Selepas Melaka, kali ini destinasi aku ke Siem Reap, Cambodia pula. Tiket sudah kubeli sejak April 2009 hampir setahun lalu dengan hanya RM88 sahaja. Setahu aku juga hanya beberapa teman gym yang akan pergi bersama, rupa-rupanya seramai 8 orang akan turut serta dan mujur aku kenal kesemuanya.
Seperti biasa menjadi tugasan aku untuk memastikan semua berjalan dengan lancar. Penginapan sudah ditempah, pengangkutan juga sudah diatur. Hanya perlu berbincang tempat-tempat yang mahu dilawati.
Kami berlepas pada 23hb April, jam 7 pagi dan tiba di Siem Reap jam 8 pagi waktu tempatan. Penerbangan mengambil masa 2 jam dan waktu di sana adalah sejam lewat dari waktu di Malaysia. Walaupun baru jam 8 pagi tetapi sudah panas terik di sana, jam 5 pagi sudah terang benderang.
Setelah dijemput oleh pihak hotel Ei8th Rooms, kami terus keluar bersiar-siar. Siem Reap hanyalah sebuah pekan kecil tanpa shopping kompleks. Ia lebih terkenal disebabkan oleh peninggalan sejarah terutamanya Angkor Wat. Pertama-tama sekali kami mencari tempat makan yang halal. Bukan mudah untuk mencari ditempat yang rata-ratanya beragama buddha. Kami ketemu dengan satu-satunya restoran makan segera di sini, Kentucky Fried Chicken dan ternyata halal. Memandangkan cuaca sangat panas, kami singgah sebentar untuk makan tengahari dan melepaskan kepenatan. Selesai makan kami berjalan sekitar pekan dan berjaya mencari makanan halal india di Pub Street. Selain itu ada juga Maybank dan Public Bank di situ. Kami pulang untuk merehatkan diri sebelum bersiap untuk ke Ton Le Sap pula.

Ton Le Sap adalah sebuah tasik yang unik dan yang terbesar di Asia. Ia terjadi apabila air sungai dari Mekong melimpah kedalamnya pada waktu musim tengkujuh dan akan mengalir keluar semula waktu kemarau. Namun, tasik yang terbentuk masih mengandungi air hanya paras air akan turun atau naik bergantung pada musim. Tepat jam 4 petang kami bersiap menaiki van ke jeti bot untuk menyusuri Ton Le Sap. Setiap seorang dikenakan bayaran USD10 untuk menaiki bot dan sebaik bot meluncur aku lihat airnya tidak ubah seperti teh tarik. Mula terdetik dalam hati, apakah keistimewaan tasik ini. Dari jeti ke tasik itu mengambil masa hampir setengah jam kerana banyak bot lain yang lalu lalang dan laluannya sempit. Ketika hampir tiba ke muara tasik hujan turun dengan agak lebat. Kami mula panik kerana ombak kecil sudah mula kelihatan dan bot menjadi terumbang ambing. Pemandu bot terus membawa kami ke sebuah bangunan yang rupanya adalah sebuah surau. Sememangnya terdapat beberapa keluarga islam yang tinggal disekitar surau itu namun keadaan surau agak terbiar dan mungkin hanya digunakan ketika misi kemanusiaan dua buah sekolah dari Malaysia bulan lalu. Kami berteduh sebentar sementara hujan reda. Lebih kurang setengah jam kemudian kami menaiki bot semula dan mahu pulang. Tujuan asal untuk melihat matahari terbenam dibatalkan kerana matahari tidak kelihatan selepas hujan.
Namun begitu, kami dapat melihat kehidupan pendudukan yang tinggal ditasik tersebut. Kebanyakkan rumah dibina dengan pelampung tak kurang juga yang dibina atas tiang. Kami tertanya-tanya sesama sendiri apa punca pendapatan orang-orang ini. Sememangnya kehidupan mereka sangat daif. Ton Le Sap sememangnya kelihatan seperti lautan, begitu luas dan besar sekali.
Sebaik pulang dari Ton Le Sap, kami berehat dan membersihkan diri sebelum keluar untuk mencari makan. Memandangkan sebahagian dari rakan-rakan adalah bukan islam, kami berpecah dan makan di Maharajah yang menyediakan makan halal. Agak kecewa kerana nasi beriyani yang kami pesan kurang menyelerakan. Selesaikan makan, kami berjalan-jalan lagi sekitar Pub Street dan ternyata keadaan diwaktu malam sungguh berbeza. Kawasan ini penuh dengan pengunjung berbanding siang hari yang agak lengang.
Kami pulang ke hotel sekitar jam 11 malam dan terus tidur kerana keletihan.
No comments:
Post a Comment