Sebaik selesai bercuti, aku diminta ke New Delhi dengan beberapa orang rakan sepejabat untuk menghadiri mesyuarat pertama bagi projek terbaru kami. Bertolak petang Isnin lalu, kami tiba lewat malam di Delhi dan sebaik saja aku melangkah keluar dari pesawat, aku dapati hawa agak sejuk. Berbeza sekali dengan Mumbai yang sering aku kunjungi. Kami dibawa terus ke rumah tumpangan di kawasan South Extension, antara kawasan elit di Delhi kerana kebanyakkan hotel penuh. Rumah tumpangan ini agak selesa lengkap dengan WiFi dan katil pemanas. Kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi waktu tempatan untuk menyiapkan agenda mesyuarat yang masih belum selesai. Hawa semakin dingin aku rasakan, mujur ada katil pemanas.
Aku tidur jam 4.30 pagi dan bangun jam 7 untuk bersiap ke mesyuarat yang dijadualkan jam 11 di Hotel Intercontinental Delhi. Agak jauh juga dari rumah tumpangan kami. Seperti biasa, mesyuarat agak kelam kabut sedikit tetapi selesai juga sekitar jam 3.30 petang. Aku sudah mempunyai rancangan untuk berjalan-jalan dan membeli-belah tetapi semua hotel yang kami singgah, sudah penuh. Terpaksa juga pulang ke rumah tumpangan yang kami duduki malam tadi. Hancur berkecai segala rancangan aku untuk hari itu.
Sedang mencari hotel, sempat bergambar depan teksi...
Keesokkannya aku dan Kesuma sudah bersiap awal pagi sebelum bersarapan dan terus ke Janpath, destinasi membeli-belah yang pertama. Terdapat banyak barangan yang aku suka namun aku tidak membeli apa-apa pun kerana banyak masa terbuang menemankan Kesuma. Ada saja barang yang diborongnya. Kain, Baju, Daun Teh dan macam-macam lagi. Dari situ kami ke Sarojini Nagar pula. Di sini lebih kurang seperti pasar di Chatuchak di Bangkok. Banyak juga barangan yang aku hendak tetapi aku hanya membeli 4 helai sarung kusyen.
di Sarojini ketika membeli langsir dan sarung kusyen...
Kemudian kami terus arah South Extension untuk makan malam di Mc Donald sebelum itu aku sempat membeli sehelai jaket kononnya untuk menahan sejuk kerana ada peruntukkan syarikat. Kawasan ini sudah hampir dengan rumah tumpangan kami. Sebaik tiba di rumah tumpangan jam 7.30 kami bergegas mengemas dan terus ke lapangan terbang jam 8 malam. Agak ramai manusia dia lapangan terbang dan mengambil masa hampir dua jam untuk daftar masuk bagasi dan melepas imigrasi.
Tiba di KL, aku hanya mahu tidur saja. Sebaik tiba di KL Sentral, aku singgah bersarapan di Mc Donald sebelum mengambil teksi untuk pulang. Selalunya aku hanya menggunakan LRT tetapi kali ini aku agak keletihan dan malas untuk berebut dengan penumpang-penumpang. Seharian aku tidur di rumah saja.
No comments:
Post a Comment