Friday, August 28, 2009

Kembali Sekali Lagi...

Pejam celik, pejam celik, sudah tiba ke akhir bulan Ogos dan bulan Ramadhan sudah masuk hari ke-tujuh. Sememangnya sudah agak lama aku tidak menulis di sini. Semua kerana kemalasan dan kecenderungan bermain facebook kebelakangan ini. Sejak dari pertengahan bulan Mei sehingga sekarang ini, agak banyak juga aktiviti yang telah aku sertai. Disamping itu aku juga telah selesai dengan pengajian buat semester Mei ini.
Baru-baru ini aku sempat ke Air Terjun Berkelah dengan rakan-rakan sepejabat. Perkhemahan semalaman di sana agak menyeronokkan sehinggakan ada yang mahu kesana sekali lagi. Sekali lagi pada tahun ini aku mendaki Gunung Kinabalu buat kali kedua. Mungkin kerana persediaan yang agak baik sebelum pendakian, aku tidak menghadapi banyak masalah kecuali berasa sedikit pening setelah turun dari puncak gunung.
Buat pertamakalinya, aku menaiki Bukit Broga di Semenyih berdekatan dengan Kajang. Suatu bukit yang agak berlainan dengan hanya lalang yang tumbuh di puncak bukit. Sememangnya mengkagumkan. Bersama-sama teman gim, aku sempat meluangkan dua malam bersama mereka di Cherating sebelum ke Temerloh memetik buah-buahan di kampung Ariza, rakan sekerjaku.

Minggu lalu aku sempat ke Bangkok untuk menyaksikan teater muzikal 'Mamma Mia' atas jemputan Sukri dan sudah tentu tiket ditanggung olehnya.


Sepanjang bulan Jun dan Julai merupakan musim durian dan ternyata aku puas dapat merasainya terutama yang diberi secara percuma. Selain itu juga terdapat banyak buah manggis dan rambutan.



Bulan puasa ini tidak banyak aktiviti yang dirancang. Selain persediaan menyambut hari raya Aidil Fitri, aku juga bersiap untuk melancong ke Eropah bermula pada hari raya ke-empat selama tiga minggu. Harapanku semua akan berjalan dengan lancar. Awal bulan November aku akan pulang semula ke Pasir Gudang setelah selesai kerja di Kuantan ini.

No comments: