Sunday, February 24, 2008

Aku di Pulau Sipadan...

Aku sekarang ini sedang menggunakan internet di Borneo Diver Resort di Pulau Mabul. Rancangan bercuti ke sini dibuat oleh Khalid sejak awal Disember lalu. Aku memang sudah lama memendam hasrat untuk ke sini kerana mahu melihat dengan sendiri keindahan taman laut di Pulau Sipadan. Akhirnya, aku tiba di sini 23 haribulan lalu bersama teman-teman seramai 11 orang.

Hampir saja rancangan aku ke sini gagal disebabkan oleh bebanan kerja di pejabat. Namun, aku dapat melepaskan diri kerana kerja-kerja itu bukan dibawah tanggungjawab aku sebenarnya. Sabtu pagi seawal jam 2.30 pagi, Zue sudah menunggu untuk sama-sama ke rumah Khalid sebelum bertolak ke LCCT. Penerbangan dijadualkan berlepas jam 7.10 pagi dan kami tiba di Tawau lebih kurang jam 9.30 pagi dan terus ke Semporna. Di sana kami makan tengahari dahulu sebelum bertolak ke Pulau Mabul.

Di hadapan chalet Mabul Resort...


Perjalanan yang mengambil masa sejam tidak terasa sebaik kami menjejakkan kaki di Pulau Mabul. Kami telah disambut oleh Ramesh, Pengurus Mabul Resort sebelum diberikan serba sedikit taklimat mengenai resort ini serta kemudahan-kemudahan yang disediakan. Memang diluar jangkaan aku. Resort ini lengkap dengan WIFI dan juga penggunaan internet percuma. Bagasi kami juga diangkut oleh pekerja resort dari bot sehinggalah ke dalam chalet. Kami terpaksa berkongsi tiga orang satu chalet untuk menjimatkan kos. Chalet amat selesa dengan pendingin hawa dan kipas. Air panas juga ada di bilik mandi.


Kami agak bernasib baik kerana Borneo Divers ada menyediakan kursus pendek untuk menyelam. Ia mengambil masa lebih kurang 2 atau 3 jam sebelum membuat selaman yang pertama. Kursus ini membolehkan kami selam ke tahap kedalaman 12 meter saja dan tempoh sah laku sijil hanya dua minggu saja. Sebaik kami meletakkan barang di dalam chalet dan menukar pakaian, kami terus ke kolam renang untuk mengikuti kursus selaman itu. Memang teruja. Selesai kursus, kami mandi manda di kolam renang sebelum bersiap untuk makan malam.

Tekun mendengar taklimat dari Amanda...


Keesokannya kami sudah tidak sabar lagi untuk menyelam buat pertama kalinya. Setelah semua bersedia dan diberikan taklimat terakhir, kami pun membuat terjunan ke dalam air. Diving Instructor Amanda dan Diving Master Melvin menemani kami turun kebawah sedalam 12 meter. Saat aku menenggelamkan diri, aku sudah dapat merasakan keperitan pada telinga akibat tekanan air laut. Aku terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk menyesuaikan diri. Semakin aku turun, semakin sakit telinga aku. Aku terpaksa berhenti beberapa kali sehinggakan aku terfikir untuk terus naik ke permukaan. Akhirnya aku berjaya juga untuk turun ke dasar laut dan bergerak di sekitarnya.


Berjaya turun ke dasar...

Waktu seakan pantas berlalu dan kami pun diarahkan untuk naik ke permukaan. Sememangnya satu pengalaman yang baru dan menarik buatku. Dari situ kami pulang untuk makan tengahari sebelum ke Pulau Sipadan pula. Di sana kami hanya snorkelling saja. Sememangnya aku suka dengan keindahan alam semulajadi darat dan laut di kawasan ini. Banyak penyu yang berenang-renang selain ikan dalam kumpulan yang besar. Karang di laut juga indah dan berwarna-warni.

Di Pulau Sipadan...

Dari Pulau Mabul kami ke Tawau semula. Semalam di situ sudah cukup untuk mem'bangkrap'kan teman-teman aku. Banyak hasil-hasil mutiara dan kraftangan yang dijual selain ikan kering yang menjadi kegemaran ramai. Aku hanya membeli 2 helai t-shirt untuk diriku.

Kami pulang ke KL pada hari Selasa menaiki pesawat Air Asia jam 8.40 malam. Sememangnya pengalaman kali ini membuatkan aku teruja untuk mengambil lesen penuh menyelam untuk rancangan tahun hadapan pula...

No comments: