Pejam celik, pejam celik sudah hampir 5 bulan aku bekerja di tempat baru. Ketika ini aku sudah berpuasa hampir 8 hari di bulan Ramadhan yang mulia ini. Bezanya kali ini aku berpuasa di rumah bersama ibu dan bapa.
Agak lama juga aku sunyi dari menulis di blog ini. Namun aktiviti masih lagi berjalan seperti biasa. Sempat juga bersiar-siar ke Melaka sebelum menghadiri kursus kepimpinan untuk pengurus-pengurus di Kelana Jaya.
Rancangan ke Melaka sebenarnya dibuat setelah rancangan asal ke A Famosa Waterpark tidak menjadi. Mujur beberapa rakan yang masih ingin meneruskan rancangan berjalan-jalan ini tetapi terus ke Bandar Melaka. Mujur Marlin dan Hedra sanggup menumpangkan kami buat semalaman di rumah mereka berhampiran pantai Klebang.
Marlin menjadi pemandu jalan kami sewaktu bersiar-siar di Jonker Street. Sempat juga makan malam di penempatan orang-orang keturunan Portugis sebelum berkaraoke di Jetty.
Pulang ke KL pada hari esoknya, aku terus mendaftar masuk ke hotel untuk kursus keesokkan harinya. Selama tiga hari di situ, ternyata banyak yang perlu aku belajar dari segi pengurusan. Sememangnya bermanfaat.
Memandangkan minggu berikutnya hari Isnin dan Selasa adalah cuti umum di Johor, aku mengambil kesempatan dengan mengambil cuti panjang. Pertama kali dalam sejarah, kereta aku rosak di tengah jalan (sebenarnya di tepi jalan) dan buat pertama kalinya juga aku mendapatkan bantuan Kurnia Auto Assist untuk menunda kereta ke pusat servis. Rupanya, bateri lemah.
Demam karaoke sudah melanda Hedra dan sabtu itu, Hedra dan Marlin sanggup ke KL untuk berkaraoke bersama-sama. Masih lagi tidak puas. Mungkin akan ada lagi sesi selepas raya nanti.
No comments:
Post a Comment