Tuesday, January 27, 2009

Water Rafting, Tutorial dan AJL 23...

Sememangnya bulan ini agak padat juga hujung minggu aku dengan pelbagai aktiviti. Selalunya aku menghabiskan masa dengan beriadah di gim dan berjumpa dengan teman-teman untuk bertanya khabar.

17hb lalu, sebagai aktiviti lasak luar yang pertama tahun ini, aku mengikuti rombongan ber 'water rafting' di Sungai Slim, Perak. Perjalanannya lebih kurang sejam setengah sahaja dari Kuala Lumpur. Seramai 15 orang yang menyertai aktiviti kali ini. Sememangnya menyeronokkan berbanding 2 lagi sungai yang pernah aku lalui sebelum ini.

Keesokkannya, aku menghadiri tutorial pertama untuk semester ini. Semester lalu pencapaian aku agak baik walaupun aku merasakan peperiksaan akhir agak mencabar. Kembali semula ke Shah Alam setelah satu semester aku berada di Johor Baru, agak janggal juga kerana ramai muka-muka baru walaupun ada yang aku sudah kenal sebelum ini.

Malamnya aku bergegas ke Stadium Putra untuk menyaksikan Anugerah Juara Lagu ke 23 secara langsung sebaik pulang dari kelas. Sememangnya agak letih tetapi persembahan pada tahun ini agak baik berbanding tahun lepas membuatkan aku teruja. Selesai anugerah aku ikut menyertai 'post party', sayangnya ramai peserta sudah pulang atau tidak muncul di acara akhir itu.

No comments: