Monday, November 05, 2007

Jamuan Raya...

Sabtu lalu, aku menjemput teman-teman untuk beraya di rumah. Teman-teman berkhemah, teman-teman di gym dan teman-teman pejabat. Setelah aku membuat jemputan, aku terfikir sejenak samada aku mampu untuk menyediakan makanan untuk jemputan yang ramai. Ternyata semua berjalan dengan lancar.

Jumaat malam aku sudah mulai masak setelah membeli-belah barangan dapur sepanjang minggu. Aku hanya memasak soto manakala juadah lain seperti rendang, satay dan lemang aku beli saja. Aku bersengkang mata sehingga jam 3 pagi sebelum lelap sebentar dan bangun sekitar jam 7 pagi untuk ke pasar tani mendapatkan rendang dan lemang.

Walaupun tiada yang membantu, aku berjaya menyiapkan segalanya tepat jam 12 tengahari dan sempat mandi dan menyalin pakaian. Tetamu mula datang jam 12.30 dan tidak putus-putus sehinggalah jam 7 petang walaupun jemputan rasmi aku sehingga 5 petang.

Sebaik tetamu akhir pulang sekitar jam 8 malam, aku terus berkemas. Letih dan aku tidur awal malam itu.

Esoknya, aku perlu ke Unisel untuk menghantar tugasan. Selesai semuanya dan lewat petang aku ke rumah Meg bersama Su, Fendi dan Nisya untuk beraya. Hujan lebat sepanjang jalan dan lebih lebat lagi apabila kami sedang makan dan terpaksa beralih ke ruang makan di dalam rumah. Makanan yang dihidangkan ternyata sedap dan menepati cita rasaku. Ada juga gerai koay teow goreng. Pesan saja dan akan dihantar ke meja, panas dan lazat. Aku makan 2 pinggan koay teow.

Hujan masih lebat waktu aku pulang. Aku terlalu mengantuk dan tidur awal semalam.

Tuesday, October 30, 2007

Siti, Situ, Sana, Sini...

Musim rumah terbuka sudah tiba. Hari Sabtu lalu saja aku mendapat tiga jemputan. Masing-masing di Setiawangsa, Shah Alam dan Bukit Antarabangsa. Disebabkan ketiga-tiga bermula waktu malam, aku hanya sempat ke rumah Eddy di Setiawangsa dan Joe di Shah Alam. Rumah terbuka Othman tidak dapat aku sertai kerana sudah lewat dah hanya diberitahu petang hari sabtu.

Aku terpaksa memakai kurta yang dibeli di Mumbai bulan lalu kerana baju melayu aku agak besar kerana aku semakin kurus sejak puasa lalu. Terasa seperti 'over' la pulak tapi aku buat bodoh saja. Sepatutnya Ajeem, Nurul dan Shay mengikut aku tetapi hanya Shay saja yang menemankan aku akhirnya. Ada masalah komunikasi dengan Nurul, mungkin dia merajuk agaknya.. he he he. Ajeem pula terlewat kerana beraya di rumah temannya. Aku mengambil Shay di rumahnya sebelum sama-sama ke rumah Eddy. Ramai teman-teman yang aku jumpa di sana. Terdapat juadah raya yang biasa seperti rendang, sate dan mee goreng.

Bertolak dari Setiawangsa, aku terus ke Shah Alam bersama Ajeem dan Shawn. Kami tiba agak lewat dalam jam 11 malam. Tidak lama duduk di situ, selesai makan, kami pulang. Aku ke rumah Joe kerana keesokkannya Joe akan terbang ke London untuk menyambung pelajarannya. Makanan yang dihidangkan berupa nasi lemak berserta lauk dan nasi impit bersama kuah kacang. Pedas sungguh.

Ahad pula, Azizul akan bersanding dan kami semua sudah sepakat untuk pergi beramai-ramai. Aku, Fadhil dan Zue menumpang kereta Sue. Kami tiba agak awal di Ulu Langat dan sebaik saja kami tiba, Azizul tiba untuk bersiap menukar pakaian pengantin berdekatan dengan rumah pengantin perempuan. Kami pun menemaninya walaupun perut agak lapar. Lebih kurang sejam bersiap, kami pun berarak sama dengan rombongan pengantin lelaki. Sebaik saja pengantin bersanding, kami terus menuju ke khemah jamuan dan apa lagi, aku sendiri makan dua pinggan nasi.

Cadangan asalnya setelah selesai kenduri hendak ke Air Terjun Sungai Gabai yang terletak tidak jauh dari rumah pengantin perempuan. Lebih kurang 15 minit berjalan kaki saja sudah tiba. Tapi ada lagi kejutan rumah terbuka Ina yang diberitahu disaat-saat akhir. Kami terus ke rumah Ina manakala yang lain ke Air Terjun Sungai Gabai dahulu sebelum ke rumah Ina di Taman Melati.

Di rumah Ina kami dijamukan dengan Laksa, Mee Hoon goreng ala cina dan melayu serta kuih raya. Sekitar jam 6 petang, kami pun pulang. Shidi pula mengajak aku keluar. Aku temankannya ke Pavillion untuk membeli-belah. Kami singgah di Haagen Dazs untuk makan ais krim sebelum pulang.

Letih sungguh....

Thursday, October 25, 2007

Terhibur...

Aku menyaksikannya pada hari kedua pementasan. Memang tiket sudah siap dibeli awal-awal lagi kerana aku tidak mahu ketinggalan seperti waktu pementasan PGL dulu. Aku hanya membeli tiket RM80 dan memandangkan aku masih boleh dianggap pelajar, aku mendapat diskaun 20%. Jadi tiket aku berharga RM68 sahaja. Walaupun tempat duduknya agak ketepi sedikit, namun ia agak dekat dengan pentas. Lebih menyeronokkan aku dapat beranjak ke tempat duduk yang lebih selesa kerana minggu pertama banyak tiket yang diberikan kepada penaja tidak terisi. Jadi berbaloi aku membeli tiket RM80 dan duduk di kerusi RM120.

Pementasan kali ini memang bagus walaupun ramai yang membandingkan dengan PGL,namun pada pandangan aku ia adalah dua teater yang berbeza. Berbeza era, berbeza cerita, berbeza karektor. Memang tidak aku nafikan, aku teruja untuk menyaksikan Siti Nurhaliza beraksi dalam teater pertamanya. Aku rasakan itu persembahan yang terbaik dari beliau berbanding dengan iklan 'OLAY' yang memang kaku dan tidak 'natural'. Nyanyiannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dari keseluruhannya, aku lebih tertarik dengan persembahan Atilia. Sesuatu yang segar dan lakonannya juga amat baik. Liza Hanim memang seorang pelakon yang bagus dan nyanyiannya seiring. Tugas paling besar sudah tentu digalas oleh Sean Ghazi dan aku pasti dia sudah lakukan yang terbaik. Namun ada ketika Sean terlepas que sewaktu menyanyi. Lakonan Melissa Saila juga mantap tetapi mungkin lebih baik untuk beliau berdialog sahaja tanpa menyanyi. Suaranya menjadi parau dan serak dan 'pitching' nya sentiasa lari.

Lagu-lagu baru yang diselang-selikan dengan lagu-lagu P Ramlee memang menarik. Melodinya menangkap di telinga walaupun pertama kali mendengarnya. Pertama kali aku mendengar nyanyian Atilia, aku rasakan semacam terbuai dengan suaranya.

Kali ini aku perhatikan ramai penonton bukan melayu yang hadir. Tidak pasti kerana gahnya nama P Ramlee sebagai seniman agung atau gahnya nama Tiara Jacquelina sebagai penerbit teater yang mantap. Cuma aku rasakan penonton malaysia masih lagi lokek untuk menunjukkan aprisiasi terhadap persembahan ini. Masih sukar untuk bertepuk tangan. Yang nyata setelah selesai pementasan, sewaktu pengenalan pelakon, Siti Nurhaliza mendapat tepukan paling gemuruh. Peminat-peminat Siti agaknya...

Tuesday, October 23, 2007

Hari Raya 2007...

Pada aku, hari raya tidak ada bezanya dengan hari-hari biasa. Cuma ada ketupan rendang dan solat hari raya dan dapat cuti panjang.

Seperti biasa, raya kali ini juga aku hanya ke rumah abang yang terletak berdekatan dan aku sudah mula berpuasa enam pada hari kedua. Joon Meng datang ke rumah pada hari pertama bersama keluarganya. Dia merupakan teman sedarjah semenjak tingkatan 3. Hari-hari lainnya aku hanya menghabiskan masa menonton tv.


Aku pulang ke KL setelah 4 hari bercuti di kampung. Aku harus pulang awal kerana perlu menyiapkan tugasan yang mesti dihantar hujung minggu itu. Dalam kesibukan beraya itu, aku sempat juga selesaikan satu tugasan walaupun aku kurang pasti samada betul atau tidak. Mujur satu lagi tugasan diberi lebih masa oleh pensyarah.


Mungkin rezeki hariraya, aku mendapat lagi satu tawaran iklan tetapi masih lagi mendapat 'bapa' tetapi kali ini dengan LIMA orang anak. Penggambaran mengambil masa sehari bertempat di Kg Sungai Kembung, Pulau Indah. Sehari suntuk hujan dan kami terpaksa menunggu sehingga petang sebelum mula penggambaran untuk lokasi luar. Mujur dapat diselesaikan dalam satu hari.

Aku didepan rumah yang menjadi lokasi penggambaran.

'Keluarga' ku - Ayah, Mak, Isteri serta anak-anak

Terlupa...

Aku betul-betul terlupa kali ini walaupun sudah pastikan dengan Yus dan mengingatkan diri aku sehari sebelum tarikh itu tetapi aku terlupa juga. Jadi dikesempatan ini, aku ingin mengucapkan 'Selamat Ulang Tahun' pada Sheera yang aku terlupa hari lahirnya itu.



Jadi, untuk tidak menghampakannya, Aku mengajak Yus, Mad Nor, Shidi, Nurul untuk makan bersama di Chilis, KLCC sebaik aku pulang ke KL dari cuti raya. Sekali lagi, Selamat Ulang Tahun yang ke *1 dan semoga panjang umur dan murah rezeki.

Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya...

Dikesempatan ini, buat keluarga dan teman-teman semua aku ucapkan...

Raya Bollywood?...

Penerbangan dari Mumbai berlepas hampir setengah jam lewat dari yang dijadualkan. Walaupun penerbangan balik hanya pada jam 11.30 malam, aku sudah daftar keluar dari hotel sekitar jam 5 petang kerana sehingga waktu itu sahaja aku diberi pelepasan percuma. Jika lebih lama lagi aku perlu membayar separuh harga. Jam 6 petang aku dihantar ke lapangan terbang Chhatrapatti dan aku berbuka di situ dengan hanya memakan roti kosong and sebotol jus oren. Sekitar jam 7 petang, aku diminta untuk daftar masuk dan mujur kali ini aku dapat kelas busines kerana kelas ekonomi sudah penuh. Sebagai penumpang kelas busines, aku dapat masuk ke Clippers Lounge sementara menunggu tibanya waktu penerbangan secara percuma.

Kali ini, walaupun lawatan yang hanya semalam saja di Mumbai, aku sempat membeli dua helai kurta siap dengan kasutnya sekali. Sebelum kesini, aku sudah nekad tidak mahu membeli apa-apa kerana itu aku tidak langsung membawa wang saku lebih. Namun, setelah aku berjalan-jalan di satu kawasan yang tidak jauh dari hotel, aku dapati banyak barangan yang menarik minat aku. Tapi aku hanya membeli kurta itu saja memandangkan aku tidak membeli baju melayu tahun ini. Jadi tahun ini, bergaya bollywood lah...


Aku tiba di KLIA lebih kurang jam 7.30 pagi dan terus mengambil ERL ke KL Sentral dan seterus ke pejabat kerana aku tinggalkan kereta di sana. Separuh hari di pejabat, aku pulang kerumah kerana mengantuk. Lewat petang Ajeem ajak berbuka bersama di Nailis tetapi apabila tiba waktunya, aku diberitahu Nailis tutup. Dalam waktu hampir berbuka, aku hanya memakan maggi mi yang senantiasa aku sediakan untuk waktu-waktu begini. Dalam jam 10 malam aku keluar bersama Am dan Azam untuk minum di Oldtown kopitiam. Aku makan habis-habisan waktu ini.

Sunday, October 07, 2007

Santai...

Sabtu lalu, aku ke rumah Ajeem untuk berbuka. Selain aku, NA, Sheera dan Yus juga dijemput sama. Ada juga tetamu-tetamu lain yang aku sendiri tidak kenali. Rasa janggal berada di situ tidak lama kerana ada seorang rakan Ajeem yang terlebih peramah dan menjadikan suasana riuh-rendah setelah berbuka.

Konsep berbuka kali ini ala 'pot luck' dan masing-masing membawa juadah samada dimasak sendiri ataupun dibeli. Aku membawa lemang, ketupat palas dan rendang tok. Beli saja di the Mall. NA pula memasak Udang masak lemak dan ayam masak merah yang teramat pedas... he he he. Sheera membawa pencuci mulut berupa cheesecake yang kurang keras kerana tidak sempat untuk diletak dalam peti sejuk tetapi habis dimakan.

Kebetulan pula hari itu juga merupakan ulangtahun hari lahir teman serumah Ajeem, Faris. Pertama kali aku berjumpa dengan dia dan ketika hendak pulang barulah aku tahu namanya. Faris membawa keknya sendiri... he he he. Kami banyak berbual dan hampir jam 10 malam aku dan NA beredar kemana lagi kalau tidak ke Oldtown Kopitiam. Berborak lagi di sana sebelum kami pulang kerumah.

Aku bangun hampir jam 10 pagi dan terus mengemas rumah. Seharian aku tidak kemana-mana. Terasa begitu relaks dan santai sekali. Niat aku hendak membincangkan tentang tugasan aku tidak kesampaian kerana Ariff mempunyai rancangan lain. Aku hanya keluar rumah untuk membeli juadah berbuka sekitar jam 6 petang. Dan sehingga sekarang ini, aku terperuk di depan komputer untuk menulis. Terasa mengantuk pula...

Thursday, October 04, 2007

Menjelang Raya...

Diam tak diam, sudah lebih 20 hari berpuasa. Semakin hampir untuk menyambut raya, semakin terasa letih berpuasa. Kebetulan juga cuaca agak panas beberapa hari ini. Minggu ini agak kerap aku berbuka di luar. Sejak dari hari Ahad, aku hanya berbuka sekali sahaja di rumah sendirian.

Setelah berbulan-bulan lamanya, akhirnya aku berkesempatan untuk menziarahi makcik di Ara Damansara. Tujuan utama juga untuk mendapatkan kuih raya yang ditempah teman-teman walaupun pada asalnya aku tidak berniat mahu menjual tetapi disebabkan ramai yang bertanya maka aku turutkan saja. Aku ke sana setelah selesai kelas pertama kerana ada waktu lapang sebelum kelas yang seterusnya. Kelas petang ada kuiz dan aku rasa aku gagal kali ini. Harap-harap kuiz kedua nanti aku akan buat yang lebih baik.

Selesai kelas sekitar jam 5, aku terus pulang kerana ada majlis berbuka bersama Jejak Alam. Aku teruja untuk pergi kerana setelah sekian lama, aku dapat berjumpa semula dengan Kak Lang dan Nana, antara orang yang paling awal menjadi ahli Jejak Alam. Memang banyak cerita yang dikongsi sepanjang berbuka dan tidak kering gusi mengenangkan gelagat teman-teman.

Isnin aku berbuka di rumah saja dan berterawih bersama Ariff sebelum minum di Oldtown Kopitiam. Selasa pula, Azlan yang juga bekas rakan sekerja mengajak aku, NA, Fendi dan Arman untuk berbuka. Kami ke Restoran Rasa Sayang di Jalan Yap Kwan Seng. Mujur Azlan yang belanja. Semalam, aku berbuka di Shangri La atas jemputan NA. Kenyang sungguh.

Malam ini, Joe mengajak untuk berbuka di Kelana Jaya Seafood manakala esok pula, aku akan berbuka di Nikko Hotel atas jemputan NA juga. Aku sudah mulai muak dengan makan buffet. Tidak pasti samada aku mahu pergi atau tidak. Tengoklah macamana nanti.

Thursday, September 27, 2007

Hanya Tuhan Yang Membalasnya...

Tengahari semalam, aku ke Hospital Sungai Buloh bersama Zue untuk melawat Nizam yang dimasukkan ke wad kerana kemalangan sehari sebelum itu. Lengan kiranya patah dan terpaksa dimasukkan besi. Aku tidak tahu ketika berlaku kejadian itu, Sham juga ada bersama Nizam. Mujur Sham hanya luka-luka calar sahaja, jika tidak, kasihan pada anak-anak yang di rumah.

Ketika melangkah masuk wad, Nizam sedang tidur. Tatkala aku kejutkannya bangun, aku terasa sebak kerana matanya kanannya bengkak manakala lengan kirinya sudah berbalut dan berselempang. Menurut Nizam, mereka dilanggar dari belakang ketika dalam perjalanan menghantar isterinya ke pejabat. Yang lebih menyedihkan, motor yang melanggar mereka cabut lari meninggalkan mereka. Mujur ada penunggang motor yang lain membantu mereka dan menghadang mereka dari dirempuh oleh motor yang lain.

Lebih kurang sejam berada di situ, aku pun pulang. Hati aku terasa geram dengan sikap penunggang motor yang melanggar Nizam dan isterinya. Sungguh tidak berhati perut. Semoga mereka akan mendapat pembalasannya.

Lewat petang pula aku mendapat panggilan dari Yus bertanyakan samada aku dapat melapang waktu hari ini atau tidak. Rupanya ada lagi rezeki yang bertandang. Iklan Petronas Mesra yang aku terlibat hari itu mahukan kami semula sebagai keluarga tetapi untuk media cetak pula. Syukur, rezeki bulan puasa untuk raya tahun ini.

Wednesday, September 26, 2007

Berbuka di Luar...

Semalam buat kali kedua Ramadhan ini aku berbuka di luar. Seperti biasa apabila aku berbuka di luar, terawih terlepas. Aku ke gym selepas selesai kerja dan mengikuti kelas intermediate steps. NA sudah mengajak aku awal-awal lagi untuk berbuka di KL Convention Centre. Setahu aku harga berbuka Ramadhan di situ mencecah RM80. Mujur NA mendapat jemputan dari pihak Convention Centre. Makan percumalah jawabnya. Kebetulan juga aku berjumpa Shidi di gym dan NA mengajak sama.

Menu berbuka memang berbagai tetapi aku seolah-olah tidak teruja dengan hidangan yang ada. Memang aku sudah tidak seperti dulu. Apasaja aku akan cuba dan rasa. Tapi kali ini aku hanya memilih makanan yang betul-betul aku suka.

Ahad lalu, seperti yang dijadualkan aku mengikuti kelas di Unisel. Ujian yang sepatutnya berlangsung dibatalkan kerana ada pertukaran prosedur dan juga jadual tutorial. Lega rasanya. Namun jadual kelas telah disusun semula untuk memberi laluan kepada hari raya nanti.

Aku mendapat berita semalam Nizam kemalangan. Tangannya patah dan dimasukkan ke Wad di Hospital Sungai Buloh. Tidak sempat melawat semalam aku akan cuba hari ini pula.

Friday, September 21, 2007

Pavilion KL....

Rancangan aku untuk ke gym terpaksa aku batalkan kerana mesyuarat yang lama di pejabat klien. Walaupun terletak hanya beberapa minit dari KLCC, aku terpaksa menghantar teman sepejabat pulang ke pejabat setelah selesai mesyuarat dalam jam 5 petang. Waktu ini memang kesesakan lalulintas tidak dapat dielakkan. Akhirnya aku terus pulang kerumah dan berbuka bersendirian.

Selepas maghrib, Ajeem mengajak untuk ke Bukit Bintang untuk makan nasi ayam di samping melawat kompleks membeli-belah yang terbaru di sana. Selesai makan, kami terus ke Pavilion. Walaupun masih lagi dalam proses pengubahsuaian, ternyata ia memang luas. Melangkah masuk ke situ terasa seperti orang kerdil saja. Segalanya besar dan luas. Banyak kedai yang sudah dibuka. Parkson merupakan gedung utama di situ. Memang luas. Lebih kurang setengah jam di situ, kami pun pulang. Mungkin bila sudah siap sepenuhnya, aku akan kesitu lagi.

Wednesday, September 19, 2007

Gym di Bulan Ramadhan...

Semalam buat pertamakalinya aku ke gym di bulan Ramadhan ini. Aku mengikuti kelas intermediate steps jam 5.45 selama sejam. Pada mulanya aku was-was samada aku mampu atau tidak untuk menghabiskan sesi itu, namun ternyata aku berjaya.

Selesai kelas aku terus membersihkan diri dan berbuka di gym. Ada disediakan kurma oleh pihak pengurusan. Aku sempat minum dan makan kuih bersama Fitri. Terus aku ke surau untuk solat sebelum pulang kerumah.

Sebaik tiba di rumah, Ariff menelefon mengajak aku ke Surau Titiwangsa untuk solat terawih. Aku mengikut aje. En Hamid dan anaknya juga ikut serta. Dan seperti kebiasan, Ariff pasti singgah di Restoran Haslam untuk menjamah roti arab atau apa saja roti di situ.

Aku menyambung kerja-kerja pejabat di rumah sehingga jam 1.30 pagi sebelum tidur.

Tuesday, September 18, 2007

Ramadhan Kembali...

Pejam celik, pejam celik, Ramadhan menjelma kembali. Bulan yang dinanti-nantikan. Seronok untuk berpuasa dan seterusnya beraya. Sama seperti tahun-tahun yang lalu, aku hanya berbuka sendirian dan kadang kala berbuka dengan teman-teman di luar.

Ahad lalu buat pertama kalinya aku berbuka di Hotel Concorde, Shah Alam bersama NA, Shi, Yus, Joe, Fendi, Arm dan Q. Makanan di situ biasa-biasa saja tetapi bila sudah makan bersama maka terasa keseronokkannya. Mungkin kerana aku kurang makan kebelakangan ini, aku terasa cepat kenyang. Terasa rugi juga kadang-kadang kerana dengan bayaran yang agak mahal tetapi tidak mampu menjamah semua juadah yang tersedia.

Aku ke Shah Alam bersama Arm dan terus ke rumah Joe dan Fendi. Hampir waktu berbuka aku menjemput Shi dan Yus dari rumahnya yang tidak jauh dari hotel. Kami tiba di hotel tepat waktu azan berkumandang. NA pula masih dalam perjalanan dari Ipoh ke rumahnya dan sempat bersama kami setengah jam selepas waktu berbuka.

Selesai berbuka kami ke SACC untuk menukar saiz baju yang dibeli Shi dan Yus sebagai hadiah harijadiku. Mujur sempat sebelum kedai tutup.

Sunday, September 16, 2007

Terimakasih...

Terimakasih pada teman-teman dan keluarga yang menyampaikan ucap selamat ulangtahun hari lahir padaku. Sejak dari hari Rabu lagi aku sudah mula mendapat hadiah dan ucap selamat walaupun ianya jatuh pada hari Sabtu. Banyak juga ucapan dari teman-teman yang aku kira tidak akan mengingati tarikh lahir lahirku.

Jessica orang yang pertama mengajak aku untuk makan tengahari pada hari Rabu lalu sebab dia tahu aku kurang suka untuk keluar untuk makan malam di bulan puasa ini. Bertemu di KLCC, kami makan di CPK. Kelihatan dia lebih teruja berbanding diriku sendiri. Dan seperti tahun-tahun sudah, dia tidak lupa untuk memberikan hadiah padaku.

Hadiah dari Jess

Joe dan Fendi juga memberikan aku sehelai t-shirt. Tulisan di t-shirt tu agak menggelikan hati... walaupun aku belum lagi mencecah 50 tahun...

T-shirt dari Joe dan Fendi.

Yus dan Shi juga tidak lupa untuk menghadiahkan aku dengan sehelai kemeja. Aku hargai pemberian mereka tetapi rasanya terlalu mahal pemberian ini.

Kemeja pemberian Yus dan Shi.

Aku juga menerima dua lagi hadiah tetapi biarlah aku rahsiakan sahaja. Satu dari ibuku dan satu lagi dari teman di KK.

Wednesday, September 12, 2007

Keluargaku...

Tawaran berlakon iklan yang aku terima pada hari Sabtu lalu amat mengejutkan. Rezeki bulan ramadhan agaknya. Cukup untuk aku berbelanja untuk hari raya nanti. Kali ini wataknya lebih menonjol. Aku akan menjadi bapa yang mempunyai dua orang anak yang comel.



Keluarga Bahagia...

Aku digandingkan dengan Abidah sebagai isteri, Natasha sebagai anak perempuan dan Aziq Lugman sebagai anak lelaki. Babak kami tidak banyak tapi mengambil masa dua hari untuk menyelesaikannya. Berkerja dengan kanak-kanak perlukan banyak kesabaran. Mujur pada hari kedua, 'anak-anak' aku mula riang dan sudah mula selesa berada di depan kamera.

Manjanya...

Mungkin hari raya nanti iklan ini sudah ditayangkan.

Kuliah...

Sebaik pulang dari Mumbai pagi Jumaat lalu, aku terus ke pulang ke rumah dan bersiap ke Matta Fair di PWTC. Aku tidak membeli apa-apa package perlancongan kerana sekadar menemankan Joe.

Ahad lalu juga aku kembali semula ke kelas. Semester dua pembelajaran aku sudah bermula. Alhamdulillah, aku mendapat markah yang agak baik untuk subjek semester satu. Semoga ia berterusan.

Kelas bermula seawal jam 8 pagi. Mujur tutor-tutor kali ini lebih baik berbanding dengan semester lepas. Tidak bosan berada dalam kelas.

Selesai kelas aku terpaksa bergegas ke Chili Peppers di PJ Oldtown. Aku perlu mencuba pakaian untuk iklan terbaru. Tak sangka aku diterima untuk berlakon iklan dalam keadaan aku yang kesibukkan ini.

Mumbai Lagi...

Sebaik saja pulang dari mendaki Gunung Tahan, aku terpaksa bekerja keesokannya kerana perlu menyiapkan tugasan sebelum aku bertolak ke Mumbai. Sama saja dengan perjalanan yang dulu, aku akan berada di sana selama dua malam.

Aku berlepas ke Mumbai pada petang Selasa lalu. Kotak-kotak yang perlu aku bawa sarat berisi dengan dokumen-dokumen saja sudah melebihi had. Duit pendahuluan yang aku minta juga tidak mencukupi untuk membayar lebihan berat itu. Mujur ada kad kredit.

Segalanya berjalan dengan lancar sewaktu aku berada di sana. Kebetulan pula ada promosi makanan malaysia di hotel tempat aku tinggal. Aku pun tidak melepaskan peluang yang ada. Ini juga kali ketiga aku ke Mumbai dan aku sudah mula merasa bosan di sana. Walaupun pada asalnya aku tidak mempunyai rancangan untuk membeli belah namun kebosanan yang melanda memaksa aku menyewa teksi dan terus ke Gateway of India. Di sana aku membeli beberapa barang perhiasan dan capal untuk diri sendiri.

Tidak sabar rasanya aku hendak pulang ke tanah air. Melihat kehidupan orang-orang di sana benar-benar menginsafkan aku dan bersyukur sangat aku dilahirkan di bumi Malaysia.

Setelah Sembilan Tahun...

Kali terakhir aku mendaki Gunung Tahan lebih kurang 9 tahun lalu. Lebih tepat lagi pada 28hb Mei, 1998 dan kali ini tepat 28hb Ogos, 2007 sekali lagi aku tiba di puncak Gunung Tahan buat kali ketiga. Berbanding dengan dua pengalaman awal aku ke sana, kali ini aku merasa lebih peka dengan persekitaran aku. Aku lebih mengenali tempat yang dilalui dan juga tempat bermalam.

Di saat-saat akhir, penganjur juga rakan aku terpaksa menyerahkan tugas untuk memimpin kumpulan kerana ada tugas di pejabat menanti. Aku dengan rasa berat hati menerima tugasan ini walaupun niat pada awalnya hanya ingin bersantai saja. Tidak mahu terbeban dengan tugas-tugas lain. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk menjalankan amanah yang diberi.

Seramai 16 orang yang sepatutnya menyertai pendakian kali ini, namun hanya 15 yang menanti di Stesen KL Sentral. Ada yang aku kenal dan ada yang belum lagi aku tahu nama mereka. Dalam keretapi aku mengambil peluang untuk berkenalan dengan teman-teman yang belum aku kenali.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa tujuh hari walaupun dalam perancangan asal hanya enam hari sahaja. Dua orang rakan terpaksa pulang pada hari ketiga perjalanan kerana seorang demam agak teruk juga dan seorang lagi disengat tebuan sehingga bengkak-bengkak seluruh badan. Kami yang lain seramai 13 orang meneruskan perjalanan.


Akhirnya...

Seperti biasa, setiap pendakian memang penuh dengan kerenah teman-teman. Ada yang menghiburkan, ada yang menyakitkan dan ada juga yang menyenangkan. Aku bersyukur tidak ada aral atau dugaan yang hebat terjadi.

Bagai di awangan...

Walaupun penat, letih tetapi di pengakhirannya, aku merasa gembira dan semacam lega apabila semuanya berjalan dengan lancar dan berjaya.

Lama Menghilang...

Lebih dua minggu aku tidak menulis. Banyak aktiviti dan kerja yang perlu aku selesaikan. Pertama sekali aku mendaki Gunung Tahan selama seminggu. Sebaik saja pulang aku terpaksa menyiapkan kerja untuk dihantar ke Mumbai, India dan aku juga terpaksa ke sana selama 2 malam. Pulang saja dari Mumbai, aku kelas untuk semester kedua sudah bermula. Mujur hanya hari Ahad sahaja dan tutor-tutor juga tidak membosankan. Aku juga dikejutkan dengan tawaran membuat iklan. Aku terima saja, rezeki bulan puasa agaknya.

Aku akan cuba untuk mengemaskinikan segala aktiviti yang telah aku lalui dalam waktu terdekat ini apabila kerja-kerja yang tertangguh selesai.