Thursday, August 09, 2007

Melayang...

Beberapa hari ini fikiran aku melayang ntah kemana. Kerja-kerja di pejabat terbiar begitu sahaja. Mujur tidak ada projek besar yang perlu selesaikan ketika ini. Aku sendiri tidak pasti kenapa aku merasa begitu bosan sekali. Mungkin kerana teruja dengan percutian ke Pulau Perhentian esok. Satu pulau sudah lama aku ingin kunjungi setelah banyak mendengar tentang keindahannya. Peluang yang datang terus saja aku ambil apabila Eddy mengajak aku untuk ikut serta rombongan bersama teman-temannya. Malam ini, aku dan teman-teman akan menaiki bas ke Kuala Besut.

Sudah dua hari aku makan tengahari bersama Jess minggu ini. Pertamakali di Sheraton Imperial kerana Jess boleh mendapatkan 50% diskaun jika makan di sana. Kali kedua di Bukit Bintang dan kami hanya makan nasi ayam saja. Malam tadi aku makan bersama Joe dan Fendi di Shogun, One Utama. Buffet makanan jepun dan juga tempatan. Banyaknya makan...

Semalam, selepas makan tengahari bersama Jess, kami telah meronda-ronda sekitar Bukit Bintang. Aku telah singgah di satu tempat ini dan membeli sesuatu yang sudah aku rancangkan beberapa bulan lalu. Akhirnya tercapai sudah segala yang dirancang dan selesai sudah senarai membeli-belah untuk tahun ini.

Masih tinggal satu lagi rancangan riadah untuk tahun ini. Hujung bulan ini aku akan mendaki Gunung Tahan buat kali ketiga bersama teman-teman mendaki gunung. Setakat ini disahkan seramai 18 orang akan ikut serta. Pulang dari Gunung Tahan, bulan puasa akan menjelang sekali lagi. Semua aktiviti tertangguh. Sehingga akhir tahun, aku perlu tumpukan perhatian pada pelajaran yang semakin mencabar. Aku tertekad untuk menyelesaikan pengajian ini walau apa pun terjadi... Insya'Allah.

Monday, August 06, 2007

Pesta Durian?...

Aku, Joe dan Gio sudah bersarapan pagi ahad itu. Niat untuk mendapatkan big breakfast di Mc D berkecai kerana kami lewat. Terpaksa mendapatkan hidangan biasa saja. Lepas menghantar Gio pulang aku mengajak Joe ke Pesta Durian anjuran vendor kepada syarikat tempat NA bekerja. Selain itu, Aman datang bersama teman wanitanya dan juga Fendi.




Joe, aku dan NA

Kami tiba di Pondok Permai, Ulu Langat sekitar jam 3.30 petang dan ternyata semua durian sudah habis. Yang masih tinggal cuma cendol saja. Mujur cendol itu sedap. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membeli saja di tepi jalan dan makan di Air Terjun Sungai Gabai. Aku dan NA membeli hampir 9 biji durian D24 selain rambutan dan pulasan. Waktu itu sudah hampir jam 5 petang. Masih ramai yang berada di air terjun dan kami terus mencari satu sudut untuk duduk dan menikmati durian yang dibeli. Kami mendapat satu tempat di tepi air terjun dan mujur ada membawa bersama tikar untuk duduk dan menikmati durian yang dibeli tadi. Durian yang dibeli agak bagus isinya. Aku puas.

Menikmati durian...

Air Terjun Sungai Gabai

Kami pulang dalam jam 6 petang dan aku terus menghantar Joe pulang ke Shah Alam. Aku keletihan dan hampir tertidur di rumah Joe. Sebaik Fendi tiba di rumah kami ke Pak Li untuk makan malam. Aku pulang ke rumah lebih kurang jam 1 pagi. Terpaksa aku mengambil cuti separuh hari ini...

Cari...

Hari Sabtu lalu memang amat memenatkan. Aku diajak seorang teman untuk menyertai Pencarian Harta Karun sekali lagi. Am yang berkerja dengan I-Perintis mendapat jemputan untuk menyertai treasure hunt ini oleh vendor mereka. Aku pun terus saja setuju kerana tidak perlu mengeluarkan satu sen pun dari wang saku sendiri. Percuma saja.

Seawal jam 5.45 pagi aku sudah bangkit dari tidur. Perlumbaan dijadualkan bermula pukul 8.30 pagi tetapi kami perlu melapur diri jam 7 pagi. Sarapan disediakan diikuti dengan serba sedikit penerangan sebelum perlumbaan dimulakan. Kami merupakan kereta yang ke-6 tiba. Selain aku dan Am, Joe dan Gio juga menjadi rakan perlumbaan kami. Aku menjadi pemandu arah, Am pemandu sementara Joe dan Gio memerah otak untuk mencari jawaban. Perlumbaan dimulakan agak lewat sedikit kerana menunggu ketibaan semua peserta. Tepat jam 9 pagi, kami dilepaskan bermula dari Desa Petaling ke Cyberview Lodge Resort and Spa di Cyber Jaya. Pengalaman pertama bagi Am, Joe dan Gio, perlumbaan ini agak kelam kabut sedikit kerana masih belum dapat menyesuaikan diri.

Ahli Kumpulan O.G.4


Akhirnya, kami tiba juga di garisan penamat dengan aku sedikit pening. Sememangnya aku tidak boleh membaca di dalam kenderaan. Namun sebagai pemandu arah, aku perlu membaca setiap arahan selain aku terpaksa menyelesaikan permainan SODOKU yang menjadi sebahagian dari soalan yang diajukan. Teman-teman yang lain langsung tidak tahu apa itu SODUKU.

Tiba di Cyberview Lodge Resort and Spa, kami dijamu dengan makan tengahari sebelum jawaban-jawaban kepada persoalan diterangkan kepada kami diikuti dengan penyampaian hadiah. Seperti yang dijangka, kami pulang dengan tangan kosong.

Tiba di rumah aku berehat. Aku keletihan. Joe menyarankan untuk ke Berjaya Times Square untuk menyaksikan Mystar Celeb. Q akan beraksi pada malam ini dan kami pun kesana untuk memberi semangat kepadanya. Persembahan Q yang digandingkan dengan Wan Ali memang menghiburkan. Semoga dia berjaya. Lewat malam, kami pun pulang. Pada awalnya, Gio yang ingin pulang mengambil keputusan untuk tidur saja di rumahku. Am pula sudah pulang awal kerana bapa angkatnya sakit tenat.

Friday, August 03, 2007

Tenang...

Kebelakangan ini, kehidupan aku terasa lebih tenang. Segalanya berjalan dengan lancar dan aku berharap ia akan berterusan.

Semalam, aku mendapatkan sesuatu yang sudah agak lama aku idamkan. Aku anggap ini sebagai hadiah buat diriku sendiri.. he he he.

Sebelum itu ke kelas bodysteps di gym. Selesai aku makan malam bersama NA dan Shidi di Chilis. Sudah agak lama aku tidak makan sebanyak itu. Sepatutnya aku ke rumah Joe untuk makan soto dan durian tetapi aku sudah kekenyangan dan keletihan, aku batalkan saja rancangan aku itu. Mungkin malam ini aku akan ke rumah Joe.

Wednesday, August 01, 2007

Gila...

Gilakah aku?... Aku sendiri tidak pasti. Sejak kebelakangan ini, aku gila untuk makan durian. Dari hari Sabtu hingga Isnin, aku tak henti-henti makan durian. Kalau seulas dua, mungkin orang akan faham. Tapi aku sendiri saja tak cukup sebiji, paling kurang dua biji. Sabtu dan Ahad, aku makan bersama teman-teman. Aku menghabiskan dua biji satu masa. Isnin lalu, aku tidak makan tengahari kerana kononnya hendak diet tapi sebaik pulang dari gym, aku begitu teruja untuk makan durian lagi. Niat aku untuk membeli dua biji saja tetapi abang penjual itu menyuruh untuk ambil tiga kerana buahnya agak kecil. Aku pun setuju. Selepas membayar, abang itu memberi aku satu biji lagi secara percuma. Aku pulang dan makan tiga biji dan sebiji lagi aku simpan untuk hari esok. Puas hati...

Minggu ini, seperti biasa aku ke gym. Kerana terasa diri ini sudah bertambah berat badan, aku ke Maxis Tower untuk mengikut kelas Hi-Lo. Joe ingin turut serta. Jadi buat pertama kalinya aku lihat Joe dalam keadaan kelam kelibut mengikut setiap gerak langkah Kak Nor. Selesai kelas di situ, aku bersama Kak Nor dan Saiful terus ke SPK pula untuk kelas Intermediate/Advance Steps. Sebelum itu kami sempat minum teh di Jumpa Cafe. Kelas malam ini agak payah sedikit tapi aku tetap mencuba.

