Wednesday, January 17, 2007

Malas...

Pasti! Ternyata yang aku mahu elakkan hampir pasti terjadi. Aku diarahkan ke Mumbai sekali lagi untuk perbincangan dengan sebuah syarikat di sana. Seorang rakan setugas akan bersama aku kali. Aku begitu teruja untuk ke Anugerah Juara Lagu ke-21 di Bukit Jalil Ahad ini tetapi ternyata hampa kerana penerbangan ke Mumbai pada malam harinya. Namun, itu tugas yang seharusnya aku lakukan. Yang pasti, perjalanan kali ini tiada lagi membeli-belah untuk teman yang aku sayang walaupun sudah diperuntukkan sehari untuk kami bercuti di sana. Sebenarnya aku malas untuk ke Mumbai lagi...

Semalam, seseorang menegur aku di lobby bangunan pejabat. Nama aku dipanggil. Aku tergamam sekejap. Aku cuba amati dan cuba ingat kembali siapa dia tetapi ternyata aku tak berdaya. Lalu aku bertanya 'errr... saya kenal awak?'. Dia mengenalkan dirinya 'VASU'. Hah! VASU?... iya.. ingatan aku kembali semula. Dia teman dari sekolah rendah hinggalah tamat SPM. Sudah hampir err.. bertahun kami tak jumpa. Aku sememangnya tak sangka dia masih ingat rupa aku. Katanya, rupa aku masih tidak berubah. Err... maksudnya setelah sekian lama, aku masih lagi seperti dulu, hodoh?... Vasu bekerja di bangunan yang sama denganku. Mungkin selepas ini kami boleh berbual panjang kerana pagi itu aku sudah berjanji dengan teman untuk sarapan.

Aku sempat chat panjang dengan Shi. Rindu sangat pada mereka semua. Mungkin Shi memahami situasi aku tetapi dia turut memahami si dia itu. Yang pasti, tanpa pengetahuan Shi, aku menangis sewaktu chat dengannya walaupun sudah aku katakan aku tidak akan menangis lagi. Puncanya bila aku menceritakan kisah sewaktu aku membeli hadiah untuk tahun baru buat teman-teman yang aku sayang. Waktu itu, aku tercari-cari hadiah yang sesuai untuk Shi dan Is. Tapi mudah untuk memilih hadiah untuk mereka. Tapi yang seorang itu, aku memang buntu. Lantas aku terus memanggilnya dan bertanya apa yang dia mahukan. Dia menyatakan mahu satu set kunci rumah aku. Aku terharu. Aku menangis gembira dan sedih. Aku hampir memberikan hadiah itu kepadanya. Aku tanya berkali-kali samada dia benar-benar maksudkan apa yang dia inginkan. Namun tiada jawaban pasti. Aku terus ke KLCC untuk membelikan satu gelang yang aku harap dia hargai. Itu pertama kali aku menangis kerana seseorang. Aku hargai pemberian teman-teman aku berupa bantal bucuk, permainan dart dan sebentuk cincin yang sangat aku suka tetapi sudah aku simpan terus di dalam kotaknya. Mmm... aku sudah menyimpang dari cerita asal.

Aku makan malam di Nailis dengan Ajeem dan Abg Am. Terhibur sedikit hati aku bila bersama mereka. Aku terasa mengantuk sangat malam tadi sebab malam sebelumnya aku tak dapat tidur langsung. Aku hanya baring di katil menantikan subuh. Selesai solat aku terus bersiap ke pejabat. Itulah waktu yang paling awal aku ke pejabat dalam keadaan kerja yang tidak sibuk. Tetapi malam tadi juga tidak menyenyakkan. Pagi ini aku bangun terasa seperti demam sedikit. Aku harap ini tidak berpanjangan atau aku terpaksa melupakan Mumbai...

No comments: