Monday, March 19, 2007

Ganas...

Sungguh mengerikan. Ganas dan kejam... aku baru sahaja lepas menyaksikan cerita '300'. Mengisahkan Leonidas, Raja Sparta yang cuba melawan Xesxes, Raja Parsi yang berkuasa. Banyak adegan-adegan ganas dan kejam yang di paparkan. Selain sedikit unsur seksual. Namun, aku faham mengapa Leonidas tidak mahu tunduk kepada Xesxes walaupun dia di kenali sebagai raja kepada segala raja malah bertahap dewa?...Kerana Xesxes kelihatan seperti seorang 'drag queen'... he he he.

Aku sebenarnya mendapat cuti sakit untuk dua hari. Tetapi aku juga sudah ada temu janji pada pukul 11 pagi hari ini dengan Yus. Kali ini, Yus berpesan supaya jangan cukur misai dan janggut kerana produser mahu aku kelihatan lebih tua untuk watak sebagai doktor dalam iklan ini. Aku antara yang disenarai-pendekkan untuk iklan yang aku pergi casting minggu lalu. Produser mengatakan dia suka dengan lakunan aku kerana kelihatan bersahaja disamping kefasihan aku berbahasa mandarin berbanding calon lain. Namun, klien kurang pasti kerana aku kelihatan muda dan mereka mahukan seorang doktor yang lebih berusia. Aku dimekapkan oleh makeup artis untuk kelihatan tua siap dengan rambut dan misai beruban. Dengan keadaan kurang sihat, aku gagahi juga. Aku tidak pasti aku telah melakukan yang terbaik. Selesai casting, aku terus pulang dan ubat yang aku ambil menjadikan aku mengantuk dan terus tertidur. Bangun dari tidur, seluruh tubuhku dan cadar basa dengan peluh.

Aku terus bersiap untuk ke gym kerana aku mahu mengikut kelas intermediate/advance steps. Setibanya di KLCC, aku merasakan badan aku masih lemah dan belum sihat sepenuhnya aku pun terus membeli tiket untuk menyaksikan 300.

Sunday, March 18, 2007

Memang Demam...

Sah...Aku sudah bersin banyak kali sepanjang hari ini.Hingus meleleh. Batuk bertalu-talu. Aku benci. Aku tidak dapat bercakap, kerana setiap kali aku cuba bercakap, aku akan batuk. Aku risau. Aku ada tugasan penting hari Isnin yang perlu aku lakukan dan ini akan membukakan peluang baik untukku bagi tugasan-tugasan akan datang.

Tengahari tadi aku ke The Mall untuk membeli belah. Terlupa aku MATTA Fair sudah bermula. Parking di sana penuh. Aku kemudian terus ke SOGO mujur ada parking. Namun barangan yang aku mahu tidak terdapat di situ. Aku menaiki LRT untuk ke The Mall dan balik semula ke SOGO untuk mengambil keretaku. Selesai membeli belah, terus pulang ke rumah untuk masak. Aku sudah menjemput teman-teman berkhemah untuk makan malam di rumah. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar. Makanan juga cukup dan tidak berlebihan. Seronok juga sekali-kali berkumpul di rumah dengan mereka. Ternyata sudah lama mereka tidak menjejakkan kaki di rumahku kerana dek kesibukan aku dengan teman-teman lain.

Hari ini aku menyediakan Soto, Macaroni goreng, ayam goreng, pudding jagung dan kek cokelat. Hampir kesemua yang dijemput hadir kecuali Yusnor seorang. Gembira bila aku lihat makanan habis dan cuma tinggal sedikit lagi soto untuk aku nikmati esok hari... he he he...

Aku demam...uhuk! Uhuk! Uhuk!

Thursday, March 15, 2007

Demam?...

Hari ini, aku masuk kelas bodystep yang telah lama aku tinggalkan. Seronok juga bila dicampur adukkan dengan steps intermediate yang telah aku pelajari. Selesai kelas, aku teruskan dengan berlari dan mengayuh basikal tetapi hari ini terasa letih yang amat sangat. Aku terasa badan ku panas seperti hendak demam. Harap-harap esok aku sihat kerana aku ada casting yang perlu aku lalui esok. Minggu ini saja, aku sudah menjalani lima sessi casting namun satu pun belum lagi berhasil tetapi aku akan tetap berusaha.

Lusa, aku menjemput rakan-rakan berkhemah untuk makan malam di rumah ku. Sudah agak lama aku tinggalkan mereka kerana kesibukkan dengan teman-teman lain. Sekarang ini, aku punya waktu untuk diluangkan bersama mereka. Lagipun, tahun ini banyak aktiviti mendaki gunung yang akan aku sertai bersama mereka. Inilah masanya untuk membuat perbincangan dengan lebih lanjut disamping bertanya khabar sesama kami.

Wednesday, March 14, 2007

Haunted Spirit...

Aku baru saja lepas menonton 'Haunted Spirit' di KLCC tadi. Aku ditemani oleh Ajeem. Sememangnya aku suka dengan filem genre seram. Walaupun disarankan oleh Shi untuk menonton '300', namun aku tetap memilih 'Haunted Spirit'. Mungkin esok lusa aku akan cuba tonton '300'. Cerita kali ini sebenarnya memang menyeramkan tetapi jalan ceritanya agak kurang kemas. Permulaannya agak perlahan tetapi menjadi pantas di pertengahan cerita. Namun, yang paling menyakitkan hati adalah sekumpulan penonton yang kurang adap bila berada di dalam panggung. Sepanjang filem berlangsung, mereka bercakap sesama mereka dengan nada yang kuat.

Tengahari tadi aku keluar sebentar kerana aku dipanggil untuk casting iklan. Kebetulan kerja-kerja pejabat sudah aku bereskan dan boss pun tidak ada di pejabat, aku ambil kesempatan ini untuk ke Damansara Kim dan Pusat Bandar Damansara. Ada dua tempat aku perlu ujibakat. Aku cuma membuat apa yang termampu dan seterusnya menunggu panggilan dari mereka samada berjaya atau tidak.

Mukhsin...

Semalam, aku menonton Mukhsin bersama Ajeem selepas kelas intermediate steps. Seperti filem-filemnya Yasmin Ahmad yang lain, jalan ceritanya mudah tetapi menarik dan banyak realiti kehidupan yang dipaparkan secara halus. Berbanding Sepet, aku lebih menyukai Mukhsin. Selepas menonton Sepet, aku tidak teruja untuk menonton Gubra. Selesai menonton, kami makan malam di Nailis.

Dalam kelas Intermediate Steps, agak ramai juga muka baru yang hadir. NA kurang sihat dan tidak dapat ikut serta. Tiba-tiba aku terlihat kelibat CW yang masuk agak lewat. Samada aku tidak pernah menyedari kehadirannya di dalam kelas sebelum ini atau mungkin aku sememangnya tidak pernah ambil tahu. Pergerakan aku semakin baik dan beberapa langkah yang aku pelajari pada hari isnin dapat aku gunakan kali ini. Ternyata aku dapat melakukan sepenuhnya dari awal hingga selesai. Waktu berlalu begitu cepat tatkala aku sedang dalam keseronokan. Tak sabar untuk menunggu kelas minggu depan atau aku terus saja ke kelas Advance Jumaat ini.

Tuesday, March 13, 2007

Badut III...

Sekali lagi aku menjadi badut di dalam kelas Intermediate/Advance Steps semalam. Hanya aku seorang kerana yang lain mampu melakukannya dengan baik. Namun, rakan-rakan yang lain sering memberi perangsang dan ini menaikkan lagi semangat aku. Petang ini ada lagi Intermediate Steps, ini lebih mudah bagiku dan tak sabar rasanya untuk ke gym petang ini.

Tengahari semalam aku makan tengahari bersama Jess di Izzi Corner. Aku kebosanan di pejabat lalu mengajak Jess ke situ. Selesai makan terus ke Haagen Dazs untuk menikmati ais krim. Harap-harap tak bertambahlah berat badan aku.

Sunday, March 11, 2007

Impian Yang Nyata?...

Malam tadi memang gila. Aku tak pernah merasa begitu walaupun kadang-kadang perangai aku memang sukar diduga. Apatah lagi dikelilingi oleh teman-teman yang agak gila juga. Sam begitu gembira sekali menjadi penari latar kepada kami yang menyanyi. Aku, Sheera, Yus dan Meng terpaksa menyanyikan semua lagu yang dipilih oleh Sam dan teman wanita Meng memandangkan kedua-duanya tidak menyanyi.

Kami meraikan ulangtahun hari lahir Sam dengan mengadakan sessi karaoke bersama. Aku yang sudah batuk beberapa hari terpaksa menyanyikan lagu-lagu rock 80'an yang menjadi pilihan Sam (oopsss!!!). Walaupun bernada tinggi aku tetap cuba sedaya upaya untuk menyanyi. Mujur Yus ada untuk membantu. Memang diluar jangkaan. Yus tahu banyak lagu yang aku sendiri tidak. Malam ini juga aku melihat sisi Yus yang lebih ceria dan gila-gila. Selalunya dia kelihatan pendiam dan malu-malu. Sheera seperti biasa dengan vokal mantapnya memang membuat aku kadang-kadang mencemburui bakatnya. Meng?... Kami membiarkan dia menyanyikan lagu-lagu yang susah untuk dibawa kerana jika kami yang nyanyi, lagu itu tetap hancur... he he he.

Dan pagi ini...

Impian Jadi Kenyataan...

Saturday, March 10, 2007

Aku atau Dia?...

Aku baru saja mengambil tempat, tiba-tiba aku menjadi resah. Aku kah?... Tak pernah terjadi begini. Kemudian ia hilang dengan tiba-tiba seperti mana ia datang. Aku lega sebentar. Tiba-tiba ia datang lagi. Kali ini aku mencium ketiak ku. Tiada bau. Aku hairan dari mana datangnya bau itu. Lalu aku menjenguk ke kiri dan kanan, ternyata ada seorang berbangsa india sedang melakukan senaman tidak jauh dari aku. Aku cuba pastikan sekali lagi. Aku atau dia?...Ya, sah bau itu datang darinya. Aku tidak jadi untuk meneruskan senaman kerana bau itu amat meloyakan dan terus aku menuju ke ruang rehat. Terfikir sejenak, apakah mereka tidak dapat merasainya?...

Selesai gym, aku pulang setelah membeli sedikit keperluan dapur. Sememangnya aku tidak mempunyai apa-apa perancangan malam semalam kerana hari ini aku ada sedikit tugas perlu diselesaikan atas permintaan teman baik aku. Jadi aku perlukan rehat yang secukupnya.

Aku baru saja kembali dari tugasan tadi. Aku tidak mengharap cuma kadang-kala aku terasa puas bila dapat membantu teman-teman. Tunggu saja nanti keputusannya.

Thursday, March 08, 2007

Kalut...

Pengumuman rasmi telah dibuat petang semalam. Seluruh pejabat kecoh dengan berita ini. Walaupun sejak dari pagi lagi aku telah diberitahu oleh seseorang, aku hanya buat acuh tak acuh saja.

Agak memeranjat juga Pengarah Urusan syarikat tempat aku bekerja, meletakkan jawatan. Berbagai spekulasi timbul, berbagai teori diungkit.Namun, sudah sekian lama aku dengar mereka memang tidak pernah sebulu. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif sememangnya tidak berfikiran seiring. Masing-masing mahu menegakkan fahaman mereka juga keegoan menutup segala pintu perbincangan.

Ketua Pegawai Eksekutif yang berbangsa asing itu akan mengambil alih segala tugas Pengarah Urusan berkuat-kuasa serta merta. Aku sendiri kurang faham dengan hala tuju syarikat ini. Khabar angin terbaru bertiup kencang, projek terbaru kami akan ditarik balik. Samada ditarikbalik atau tidak, kedua-duanya akan memberikan implikasi yang buruk. Namun, jika ditarikbalik itu adalah lebih baik.

Aku juga mendapat khabar, menjelang tahun 2009 semua kakitangan akan dipindahkan ke Johor. Nampaknya aku akan meninggalkan juga kota ini dan membawa segala kenangan pahit manis bersama...

Wednesday, March 07, 2007

Suka! Suka! Suka!...

Ya! Aku berjaya. Kali ini aku dapat melakukan semuanya dengan baik. Bukan saja dengan baik malah aku dapat melakukannya mengikut peringkat lain. Aku melihat seseorang yang biasa mengikuti kelas bodystep, terkial-kial mengikut rentak. Timbul sedikit perasaan riak di hati. Namun aku sedar masih banyak lagi yang perlu aku pelajari.

Keseronokkan terasa apabila semua langkah-langkah dalam kelas step intermediate semalam dapat aku lakukan. NA tidak dapat hadir kerana ada perkara yang perlu diselesaikan. Semalam kelas agak penuh dan ditambah pula dengan sedikit renovasi yang dilakukan, studio terasa agak sempit. Ada beberapa orang yang baru pertama kali mengikuti kelas manakala yang lain muka-muka biasa. Aku pulang seusai kelas dan bertemu dengan Kast di ruang persalinan.

Aku membeli sedikit barang dapur sebelum terus pulang ke rumah. Pagi tadi aku menyediakan ayam goreng, macaroni goreng, puding jagung dan kek cokelat untuk dibawa ke pejabat. Sebetulnya, Isnin lepas kami mengadakan jamuan makan tapi disebabkan keletihan dari memanjat gunung hujung minggu lepas, aku langsung tidak membawa apa-apa juadah. Sebagai ganti, aku membawanya hari ini.

Tuesday, March 06, 2007

Badut II...

Aku cuba sedaya upaya, namun masih gagal. Ku lihat kiri dan kanan, semuanya sekata dan senada. Hanya aku yang masih terkial-kial. Aku seperti badut.

Semalam, buat kali keduanya aku mengikuti kelas intermediate/advance steps. Memandangkan Tahun Baru Cina sudah berlalu dengan penutupnya sabtu lepas, ramai yang hadir terutamanya orang-orang cina. Selain aku, Kak Nor dan seorang lagi, yang lain adalah cina. Tapi aku disangka cina juga oleh seseorang yang menegur aku minggu lalu. Dia menyarankan aku agar ke depan untuk memudahkan penglihatan dalam bahasa kantonis. Aku membalas dengan mengatakan aku malu dan tidak berganjak.

Seperti juga minggu lalu, aku masih lagi terkial-kial dengan beberapa langkah yang agak pantas. Namun, dengan perangsang dari beberapa ahli, aku yakin aku akan dapat melakukannya dalam beberapa bulan lagi.

Monday, March 05, 2007

Kata...

Aku menjadi gusar kerana mereka masih tidak turun untuk makan malam. Sebagai penyelaras, menjadi tanggungjawab aku memastikan setiap orang berada dalam keadaan baik dan selamat. Aku mengarahkan mizan untuk mengenjuk mereka sekali lagi. Namun hampa. Kak Ti menyusul kemudian, diikuti oleh Din. Namun tetap sama.

Makan malam diteruskan tanpa peserta-peserta wanita kerana peserta-peserta lelaki sudah lapar dan lama menunggu. Aku dengan berat hati meneruskan juga makan malam itu.

Sebenarnya, aku berada di puncak Gunung Datuk sabtu lepas. Ini merupakan salah satu aktiviti rekreasi kelab sukan syarikat tempat aku bekerja. Seramai 3 orang dari pejabat di HQ manakala 10 orang dari pejabat di Johor. Aku juga mengajak 3 lagi sahabat yang berpengalaman untuk membantu mengendalikan aktiviti ini. Aku tidak mampu melakukannya berseorangan.

Bertolak dari Kuala Lumpur dan Johor masing-masing, kami bertemu di Tol Plaza Pedas-Linggi. Berehat untuk makan tengahari sebentar sebelum bersiap sedia di kaki gunung. Tepat Jam 2.14 petang, kami mula mendaki. Cuaca agak mendung pada kali ini dan hujan sedikit selepas satu jam kami mendaki. Peserta paling awal berjaya sampai ke puncak selepas 2 jam 30 minit. Diikuti dengan yang terakhir sekitar 3 jam.

Namun, walaupun diberitahu renjer bahawa hari ini di puncak tidak ada yang berkhemah, kami dapati kawasan perkhemahan sudah penuh. Aku pun berbincang dengan mereka untuk menginjak sedikit supaya kami dapat berkhemah sama. Mujur mereka memahami dan memang sudah begitu lumrah bagi yang biasa berkhemah, sentiasa membantu sesama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Kami juga berkenalan dengan Din dan Atoi yang kebetulan hanya mendaki berdua. Akhirnya, kami berkhemah bersama dengan mereka dan juga makan bersama.

Cuaca di puncak memang baik. Redup dan sejuk. Seperti yang diharapkan, hujan tidak turun sepanjang kami berkhemah di puncak. Waktu makan malam terjadi sedikit pertelingkahan di kalangan peserta wanita akibat dari kata-kata yang hanya sekadar gurauan. Itu menjadi punca mereka dimahu ikut makan malam. Aku terpaksa biarkan saja. Selesai makan, kami naik ke puncak batu untuk menikmati pemandangan waktu malam. Bulan mengambang namun udara sejuk tanpa angin bertiup. Setelah lebih kurang sejam di sana, angin mula bertiup dan terasa dingin yang amat sangat. Kami pun turun semula ke khemah dan tidur sekitar jam 3 pagi.

Keesokkannya, waktu menyediakan sarapan, kumpulan wanita dari Johor mahu pulang lebih awal. Aku membiarkan saja. Mungkin mereka perlu bergerak lebih awal kerana perjalanan ke Johor lebih lama lagi berbanding kami yang tinggal di KL. Kami yang tinggal, meneruskan sarapan pagi dan kemudian turun ke punca mata air untuk mandi manda. Agak jauh dan curam tapi menyeronokkan. Ini adalah kali pertama aku ke situ walaupun ini adalah kali ke-3 aku mendaki Gunung Datuk. Nyaman sungguh.

Lebih kurang jam 12.30 tengahari setelah berkemas, kami pun turun dan tiba di kaki gunung sejam kemudian. Setelah membersihkan diri, kami pun bertolak pulang dan singgah untuk makan di warung cendol terkenal di Rembau. Aku tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Aku keletihan yang amat sangat.

Saturday, March 03, 2007

Makan Malam...

Malam tadi, aku makan malam bersama Ezz, Sheera, Yus dan Ajeem. Kebetulan juga semalam adalah ulangtahun hari lahir Ajeem. Yang keberapa?... Biarlah rahsia. Aku membawa mereka ke warung makanan laut yang terletak di Bukit Bintang. Ketam masak daun kari, udang mentega, lala sup, koey teow goreng, nasi goreng, wantan goreng dan sotong kangkung menjadi menu kami. Walaupun agak banyak namun habis juga dimakan. Aku agak puas hati juga dengan hidangan kali ini. Aku pasti mereka semua juga. Manakan tidak, Ezz makan ketam sehingga penuh kedua dua belah tangannya.

Aku terpaksa pulang awal kerana ada temu janji untuk menguruskan aktiviti mendaki gunung hari ini. Ezz, Sheera dan Yus terus berlegar di Bukit Bintang tatkala aku dan Ajeem beransur pulang.

Friday, March 02, 2007

Gunung Datuk...

Esok, sekali lagi aku akan mendaki Gunung Datuk. Ini merupakan kali ketiga buat diriku. Sebenarnya ini ada salah satu tanggungjawab terhadap kelab sukan yang perlu aku galas. Walaupun terasa seperti malas, aku perlu jalankan juga tanggungjawab ini.

Sepanjang minggu ini aku agak sibuk dengan tugas di pejabat selain menguruskan aktiviti mendaki ini. Agak gementar juga kerana ini adalah pertama kali aku mengatur ekspidisi mendaki untuk teman-teman sepejabat. Risau dengan reaksi mereka. Aku berharap segalanya akan berjalan dengan lancar.

Thursday, March 01, 2007

Maaf...

Tak terlintas akan begini
Ku harap tenang namun kusut jua
Hati tak pernah membenci
Hanya tak mampu berdepan memandang
Kemesraan bersamanya
Cuba mengerti fahami
Indah yang sementara masih dihati

Tuesday, February 27, 2007

Badut...

Aku bagaikan badut semalam. Jika sebelum ini, ada badut-badut lain tapi kali ini aku bersendirian. Namun, aku takkan mengaku kalah. Aku pasti akan usaha dengan lebih gigih. Aku akan belajar dan berlatih dengan tekun lagi. Pasti...

Semalam, buat pertamakalinya aku mengikuti kelas Steps Intermediate/Advance. Aku sepatutnya masuk ke kelas ini 2 minggu lalu tetapi aku kurang yakin dengan kemampuan aku. Atas dorongan Kak Nor, aku cuba juga. Dan ternyata, aku kelihatan seperti badut. Banyak pergerakan yang aku gagal lakukan tapi Kak Nor tetap memberi perangsang. Aku akan cuba lagi minggu depan... aku tak akan menyerah. Ada kalanya, kita pasrah tapi ada kalanya kita harus gagahi juga. Aku yakin aku akan teruskan juga...

Selesai mandi, aku bertembung dengan salah seorang peserta kelas tadi yang agak mahir. Dia bertanyakan samada aku akan datang lagi minggu depan. Mungkin aku boleh belajar dari dia. Tak sabar aku menunggu minggu depan...

Monday, February 26, 2007

Kak Ti Belanja Makan...

Semalam aku dan NA berkaraoke seperti biasa. NA diminta oleh rakan sepejabatnya untuk menyanyi di majlis makan malam tahunannya hujung minggu ini. Namun dia masih tidak tahu lagu apa yang sesuai dengan nada suaranya. Fauzee tiba lebih 2 jam lewat. Aku rasakan vocal aku bertambah baik dengan latihan-latihan yang aku buat. Mungkin aku perlu belajar teknik-teknik menyanyi dengan baik dari Linda. Fauzee juga sudah boleh melakukan 'falsetto' dengan baik sekarang ini walaupun pada awal dulu, dia tidak mampu.

Rancangan untuk menonton wayang dengan Ajeem dibatalkan pada saat akhir, kerana tidak ada waktu yang sesuai. Aku terus ke gym dan bertemu Eddy di sana.

Selesai gym aku terus pulang dan bersiap untuk berjumpa dengan Nizam dan Kak Ti untuk mengambil barang-barang perkhemahan untuk aktiviti kelab sukan hujung minggu ini. Mujur tidak susah untuk mencari rumah Kak Ti. Aku dibawa ke restoran makanan siam (tak ingat namanya) di kawasan gombak. Makanannya biasa-biasa saja. Yang penting, untuk pertamakalinya, Kak Ti belanja kami makan...

Sunday, February 25, 2007

Cemas...

Aku membacanya beberapakali, aku cemas. Hatiku berdetak-detik kencang. Lalu aku membacanya sekali lagi. Benarkah apa yang aku baca, aku pasrah...

Ternyata betul. Aku membaca sekali lagi satu persatu dan aku periksa dengan teliti. Ya, memang betul. Dan aku sudah dapatkan semua bahan-bahannya awal siang tadi. Maklum la, ini kali pertama aku akan memasak daging kicap lada hitam. Dan tetamu jemputan pula dikenali sebagai pengkritik hebat juga... he he he

Malam tadi, aku dan Ajeem menjemput Shi, Yus, Eddy, Zam, dan Fadz untuk makan malam di rumahku. Idea ini timbul apabila Ajeem mengatakan ada seekor ikan siakap lebihan dari jamuan makan malam di rumahnya yang masih berada dalam peti sejuk. Dia mahu aku memasaknya, aku pun setuju dan mengajak Shi, Yus dan Eddy. Dari seekor ikan, melarat pula ke daging dan sayur. Dari tiga orang, melarat ke tujuh orang termasuk aku. Panggilan dari Zam tengahari tadi mengajak aku makan malam, tapi aku mengajaknya ke rumah bersama temannya, Fazd.

Sejujurnya, aku memang tidak pandai masak tetapi aku suka mencuba. Buat pertamakalinya, aku menyediakan daging masak kicap lada hitam. Aku meminta resipi dari ibuku. Kemudian, Ajeem membeli seekor lagi ikan siakap untuk distim. Kami juga menyediakan Pak Choy bersos tiram. Ikan siakap yang asal itu, aku goreng dan dibuat ikan masam manis. Ternyata percubaan aku menjadi. Ajeem menyediakan ikan stim dan hasilnya agak baik. Tetapi agak cemas juga kami dengan penerimaan tetamu. Alhamdulillah, lauk habis. Sebenarnya, nasi yang di masak tidak mencukupi... he he he.. sudahnya aku tidak menjamah pun. Tapi aku rasa seronok.

Tengahari sabtu, aku merancang berkaraoke dengan seorang teman tetapi sudah penuh. Aku teruskan dengan mengemas rumah. Selesai kerja-kerja itu, aku membuat kek cokelat yang telah aku beli bahan-bahannya dan juga jeli sebagai pencuci mulut untuk makan malam nanti.

Selesai makan, kami duduk menonton TV dan berborak. Zam yang pada mulanya berasa agak segan dengan teman-temanku, juga sudah berasa lebih selesa. Namun mereka harus pulang awal. Kami terus berborak sehingga lewat malam sambil menjamu dengan buah-buahan dan ais krim.

Friday, February 23, 2007

Hairan...

Semalam, seperti biasa aku ke gym setelah selesai kerja. Singgah sebentar untuk membeli baju tak berlengan di BUM, Klcc. Terus aku ke gym dan melakukan senaman biasa yang aku lakukan. Aku lebih banyak membuat senaman cardio berbanding weights memandangkan aku akan mendaki Gunung Datuk hujung minggu depan. NA juga ada di sana dan aku berjumpa dengannya setelah selesai kelas bodystepnya.

Selesai gym, kami makan di California Pizza Kitchen. Kami memesan pizza dan salad. Ternyata salad kali ini lebih menarik berbanding salad Chilies minggu lalu. NA mengajak aku menghadiri makan malam tahunan syarikat tempatnya berkerja. Tapi tarikhnya bertembung dengan aktiviti mendaki gunung aku minggu depan. Mujur teman lelakinya menawarkan diri untuk menemankannya... he he he. Aku hairan kenapa NA tidak mahu mengajak teman lelakinya bersama...

Wednesday, February 21, 2007

Krisis?...

Pagi semalam aku ke gym. Setelah 3 hari tidak bersenam, aku terasa seperti berat badan. Seawal jam 11 pagi aku sudah berada di sana. Tidak ramai yang datang mungkin kerana masih bercuti. Ketika aku masuk ke bilik persalinan, aku terjumpa Shihan dan berborak sebentar. Ada beberapa soalan yang diajukan pada aku. Dan aku menjawabnya sambil lewa. Katanya, 'apa-apa call Shihan, ok?'... he he he. Terimasih Shihan...

Aku lihat pada jadual kelas, ternyata ada bodystep petang ini dan aku seperti teringin untuk masuk tapi terasa berat hati. Aku pun batalkan niat itu dan terus ke bilik mandi setelah selesai dengan senaman aku. Dalam aku menuju ke situ, bertembung dengan Shihan sekali lagi. Dia memanggil aku kearahnya lalu bertanya 'ada krisis ke?'. Aku hanya tergelak dan terus berlalu...

Aku terus ke Jalan Masjid India untuk menggunting rambut. Selesai, aku pun pulang kerumah dan Ariff tiba tidak lama kemudian. Agak lama tak bersua dengan dia. Fauzee ajak untuk berkaraoke di Sogo. Aku pun setuju memandangkan sudah beberapa kali dia mengajak. Linda dan seorang temannya pun ada. Lewat malam, Ajeem datang untuk mengambil barangnya dan makan bersama-sama aku. Aku menggoreng kepak ayam saja. Kami makan sambil borak-borak kosong.