Sabtu lalu, sebaik saja taman waktu kerja, aku terus memandu ke KL. Hajat dihati mahu singgah makan di A&W. Teringin makan Mozza Burger dengan rootbeer float. Tiba saja di sana aku lihat ramai sedang beratur terus terbantut hajat besar aku itu. Aku pun terus ke Al-Ikhsan untuk mendapatkan seluar pendek dan stokin.
Rancangan asalnya aku akan terus ke KL tetapi selepas mendapat panggilan dari Hadi aku terus ke rumahnya di Taman Equine. Hari tu, 27hb aku telah mendaftar untuk menyertai larian "Energizer Night Race". Aku tinggalkan seluar pendek dan stokin di Johor kerana aku mahu mengambil barang-barang itu di rumah KL. Namun setelah rancangan bertukar, aku terpaksa membeli yang baru. Takkanlah aku berlari tak berseluar dan stokin, kan?
Tiba di rumah Hadi aku berehat sebentar sebelum keluar ke Cyberjaya, lokasi larian, pada jam 7 petang. Walaupun jarak rumah ke lokasi agak dekat, tapi jalan ditutup dan aku terpaksa berpusing beberapa kali untuk sampai ke sana. Tempat yang dituju masih belum kelihatan dan petrol juga sudah menunjukkan warna kuning. Aku mula menggelabah. Agak susah juga mencari stesen petrol di sekitar kawasan ini. Mujur dalam memandu tanpa arah itu terjumpa dengan stesen Petronas dan aku bertanyakan pekerja-pekerja bangla disitu, hala tuju aku sebenarnya sangat dekat.
Larian sepatutnya bermula jam 9 malam untuk kategori aku. 10km saja. Seperti yang dijanjikan, aku bertemu dengan SS hadapan Putrajaya Sentral. Waktu itu sudah hampir 8.20 malam. Tidak kelihatan pun orang yang menunggu bas 'feeder' untuk ke lokasi pelepasan. Rupa-rupanya bas ada dibawah. Aku dan SS terus berlari untuk mendapatkan bas, ternyata ramai juga yang menunggu. Tiba saja di garisan permulaan baru terasa lega. Dalam 15 minit lagi perlumbaan akan dimulakan. Sempat juga mencari-cari rakan-rakan yang lain dalam kegelapan malam kerana lampu telah ditutup sempena 'Earth Hour'. Setiap pelari dibekalkan lampu suluh 'headlights'.
Larian kali ini aku rasa agak mudah berbanding dengan larian kali pertama aku penghujung tahun lalu. Cuma ketiadaan penanda jalan menyebab aku tidak pasti sama ada mahu memecut atau berlari secara konsisten. Bimbang aku pancit lebih awal. Pada 2km terakhir, kami diberi tahu jarak yang masih tinggal untuk habis kan. Aku pun memulakan pecutan. Semakin lama, semakin lagu. Aku terdengar bunyi kompang dan ketukan rebana semakin hampir. Aku lihat kain rentang juga semakin dekat. Aku semakin mengorak langkah tetapi rupa-rupanya aku tertipu. Garisan penamat masih lagi 500 meter kehadapan. Tapi aku teruskan juga. Tiba digarisan penamat tepat 58 minit. Sememangnya dalam target.
Aku terus pergi mendapatkan 'goodie bag' dan posing di photo corner sebelum beredar untuk menunggu feeder bus. SS berjaya menamatkan larian dalam 68 minit. Larian kali ini terasa mudah kerana tidak banyak laluan berbukit seperti di Putrajaya. Aku masih terasa segar dan ini membuatkan aku berkobar-kobar untuk ikuti acara larian yang akan datang tak lama lagi; New Balance Pacesetter pada 16 May ini dan Standard Chartered KL Marathon pada bulan June nanti.
2 comments:
lepas ni lari pakai kain pelekat je...ngada je nak beli baru..tapi tahniah dapat habiskan juga ikut target ;p
eleh.. orang byk duit..suka hati la.. :P
Post a Comment