Ya. Memang aku kesibukkan kebelakangan ini. Terpaksa ke Kuantan kemudian Segamat. Sememangnya kerja aku memerlukan aku berada bersama anak-buahku untuk membantu menyelesaikan masalah kerja. Namun, aku sempat juga ke Kota Baru bersama Sheera dan kakaknya Jumaat lalu.
Bertolak selepas selesai solat Jumaat, terus memandu menuju ke Kuala Trengganu. Singgah sebentar di Masjid Terapung untuk solat Asar. Sepanjang jalan ke Kota Baru terasa seolah-olah satu perjalanan yang tak berpenghujung. Akhirnya sampai juga sekitar jam 9 malam dan terus daftar masuk ke Hotel Sentosa. Lucunya, kakak Sheera sangkakan aku tidak mahu ke hotel yang agak selesa tetapi mahal sedikit. Aku pula berfikiran begitu terhadapnya. Akhirnya, kami tidak dapat tidur dengan lena kerana hotel masih lagi seperti hotel-hotel tahun 60 an. Dengan lantai mozeknya, perabut kayunya dan kipas angin.
Awal pagi, kami bersarapan di Pasar Besar Siti Khadijah sebelum terus ke Rantau Panjang. Setelah puas berbelanja, kami pulang semula ke Kota Baru untuk mencari homestay yang sudah ditempah di Pantai Cahaya Bulan. Memandangkan kedudukannya yang terlalu jauh dari bandar, kami membatalkan hasrat untuk bermalam di situ dan terus ke bandar untuk mendapatkan hotel pula. Mujur Hotel Ridel mempunyai dua lagi bilik yang kosong. Ternyata bilik hotelnya selesa dan menarik. Harga juga agak berpatutan. Sebelum itu sempat kami makan tengahari di Pusat Kraftangan Kelantan.
Pusat Kraftangan Kelantan
Malamnya, Ezz yang berada di Kota Baru menghadiri kenduri kawin rakannya mengajak makan di Restoran Chiengmai. Selesai makan, kami pulang ke hotel dan kebetulan hotel Ezz hanya 5 minit berjalan kaki dari tempat kami. Sempat singgah berborak di kopitiam sebelum pulang ke bilik dan tidur.
Bilik standard di Hotel Ridel
Hari Ahad, selesai sarapan kami terus ke Kuala Trengganu untuk melawat Masjid Kristal dan sempat membeli keropok lekor losong. Aku tiba di Kuantan sekitar jam 6 petang. Hasrat hati ingin tidur tetapi aku terpaksa menyiapkan kerja untuk dihantar keesokkannya.
Masjid Kristal
Letih tetapi seronok.
No comments:
Post a Comment