Hampir tiga minggu aku tidak menjengah blog ini. Kesibukan menghalang aku dari mengemaskini segala yang terjadi dalam hidupku. Di waktu ini aku baru saja sembuh dari demam yang doktor syaki sebagai demam denggi mujur ia hanya demam biasa. Aku rasa mungkin kerana kesibukan kerja dan keletihan, badan aku menjadi lemah. Sepanjang tiga minggu yang lalu, aku terpaksa menyiapkan satu tender, mentelaah pelajaran, terbang ke Mumbai dan pulang dan seterusnya menduduki peperiksaan. Sebaik saja aku selesai dengan peperiksaan terakhir, aku terus berasa kurang sihat, terasa seram sejuk seluruh tubuhku.
Aku juga terpaksa bersengkang mata lebih 24 jam tanpa tidur untuk menyiapkan tender yang perlu dihantar ke Mumbai. Kesibukan ini menyebabkan aku terpaksa mengulangkaji pelajaran sewaktu menunggu di airport, di dalam penerbangan dan di dalam bilik hotel. Sebaik saja aku tiba di KLIA pagi tu, aku terpaksa bersiap untuk menduduki peperiksaan tengaharinya. Aku cuma berharap segala pengorbanan aku berhasil.
Masih ada lagi dua tender baru yang perlu aku tangani. Aku perlu ke Mumbai dua kali lagi, dan kebetulan tarikh yang ditunda itu bersamaan dengan tarikh umat Islam meraikan Hari Raya Haji dan yang satu lagi sehari selepas hari Natal. Jika ada rezeki yang lebih, mungkin aku boleh memanjangkan cuti aku di sana nanti.
No comments:
Post a Comment