Semalam, aku mengikut rombongan Hareeff bersama dengan anak-anaknya ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dekat Temerloh. Nurul juga ikut serta. Sebenarnya perjalanan ini diatur oleh Seth, bapa kepada rakan anak-anak Hareeff. Kami hanya mengikut saja program ini. Mengikut perancangan, kami akan ke pusat konservasi untuk melihat gajah-gajah yang dijinak di latih untuk membantu dalam menjinakkan gajah liar.
Kami tiba di sana jam 11.30 pagi dan selesai mendaftar dan membayar yuran terus saja kami ke tepi sungai untuk berehat sambil makan-makan. Ternyata anak-anak mereka semua gembira dan tidak sabar untuk bermain-main dengan gajah. Sementara menunggu gajah-gajah itu tiba jam 2.15, kanak-kanak yang berjumlah seramai 12 orang itu mandi manda di sungai dan kemudian dibawa menonton video serta makan tengahari.
Menghampiri jam 2 petang, semakin ramai pelancung tiba. Mujur kami sudah mendapatkan tempat yang selesa di tepi sungai. Tepat jam 2.15, gajah-gajah sudah mula dibawa ke sungai untuk dimandikan. Pelawat kemudian dibenarkan memberi makanan kepada gajah-gajah tersebut sebelum dibawa berjalan di atas gajah-gajah itu.
Kemuncak acara adalah bermandi bersama-sama gajah tersebut di Sungai. Dua ekor anak gajah yang masih kecil dibawa keluar waktu ini. Setelah puas bermain dengan gajah, kami pun bersiap untuk pulang.
Setiba di rumah jam 6 petang, aku terus terlelap selepas membersihkan diri. Sememangnya aku keletihan kerana Aku terpaksa berkerja pada hari Sabtu sehingga petang, dan malamnya aku bersama Nurul ke Redbox untuk berkaraoke sehingga jam 2 pagi. Mujur kami terpaksa bangun awal pada hari Ahad. Jika tidak, sudah tentu kami akan bernyanyi sehingga pusat karaoke itu ditutup.
No comments:
Post a Comment