Semalam aku menonton wayang sekali lagi. Kali ini genre yang aku suka. Cerita hantu dari Thailand berjudul "Unseeable". Ternyata jalan ceritanya lain dari yang pernah aku lihat sebelum ini. Menariknya tentang filem ini, semua watak dalam cerita ini adalah hantu. Cuma mereka tidak sedar mereka sudah mati kerana mereka masih lagi mengharapkan keadaan akan kembali kepada asal. Nual masih mengharapkan suaminya akan kembali kepadanya. Suaminya, Chob juga mengharapkan dapat bertemu Nual dan berusaha untuk memberitahu Nual bahawa dia mati dibunuh. Chob sebenarnya dibunuh oleh isteri pertamanya tatkala dia meminta untuk bercerai dan mahu tinggal bersama Nual. Tidak ada sesiapa yang mengetahui tentang kematian Chob kecuali ketua pembantu rumah. Namun, dia juga mati ketika terjatuh dari tangga selepas menyaksikan Chob dibunuh oleh isteri pertamanya. Mayatnya disimpan di stor. Eh! Panjang pulak cerita... Namun, Nual yang gagal mencari suaminya telah membunuh diri dengan menggantung dirinya. Mmm... lebih menarik kalau tonton wayangnya dari mendengar cerita aku.
Seperti biasa sebelum itu aku ke gym. Melakukan senaman lazim yang aku lakukan. Setelah itu aku ke foodcourt untuk makan malam dan terserempak dengan NA bersama buah hatinya, mungkin...he he he.
Di pejabat, tidak banyak yang aku lakukan kerana sekarang ini memang kurang kerja. Masa aku dihabiskan dengan membuat kertas kerja untuk aktiviti kelab sukan yang akan datang. Buat masa ini, aku merancang untuk mendaki gunung datuk di rembau, negeri sembilan awal bulan mac. Kemudian diikuti dengan mendaki gunung ledang di bulan april. Aku bukannya ahli jawatankuasa kelab sukan yang dipilih namun aku berasa selesa untuk membuat kerja-kerja yang sudah biasa aku lakukan. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi memikirkan masalah yang remeh temeh. Aku tidak lagi menoleh ke belakang dengan kesedihan, hanya pandangan kosong...
No comments:
Post a Comment