Wednesday, September 12, 2007

Setelah Sembilan Tahun...

Kali terakhir aku mendaki Gunung Tahan lebih kurang 9 tahun lalu. Lebih tepat lagi pada 28hb Mei, 1998 dan kali ini tepat 28hb Ogos, 2007 sekali lagi aku tiba di puncak Gunung Tahan buat kali ketiga. Berbanding dengan dua pengalaman awal aku ke sana, kali ini aku merasa lebih peka dengan persekitaran aku. Aku lebih mengenali tempat yang dilalui dan juga tempat bermalam.

Di saat-saat akhir, penganjur juga rakan aku terpaksa menyerahkan tugas untuk memimpin kumpulan kerana ada tugas di pejabat menanti. Aku dengan rasa berat hati menerima tugasan ini walaupun niat pada awalnya hanya ingin bersantai saja. Tidak mahu terbeban dengan tugas-tugas lain. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk menjalankan amanah yang diberi.

Seramai 16 orang yang sepatutnya menyertai pendakian kali ini, namun hanya 15 yang menanti di Stesen KL Sentral. Ada yang aku kenal dan ada yang belum lagi aku tahu nama mereka. Dalam keretapi aku mengambil peluang untuk berkenalan dengan teman-teman yang belum aku kenali.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa tujuh hari walaupun dalam perancangan asal hanya enam hari sahaja. Dua orang rakan terpaksa pulang pada hari ketiga perjalanan kerana seorang demam agak teruk juga dan seorang lagi disengat tebuan sehingga bengkak-bengkak seluruh badan. Kami yang lain seramai 13 orang meneruskan perjalanan.


Akhirnya...

Seperti biasa, setiap pendakian memang penuh dengan kerenah teman-teman. Ada yang menghiburkan, ada yang menyakitkan dan ada juga yang menyenangkan. Aku bersyukur tidak ada aral atau dugaan yang hebat terjadi.

Bagai di awangan...

Walaupun penat, letih tetapi di pengakhirannya, aku merasa gembira dan semacam lega apabila semuanya berjalan dengan lancar dan berjaya.

No comments: