Sabtu lepas, aku dengan kawan-kawan mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan. Sudah hampir 2 bulan ketiadaan aktiviti mendaki. Gunung Datuk sudah pernah aku daki pada tahun 2004. Seingat aku, pendakian tidak mengambil masa yang panjang. Semua kawan-kawan berkumpul di DBKL sekitar pukul 10 pagi pada hari sabtu itu. Suzie orang terakhir sampai bersama Ina. Setelah semua sampai, kami pun bertolak terus ke kaki gunung. Sebelum itu sempat juga makan tengahari di Rembau.
Pendakian bermula tepat pukul 2.30 ptg selepas segala urusan pendaftaran di pejabat perhutanan selesai. Cuaca agak panas juga berbanding dengan waktu pertama kali aku mendaki di mana waktu itu baru lepas hujan. Tapi kali ini, tiada hujan dan angin menyebabkan terasa keletihan yang amat sangat. Peluh meleleh bagai air sungai. Setelah 15 minit mendaki, aku mula sedar pendakian ini tidak mudah tapi perlu diteruskan juga. Akhirnya, setelah mendaki selama 2 jam 45 minit, aku berjaya tiba di puncak dengan Hadi mendahului aku. Rakan yang lain tiba kemudiannya. Kami pun mengambil kesempatan untuk menghilangkan keletihan di puncak batu Gunung Datuk. Angin bertiup sepoi, nyaman.
Malam itu, seperti biasa, Ati dan geng akan masak untuk makan malam. Memang rajin mereka semua. Selesai makan, kami naik sekali lagi ke puncak batu untuk berehat dan menikmati pemandangan waktu malam dari puncak. Sekitar jam 11 malam kami pun turun dan membuat aktiviti masing-masing. Ada yang berborak, ada yang masak maggi tapi aku lebih senang tidur. Keletihan sungguh. Aku lebih selesa tidur di luar saja. Dalam enak dibuai mimpi, hujan turun sekitar jam 6 pagi. Kelam kelibut jadinya. Terpaksalah tidur secara duduk sehingga terbit matahari. Rancangan untuk melihat matahari terbit pun musnah. Berhenti saja hujan, Ati dan geng menyediakan sarapan. Cekodok bilis, roti cecah kari ayam, buah apple dan air teh-o. Cukup berselera. Selesai sarapan, bersiap untuk turun ke kaki gunung. Tepat jam 11 pagi, kami pun bertolak. Aku mengambil masa 45 minit untuk tiba di kaki Gunung Datuk dengan Hadi mendahului aku juga. Lega rasanya.
Setelah membersihkan segala peralatan dan diri, kami pun bertolak ke Seremban untuk melawat Haiza yang kurang sihat. Kami di jamu dengan Cendol, Cara Berlauk dan Roti Jala. Memang menyelerakan walhal sudah makan tengah hari sebelum ke rumah Haiza. Dari situ kami pun pulang mengikut kenderaan masing-masing. Aku menghantar Ema ke Central Market, Suzie dan Ina ke DBKL. Aku pun terus pulang selepas itu. Keletihan.
No comments:
Post a Comment