Aku menjadi gusar kerana mereka masih tidak turun untuk makan malam. Sebagai penyelaras, menjadi tanggungjawab aku memastikan setiap orang berada dalam keadaan baik dan selamat. Aku mengarahkan mizan untuk mengenjuk mereka sekali lagi. Namun hampa. Kak Ti menyusul kemudian, diikuti oleh Din. Namun tetap sama.
Makan malam diteruskan tanpa peserta-peserta wanita kerana peserta-peserta lelaki sudah lapar dan lama menunggu. Aku dengan berat hati meneruskan juga makan malam itu.
Sebenarnya, aku berada di puncak Gunung Datuk sabtu lepas. Ini merupakan salah satu aktiviti rekreasi kelab sukan syarikat tempat aku bekerja. Seramai 3 orang dari pejabat di HQ manakala 10 orang dari pejabat di Johor. Aku juga mengajak 3 lagi sahabat yang berpengalaman untuk membantu mengendalikan aktiviti ini. Aku tidak mampu melakukannya berseorangan.
Bertolak dari Kuala Lumpur dan Johor masing-masing, kami bertemu di Tol Plaza Pedas-Linggi. Berehat untuk makan tengahari sebentar sebelum bersiap sedia di kaki gunung. Tepat Jam 2.14 petang, kami mula mendaki. Cuaca agak mendung pada kali ini dan hujan sedikit selepas satu jam kami mendaki. Peserta paling awal berjaya sampai ke puncak selepas 2 jam 30 minit. Diikuti dengan yang terakhir sekitar 3 jam.
Namun, walaupun diberitahu renjer bahawa hari ini di puncak tidak ada yang berkhemah, kami dapati kawasan perkhemahan sudah penuh. Aku pun berbincang dengan mereka untuk menginjak sedikit supaya kami dapat berkhemah sama. Mujur mereka memahami dan memang sudah begitu lumrah bagi yang biasa berkhemah, sentiasa membantu sesama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Kami juga berkenalan dengan Din dan Atoi yang kebetulan hanya mendaki berdua. Akhirnya, kami berkhemah bersama dengan mereka dan juga makan bersama.
Cuaca di puncak memang baik. Redup dan sejuk. Seperti yang diharapkan, hujan tidak turun sepanjang kami berkhemah di puncak. Waktu makan malam terjadi sedikit pertelingkahan di kalangan peserta wanita akibat dari kata-kata yang hanya sekadar gurauan. Itu menjadi punca mereka dimahu ikut makan malam. Aku terpaksa biarkan saja. Selesai makan, kami naik ke puncak batu untuk menikmati pemandangan waktu malam. Bulan mengambang namun udara sejuk tanpa angin bertiup. Setelah lebih kurang sejam di sana, angin mula bertiup dan terasa dingin yang amat sangat. Kami pun turun semula ke khemah dan tidur sekitar jam 3 pagi.
Keesokkannya, waktu menyediakan sarapan, kumpulan wanita dari Johor mahu pulang lebih awal. Aku membiarkan saja. Mungkin mereka perlu bergerak lebih awal kerana perjalanan ke Johor lebih lama lagi berbanding kami yang tinggal di KL. Kami yang tinggal, meneruskan sarapan pagi dan kemudian turun ke punca mata air untuk mandi manda. Agak jauh dan curam tapi menyeronokkan. Ini adalah kali pertama aku ke situ walaupun ini adalah kali ke-3 aku mendaki Gunung Datuk. Nyaman sungguh.
Lebih kurang jam 12.30 tengahari setelah berkemas, kami pun turun dan tiba di kaki gunung sejam kemudian. Setelah membersihkan diri, kami pun bertolak pulang dan singgah untuk makan di warung cendol terkenal di Rembau. Aku tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Aku keletihan yang amat sangat.
No comments:
Post a Comment