Wednesday, February 21, 2007

Bercuti di PD...

Aku terjaga dari tidurku kerana alat penggera dari sebuah kereta berbunyi diawal pagi. Lalu aku bangun dan terus ke pc untuk menulis.

Tahun baru cina baru saja masuk hari keempat. Aku tidak pulang ke kampung untuk meraikan bersama keluarga pada tahun ini. Aku tidak pasti kenapa hatiku berat untuk pulang. Lantas aku dan beberapa orang teman, membuat rancangan untuk berkhemah di PD. Pada asalnya hanya aku, Edi dan Ajeem saja yang akan ke sana tetapi Shi dan Yus juga tidak mempunyai rancangan, jadi aku ajak mereka sekali dan mereka setuju.

Edi dan Ajeem tidur di rumahku pada hari sabtu malam supaya mudah untuk bergerak awal. Pagi ahad itu, setelah bersiap, aku terus ke rumah Shi untuk mengambilnya dengan Yus sekali. Tiba di sana, kami dijamu dengan teh-o dan jemput-jemput pisang. Sedap tapi sikit aje, segan nak makan lebih-lebih... he he he. Sempat berbual dengan ibu Shi dan banyak cerita yang kami dengar darinya.

Perjalanan ke Port Dickson melalui lebuhraya agak sesak ketika melalui seremban dan juga jalan baru ke sana. Namun, kami tiba sekitar jam 1 tengahari dan terus mendaftar masuk. Khemah didirikan dan Shi terus memasak nasi untuk hidangan makan tengahari. Shi telah menyediakan lauk 'ayam bersos' dan sayur kacang buncis goreng dari rumah. Edi terus menggoreng telur. Makan tengahari agak ringkas tetapi mengenyangkan. Selesai makan, kami berehat dan tidur. Aku menyediakan minum petang dengan menu cucur udang. Petangnya, kami berjalan-jalan ke pantai dan melihat persekitaran resort tersebut. Teman-teman Shi dan Yus juga kebetulan berada di situ dan menyewa salah sebuah chalet di situ. Kami mengambil kesempatan untuk meninjau ke tempat mereka.

Waktu malam tiba, kami pun bersedia untuk BBQ. Jenuh juga untuk menghidupkan bara api namun akhirnya, berjaya juga. Hanya ayam dan daging kambing saja yang dipanggang. Walaupun ringkas tapi tetap mengenyangkan. Selepas mandi, kami dapat ada karaoke terbuka rupanya. Aku dan Shi yang 'kaki' karaoke ini memang tidak melepaskan peluang lansung. Banyak juga lagu yang kami nyanyikan secara solo dan duet. Bagus juga persembahan kami malam itu... he he he

Kami tidur sekitar jam 1 pagi. Masing-masing keletihan. Aku tidur satu khemah bersama dengan Ajeem, Yus dengan Shi manakala Edi bersendirian.

Esok pagi, hujan renyai sedikit. Mujur tidak lebat. Aku bangun dan menyiapkan sarapan. Seperti biasa, menu aku ialah sandwic tuna dan corned beef. Selesai sarapan, kami terus ke kolam renang dan berehat di dalam jacuzzi. Aku dan Edi sempat juga berenang di kolam utama. Kemudian kami menuju ke kawasan permainan dan mencuba Go-kart, Memanah dan Paintball Target Shoot. Masih teringat ketika di Genting tahun lalu, Shi tidak dapat mencuba Go-Kart kerana tidak menepati had ketinggian tetapi kali ini had di sini lebih rendah. Jadi kami berempat kecuali Ajeem, terus berlumba di litar itu. Memanah juga agak meletihkan terutama bahagian lengan tangan. Akhirnya, aku dan Shi mencuba target shooting dengan paintball kerana tidak cukup ahli untuk bermain 'perang'. Sekurang-kurangnya diperlukan 6 orang, kami cuma berlima. Mungkin dilain waktu...

Kami keluar dari Eagle's Ranch Resort sekitar jam 6 petang dan terus menuju Umbai untuk menikmati makanan laut di situ. Setelah beberapa kali tersesat jalan, akhirnya kami tiba sekitar jam 9 malam. Terlalu ramai orang di situ. Mujur kami mendapat tempat parking kereta dengan mudah. Juga mendapat tempat duduk tetapi mengambil masa yang agak lama untuk dibersihkan. Shi dan Yus memesan makanan. Udang, Ketam, Ikan dan kupang antara menu yang dipesan. Menyelerakan. Selesai makan, terus pulang ke KL. Aku mengantuk. Ajeem menggantikan aku untuk memandu sehingga kesemua teman-teman sudah dihantar ke rumah masing-masing.

Aku keletihan. Tiba di rumah lebih kurang jam 1 pagi, aku terus mandi dan tidur.

Friday, February 16, 2007

Tidak Sabar...

Esok akan bermulanya cuti panjang. Tak sabar rasanya hendak merehatkan diri. Perancangan sudah diatur, hanya tinggal untuk mendapatkan peralatan dan barangan perkhemahan saja. Oh! Ya, aku sudah mengaturkan untuk berkhemah di Port Dickson memandangkan Shi, Yus dan rakan-rakan bukan jenis lasak sangat, memadai di Eagle's Ranch Resort sajalah. Di sini terdapat berbagai kemudahan termasuk permainan, riadah dan pantai juga tidak jauh dari tempat kami berkhemah.

Kebelakangan ini aku semakin kemaruk untuk ke gym. Hanya dua yang aku suka lakukan ketika ini. Intermediate steps dan membina badan. Semalam aku ke gym seperti biasa dan beberapa teman mengajak untuk masuk kelas bodysteps namun aku menolak. NA pun sudah 'menempah' sebuah board untuk aku. Seperti biasa aku akan berlari sejauh lima kilometer sebelum aku melakukan latihan yang seterusnya. Tapi semalam aku mengayuh basikal selama dua puluh minit dan kakiku hampir kejang. Selesai gym aku, NA dan Shidee terus ke Chilies untuk makan malam. Masih ramai yang menunggu giliran seperti semalam. Hampir setengah jam menunggu, kami mendapat tempat. Cadangnya hendak makan yang ringan-ringan saja, sudahnya tak terhabis makanan yang dipesan.

Hari ini akan ada jamuan sempena tahun baru cina, hari asyura dan sambutan harilahir di pejabat. Aku menjadi penyelaras bagi pihak kelab sukan, walaupun aku bukan salah seorang ahli jawatankuasa, namun aku tetap menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Aku menyiap 'trifle' dan kek batek. Macam tak jadi aje.. he he he

Esok aku akan menemankan Ajeem untuk membeli pakaian untuk hari konvonya nanti. Selain itu aku perlu membeli barangan untuk berkhemah. Tak sabar rasanya untuk bersantai, bbq dan paling dinantikan hidangan yang bakal shi masak untuk kami nanti.

Thursday, February 15, 2007

Aku Bingung...

Aku kebingungan, terus membuatkan aku pening kepala sejenak. Tak pernah aku lakukan perkara yang sebegini. Namun aku perlu juga untuk menguasainya. Tekad aku sentiasa kuat. Jangan mudah putus asa...

He he he.. sebenarnya semalam aku ke gym untuk mengikuti kelas intermediate steps. Nic digantikan oleh Kak Nor dan semalam hanya ada tujuh orang saja termasuk aku dan NA. Seronok. Walaupun gerakan yang diajar Kak Nor itu banyak yang berpusing, aku masih mampu untuk mengikutinya. Kerana banyak berpusing, aku bingung dan pening sekejap. NA ternyata tidak dapat mengikuti langkah-langkah yang diajar kerana sememangnya dia sudah pening sebelum masuk ke kelas. Akhirnya dia bertambah pening, sehinggakan gerakan "around the world" yang disukainya juga terbabas.

Semalam ada yang mahu berkenalan dengan aku. Ternyata pintu hati aku sudah tertutup buat masa ini. Tunggulah tiga tahun lagi, itu pun kalau aku masih ada perasaan... Aku tak mahu permainkan perasaan orang dengan kata-kata cinta yang murahan tapi tidak bermakna...kosong.

Wednesday, February 14, 2007

Cinta...

Semalam aku ke gym lagi mengikuti kelas Intermediate Steps yang aku suka. Aku berjumpa Kak Nor sebelum itu, sangkanya aku akan mengikuti kelas di SPK pada hari Isnin tapi aku tidak kesana. Kali ini aku sudah mula biasa dengan gerak langkah yang diajar. Aku dapat ikut dari awal hingga akhir. Petang ini, Kak Nor akan mengambil kelas gantian dan aku diajaknya hadir sama.

Selesai kelas aku terus pulang kerana ada jamuan makan malam di rumah Ajeem. Amin meraikan teman-teman yang sudah lama tidak berjumpa kerana melanjut pelajaran di London sekaligus sebagai jamuan perpisahan kerana dia akan memulakan tugas di Dubai, Sabtu ini. Makanan yang dihidangkan ringkas tetapi menarik. Lebih kepada gaya fusion, tetamu dijamu dengan sup labu sebagai pembuka selera. Diikuti dengan ikan siakap stim bersos ala asam pedas berserta kerabu mangga dan nasi. Diakhiri dengan pencuci mulut, aiskrim perisa kopi. Ternyata suasana meriah dengan gelak ketawa dan kerenah tetamu.

Tahun baru cina akan menjelang tak lama lagi. Seringnya aku balik ke kampung untuk meraikan bersama keluarga tapi kali ini aku mengambil keputusan untuk berada di KL saja. Niat hendak ke Genting Highland aku batalkan apabila memikirkan situasi sesak di atas sana. Eddy mencadangkan picnic di Hutan Lipur Lentang, Karak. Aku pun setuju lalu mengajak Ajeem dan Shi. Ternyata mereka juga teruja. Terlintas pula untuk berkhemah semalam di sana dan aku ajukan cadangan ini pada mereka semua. Shi agak keberatan kerana terdapat berbagai cerita kurang enak di Hutan Melintang itu. Aku juga pernah mendengarnya. Lalu Yus mencadangkan untuk ke Sungai Gabai. Cadangan ini diterima ramai. Aku tidak sabar menantikan hari Ahad ini...

Hari ini, Hari Kasih Sayang... walaupun kadangkala aku kelihatan kaku, hati sekeras batu, aku tetap mempunyai perasaan. Perasaan kasih, sayang, cinta...Pada kalian yang mengenali diri ini, walaupun siapa pun kamu, walau jauh di mata, kamu semua tetap dekat di hati.
Aiman sayang semua.

Monday, February 12, 2007

Dah Tukar...

Baru saja balik dari Aussino, IKANO. Dapat dah sarung bantal yang tak disertakan dalam bungkusan yang aku beli semalam. Yeay... boleh tukar sarung tilam dan bantal baru malam ni.

Tadi aku kesana dengan Ajeem. Singgah sekejap di IKEA untuk membeli barangnya dan makan tengahari di Damansara Kim. Seronok boss tak de hari ni... he he he

Relaks...

Hari-hariku dipenuhi dengan beriadah di gym. Hari sabtu, aku ke gym dahulu sebelum berkaraoke dengan rakan-rakan sepejabat. Ramai yang datang hari itu. Mujur mereka datang lambat sedikit, puas aku menyanyi dahulu. Walaupun ramai tetap menyeronokkan. Terserlah bakat masing-masing. Aku dapat perhatikan mana diantara mereka yang benar-benar berbakat untuk diketengahkan waktu annual dinner nanti. Aku pulang ke rumah setelah selesai berkaraoke. Tidak ada yang aku buat kecuali mengemas rumah yang dah lama terbiar... he he he...

Hari ahad, aku berkaraoke lagi, kali ini dengan NA. Memandangkan hanya kami berdua, aku mengajak Amir untuk turut serta. Mujur Amir lapang pada waktu itu dan kebetulan sudah agak lama aku tidak berkaraoke dengannya. Hari ini, memang puas menyanyi. Walaupun NA yang beria mahu berlatih untuk persembahan annual dinnernya nanti, tetapi dia tak banyak menyanyi. Akhirnya aku dan Amir yang menyanyi hingga hampir hilang suara. Banyak lagu-lagu bernada tinggi dan rock kapak yang popular sekitar tahun 80'an kami nyanyikan... he he he...

Aku ke Ikea selepas karaoke dan NA juga turut serta. Aku ingin membeli cadar baru namun NA menyarankan aku membelinya di Aussino. Kami terus ke sana dan aku mendapat apa yang aku mahukan. Niat untuk minum di Uncle Lim bertukar dengan makan malam di Sakae Sushi. Selesai makan malam aku pun pulang, dengan rasa tak sabarnya ingin menukar cadar baru tetapi kecewa kerana set yang aku beli itu tidak disertakan sarung bantal walaupun sudah tertera di luar bungkusan itu. Aku harus menukarnya hari ni...

Ternyata hujung minggu ini agak relaks bagi ku kerana semua kerja rumah sudah siap termasuk menggosok baju kerja. Aku tidak terkejar-kejar... relaks saja...

Sementara itu, aku telah meng'upload'kan satu list lagu yang bermakna buat aku masa ini...dengarkanlah...

Thursday, February 08, 2007

GamarJobat...

Pelawaan seorang rakan sekerja untuk menyaksikan 'Gamarjobat' beraksi di Actor Studio pada mulanya ku tolak. Aku sudah membuat temujanji untuk malam bersama Jess. Namun, pada saat akhir aku mengajak Jess untuk menonton bersama kerana ada dua lagi tiket percuma sebenarnya. Ternyata itu langkah yang paling bijak aku buat... ha ha ha...

Tak dapat aku gambarkan persembahan yang diberikan oleh duo Gamarjobat ini. Memang menghiburkan, menggelikan hati, menakjubkan. Bukan itu saja, ia juga satu persembahan yang interaktif. Penonton di baris hadapan harus bersedia kerana bila-bila saja mungkin diajak naik ke pentas.

Malam ini, penonton terdiri dari pelanggan corporate HSBC yang dijemput khas dan ternyata kalangan penonton agak 'sporting' apabila diajak naik ke pentas. Tak kering gusi dari awal sehingga akhir persembahan. Pada sesiapa yang berkemampuan, aku galakan untuk tonton persembahan ini. Tak merugikan... apalagi bila ianya percuma untuk aku...

Tiba di BSC, aku dan Jess ke Chilis untuk makan malam dahulu. Pada mulanya, kami rancang untuk makan di Chilis KLCC tetapi menukar plan apabila aku mendapat jemputan ke Actor Studio itu.

Pandangan Kosong?...

Semalam aku menonton wayang sekali lagi. Kali ini genre yang aku suka. Cerita hantu dari Thailand berjudul "Unseeable". Ternyata jalan ceritanya lain dari yang pernah aku lihat sebelum ini. Menariknya tentang filem ini, semua watak dalam cerita ini adalah hantu. Cuma mereka tidak sedar mereka sudah mati kerana mereka masih lagi mengharapkan keadaan akan kembali kepada asal. Nual masih mengharapkan suaminya akan kembali kepadanya. Suaminya, Chob juga mengharapkan dapat bertemu Nual dan berusaha untuk memberitahu Nual bahawa dia mati dibunuh. Chob sebenarnya dibunuh oleh isteri pertamanya tatkala dia meminta untuk bercerai dan mahu tinggal bersama Nual. Tidak ada sesiapa yang mengetahui tentang kematian Chob kecuali ketua pembantu rumah. Namun, dia juga mati ketika terjatuh dari tangga selepas menyaksikan Chob dibunuh oleh isteri pertamanya. Mayatnya disimpan di stor. Eh! Panjang pulak cerita... Namun, Nual yang gagal mencari suaminya telah membunuh diri dengan menggantung dirinya. Mmm... lebih menarik kalau tonton wayangnya dari mendengar cerita aku.

Seperti biasa sebelum itu aku ke gym. Melakukan senaman lazim yang aku lakukan. Setelah itu aku ke foodcourt untuk makan malam dan terserempak dengan NA bersama buah hatinya, mungkin...he he he.

Di pejabat, tidak banyak yang aku lakukan kerana sekarang ini memang kurang kerja. Masa aku dihabiskan dengan membuat kertas kerja untuk aktiviti kelab sukan yang akan datang. Buat masa ini, aku merancang untuk mendaki gunung datuk di rembau, negeri sembilan awal bulan mac. Kemudian diikuti dengan mendaki gunung ledang di bulan april. Aku bukannya ahli jawatankuasa kelab sukan yang dipilih namun aku berasa selesa untuk membuat kerja-kerja yang sudah biasa aku lakukan. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi memikirkan masalah yang remeh temeh. Aku tidak lagi menoleh ke belakang dengan kesedihan, hanya pandangan kosong...

Wednesday, February 07, 2007

Kenapa?...

Jam 4 pagi, aku terjaga dari tidur. Terasa panas badan dan tidak dapat tidur dengan lena walaupun penghawa dingin sudah terpasang sejak awal lagi. Teringat malam tadi aku makan kebab campur. Ada daging kambing. Mungkin itu punca aku terasa panas badan. Kebiasaanya yang berlaku apabila aku makan daging kambing. Terasa rahang aku membengkak dan sukar untuk membuka mulut. Lalu aku bangun dan menulis di sini sambil menahan kesakitan. Ada juga perkara yang membuatku tidak lelap sejak malam tadi. Biarlah ...

Petang semalam aku ke gym mengikuti kelas intermediate steps. Terasa seronok sangat. Kali ini setiap orang akan berpusing sekitar 3 board yang di kongsi dengan orang lain. Aku tiba sejurus sebelum kelas bermula. Sebenarnya aku tertinggal beg gym yang sudah aku sediakan awal namun waktu aku ke pejabat, aku terlupa mengambilnya dan aku terpaksa pulang ke rumah dahulu sebelum ke gym. Sewaktu hampir tiba di gym, jalan sesak. Mujur aku tiba tepat pada waktunya. NA pun tiba pada waktu yang sama. Aku mengambil tempat di baris belakang, tapi Kak Nor mendesak aku ke baris hadapan. Akhirnya aku setuju untuk berada di baris kedua. Ternyata kelas kali ini lebih menarik dan berada di kedudukan hadapan sebenarnya lebih mudah untuk megikuti setiap langkah. Selesai kelas, aku duduk berborak dengan NA dan Kak Nor. Tak jemu-jemu dia memberi perangsang kepada kami. Mungkin aku akan ke Wisma SPK untuk kelas Intermediate/Advance Steps setiap Isnin.

Selesai gym, aku terus ke surau dan kemudian makan di foodcourt. Di sinilah aku memesan kebab yang bercampur daging kambing itu. Sedang aku makan, terdetik dalam hati untuk menonton wayang. Aku terus membeli tiket dan menonton cerita 'Blood and Chocolate'. Filem mengisahkan percintaan serigala jadian dengan manusia. Agak lembab diawal cerita tetapi semakin rancak menuju penghujungnya.

Sudah hampir jam 5 pagi, aku masih tidak dapat melelapkan mata. Ternyata ada sesuatu yang menghambat fikiranku sejak aku pulang dari menonton filem. Persoalan demi persoalan timbul dan aku cuba untuk tidak mengendahkannya. Tapi aku tak berdaya ... aku sememangnya sensitif. Sensitif dengan persekitaran, sensitif terhadap perasaan aku, sensitif terhadap perasaan orang lain. Dan jalan terbaik adalah berdiam diri ... Aku tidak pasti apa niatnya dan aku bingung memikirkan ... Kenapa? ...

Sunday, February 04, 2007

Tapi.. di mana ya...

Semalam aku ke gym awal pagi. Seperti selalunya, aku melakukan senaman cardio dan weights sedikit. Waktu aku bersiap untuk pulang, aku terlihat seseorang yang pernah berkerja dengan aku, mungkin lebih lima atau enam tahun lalu. Aku lupa namanya dan aku hanya mendiamkan diri. Dia sedang berbual dengan anaknya. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil. Rupanya dia masih ingat padaku. Setelah berbual sejenak, aku minta diri untuk pulang.

Keluar dari gym aku terus ke KLCC, untuk membeli belah. Sekali lagi, aku terserempak dengan seorang mat salleh yang pernah bekerja sama dengan ku 3 tahun lepas. Itu pun kebetulan dia memandang ke belakang dan terlihat aku, dan aku pun terlihat dia. Dia seolah-olah cuba mengingati di mana pernah berjumpa dengan aku. Lalu aku pun menyebut nama syarikat yang kami pernah bekerja. Dan tiba-tiba dia ingatannya kembali pada waktu kami bekerja di pantai timur dulu.

Dari situ aku terus ke BSC kerana ada janji temu dengan Shi untuk berkaraoke. Shi datang sejam lewat disebabkan kesesakan lalu lintas. Puas aku menyanyi sendirian sementara menunggu Shi tiba. Yus pun tiba lewat. Tapi aku berpuas hati dengan persembahan kali ini... he he.. Manakan tidak?... Shi memilih beberapa lagu duet yang tak pernah aku nyanyikan.

Lewat petang, kami menonton filem 'Holiday' bersama Is. Lama tak bertemu dengan Is. Ternyata Is kelihatan kurus sekarang ini. Cerita 'holiday' ni memang kelakar. Selesai menonton, kami pulang mungkin kerana masing-masing masih berdiet. Semuanya tak mahu makan... he he he...

Tengahari tadi aku ke gym lagi. Aku membuat senaman yang lazim aku buat. Sempat berbual dengan Vivian. Selesai gym aku ke klcc. Niat hati nak shopping tapi tak sempat pun. Aku keletihan. Terus aku pulang. Hari ini aku memakai baju baru dan seluar dalam baru. Hari ini feng shui baik,kata jess. Aku ikutkan saja...

Saturday, February 03, 2007

Aku Bukan Patung...

Aku bukan umpama patung yang tiada perasaan. Aku juga bukan pelakon, sepertinya hati ini tidak terkesan. Aku hanya insan biasa yang tidak upaya menahan...

Ku tak upaya...

kiranya kau tahu
apa yang tersimpan di hati
hanya tuhan yang mengerti
betapaku kecewa

air mata ini adalah luahan duka
tidak pernah kau mengesatnya
sekalipun tangisan darah

aku tak upaya, ku tak berupaya
meraih cintamu
biarpun kuserah segalanya

aku tak upaya, ku tak berupaya
biar apapun yang kan terjadi
menantimu... selamanya...

aku tak upaya, ku tak berupaya
hanya tuhan saja yang menduga
aku redha... tak berdaya...

Friday, February 02, 2007

2 hb Februari...

Aku baru saja pulang dari gym. Hari ini seperti biasa aku melakukan senaman cardio dan sedikit weights training. Tiba-tiba aku teringat hari ini 2 hb Februari...

Selesai gym, aku terus ke Isetan untuk membeli sehelai dua t-shirts. Jess mengingatkan aku untuk membeli baju baru kerana ada feng shui yang perlu diikuti... he he. Aku bukan percaya sangat tapi ada alasan untuk membeli baju baru...Tapi aku ternampak beberapa helai baju kerja seeds yang belum aku miliki... he he he... esok la. Aku pun terlupa bawa kad ahli.

Sekarang aku cuma duduk merehatkan diri sambil mendengar lagu kegemaran ku sekarang ini 'Ku tak upaya' nyanyian Karen. Musykil juga aku dengan penyanyi yang tak dikenali ini. Suaranya boleh tahan dan aku rasa mampu menggugat penyanyi yang sedia ada sekarang.

Wednesday, January 31, 2007

Selesai...

Akhirnya, selesai juga kursus yang aku ikuti selama tiga hari ini. Tiada yang dapat aku katakan, hanyalah 'letih'. Aku sememangnya kepenatan dan mengharapkan esok aku dapat berehat secukupnya. Kebetulan esok cuti hari wilayah, aku harap dapat berehat dan tenangkan fikiran sepanjang hari.

Kursus yang aku ikuti tadi aku rasakan tidak memberi manfaat yang banyak kerana sememangnya aku sudah berada ditahap itu. Aku mahu tahap yang lebih tinggi namun aku teruskan juga dan menganggap ia sebagai satu ulang kaji.

Dari segi lain, banyak yang telah berlaku sepanjang minggu ini. Ada yang manis, ada yang pahit, baik buruk... semuanya aku terima. Temuduga yang aku pergi, aku berjaya namun ganjarannya tidak memadai dan aku terpaksa menolak. Insya'allah, masih ada peluang lain yang lebih baik untukku.

Kursus...

Pulang saja dari Melaka, aku perlu menghadiri kursus kerjaya selama 3 hari bertempat di Grand Seasons Avenue. Tak jauh dari rumahku. Hari pertama agak membosan dengan kehadiran orang-orang yang tidak pernah mengikuti atau menggunakan perisian komputer ini sedangkan ini adalah kursus advance. Pensyarah terpaksa membuat sedikit ulangkaji atau pengenalan kepada mereka. Dari 10 peserta, ternyata hanya 6 orang yang muncul dan seorang lagi menghilangkan diri setelah selesai sesi pagi.

Hari kedua dengan hanya 5 orang, kursus berjalan dengan lebih lancar walaupun salah seorang peserta wanita memang tidak tahu menahu langsung malah tidak pernah mendengar jenama perisian komputer yang digunakan. Tapi kami saling bantu membantu. Ternyata peserta yang lain datang dari latar belakang yang agak sama kecuali aku dari minyak dan gas.

Dari pengamatan aku, kursus ini mudah bagiku sebab aku sudah menggunakan segala fungsi yang ada dalam perisian ini. Aku menjangkakan kursus ini akan diajar dengan perisian yang terbaru. Namun begitu, sijil yang akan aku terima mengiktiraf kebolehan aku secara rasmi.

Hari ini adalah hari terakhir. Aku berharap kursus akan bertambah seronok dan tidak mengantuk seperti semalam.

Isnin dan semalam aku sempat ke gym. Aku melakukan senaman kardio dan weights seperti biasa. Namun semalam, aku mengikuti kelas intermediate steps. Sudah lama aku tinggalkan kelas steps atau bodysteps. Ternyata menyeronokkan walaupun terkial-kial dengan beberapa langkah yang baru. Namun dengan sokong dari Kak Nor, aku harap akan dapat melakukan dengan lebih baik lagi untuk kelas yang akan datang.

Aku tidak sabar menantikan hari Khamis ini memandangkan hari cuti umum bagi KL. Aku terlalu letih dan aku hanya mahu rehat. Mungkin aku akan berkaraoke bersama teman-teman khamis ini dan juga sabtu bersama shi. Sudah agak lama tidak bertemu dengan shi. Kain sarinya masih lagi bersamaku.

Monday, January 29, 2007

A Famosa Resort...

Belum sempat aku berehat secukupnya sejak pulang dari Mumbai, aku terpaksa pergi ke A Famosa Resort, Melaka untuk sessi teambuilding ahli jawatankuasa kelab sukan jumaat lalu. Aku sebenarnya tidak terpilih sebagai ahli jawatankuasa kelab sukan tetapi entah macamana ditarik untuk ikut serta.

Selama tiga hari di sana, aku keletihan yang amat sangat. Bukan sekadar aktiviti riadah malah sessi brainstorming juga diadakan. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk menyertai setiap aktiviti dan aku dapat rasakan aku bukan saja sekadar turut serta saja, malah memberikan idea-idea yang bernas. Aku harap dapat kekal sikap positif ini untuk selamanya.

Aku merasa paling seronok dalam sessi brainstorming untuk mencari visi dan misi kelab sukan. Ahli-ahli dibahagikan kepada empat kumpulan dan masing-masing perlu memberikan visi dan misi masing-masing. Ahli kumpulan aku 'The Great Thinker' terdiri dari mai, nor, adi dan aku sendiri. Adi banyak membantu dalam mengetengahkan idea-idea.

Selain itu, acara mini explorace juga mengamatkan. Diadakan di Water Park, kami tak melepaskan peluang mencuba semua permainan air yang ada sebelum kami pulang bersiap
untuk makan malam di Umbai. Makanan laut hidangan malam ini. Aku kenyang...

Rancangan seterusnya pada asalnya adalah bersiar-siar di Bandar Hilir, Melaka tapi ramai yang sudah mengantuk dan keletihan. Ahli-ahli yang masih segar teruskan perjalan ke situ, manakala aku dan beberapa orang lain teman terus pulang ke bungalow dan tidur.

Esok paginya, akibat keletihan, sessi senamantua dibatalkan. Selesai sarapan, sessi brainstorming dijalankan sekali lagi. Kali ini untuk menyenarai aktiviti bagi tahun 2007 hingga akhir 2008.

Kami bertolak pulang sekitar jam 3 petang selepas selesai makan tengahari. Aku tiba di rumah jam 4 petang. Aku teramat letih dan terus terlelap sekejap.

Satu peristiwa yang tidak mungkin aku lupakan semasa di sana adalah semasa aku dan fauzi mandi di kolam renang. Setelah kami terjun dan berenang beberapa ketika, fauzi dengan tidak semena-mena membuka penutup perangkap sampah kolam renang itu dan terdapat seekor tikus mati di dalamnya. Terus kami berhenti berenang. Namun, apabila teman-teman yang lain mahu berenang pula, kami terus memberi galakan. Selesai mereka berenang, kami pun tunjukkan apa yang kami jumpa sebelum itu... ha ha ...

Aku perlu menghadiri kursus selama 3 hari selepas ini. Mujur hanya di KL. Aku letih...

Wednesday, January 24, 2007

Pulang...

Aku selamat tiba di KLIA pagi tadi jam 6.30 pagi. Selesai menunggu bagasi, sekitar jam 7 aku terus menaiki ERL ke KL Sentral dan adikku sudah menunggu. Tiba di rumah jam 8 pagi aku terus bersiap untuk ke pejabat setelah dimaklumkan oleh setiausaha boss untuk datang kerja juga pada hari ini.

Aku cuba untuk menulis dari Mumbai sebelum aku pulang tapi ada masalah sedikit untuk membuka blogspot dari situ. Hari Isnin dan Selasa masa kami habis dengan bermesyuarat. Cuma diwaktu malam, Shariff mengajak lagi aku untuk ke pub menyaksikan band yang beraksi di situ. Hotel Orchid tempat tinggal kami ternyata menghidangkan makanan yang tidak halal namun kami terpaksa juga makan makanan vegetarian yang dihidangkan.

Semalam kami checkout waktu pagi setelah selesai sarapan dan terus ke mesyuarat. Selesai sekitar jam 4 ptg, kami meminta driver untuk menghantar kami ke shopping complex tapi ternyata tidak ada shopping complex yang besar seperti di Malaysia ini. Namun, aku berhabis juga duit dengan membeli loket berlian untuk ibu ku dan subang intan untuk adikku. Aku sendiri tidak membeli apa-apa untuk diriku.

Keluar dari shopping complex itu, aku dan shariff berjalan-jalan di sekitar kawasan itu dan ternyata kawasan itu memang terdapat ramai orang islam. Kami sempat menjamah nasi beriayani di sebuah restoran yang terkemuka di situ. Sebelum itu kami terjumpa kedai menjual sari yang murah-murah. Aku sempat membeli sepasang masing-masing untuk Shi dan Is. Aku harap mereka suka dengan hadiah ini.

Sepatutnya, aku dijadualkan ke Gunung Ledang mengikuti aktiviti team building bersama ahli-ahli kelab sukan syarikat. Namun, perancangan itu ditunda dan kami akan berehat di A Famosa, Melaka. Aku keletihan sebenarnya tapi aku terpaksa juga hadirkan diri untuk aktiviti ini.

Baru sebentar tadi, aku mendapat panggilan untuk temuduga. Aku berdoa semoga berjaya dan Insya'allah kerjaya aku akan lebih teratur dengan pendapatan yang agak baik dari sekarang.

Sunday, January 21, 2007

Balik...

Aku menulis dari bilik Hotel Orchid, Mumbai. Aku bosan. Aku nak balik...

Penerbangan ke Mumbai semalam begitu lancar dan tiba tepat pada waktunya. Entah kenapa aku seperti berat hati untuk datang ke sini. Selain Ariff dan Ajeem, tiada orang yang menghantar sms selamat jalan kepada aku. Sedih terasa. Sepanjang pernerbangan, aku menangis beberapa kali. Harap-harap penumpang di sebelah aku tidak perasan aku mengesat airmataku.

Pagi tadi, aku dengan shariff menyewa teksi berjalan-jalan sekitar Mumbai. Tak banyak yang dapat di lihat, jadi kami terus ke Gateway of India. Di sini memang terdapat banyak barangan yang boleh dibeli sebab murah harganya. Aku membeli souvenir untuk teman-teman dan sudah menghabiskan hampir RM200 saja di sini. Shariff sempat membeli kain sari dan jaket kulit serta teropong yang sudah lama di idam-idamkan. Kami menggunakan perkhidmatan kereta sewa setengah hari saja memandangkan masing-masing sudah letih dan pemandu kereta seolah-olah tidak mahu membawa kami ke tempat-tempat shopping yang murah kerana mereka tidak mendapat komisen dari situ.

Sekarang ini aku sedang duduk berehat sambil menulis. Tidak sabar rasanya aku hendak pulang...

Friday, January 19, 2007

Cuba...

Persiapan aku ke Mumbai sudah hampir selesai semuanya. Kalau tidak ada aral, hari ini akan dapat visa dari kedutaan tetapi kerja aku masih lagi tidak siap. Hati aku seolah-olah memberontak. Aku sendiri tidak tahu kenapa.

Semalam, aku telah mencuba beriadah di gym lain. Aku menuju ke Wisma SPK yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Pertama kali ke situ terasa segan juga namun ketibaan aku disambut dengan satu suara yang agak familiar... "terbalik, terbalik, belah sana..." Bila aku toleh ke belakang, rupa-rupanya suara Kak Ros yang dulunya bertugas di gym Maxis. Terasa sedikit lega kerana ada yang kenal akan diriku.

Lalu Kak Ros menunjukkan tempat bersalin pakaian dan kebetulan waktu itu akan ada kelas BodyStep, aku pun ikut serta. Ternyata memang tidak ramai orang di situ. Aku suka dengan suasana yang tidak sesak. Selesai kelas, aku melakukan cardio exercise selain membuat weights.

Selesai di gym aku mahu ke equatorial hotel untuk solat maghrib tetapi hujan lebat. Mujur di Wisma SPK juga ada surau cuma memerlukan kebenaran guard untuk memberi laluan. Aku mulanya tinggalkan keretaku di KLCC kerana sangka aku, parking di Wisma SPK mahal. Setelah aku selidik, ternyata caj parking amat murah sekali. RM1.60 sekali masuk selepas jam 5.30 petang. Hmmm... selamat tinggal menara maxis...

Aku berasa kurang sihat beberapa hari ini. Demam agaknya. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana setiap kali waktu tidur, hidungku berair dan tersumbat. Ini menyukarkan pernafasan aku dan tidur aku terganggu. Aku sudah mulai batuk dan tekakku terasa perit. Aku harap kesihatan aku tidak terjejas teruk semasa di Mumbai nanti.

Thursday, January 18, 2007

Sinar...

Tak dapat dinafikan sehingga hari ini aku masih mengharapkan satu keajaiban akan terjadi. Namun semalam telah menyedarkan aku bahawa aku perlu menerima hakikat. Dan hari ini, aku mesti bangkit dengan sinar yang baru. Lupakan yang lalu kerana yang lalu sudah tidak bermakna dan tidak akan kembali lagi.

Aku sempat ber'chatting' dengan seorang kenalan yang sudah agak lama tidak bertanya khabar. Namun, bukan diri aku yang ditanya khabarnya tetapi orang lain. Dia lebih mengetahui tentang orang itu dari diriku sendiri tetapi masih lagi mahu bertanya pada aku. Terdetik dalam hati kenapa perlu begitu?... Segala yang diketahuinya telah membuatkan aku pasti, tidak ada jalan berpatah balik. Aku terus tersedar. Dari kesedaran itu, aku telah melakukan sesuatu buat pertama kali. Sesuatu yang aku kira agak gila namun aku tak akan menyesal.

Aku akan terus pandang ke depan.

Wednesday, January 17, 2007

Malas...

Pasti! Ternyata yang aku mahu elakkan hampir pasti terjadi. Aku diarahkan ke Mumbai sekali lagi untuk perbincangan dengan sebuah syarikat di sana. Seorang rakan setugas akan bersama aku kali. Aku begitu teruja untuk ke Anugerah Juara Lagu ke-21 di Bukit Jalil Ahad ini tetapi ternyata hampa kerana penerbangan ke Mumbai pada malam harinya. Namun, itu tugas yang seharusnya aku lakukan. Yang pasti, perjalanan kali ini tiada lagi membeli-belah untuk teman yang aku sayang walaupun sudah diperuntukkan sehari untuk kami bercuti di sana. Sebenarnya aku malas untuk ke Mumbai lagi...

Semalam, seseorang menegur aku di lobby bangunan pejabat. Nama aku dipanggil. Aku tergamam sekejap. Aku cuba amati dan cuba ingat kembali siapa dia tetapi ternyata aku tak berdaya. Lalu aku bertanya 'errr... saya kenal awak?'. Dia mengenalkan dirinya 'VASU'. Hah! VASU?... iya.. ingatan aku kembali semula. Dia teman dari sekolah rendah hinggalah tamat SPM. Sudah hampir err.. bertahun kami tak jumpa. Aku sememangnya tak sangka dia masih ingat rupa aku. Katanya, rupa aku masih tidak berubah. Err... maksudnya setelah sekian lama, aku masih lagi seperti dulu, hodoh?... Vasu bekerja di bangunan yang sama denganku. Mungkin selepas ini kami boleh berbual panjang kerana pagi itu aku sudah berjanji dengan teman untuk sarapan.

Aku sempat chat panjang dengan Shi. Rindu sangat pada mereka semua. Mungkin Shi memahami situasi aku tetapi dia turut memahami si dia itu. Yang pasti, tanpa pengetahuan Shi, aku menangis sewaktu chat dengannya walaupun sudah aku katakan aku tidak akan menangis lagi. Puncanya bila aku menceritakan kisah sewaktu aku membeli hadiah untuk tahun baru buat teman-teman yang aku sayang. Waktu itu, aku tercari-cari hadiah yang sesuai untuk Shi dan Is. Tapi mudah untuk memilih hadiah untuk mereka. Tapi yang seorang itu, aku memang buntu. Lantas aku terus memanggilnya dan bertanya apa yang dia mahukan. Dia menyatakan mahu satu set kunci rumah aku. Aku terharu. Aku menangis gembira dan sedih. Aku hampir memberikan hadiah itu kepadanya. Aku tanya berkali-kali samada dia benar-benar maksudkan apa yang dia inginkan. Namun tiada jawaban pasti. Aku terus ke KLCC untuk membelikan satu gelang yang aku harap dia hargai. Itu pertama kali aku menangis kerana seseorang. Aku hargai pemberian teman-teman aku berupa bantal bucuk, permainan dart dan sebentuk cincin yang sangat aku suka tetapi sudah aku simpan terus di dalam kotaknya. Mmm... aku sudah menyimpang dari cerita asal.

Aku makan malam di Nailis dengan Ajeem dan Abg Am. Terhibur sedikit hati aku bila bersama mereka. Aku terasa mengantuk sangat malam tadi sebab malam sebelumnya aku tak dapat tidur langsung. Aku hanya baring di katil menantikan subuh. Selesai solat aku terus bersiap ke pejabat. Itulah waktu yang paling awal aku ke pejabat dalam keadaan kerja yang tidak sibuk. Tetapi malam tadi juga tidak menyenyakkan. Pagi ini aku bangun terasa seperti demam sedikit. Aku harap ini tidak berpanjangan atau aku terpaksa melupakan Mumbai...