Seawal jam 6.45 pagi aku sudah bangun untuk solat subuh. Kebetulan, malam tadi aku hanya tidur di surau kerana hujan sehingga lewat malam. Aku membantu mengemas khemah manakala yang wanita pula menyediakan sarapan pagi. Mee Hoon goreng disediakan sebagai sarapan manakala nasi goreng pula untuk makan tengahari. Kami hanya akan berhenti untuk makan tengahari dan tidak memasak sepanjang hari ini.
Kami mula mendaki tepat jam 10.10 pagi. Sepanjang perjalanan kami berhenti di beberapa tempat antaranya, Sungai Rantai, Lata Balak, Sungai Baha dan Puncak Baha sebelum kami tiba berjaya menawan Gunung Ayam. Aku dalam kelompok yang pertama tiba di puncak Gunung Ayam pada pukul 4.00 petang. Ini bermakna kami mengambil 6 jam untuk tiba di puncak. Manakala yang terakhir tiba sekitar jam 6 petang. Namun puncak Gunung Ayam bukanlah tempat yang sesuai untuk berkhemah. Kami di bawa ke suatu kawasan yang terletak tidak jauh dari puncak untuk mendirikan khemah dan bermalam di situ. Sebaik saja kami tiba di sana, hujan turun dengan lebatnya. Kami dalam keadaan basah dan kesejukkan terpaksa menunggu kerana hanya ada satu khemah saja bersama kami manakala yang lain masih bersama rakan-rakan yang belum tiba. Mujur Abg Syuk mendirikan teduhan dan kami berlindung di bawah sehingga hujan berhenti sekitar jam 6 petang.
Puncak Gunung Ayam
Puncak Gunung Ayam memang sejuk. Aku sempat mengikut salah seorang guide kami, Zaki untuk melihat pemandangan dari situ. Kelihatan awan berkepul-kepul terbentuk di bawah dan angin bertiup kencang. Sejuk. Zaki juga sempat menunjukkan pada aku Gunung Tera dan Noring Timur. Kami di situ sebentar saja kerana terlalu sejuk.
Sementara yang lelaki mendirikan khemah, peserta wanita menyediakan makan malam. Menu malam ini, sardin, telur goreng dan nasi. Mujur perut tidak meragam sepanjang berada di puncak kerana di sini tiada punca air. Suhu sejuk di sini menghilangkan rasa melekit dari peluh dan juga hujan lebat tadi seolah-olah memandikan kami. Terasa segar sedikit walaupun tanpa air.
Selesai makan, aku terus tidur tetapi kurang lena kerana khemah basah di bahagian kaki. Itu menambahkan kesejukkan walaupun hujan sudah lama berhenti.
Pemandangan dari Puncak Gunung Ayam
No comments:
Post a Comment