aku masih lagi di pejabat untuk menyiapkan segala tugasan yang perlu dihantar ke Perth esok. Sudah selesai tugas aku sebenarnya tetapi aku perlu menunggu rakan setugasku untuk menyiapkan bahagiannya. Sempat aku menulis di sini.

Penerbangan aku esok jam 9.40 pagi. Aku harus berada di KL Sentral seawal jam 7 pagi. Aku akan berada di sana selama 3 hari dan pulang pada hari sabtu.

Ahad lepas, merupakan kali pertama aku menghadiri tutorial untuk sessi pembelajaran aku. Pertama kali setelah bertahun-tahun aku meninggalkan alam pembelajaran. Aku berjumpa dengan teman-teman sekuliah yang baru. Aku sedikit teruja. Semoga aku akan berjaya mencapai impianku.

Thursday, May 31, 2007

Forum...

Selasa lepas, aku seperti biasa pergi ke gym untuk kelas kegemaran aku. Aku mengikuti kelas intermediate steps dan sejam kemudian kelas basic steps. Kelas basic steps lebih menarik kerana kami berkongsi board.

Selesai gym, aku terus pulang. Aku memeriksa myLMS. Ternyata sudah banyak respons di forum. Aku perlu mengaktifkan diri dalam forum kerana ia akan memberi sedikit markah untuk peperiksaan akhir nanti. Disamping itu, aku dapat berkenalan dengan rakan-rakan pelajar maya.

Tugas di pejabat semakin bertambah. Aku sebenarnya diminta oleh boss untuk ke Perth minggu depan tetapi rakan sepejabat aku yang belum pernah kesana teringin untuk pergi. Aku membiarkan saja. Aku tidak teruja sangat untuk kesana kerana ada tugasan OUM yang perlu aku siapkan. Mungkin aku akan ke Mumbai lagi selepas ini.

Tuesday, May 29, 2007

Tugasan...

Aku membuka myLMS pagi semalam. Iya, ternyata sudah ada tugasan yang perlu aku buat. Dua tugasan untuk dua subjek yang aku ikuti semester ini. Satu di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan satu lagi diberi pilihan samada bahasa Malaysia atau Inggeris. Setelah aku amati, realitinya mula timbul. Bukan mudah untuk menyelesaikan tugasan ini tetapi aku perlu sematkan azam yang tinggi. Aku perlu mendapatkan markah yang tinggi untuk semester ini kerana subjek yang aku ambil boleh dikira sebagai mudah.

Kerja-kerja di pejabat pula semakin bertambah. Kadang-kala aku hairan kerana sewaktu aku belum bergelar pelajar semula, tidak banyak kerja yang perlu aku lakukan. Setelah aku mendaftar dengan OUM, tiba-tiba kerja menjadi semakin banyak. Mungkin ini dugaan agaknya. Aku harus kuat.

Malam tadi aku ke gym. Setelah hampir sebulan tidak mengikuti kelas intermediate/advance, akhirnya semalam aku kembali semula. Rasanya pergerakan aku bertambah baik. Hampir separuh pergerakan yang dibuat aku dapat ikuti. Ramai juga yang bertanya kerana aku sudah lama tidak hadir ke kelas itu.

Selesai gym, aku terus pulang dan membuat sedikit ulangkaji sebelum aku terasa begitu mengantuk sekali dan terus tidur.

Monday, May 28, 2007

Hampa...

Aku hanya pulang dengan tanya kosong. Hampa... Yang dapat hanyalah kenangan dan pengalaman yang menyeronokkan. Inilah pertama kali aku menyertai acara mencari harta karun anjuran Kiwanis. Walaupun aku pernah dulu menyertai acara sebegini anjuran majikan aku dulu tetapi kali ini lebih payah dan tidak semudah yang disangka.

Kami mula melekatkan segala pelekat pihak penaja yang diberikan kepada kami pada malam Jumaat lalu. Unie, Nisa dan Arniee singgah ke rumahku untuk makan malam dahulu sebelum memulakan tugasan. Hampir jam 12 tengahmalam, barulah selesai segala pelekat dihiaskan pada kereta aku. Kami juga perlu berada digarisan pelepasan seawal jam 6 pagi tapi seperti kebiasaannya, Unie lewat. Kami hanya berada di sana sekitar jam 6.45 pagi. Aku yang sudah bangun jam 4 pagi untuk menyediakan 'sandwich' dan ayam goreng terasa begitu mengantuk sekali sementara menunggu ketibaan mereka.

Perjalanan bermula dari Kelana Jaya Seafood dan membawa kami melewati Subang Jaya, Banting, Morib, Seremban dan akhir sekali di Melaka. Soalan-soalan yang diberi begitu susah sekali dan kami menghadapi masalah dari soalan pertama lagi. Namun kami mencuba sedaya upaya dengan kesedaran bahawa ini adalah kali pertama kami. Akhirnya, walaupun dengan jawaban yang tidak lengkap, kami harus menghantar kertas jawaban tepat 8 jam dari garis permulaan. Kami tiba di Mahkota Hotel jam 3.45 petang. Kami terus menyerahkan kertas jawaban dan harta karun yang diminta dan terus 'check-in' ke bilik hotel. Aku begitu mengantuk sekali dan terus tidur sebentar.

Malam itu, kami diraikan dengan jamuan makan malam ala cina. Terdapat cabutan bertuah dan juga jawaban kepada semua soalan dibentangkan. Ternyata kami hanya mampu menjawab dengan betul kurang dari 10 soalan sahaja. Selesai makan malam, Unie mengajak kami keluar bersiar-siar dengan teman sekolahnya dan kami berborak sehingga jam 3 pagi. Keesokannya, kami sudah bangun jam 8.30 pagi dan terus bersiap untuk bersarapan dan pulang ke KL.

Kami tidak sempat untuk bersiar-siar di Bandaraya Melaka kerana Arnee terpaksa pulang awal ke rumah. Mungkin lain kali. Memang berbeza keadaan Bandaraya Melaka sekarang berbanding dengan kali terakhir aku ke sana.

Friday, May 25, 2007

Terganggu...

Beberapa malam ini tidur aku seakan terganggu. Aku seperti terbayang ada sesuatu di dalam bilik tidur. Malam tadi, mungkin aku terlalu letih dan sakit-sakit badan menyebabkan aku tidak boleh tidur dengan nyenyak. Aku bangkit menonton tv sehingga jam 2.30 pagi sebelum menyambung tidurku.

Petang semalam aku ke gym lagi. Mungkin aku terlalu ghairah untuk menurunkan berat badan sehingga aku terlupa, aku sudah 'over exercise'. Selesai gym, aku makan malam dengan NA di Chilis. Walaupun risau dengan berat badan, namun aku masih lagi makan 'tanpa sempadan'... ha ha ha

Esok, Unie, Siti, Nisa dan aku akan menyertai pencarian harta karun anjuran Kiwanis Down Sydrome Club. Perjalanan dari Petaling Jaya ke Melaka dan diberi masa untuk menamatkan pencarian selama 8 jam. Kami akan bermalam di Bandaraya Melaka. Petang ini, kami akan menghias kereta dengan pelekat-pelekat pihak penaja yang sudah disediakan. Kami juga perlu tidur awal kerana perlu hadir ke garis permulaan seawal jam 6 pagi. Harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Wednesday, May 23, 2007

Dua Kelas...

Entah kenapa, kerja datang berduyun-duyun pula minggu ini. Sedang aku baru saja memulakan langkah sebagai pelajar, masa aku agak terhad untuk mengulangkaji pelajaran. Namun aku perlu kuatkan azam. Dua projek harus aku selesaikan dalam masa sebulan ini, datang pula satu projek dari unit lain meminta bantuan aku.

Selesai kerja semalam, aku terus ke gym mengikuti kelas intermediate steps. Seronok tak terkira kerana aku semakin mudah mengikuti setiap langkah. Aku juga mengikuti kelas basic steps selang sejam kemudian. Basic steps kelolaan Kak Nor bertambah rancak sekarang ini. Tidak seperti waktu Azmi mengajar, aku rasakan seperti amat membosankan. Letih rasanya mengikuti dua kelas dalam sehari tetapi aku puas.

Beberapa hari ini aku terpaksa mengawal pemakanan aku. Berat badan aku semakin bertambah. Aku hanya mengambil sarapan pagi yang agak berat dan tinggalkan makan tengahari dan malam. Hanya mengambil sedikit makanan sebagai pengalas perut.

Selesai gym, aku terus pulang ke rumah dan mengulangkaji pelajaran sedikit. Hujung minggu ini aku sepatutnya menghadiri tutorial pertama untuk pelajaran aku. Tetapi memandangkan aku sudah membuat perancangan untuk menyertai treasure hunt, aku terpaksa tinggalkan tutorial itu. Harap-harap aku dapat menggantikannya di tutorial yang akan datang.

Tuesday, May 22, 2007

Langkah Kiri...

Seperti biasa, Hari Isnin adalah hari lembab bagi diriku. Terasa begitu lemah dan malas untuk memulakan kerja. Namun aku tetap juga membuat serba sedikit yang perlu dilakukan. Tidak ada apa yang terjadi di pejabat kecuali minggu lalu sesuatu yang di luar dugaan telah berlaku. Seramai enam orang pengurus kanan telah meletakkan jawatan secara mendadak dan mereka-mereka ini aku kenal secara peribadi. Rupanya, politik di pejabat aku semakin meruncing. Orang-orang HR rupanya tidak tahu implikasi tindakan mereka. Kita lupakan saja hal itu.

