Waktu ini aku begitu sibuk sekali dengan tugas-tugas di pejabat, mengulangkaji pelajaran, melayan tetamu dari seberang dan juga shooting untuk video korporat. Letih rasanya tetapi terpaksa aku gagahi jua...
Aku akan berangkat ke Mumbai, Ahad ini untuk menghantar tender satu projek baru dan sekali lagi pada 10hb nanti. Sekarang ini sedang sibuk menyediakan segala informasi yang perlu dilampirkan. Waktu rehatku digunakan untuk mengulangkaji pelajaran, peperiksaan akan bermula Jumaat ini. Masih banyak yang perlu aku baca...
Adhi dari Jakarta pula tiba untuk berlibur. Sememangnya sudah diberitahu lebih awal dan aku juga tahu peperiksaan akhir akan bertembung dengan kedatangannya. Aku akan cuba sedaya upaya melayan tetamu dari negara jiran ini walaupun pada asalnya aku hanya mengenali melalui teman-teman lain. Mereka yang mengenali Adhi dari awal nampaknya seolah-olah melepaskan tangan dan tidak mengambil peduli...
Dalam pada itu, aku juga dikejutkan dengan panggil dari Faez meminta aku terlibat sama dalam video korporat untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Aku mulanya menolak kerana penggambaran dijangkakan pada Ahad atau Isnin. Aku tidak mahu mengambil cuti pada hari Isnin kerana banyak yang perlu diselesaikan. Akhirnya, penggambaran dibuat pada hari Ahad dan aku pun bersetuju. Kali ini aku menjadi 'bapa' sekali lagi tetapi hanya mempunyai seorang anak perempuan, Azura namanya. Comel. 'Isteri' aku bernama Aishah, bekas peserta Dewi Remaja '95. Tugas kami mudah saja. Berjalan-jalan di taman dan melihat sebuah keluarga yang bahagia. Tidak sampai setengah jam, siap.

Sekarang ini, aku masih lagi bertungkus-lumus di pejabat.
No comments:
Post a Comment