Hari Keempat (1hb. May)
Hari ini Hari Pekerja. Hari ini juga hari terakhir kami di hutan Jelawang ini. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak malam tadi kerana 'sleeping bag' aku basah dan aku kesejukkan. Pagi ini ramai yang sudah bangun awal untuk melihat matahari terbit. Aku membiarkan saja. Aku bangun dan terus membersihkan diri sebelum membantu untuk mengemas khemah dan peralatan. Perancang hari ini, kami akan dibawa ke air terjun Wai, pertemuan sungai dari Gunung Stong dan Ayam bertemu.
Air Terjun Wai
Selesai sarapan, kami pun bersiap-siap untuk ke air terjun. Ada juga yang memilih untuk tinggal di kawasan perkhemahan saja. Penat agaknya. Setelah berjalan dalam 30 minit kami pun tiba di air terjun itu. Memang seronok dapat berenang di situ. Kolamnya agak besar dan dalam. Tidak lama kemudian kami ke Telaga Tujuh. Di sini kami diajak untuk masuk kedalam sebuah lubang yang dipenuhi dengan air. Seorang demi seorang turun ke dalam. Lubang itu boleh memuatkan satu orang dalam satu masa. Dalamnya melebih sedikit dari ketinggianku. Tiada apa yang istimewa cuma kononnya sesiapa yang berhajat sewaktu di dalam lubang itu, hajatnya akan tertunai.
Kolam di Air Terjun Wai
Kami semua bersiap untuk pulang sebaik turun dari air terjun. Sekitar jam 4 petang kami semua sudah bersedia. Kali ini perjalanan turun ke Stong Hill Resort dari Baha Camp hanya mengambil masa 40 minit. Aku antara yang terawal tiba di resort. Mujur cuaca agak baik. Kami membersihkan diri di sini sebelum terus ke pekan Dabong. Di stesen keretapi kami meletak semua barangan dan sempat untuk berjalan ke pasar malam untuk membeli-belah. Tidak banyak yang ada di sini hanya buah-buahan, baju-baju bundle dan juga makanan tempatan.
Menunggu keretapi tiba di Stesen Dabong
Keretapi ke Kuala Lumpur tiba agak lewat dari jadual. Setelah menunggu hampir setengah jam, keretapi muncul jam 9.30 malam. Terdapat sedikit kekecohan apabila tempat kami diambil oleh orang lain namun dapat diselesaikan oleh pemeriksa tiket. semuanya tidur akibat kepenatan. Aku juga begitu. Akhirnya kami tiba juga di KL Sentral jam 8 pagi. Setelah bersalam-salaman, kami pun pulang kerumah masing.
Di dalam gerabak keretapi, gembira kerana mahu pulang
No comments:
Post a Comment