Semalam, aku ke Maxis Tower untuk kelas Intermediate dan Basic steps. Walaupun letih aku perlu teruskan juga untuk kembalikan berat badan aku ke tahap asal. Aku juga sempat untuk ke Maxis Center untuk bertanyakan tentang jalurlebar maxis. Insya'allah, setelah aku mendapatkan komputer peribadi baru nanti, aku mahu menggunakan perkhidmatan itu.

Monday, July 30, 2007

Selesai...

Akhirnya selesai sudah penat lelahku. Aku harap waktu yang aku luangkan untuk mengulangkaji pelajaran berbaloi dengan keputusan yang bakal aku dapat nanti. Memang letih bila sudah hampir 2 abad meninggalkan alam pembelajaran. Agak kekok sedikit dan terasa tekanan dan bebanannya. Namun aku berdoa semoga cita-cita aku akan tercapai.

Semester ini, aku menduduki 2 kertas untuk peperiksaan akhir. Satu pada hari Jumaat dan satu lagi pada hari Sabtu. Selesai saja peperiksaan pada hari Sabtu, aku terus pulang ke rumah. Malas hendak fikirkan lagi tentang peperiksaan walaupun kebanyakkan yang aku teka, keluar juga didalam soalan peperiksaan.

Aku berjumpa dengan Fendi dan Joe untuk makan malam di sebuah restoran Korea. Makanan ala buffet termasuk juga makan tempatan. Boleh tahan juga makanannya. Selesai makan, kami pulang tapi sebelum itu sempat membeli durian di Seksyen 18, Shah Alam.

Keesokkannya, aku hanya merehatkan diri dengan berenang. Terasa berat badan aku naik dengan mendadak. Mana tidaknya, aku makan sarapan pagi, tengahari, minum petang dan makan malam. Semua lengkap. Aku harus jaga pemakananan aku...

Tuesday, July 24, 2007

Kesal...

Aku sudah berlatih hampir seminggu untuk membuat persembahan di sebuah majlis perkahwinan atas pelawaan teman ini. Tiga hari sebelum majlis, dia meminta aku untuk berlatih bersamanya. Aku setuju dan dia mencadangkan Jumaat malam untuk berlatih memandangkan majlis akan berlangsung keesokkannya. Dua hari sebelum majlis, dia bilang dia tidak dapat berlatih kerana akan menonton wayang dan akan pulang lewat. Aku pun membuat temu-janji dengan teman lain. Sehari sebelum majlis, dia minta aku kerumahnya untuk berlatih. Mana mungkin aku boleh kerumahnya kerana aku sudah membuat rancangan lain. Bila aku ingatkan dia kembali yang dia akan menonton wayang pada malam itu, jawabannya hanya 'malas'.

Sabtu pagi sepatutnya berlangsung raptai untuk majlis perkahwinan itu dan aku menunggu panggilan dari teman aku itu untuk memberitahu tempat dan waktunya. Namun hampa. Pesanan ringkas aku tidak berjawab. Aku faham dan terus membuat perancangan lain walaupun sudah hampir separuh hari aku menunggu di rumah.

Semalam, aku terima pesanan dari teman itu. Kononnya, dia tertinggal handphone di rumah dan kerana aku tidak hadir raptai, maka persembahan aku dibatalkan. Tak apalah, mungkin bukan rezeki aku....cuma ini memberi pengajaran buat aku untuk berhadapan dengan orang-orang yang sebegini. Aku kesal dengan sikapnya tapi aku juga seharusnya sudah masak dengan perangainya yang begitu sejak dari dulu lagi.

Lewat petang semalam aku minum petang bersama NA di KLCC. Seterusnya aku ke SPK untuk mengikuti kelas Steps. Memang kelakar kerana rutin hari ini memang sukar. Ramai yang berlanggar sesama sendiri. Selesai gym aku terus pulang untuk mengulangkaji pelajaran. Aku akan menghadapi peperiksaan akhir hujung minggu ini. Moga-moga aku berjaya...

Thursday, July 19, 2007

Bila Harus Memilih...

Aku puas! Akhirnya aku dapat menikmati buah durian yang bukan saja segar tetapi isi yang manis dan lemak. Puas hati aku. Tidak cukup satu, aku dan Ajeem makan tiga biji durian di tempat berdekatan dengan rumah aku.

Dua hari lalu, aku sempat melawat Sheera yang masih lagi terlantar di hospital akibat tonsilnya yang membengkak. Waktu makan tengahari aku terus memandu ke Darul Ehsan Medical Center dan mujur parking begitu mudah sekali di Plaza Masalam dan murah. Kebetulan ada juga seorang teman Sheera yang aku lupa namanya. Aku hanya meluangkan waktu setengah jam bersama Sheera sebelum pulang semula ke pejabat.

Di pejabat agak tenang sedikit ketika ini kerana tidak banyak tender baru yang masuk. Aku mempunyai banyak peluang untuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan akhir minggu hadapan namun kemalasan tetap juga memburu aku.

Semalam seperti biasa aku ke gym diwaktu petang. Selesai gym aku makan malam bersama dengan NA di KLCC. Agak banyak juga aku makan walaupun sedar berat badan aku semakin bertambah. Dan setelah itu aku makan durian bersama Ajeem. Tiba di rumah aku mula terfikir tentang sesuatu yang aku baca siang tadi. Sesuatu yang aku cuba elakkan selama ini akhirnya berlaku juga hujung minggu lalu. Aku cuba beralah tetapi pihak lain mahu teruskan juga perancangan yang sudah dibuat. Tidak terniat langsung aku mahu menyaingi sesiapa. Malah rancangan ini juga sudah aku unjurkan sejak awal lagi. Aku mencadangkan agar rancangan aku ditunda memandangkan aku masih belum membuat persediaan. Kerana aku sedar di mana letaknya diriku. Namun, bak kata orang nasi sudah menjadi bubur. Apa pun ia sudah berlalu tapi aku akan jadikan ini sebagai pengajaran berharga buat diriku.

Mulai saat ini, aku tidak akan unjurkan apa-apa rancangan yang melibatkan orang lain. Biarlah mereka yang merancang, aku mengikut saja jika keadaannya sesuai kerana aku tahu memang sukar bila kita harus memilih...

Tuesday, July 17, 2007

Khabar Berita...

Semalam aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari Yus mengatakan Sheera dimasukkan ke hospital. Rupanya, tonsil Sheera membengkak dan bernanah. Aku belum sempat melawatnya cuma berdoa semoga dia cepat sembuh. Kalau sempat, tengahari nanti aku akan ke hospital.

Sebelum itu aku menerima satu panggilan dari Candid bertanya tentang satu kerja iklan yang aku sendiri tidak tahu menahu. Katanya nama aku sudah dicalonkan dalam senarai akhir tapi aku tidak pernah menghadiri sesi ujibakat untuk iklan itu. Aku gembira tapi tidak menaruh harapan yang tinggi.

Selain itu, aku diberitahu seorang rakan setugas aku di tapak pembinaan kami sudah berhenti. Aku mungkin diminta untuk mengisi kekosongan itu. Aku tidak pasti samada ini berita gembira atau tidak kerana tapak pembinaan kami terletak jauh di sebuah kampung jauh beza dari Kuala Lumpur ini. Diwaktu yang sama aku juga mendapat satu tawaran kerja di bandar yang jauh juga dari Kuala Lumpur tetapi dengan gaji dua kali ganda dari apa yang aku terima sekarang ini. Aku pening.

Lewat petang semalam seperti biasa aku ke gym untuk kelas intermediate/advance steps. Sebelum itu, CW mengajak untuk minum teh sebelum ke kelas. Namun hajat untuk berbual tentang kerja seharian terbantut apabila Kak Nor, Saiful dan beberapa orang lain menyertai kami. Tajuk perbualannya sudah menyimpang ke lain. Tapi kelas hari ini menyeronokkan. Aku sudah dapat menguasai setiap langkah sehingga ke akhir. Tak sabar untuk menunggu kelas minggu hadapan pula.

Monday, July 16, 2007

Selamat Ulang Tahun...

Jumaat lalu, aku dan Sheera meraikan sambutan ulang tahun Yus dan Ezz. Yus menyambut hari lahir pada 9hb Julai manakala Ezz pula keesokannya, iaitu hari Sabtu. Madnor, Ajeem, Ila, Nurul dan juga dua teman Sheera ada bersama. Selesai jamuan, aku, Sheera, Ila, Yus dan Nurul berkunjung ke La Queen untuk pertama kali. Seronok juga melihat gelagat orang-orang di situ sambil menari menghiburkan hati.

Hari Sabtu aku ke Pejabat untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar pada kelas tutorial hari ahad. Mujur aku mendapat banyak idea beberapa hari itu. Ini memudahkan aku untuk menulis walaupun aku kurang pasti samada ia menepati tajuk karangan itu atau tidak. Yang pasti, aku boleh hantar esok.

Aku pulang ke rumah sekitar jam 3 petang dan terus memasak soto sebagai hidangan untuk keluarga aku yang akan tiba dari kampung. Ayah aku telah dipanggil oleh adik-beradiknya untuk berkumpul sesama mereka sambil membincangkan harta-harta peninggalan arwah atuk. Petang itu juga aku ke perjumpaan Jejak Alam untuk membincangkan rancangan untuk mendaki Gunung Tahan akhir Ogos nanti. Sebaik aku tiba di Tasik Titiwangsa, Ibu bapa aku sudah sampai di rumah. Mujur aku telah tinggalkan kunci untuk mereka.

Di Tasik Titiwangsa, aku buat pertamakalinya bertemu dengan peserta-peserta yang akan ke Gunung Tahan. Tapi aku tidak lama di situ kerana sudah berjanji untuk menonton wayang bersama Joe dan Fendi. Selesai menonton kami ke Pelita untuk makan dan seterusnya pulang.

Ahad, aku ke kelas tutorial namun pagi itu, kereta aku sudah dirantai kerana meletakkan kereta aku ditempat orang lain. Tapi yang membuat aku geram, kunci rantai itu disimpan oleh orang yang bekerja waktu malam dan aku terpaksa menggunakan kereta adikku untuk ke kelas dan menyebabkan aku lewat hampir sejam.

Selesai kelas jam 11.35 aku terus pulang untuk menghantar ayah ku ke rumah makcik di Kelana Jaya. Mujur tidak susah untuk mencari rumahnya. Aku kemudian terus ke Giant untuk makan tengahari sambil menunggu ayahku selesai dengan agendanya. Mahu tak mahu, waktu mengambil ayahku, aku disuruh masuk ke rumah makcik ku dah berdepan dengan semua sanak saudara termasuk nenek yang sudah lama aku tidak jumpa. Terasa kekok sedikit namun aku cuma untuk menyesuaikan diri.

Aku keletihan yang amat sangat sehinggakan aku terasa begitu mengantuk sekali setelah pulang ke rumah. Pelawaan untuk keluar oleh keluarga, aku tolak dan berehat saja di rumah.

Tuesday, July 10, 2007

Mengantuk...

Aku mengantuk. Tak tertahan rasanya mata aku ini. Semenjak pulang dari bercuti di Bangkok, kerja yang berlambak sudah menanti aku di pejabat. Apa lagi dengan tugasan yang belum siap dan perlu dihantar ahad lalu. Aku menjadi sedikit kelam kabut dengan keadaan sebegini.

Aku terpaksa bekerja hari Sabtu lalu. Mujurlah pembantu teknikal aku sudah mampu untuk bekerja sendiri tanpa banyak panduan dari aku. Berbanding dulu, setiap perkara perlu aku ulang beberapa kali dan perlu aku beri arahan. Jika tidak, sudah tentu aku tidak menang tangan membuatnya seorang. Kerja aku siap sekitar jam 5 petang tetapi aku masih perlu membantu teman aku untuk menyiapkan kerjanya. Sambil membantu, aku ambil peluang untuk menyiapkan tugasan aku. Dua tugasan yang perlu aku hantar Ahad ini. Satu sudah aku siapkan sebelum ke Bangkok lagi, hanya perlu menyemak semula. Satu lagi aku masih dalam proses membuat kajian. Akhirnya aku dapat menyiapkan juga tugasan yang kedua ini. Lega rasanya.

Ahad, sebelum kelas tutorial bermula, aku sempat menonton filem 'Alone' dengan Joe dan Fendi. Aku sudah lama mahu menonton cerita seram dari Thailand ini. Memang menyeramkan. Jalan ceritanya juga menarik mengisahkan dendam sepasangan kembar yang salah seorangnya dibunuh oleh seorang lagi.

Kelas aku bermula jam 3 petang. Hari ini kami perlu menghantar segala tugasan yang diberi. Aku perhatikan kelas tidak seramai minggu yang sebelumnya. Dari senarai yang menghantar tugasan aku kira tidak sampai setengah pun. Apa sudah jadi dengan mereka?...

Aku harap aku akan kuat untuk meneruskan perjuangan aku ini...

Sunday, July 08, 2007

Bangkok II...

Pagi ini aku dan NA bercadang untuk mengikuti tour ke Ayuthaya namun kami terlewat bangun. Ketika kami tiba di Jetty, kami dapati perjalanan ke sana bermula seawal jam 7 pagi. Kami berada di sana jam 10 pagi. Lalu kami pun menukar rancangan ke Zen Central@World dan Platinum Fashion Mall. NA masih belum puas dengan membeli-belah baju-bajunya.

Menaiki Skytrain, kami terus ke arah MBK dan membuat pertanyaan disalah sebuah salun kecantikan. NA mahu membuat rawatan muka. Aku juga tidak ketinggalan. Setelah selesai perbincangan dan pasti dengan rawatan yang dikehendaki, kami terus ke Zen dan aku membeli sedikit barangan di sana. Dari situ kami terus ke Platinum tak tidak sempat untuk membeli-belah lama kerana kami makan bersama Eddy dan rakan-rakan. Sekitar jam 3 petang kami perlu ke MBK untuk rawatan muka. Terus kami berkejar ke sana. Hampir 2 jam setengah kami luangkan masa di situ. Aku sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Selesai saja rawatan, aku terima pesanan ringkas dari Sukri. Aku sudah berjanji dengannya untuk keluar makan malam hari ini. Aku bawa NA bersama dan kami berjumpa dengan Sukri di Mc D di Robinson. Kami dibawa ke sebuah restoran makanan laut dan ternyata makanan di situ menepati citarasa aku. Sesudah kenyang, Sukri mencadangkan untuk keluar berhibur tetapi aku dan NA sudah keletihan dan masih belum mandi walaupun sudah seharian kami berjalan-jalan. Akhir kami membeli-belah di Pat Pong saja dan terus pulang selepas itu.

Akhirnya aku dapat menyegarkan dan merehatkan badan di hotel. Teringin pula untuk keluar lagi namun akhirnya aku tertidur.

Esok NA akan pulang ke KL, aku pula akan tinggal sehari lagi di sini. Awal-awal pagi lagi kami sudah ke hotel penginapan Eddy dan teman-teman. Mereka masih lagi belum bersiap. Aku dan NA terus berjalan untuk mencari sarapan pagi. Sambil itu NA terlihat iklan rawatan gigi dan terus membuat temu-janji dengan klinik itu. NA membuat rawatan pemutihan gigi, aku hanya membersihkan gigi. Kata doktor, aku ada 22 lubang samada yang kecil atau yang besar dan untuk menampal satu lubang berharga Rm65. Aku tangguhkan saja dulu niat itu.

Sebelum ke klinik gigi itu, kami sempat makan tengahari di Kedai Deen. Satu kedai makan muslim yang selalu aku kunjungi. Selesai rawatan gigi, kami terus pulang ke hotel kerana NA perlu berkejar ke Lapang Terbang untuk pulang. Aku terus ke hotel penginapan Eddy lepak sebentar di situ dan aku diminta untuk membawa mereka ke Kedai Deen. Masing-masing kelaparan mencari nasi. Setelah makan, aku berjumpa dengan Sukri semula di pejabatnya. Dia sudah ada rancangan untuk aku malam ini. Dia mahu aku berjumpa dengan teman-teman rapatnya. Kami duduk berbual sehingga jam 3 pagi sebelum aku pulang ke hotel.

Hari Selasa itu aku dijadualkan pulang. Seawal jam 12.30 tengahari kami sudah bertolak ke lapangan terbang walaupun penerbangan aku jam 4.50 petang. Awal pagi itu, aku sempat lagi membeli sedikit barang dapur yang dipesan teman-teman di Tops, Robinson. Penerbangan tidak banyak masalah dan tiba di LCCT lebih kurang jam 8 malam. Selesai dengan imigresen, kami menaiki bas terus ke KL Sentral dan tepat jam 9.30 malam, Areff sudah sedia menunggu aku di situ. Kami sempat makan malam dan berborak sebelum dia menghantar aku pulang ke rumah.

Letih sungguh tetapi aku seronok...

Thursday, July 05, 2007

Bangkok I ...

Penat. Memang penat aku berjalan-jalan beberapa hari ini. Bangun seawal jam 8 pagi kemudian membeli-belah dan pulang lewat petang. Keluar lagi lewat malam dan pulang ke hotel jam 3 pagi. Begitulah jadualku sepanjang berada di Bangkok selama 5 hari.

Aku bercuti bersama NA, Eddy, Bad dan beberapa orang lagi teman mereka. Memang seronok dengan perangai masing-masing yang agak gila-gila walaupun ini kali pertama bagi aku dan NA bersama mereka .

Aku tiba di sana lebih kurang jam 3 petang sementara NA pula mengambil penerbangan yang lewat 2 jam dari aku. Kami terus ke hotel di Silom dan terus keluar untuk membeli-belah setelah mendapat bilik masing-masing. Aku dan NA tinggal di hotel yang berlainan. Sementara menunggu ketibaan NA, aku menumpang bilik teman-teman yang lain.

Destinasi pertama kami ke MBK untuk membeli-belah disamping mencari makanan halal di situ. Aku tidak membeli apa-apa. Selesai makan, kami pulang ke hotel semula dan bertemu dengan NA. Lewat malam, kami keluar bersama menuju DJ Station. Memang ternyata terlalu ramai orang di situ. Setelah puas kami pun pulang sekitar jam 2 pagi.

Keesokannnya, kami ke Chatuchak untuk membeli-belah lagi. Sesiapa yang pernah ke Thailand tak akan lepaskan peluang ke tempat ini. Berbagai jenis barangan yang ada di sini. Terpulang samada terdaya atau tidak untuk mengunjungi setiap gerai. Waktu petang, kami pulang dan terus ke Platinum Fashion Mall pula. Di sini lebih banyak lagi membeli-belah dilakukan terutamanya pakaian. Aku hanya makan ais-krim di Swensen saja.

Malam itu hujan agak lebat. Aku dan NA hanya menunggu di hotel, sementara teman-teman yang lain dengan rancangan mereka sendiri. Hampir jam 9 malam, dalam kelaparan kami menuju ke kedai Makan Deen tapi sudah tutup. Akhirnya, kami hanya makan makanan arab. Selesai makan, kami berjumpa dengan teman-teman yang lain untuk menonton show ago-go. Seronok NA buat pertamakalinya menyaksikan show sebegini.

Friday, June 29, 2007

Tidur...

Aku tidur dalam panggung wayang semasa menonton 'Transformers' malam tadi. Aku sudah agak ini akan berlaku. Aku cuba mengelak kalau ada tayangan tengah malam. Pasti aku akan mengantuk jadinya. Tapi disebabkan rakan-rakan yang lain sudah setuju, aku mengikut saja. Kesudahannya, aku tidak tahu hujung pangkal ceritanya.

Aku sedang bersiap-siap untuk percutian ke Bangkok sekarang ini. Penerbangan berlepas tengahari ini. Aku akan berada di sana selama 5 hari. Nantikan kepulangan aku selasa ini...

Wednesday, June 27, 2007

Peluh...

Memang berpeluh habis semalam. Dua kali aku masuk kelas steps, dua kali aku berpeluh sakan. Seronok sangat kerana dapat mengeluarkan peluh yang banyak selain dapat mengikuti setiap gerak langkah Kak Nor.

Selesai gym, aku terus membersihkan diri dan dalam perjalanan keluar tu bertembung dengan Chong Wei. Dia mengajak untuk makan malam. Pada mulanya aku agak berat hati tapi aku ikutkan juga. Selain Chong Wei, Finas, Kak Nor dan Saiful juga ada. Kami makan di Nando's. Sementara menunggu makan tiba banyak yang kami bualkan sehingga pecah perut jadinya. Seronok sesekali makan bersama mereka.

Tuesday, June 26, 2007

Lega...

Setelah berhempas-pulas dengan kerja di pejabat minggu lepas, aku kembali lega apabila kerja-kerja sudah selesai. Minggu ini hanya ada satu tender yang perlu dihantar.

Jumaat lalu, aku menonton cerita 'Ghost Tunnel' di Cineleisure bersama Jo dan Fendi. Memang genre seram ini kegemaran aku cuma cerita kali agak merepek di penghujungnya. Lakonannya juga seperti kurang emosi menyebabkan banyak persoalan yang kami timbulkan selepas selesai menonton.

Keesokannya, Chong Wei mengajak aku untuk berkaraoke. Pada waktu yang sama Jo dan Fendi turut sama mengajak. Untuk memuaskan hati semua pihak, aku menyarankan agar sesi karaoke digabung dan ternyata semua setuju. Akhirnya, seramai lapan orang yang hadir. Faham-faham sajalah bila sudah ramai maka ada yang kurang berpuas hati. Aku cuba sedaya upaya untuk mengawal keadaan.

Ternyata Chong Wei mempunyai bakat yang luar biasa. Aku sedikit terpegun dengan nyanyiannya. Selesai karaoke, kami beredar dan Shai mengajak ke rumah Abang Man. Aku turutkan saja, Chong Wei juga tidak membantah. Setelah hampir dua jam di rumah Abang Man aku pun mengajak Chong Wei pulang kerana aku keletihan yang amat sangat.

Ahad aku ada tutorial. Malam sebelumnya aku bertungkus lumus untuk mengulangkaji sedikit dan menyiapkan tugasan yang diberikan. Sehari suntuk berada di kelas yang panas membuatkan aku resah dan mengantuk. Aku harap aku dapat bertahan sehingga selesai pengajian aku.

Selesai kelas, Jo menjemput aku makan malam di rumahnya. Ternyata dia seorang yang pandai memasak. Kenyang sekali sehingga terlupa aku perlu berdiet. Selesai makan aku pun pulang. Aku terasa begitu mengantuk sekali. Aku terus membersihkan diri dan tidur...

Friday, June 22, 2007

Banyak Kerja...

Setelah berhempas-pulas beberapa hari yang lalu dengan tugas-tugas di pejabat, aku terasa sedikit lega. Itu belum lagi memikirkan tugasan kursus yang perlu aku siapkan. Tinggal lebih kurang seminggu saja lagi untuk dihantar.

Minggu ini tidak banyak yang aku lakukan melainkan kerja-kerja pejabat dan ke gym seperti biasa. Kerja di pejabat semakin bertambah. Tidak lagi seperti dahulu, masa terluang begitu saja. Akan datang, aku dapat tahu, kerja-kerja tender tempatan yang sudah lama aku tinggalkan akan kembali semula. Aku harap ini tidak akan mengganggu pelajaran aku nanti.
Di gym, seperti biasa aku masih lagi ligat ke kelas steps. Sempat juga kenal dengan orang-orang baru di sana dan mengenali dengan lebih dekat lagi teman-teman yang lain.
Minggu depan, aku akan ke Bangkok bersama NA dan beberapa lagi teman-teman. Masih tidak pasti lagi apa perancangan aku sebenarnya. Cadangnya hanya ingin lepak-lepak saja tapi mungkin NA mempunyai idea. Tunggu sajalah nanti...

Monday, June 18, 2007

Paintball...

Semalam aku bersama teman-teman ke NPNG di Sungai Buloh untuk bermain Paintball. Kak ti, Betty, Sue dengan Amad, Suhilla juga ada bersama. Ini kali pertama kami bermain di sini. Memang terasa teruja bila melihat arena yang disediakan. Terdapat dua arena, satu di dalam dewan tertutup dan satu lagi terbuka. Kami dapat bermain di kedua-dua tempat. Kali ini, aku banyak mendapat lebam-lebam di badan akibat ditembak oleh pihak lawan.


Inilah lebam-lebam akibat ditembak oleh pihak lawan.


Sabtu, aku sempat menonton wayang di BTS. Aku bersama beberapa orang teman menyaksikan 'Fantastic Four' tetapi aku rasa aku tidak dapat mengikuti keseluruhan ceritanya kerana aku mengantuk dan tertidur beberapa ketika.

Wednesday, June 13, 2007

Akhirnya...

Akhirnya tiba jua saat-saat yang aku tunggu beberapa minggu ini. Semalam, aku dipanggil seorang rakan sekerja untuk ke tempat yang di tingkat atas. Aku teragak-agak sedikit kerana tidak pernah di hubungi olehnya. Aku mula membuat andaian. Setibanya di situ, terus aku ditunjukkan halaman suratkhabar berbahasa Inggeris yang terpampang gambar aku. Ya, iklan yang menggunakan muka aku sudah keluar. Ini dia...




Aku pulang dari Perth hari Sabtu tengah malam. Mujur Ajeem sanggup datang untuk mengambil aku di KL Sentral. Kami makan di Pelita sebelum pulang ke rumah. Esoknya, beberapa orang teman datang ke rumah untuk makan malam. Hujan lebat. Keesokkannya, dilapurkan banjir besar di serata Kuala Lumpur. Parking basement di pejabat aku juga tenggelam.

Seperti biasa, Isnin dan Selasa adalah hari untuk steps. Jikalau minggu lepas aku hilang punca dalam kelas intermediate/advance steps, tapi minggu ini aku dapat mengikut gerak langkah yang diajar. Semalam lebih mudah bagi aku kerana itu hanya tahap intermediate dan basic.

Dalam perjalanan pulang aku singgah di Hospital Tawakkal melawat En Razib yang tidak berapa sihat. Jessica pulang sedang murung dengan masalah kerjanya. Aku akan makan tengahari bersama dengan Jessica dan mungkin akan dapat lebih terperinci lagi tentang masalahnya.

Tuesday, June 12, 2007

Entry Bergambar : Perth 2007

Ini pula entry bergambar sewaktu ke Perth. Tidak banyak gambar yang diambil kerana aku berseorangan.


Di belakang aku adalah Swan Bell Tower di Pusat Bandaraya Perth.

Di belakang aku kelihatan Pusat Bandaraya Perth dari Kings Park.

Salah satu tugu peringatan di Kings Park.

Suasana yang hijau dan segar di Kings Park.