Aku ke gym selepas waktu pejabat dengan harapan untuk mengikuti kelas HiLo. NA juga mahu mengikuti kelas itu. Namun, mungkin aku tersilap langkah. Aku terpaksa batalkan niat itu dan terus membuat sedikit weight training.

Pulang ke rumah, aku membuat sedikit ulangkaji pelajaran sambil menonton tv. Iklan yang aku terlibat sebelum ini sudah pun ditayangkan. Aku tidak sempat melihat iklan penuhnya. Tidak pasti samada tangan dan bahu aku kelihatan atau tidak.

Monday, May 21, 2007

Sibuk...

Hujung minggu ini aku agak sibuk sedikit. Bermula dengan Sabtu petang, aku perlu menghadirkan diri untuk sessi taklimat treasure hunt yang akan aku sertai hujung minggu ini. Aku dijemput oleh Unie dan Siti. Kami berjumpa dengan Nisa di A&W di Amcorp Mall. Sementara menunggu Nisa tiba, kami makan tengahari di sana.

Sessi taklimat sepatutnya bermula pada pukul 2.30 ptg tetapi ramai yang tiba lewat terpaksa dilanjutkan ke pukul 3.20 ptg. Kami sudah pun mengambil goody bag dan juga pelekat kereta. Tidak sabar untuk menghias kereta kerana ada hadiah untuk kereta paling cantik. Hadiah utama treasure hunt ini berupa empat tiket penerbangan ke Manchester, UK.

Malamnya, Fadhil dan Ajeem datang untuk menyaksikan konsert akhir AF5. Aku menyediakan nasi goreng dan puding jagung sebagai juadah makan malam. Harapan aku agar Mila menjadi juara AF5 terlaksana. Selesai konsert, aku terus tidur kerana aku perlu menghadiri bengkel pembelajaran di OUM jam 8 pagi. Ya, aku menjadi pelajar semula bermula minggu lepas. Aku berharap kali ini aku akan berjaya hingga ke akhirnya. Dulu aku pernah terkandas kerana kerja dan kemalasan. Doakan kejayaan aku.

Pagi Ahad aku sudah berada di OUM, dan dewan hanya separuh penuh. Bengkel bermula lewat 45 minit dari yang dijadualkan. Aku hanya berada di situ sehingga jam 10.30 pagi kerana bengkel itu sebenarnya adalah lebih kepada pengenalan cara pembelajaran di OUM. Bab ini juga merupakan salah satu matapelajaran wajib untuk setiap pelajar OUM.

Tengahari itu aku sudah berjanji untuk berkaraoke dengan Sheera dan Yus di tempat biasa. Tidak tahu kenapa, kami hanya menyanyikan lagu-lagu sedih. Bila kami mula menyanyikan lagu-lagu yang rancak, waktu sudah tamat. Selesai karaoke aku terus ke gym. Sudah beberapa hari aku tidak beriadah.

Thursday, May 17, 2007

Iklan...

Aku mengambil cuti separuh hari semalam kerana ada tugasan iklan yang baru. Aku dikehendaki hadir jam 10.30 pagi tetapi krew hanya tiba jam 11 pagi. Aku perlu menunggu untuk mereka menyediakan set, penataan cahaya dan sebagainya. Hampir jam 1 tengahari, barulah mereka bersedia untuk mengambil gambar aku. Memandangkan aku masih lagi baru dalam bidang ini, aku memerkukan panduan dari jurugambar. Hampir 2 jam meneliti foto-foto yang diambil, akhirnya mereka berpuas hati dengan hasilnya. Aku pula... keletihan.

Aku terus bergegas untuk kepejabat namun waktu sudah hampir 3 petang dan jalan juga sesak. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk terus pulang saja. Aku mengantuk tetapi tidak mahu tidur.

Lewat malam, aku menemankan Ariff untuk makan malam di Kg Baru.

Tuesday, May 15, 2007

Lapar...

Hari Isnin seperti biasa membuatkan aku tidak bermaya. Lembab. Hampir waktu pulang aku menerima panggilan dari Candid menawarkan tugasan untuk iklan hari bapa yang akan menjelang tidak lama lagi.

Aku ke gym semalam untuk menyertai kelas HiLo. Aku membatalkan niat untuk ke kelas Intermediate/Advance kerana terasa malas. Aku hanya mampu mengikuti kelas HiLo separuh jalan kerana aku terasa terlalu lemah dan lapar. Oh! Ya... aku tidak makan tengahari.

Selesai gym, aku terus makan bersama Nik yang kebetulan ada di gym juga. Sehabis saja aku makan, teman Nik tiba dan aku meminta diri untuk pulang. Niatku untuk membuat ulangkaji tetapi aku keletihan.