Monday, July 16, 2007

Selamat Ulang Tahun...

Jumaat lalu, aku dan Sheera meraikan sambutan ulang tahun Yus dan Ezz. Yus menyambut hari lahir pada 9hb Julai manakala Ezz pula keesokannya, iaitu hari Sabtu. Madnor, Ajeem, Ila, Nurul dan juga dua teman Sheera ada bersama. Selesai jamuan, aku, Sheera, Ila, Yus dan Nurul berkunjung ke La Queen untuk pertama kali. Seronok juga melihat gelagat orang-orang di situ sambil menari menghiburkan hati.

Hari Sabtu aku ke Pejabat untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar pada kelas tutorial hari ahad. Mujur aku mendapat banyak idea beberapa hari itu. Ini memudahkan aku untuk menulis walaupun aku kurang pasti samada ia menepati tajuk karangan itu atau tidak. Yang pasti, aku boleh hantar esok.

Aku pulang ke rumah sekitar jam 3 petang dan terus memasak soto sebagai hidangan untuk keluarga aku yang akan tiba dari kampung. Ayah aku telah dipanggil oleh adik-beradiknya untuk berkumpul sesama mereka sambil membincangkan harta-harta peninggalan arwah atuk. Petang itu juga aku ke perjumpaan Jejak Alam untuk membincangkan rancangan untuk mendaki Gunung Tahan akhir Ogos nanti. Sebaik aku tiba di Tasik Titiwangsa, Ibu bapa aku sudah sampai di rumah. Mujur aku telah tinggalkan kunci untuk mereka.

Di Tasik Titiwangsa, aku buat pertamakalinya bertemu dengan peserta-peserta yang akan ke Gunung Tahan. Tapi aku tidak lama di situ kerana sudah berjanji untuk menonton wayang bersama Joe dan Fendi. Selesai menonton kami ke Pelita untuk makan dan seterusnya pulang.

Ahad, aku ke kelas tutorial namun pagi itu, kereta aku sudah dirantai kerana meletakkan kereta aku ditempat orang lain. Tapi yang membuat aku geram, kunci rantai itu disimpan oleh orang yang bekerja waktu malam dan aku terpaksa menggunakan kereta adikku untuk ke kelas dan menyebabkan aku lewat hampir sejam.

Selesai kelas jam 11.35 aku terus pulang untuk menghantar ayah ku ke rumah makcik di Kelana Jaya. Mujur tidak susah untuk mencari rumahnya. Aku kemudian terus ke Giant untuk makan tengahari sambil menunggu ayahku selesai dengan agendanya. Mahu tak mahu, waktu mengambil ayahku, aku disuruh masuk ke rumah makcik ku dah berdepan dengan semua sanak saudara termasuk nenek yang sudah lama aku tidak jumpa. Terasa kekok sedikit namun aku cuma untuk menyesuaikan diri.

Aku keletihan yang amat sangat sehinggakan aku terasa begitu mengantuk sekali setelah pulang ke rumah. Pelawaan untuk keluar oleh keluarga, aku tolak dan berehat saja di rumah.

No comments: