Tuesday, January 15, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1429

Aku meraikan tahun baru hijrah kali ini di Mumbai. Niat hati untuk tinggal dua malam di sana akhir menjadi tiga malam kerana tiada tempat untuk penerbangan balik. Semenjak konsulat Malaysia dibuka di Mumbai, semakin ramai pelancong dari India ke Malaysia. Seperti biasa, ramai yang sudah memesan barangan yang hendak dibeli dan sudah sifat aku tidak mahu mengecewakan sesiapa, aku cuba juga untuk mencari walaupun hampa.


Stesen Keretapi Ville Parle


Trip kali ini membuatkan aku teruja kerana buat pertamakalinya setelah tujuh kali ke sana, aku memberanikan diri untuk menaiki keretapi menuju ke bandar. Dari hotel aku berjalan ke Stesen Ville Parle, kira kira 15 minit perjalanan. Setelah aku mendapatkan maklumat yang secukupnya, aku mendapatkan tiket dan terus ke platform 2. Walaupun waktu sudah melewati jam 10 pagi, masih ramai lagi yang berasak-asak di dalam gerabak. Aku berjaya untuk masuk juga ke dalam gerabak. Mujur ada yang berhati mulia memberikan aku tempat duduk walaupun ramai yang berdiri di dalam gerabak sebelum aku masuk. Setengah jam kemudian, aku sudah tiba di Churchgate, stesen terakhir dan terus keluar menuju ke Crawford Market. Berbanding dengan teksi yang sering aku ambil perjalanan mengambil masa satu jam dan aku terpaksa membayar sekitar RM100. Kali ini aku hanya membayar Rupee 8 bersamaan dengan 80 sen sahaja. Aku tersenyum sendirian...

Dalam gerabak bersesak-sesak...


Puas aku berpusing di sekitar bandar untuk mencari Crawford Market, lenguh rasanya. Cuaca agak panas dan sentiasa berdebu. Setelah berjalan selama satu jam, akhirnya aku menjumpainya namun barangan yang dikehendaki tidak ada disitu. Aku terus mengambil teksi menuju ke Colaba Causeway kerana di situ ada barangan yang aku mahu. Setelah mendapatkan apa yang aku kehendaki aku terus ke stesen Churchgate semula untuk pulang ke hotel. Sepanjang jalan dari stesen Ville Parle ke hotel aku tersenyum lagi. Manakan tidak, setelah sekian lama aku membayar ratusan ringgit untuk ke tempat yang sama, hari ini aku hanya membayar 80 sen sahaja. Puas hati aku.


Keesokannya, sekali lagi aku merayau sekitar Mumbai Utara ke sebuah shopping kompleks di sana. Ini juga kali pertama aku menjejakkan kaki ke sebuah shopping kompleks di sana. Aku mendapatkan maklumat dari hotel namun disarankan untuk mengambil teksi kesana. Sebaik keluar dari hotel, aku menaiki bajaj atau lebih kurang tuk-tuk di Thailand itu untuk ke Inorbit. Agak jauh juga dan aku terpaksa membayar Rupee 200 untuk perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku berlegar-legar di sekitar kompleks itu selama 3 jam walaupun ia hanay sebuah kompleks yang kecil. Waktu pulang semula ke hotel, aku mendapatkan maklumat ke stesen keretapi yang terdekat. Ternyata aku hanya perlu membayar bajaj Rm1.70 untuk ke stesen Goregoan dan 40 sen untuk ke Stesen Ville Parle. Sekali lagi aku tersenyum lebar.


Setibanya di hotel aku berehat sebentar sebelum terus ke airport. Aku sudah daftar keluar sejak jam 12 tengahari lagi. Selalunya, aku akan dibawa dengan kereta hotel untuk ke airport tetapi aku terkejut kali ini aku menaiki sebuah bas hotel dan hanya aku seorang sahaja penumpang di dalamnya. Seperti biasa, penerbangan balik pada jam 12 tengahmalam dan aku terpaksa menunggu 6 jam lagi sebelum berlepas. Letih rasanya....

No comments: