Wednesday, February 21, 2007

Bercuti di PD...

Aku terjaga dari tidurku kerana alat penggera dari sebuah kereta berbunyi diawal pagi. Lalu aku bangun dan terus ke pc untuk menulis.

Tahun baru cina baru saja masuk hari keempat. Aku tidak pulang ke kampung untuk meraikan bersama keluarga pada tahun ini. Aku tidak pasti kenapa hatiku berat untuk pulang. Lantas aku dan beberapa orang teman, membuat rancangan untuk berkhemah di PD. Pada asalnya hanya aku, Edi dan Ajeem saja yang akan ke sana tetapi Shi dan Yus juga tidak mempunyai rancangan, jadi aku ajak mereka sekali dan mereka setuju.

Edi dan Ajeem tidur di rumahku pada hari sabtu malam supaya mudah untuk bergerak awal. Pagi ahad itu, setelah bersiap, aku terus ke rumah Shi untuk mengambilnya dengan Yus sekali. Tiba di sana, kami dijamu dengan teh-o dan jemput-jemput pisang. Sedap tapi sikit aje, segan nak makan lebih-lebih... he he he. Sempat berbual dengan ibu Shi dan banyak cerita yang kami dengar darinya.

Perjalanan ke Port Dickson melalui lebuhraya agak sesak ketika melalui seremban dan juga jalan baru ke sana. Namun, kami tiba sekitar jam 1 tengahari dan terus mendaftar masuk. Khemah didirikan dan Shi terus memasak nasi untuk hidangan makan tengahari. Shi telah menyediakan lauk 'ayam bersos' dan sayur kacang buncis goreng dari rumah. Edi terus menggoreng telur. Makan tengahari agak ringkas tetapi mengenyangkan. Selesai makan, kami berehat dan tidur. Aku menyediakan minum petang dengan menu cucur udang. Petangnya, kami berjalan-jalan ke pantai dan melihat persekitaran resort tersebut. Teman-teman Shi dan Yus juga kebetulan berada di situ dan menyewa salah sebuah chalet di situ. Kami mengambil kesempatan untuk meninjau ke tempat mereka.

Waktu malam tiba, kami pun bersedia untuk BBQ. Jenuh juga untuk menghidupkan bara api namun akhirnya, berjaya juga. Hanya ayam dan daging kambing saja yang dipanggang. Walaupun ringkas tapi tetap mengenyangkan. Selepas mandi, kami dapat ada karaoke terbuka rupanya. Aku dan Shi yang 'kaki' karaoke ini memang tidak melepaskan peluang lansung. Banyak juga lagu yang kami nyanyikan secara solo dan duet. Bagus juga persembahan kami malam itu... he he he

Kami tidur sekitar jam 1 pagi. Masing-masing keletihan. Aku tidur satu khemah bersama dengan Ajeem, Yus dengan Shi manakala Edi bersendirian.

Esok pagi, hujan renyai sedikit. Mujur tidak lebat. Aku bangun dan menyiapkan sarapan. Seperti biasa, menu aku ialah sandwic tuna dan corned beef. Selesai sarapan, kami terus ke kolam renang dan berehat di dalam jacuzzi. Aku dan Edi sempat juga berenang di kolam utama. Kemudian kami menuju ke kawasan permainan dan mencuba Go-kart, Memanah dan Paintball Target Shoot. Masih teringat ketika di Genting tahun lalu, Shi tidak dapat mencuba Go-Kart kerana tidak menepati had ketinggian tetapi kali ini had di sini lebih rendah. Jadi kami berempat kecuali Ajeem, terus berlumba di litar itu. Memanah juga agak meletihkan terutama bahagian lengan tangan. Akhirnya, aku dan Shi mencuba target shooting dengan paintball kerana tidak cukup ahli untuk bermain 'perang'. Sekurang-kurangnya diperlukan 6 orang, kami cuma berlima. Mungkin dilain waktu...

Kami keluar dari Eagle's Ranch Resort sekitar jam 6 petang dan terus menuju Umbai untuk menikmati makanan laut di situ. Setelah beberapa kali tersesat jalan, akhirnya kami tiba sekitar jam 9 malam. Terlalu ramai orang di situ. Mujur kami mendapat tempat parking kereta dengan mudah. Juga mendapat tempat duduk tetapi mengambil masa yang agak lama untuk dibersihkan. Shi dan Yus memesan makanan. Udang, Ketam, Ikan dan kupang antara menu yang dipesan. Menyelerakan. Selesai makan, terus pulang ke KL. Aku mengantuk. Ajeem menggantikan aku untuk memandu sehingga kesemua teman-teman sudah dihantar ke rumah masing-masing.

Aku keletihan. Tiba di rumah lebih kurang jam 1 pagi, aku terus mandi dan tidur.

No comments: