Friday, December 28, 2007

Beraya di Perantauan...

Hampir dua minggu aku tidak menulis dek kesibukan kerja-kerja di pejabat selain ke Mumbai untuk menghantar tender terbaru. Memandangkan tahun 2007 sudah hampir ke penghujung, agaknya ramai yang mengambil peluang bercuti dan menyebabkan penerbangan ke Mumbai penuh. Aku terpaksa ke sana dua hari lebih awal dan pulang dua hari kemudian. Jika mengikut kebiasaan aku hanya perlu tinggal semalam saja di sana. Kebetulan pula hari raya korban jatuh pada salah satu hari aku berada di situ.


Hari Pertama (18hb)

Aku bertolak ke Mumbai pada 18 haribulan dan terpaksa menaiki penerbangan transit ke New Delhi kerana penerbangan terus ke Mumbai penuh. Perjalanan mengambil masa lebih 8 jam termasuk transit selama sejam di airport Delhi. Kapalterbang mendarat lebih kurang jam 6.30 petang di lapangan terbang Chattrapati Sivaji dan seperti biasa akan ada pemandu dari hotel menunggu. Mujur tidak lama dan aku dibawa terus ke hotel. Sebaik aku mendaftar masuk, aku membersihkan diri dan terus tidur.


Hari Kedua (19hb)

Tidak banyak yang aku lakukan hari ini. Aku hanya berjalan-jalan sekitar kawasan hotel untuk mengenal-pasti barangan yang perlu aku beli untuk dibawa pulang nanti. Selebihnya aku hanya tidur di bilik hotel.


Hari Ketiga (20hb)

Hari ini aku harus menghantar kotak-kotak tender ke pejabat klien. Jam 6.30 pagi aku sudah bangun dan terus membalut semula kotak-kotak yang hampir hancur dalam penerbangan. Jam 10 pagi, pemandu dari pejabat tiba dan aku terpaksa memasuk beberapa dokumen dahulu sebelum terus ke pejabat klien. Kawasan di pejabat klien ini adalah kawasan perindustrian baru dan aku suka dengan kawasan ini kerana ia lebih moden dan bersih. Ternyata ada beberapa pasaraya di situ yang mana aku jarang sekali dapat lihat di sini. Selesai menghantar, aku terus pulang ke hotel dan sebelum itu aku sempat singgah untuk membeli domino pizza. Aku sudah jelak dengan makanan hotel. Sebelum aku ke sini, Shay sudah menghubungi rakan-rakannya yang berkerja di sini supaya aku dapat beraya bersama-sama orang Malaysia. Petang itu aku menghubungi Kak Rose dan sudah membuat perancangan untuk ke apartmentnya esok.


Hari Keempat (21hb)

Lebih kurang pukul 10 pagi, aku sudah keluar dari hotel dan untuk pertamakalinya aku menaiki Bajaj untuk ke rumah Kak Rose. Mujur pemandu bajaj itu dapat menjumpai tempat tinggal Kak Rose. Ketika aku sampai, ada beberapa lagi rakan sekerja Kak Rose sedang menikmati juadah hari raya. Di sini, hari raya korban jatuh pada hari Jumaat, lebih lewat dari negara Arab dan Malaysia sendiri. Aku pun teruslah makan apa yang dihidang. Ada ketupat, rendang kambing, kuah lodeh, kuah kacang, mee hoon goreng dan beberapa masakan lagi. Selesai makan, sempat berbual-bual dengan rakan-rakan Kak Rose termasuklah bossnya. Sekitar jam 4 petang, kami ke stesen keretapi Andheri West kerana Kak Rose mahu membeli gelang-gelang bollywood yang dipesan adik iparnya. Aku pulang ke hotel lebih kurang jam 8 malam.


Hari Kelima(22hb)

Aku akan pulang ke KL malam nanti. Tidak sabar rasanya. Pagi-pagi lagi aku mengambil teksi di luar hotel untuk ke Gateway of India. Lebih kurang sejam perjalanan dari hotel. Aku suka membeli barangan di sana kerana ia lain dan lebih unik di sana. Aku meluangkan masa sejam di situ dan sebaik saja aku mendapat apa yang aku hajati, aku terus pulang ke hotel kerana Kak Rose mengajak aku ke HardRock Cafe Mumbai. Terkejut sekejap. Rupanya ada HRC di sini. Walaupun jalan masuk ke HRC itu tidak menampakkan adanya satu cafe yang ternama di situ tetapi sebaik tiba di pintu masuknya ternyata ianya cantik dan bersih. Kami hanya singgah untuk membeli t-shirt dan sebaik saja selesai, aku terus ke airport. Walaupun hanya jam 4 petang, aku terpaksa menunggu sehingga jam 12 tengahmalam untuk penerbangan pulang ke KL.


No comments: