Wednesday, May 09, 2007

Gunung Stong III


Hari Ketiga (30hb April)

Masih lagi terasa kedinginan dan kelembapan akibat dari hujan petang semalam, namun di luar sudah mulai cerah dan aku harus bangun. Waktu sudah hampir jam 7 pagi. Ramai juga yang sudah bangun awal untuk melihat matahari terbit.

Hari ini kami akan turun dari puncak Gunung Ayam dan mendaki Gunung Stong pula. Setelah selesai bersarapan, kami mula mengemaskan peralatan perkhemahan dan barangan peribadi. Pagi ini kami dihidangkan dengan maggi goreng, roti dengan telur dan air teh-O. Aku sempat membungkus sedikit maggi berlebihan untuk dimakan dalam perjalanan nanti. Memandangkan kami akan berjalan sepanjang hari, makan tengahari berupa nasi impit dengan serunding daging disediakan.

Mengikut perancangan, perjalanan ke Gunung Stong mengambil masa lebih kurang 2 jam. Selesai mengemas, tepat jam 9.30 pagi kami memulakan perjalanan dan menuruni Gunung Ayam. Bila menurun terasa cepat tiba ke destinasi namun itu tidak lama kerana kami perlu mendaki pula ke puncak Gunung Stong. Mujur tidak sukar laluannya. Jam 11.45 pagi, kami berjaya menawan puncak Gunung Stong. Di sini tempatnya terhad. Kawasannya begitu kecil menjadikan ia tidak sesuai untuk bermalam berbanding dengan Gunung Ayam. Setelah puas bergambar, kami pun menikmati juadah tengahari nasi impit berserta serunding daging.

Puncak Gunung Stong

Setelah berehat hampir 45 minit kami pun mula turun ke Baha Camp. Hujan turun dengan lebatnya sepanjang perjalanan. Habis basah lencun jadinya. Cuaca sejuk, laluan licin, hujan lebat tidak mematahkan semangat kami untuk terus turun ke Baha Camp dan akhirnya aku tiba sekitar jam 4 ptg. Kami tidak dapat menyeberang ke kawasan perkhemahan kerana akibat dari hujan lebat, air sungai sudah mulai naik dan membahayakan keadaan. Kami menunggu dalam satu jam sebelum Zaki (salah seorang guide kami) menyuruh kami menyeberang melalui batu-batuan di sebelah atas. Aku tidak melepaskan peluang terus mengikut Zaki. Hanya seramai 12 orang saja yang menyeberang manakala yang lain lebih selesa berehat di sana. Dengan tanpa disangka, paras air sungai semakin naik dan rakan-rakan lain tidak dapat bersama kami. Hampir 2 jam menunggu, air mulai surut sedikit dan membolehkan teman-teman yang lain untuk menyeberang.

Makan malam disediakan sebaik semua peserta tiba di kawasan perkhemahan. Menu malam ini adalah nasi, kari ayam dan ikan masin. Peserta-peserta semakin mesra dan sudah mula bergurau senda sesama mereka kerana kali ini ramai orang-orang baru. Malam ini aku tidur awal juga.

No comments: