Tuesday, October 30, 2007

Siti, Situ, Sana, Sini...

Musim rumah terbuka sudah tiba. Hari Sabtu lalu saja aku mendapat tiga jemputan. Masing-masing di Setiawangsa, Shah Alam dan Bukit Antarabangsa. Disebabkan ketiga-tiga bermula waktu malam, aku hanya sempat ke rumah Eddy di Setiawangsa dan Joe di Shah Alam. Rumah terbuka Othman tidak dapat aku sertai kerana sudah lewat dah hanya diberitahu petang hari sabtu.

Aku terpaksa memakai kurta yang dibeli di Mumbai bulan lalu kerana baju melayu aku agak besar kerana aku semakin kurus sejak puasa lalu. Terasa seperti 'over' la pulak tapi aku buat bodoh saja. Sepatutnya Ajeem, Nurul dan Shay mengikut aku tetapi hanya Shay saja yang menemankan aku akhirnya. Ada masalah komunikasi dengan Nurul, mungkin dia merajuk agaknya.. he he he. Ajeem pula terlewat kerana beraya di rumah temannya. Aku mengambil Shay di rumahnya sebelum sama-sama ke rumah Eddy. Ramai teman-teman yang aku jumpa di sana. Terdapat juadah raya yang biasa seperti rendang, sate dan mee goreng.

Bertolak dari Setiawangsa, aku terus ke Shah Alam bersama Ajeem dan Shawn. Kami tiba agak lewat dalam jam 11 malam. Tidak lama duduk di situ, selesai makan, kami pulang. Aku ke rumah Joe kerana keesokkannya Joe akan terbang ke London untuk menyambung pelajarannya. Makanan yang dihidangkan berupa nasi lemak berserta lauk dan nasi impit bersama kuah kacang. Pedas sungguh.

Ahad pula, Azizul akan bersanding dan kami semua sudah sepakat untuk pergi beramai-ramai. Aku, Fadhil dan Zue menumpang kereta Sue. Kami tiba agak awal di Ulu Langat dan sebaik saja kami tiba, Azizul tiba untuk bersiap menukar pakaian pengantin berdekatan dengan rumah pengantin perempuan. Kami pun menemaninya walaupun perut agak lapar. Lebih kurang sejam bersiap, kami pun berarak sama dengan rombongan pengantin lelaki. Sebaik saja pengantin bersanding, kami terus menuju ke khemah jamuan dan apa lagi, aku sendiri makan dua pinggan nasi.

Cadangan asalnya setelah selesai kenduri hendak ke Air Terjun Sungai Gabai yang terletak tidak jauh dari rumah pengantin perempuan. Lebih kurang 15 minit berjalan kaki saja sudah tiba. Tapi ada lagi kejutan rumah terbuka Ina yang diberitahu disaat-saat akhir. Kami terus ke rumah Ina manakala yang lain ke Air Terjun Sungai Gabai dahulu sebelum ke rumah Ina di Taman Melati.

Di rumah Ina kami dijamukan dengan Laksa, Mee Hoon goreng ala cina dan melayu serta kuih raya. Sekitar jam 6 petang, kami pun pulang. Shidi pula mengajak aku keluar. Aku temankannya ke Pavillion untuk membeli-belah. Kami singgah di Haagen Dazs untuk makan ais krim sebelum pulang.

Letih sungguh....

No comments: