Tuesday, June 17, 2008

Langkah Seiring...

Ahad lalu, aku bersama beberapa orang teman telah menyertai acara mencari harta karun anjuran AWAM (All Women Action Society, Malaysia) bertempat di Berjaya Times Square. Cadangan asal Am, aku mengajak Sheera, Shidi dan Ila untuk ikut sama. Am, Alex, Din menjadi rakan kumpulan aku, manakala Sheera, Shidi dan Ila satu kumpulan. Acara tahunan ini buat pertamakalinya dibuka kepada peserta lelaki. Bertemakan 'Equal Footing' demi membanteras penganiayan terhadap kaum wanita, AWAM juga meraikan ulangtahun yang ke 20 tahun ini.

Bermula dari Berjaya Times Square menuju ke Lot 10 melintasi Hotel Istana melepasi Hotel Radius melalui Plaza Bukit Bintang dan akhirnya kembali semula ke Berjaya Times Square semula. Acara bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 1 tengahari. Diikuti pula dengan acara lelongan barangan dari selebriti iaitu peserta-peserta The Amazing Race Asia II dan cabutan bertuah. Seperti sudah diduga, tiada satu pun yang kami dapat.

Aku dan Shidi kemudian ke Low Yat untuk mencari CPU baru. Akhirnya aku memilih CPU Acer yang kecil comel aje. Namun, proses membelinya mengambil masa hampir dua jam dek kelembaban pekerja-pekerja di kedai itu.

Akhirnya, aku dan Shidi kembali ke BTS untuk lepak sebentar dengan Sheera dan Ila yang masih belum pulang. Aku hanya bertolak pulang ke JB jam 7 petang. Mujur perjalanan agak selesa dan tidak banyak kereta.


Tuesday, June 10, 2008

Singapura...

Cuti sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong Sabtu lalu, memberi aku peluang untuk bercuti ke Singapura. Cadangan asal seorang teman yang akhirnya menarik diri dari rancangan ini, hanya Shidi dan aku saja meneruskan pelan ini.

Jumaat malam, Aku mengambil Shidi di Lapangan Terbang Senai sebelum menuju ke hotel di Johor Baru. Sebaik saja daftar masuk, Shidi mencadangkan agar terus saja masuk ke Singapura walaupun ketika itu sudah jam 1 pagi. Terus saja kami ke stesen teksi di Plaza Seni dan terus menuju ke apartment Wardah berhampiran Orchard Road.

Awal pagi esok, kami terus ke Vivo City untuk mendapatkan tiket ke Pulau Sentosa. Hampir separuh hari di sana, kami kembali untuk bertemu dengan Wandi dan Fariz, teman-teman Shidi di Singapura. Makan tengahari di situ bersama Wardah sebelum kami kembali semula ke Pulau Sentosa untuk mencuba Luge yang mengasyikkan itu. Sempat berlumba-lumba untuk menang.

Kembali semula ke pulau besar, kami terus ke Orchard Road untuk membeli-belah sebelum makan malam dan terus pulang. Memang terlalu singkat tetapi menyeronokkan. Ini sebagai permulaan dan mungkin boleh merancang untuk akan datang.


Monday, May 26, 2008

Masih di Sini...

Sudah agak lama aku tidak menulis. Semenjak bekerja di syarikat baru, hati ini menjadi tidak tenteram. Terasa tidak serasi dengan persekitaran baru, terasa payah untuk menyesuaikan diri. Masuk minggu keempat, masih lagi cuba untuk memujuk hati.

Hari pertama di sini, terasa begitu asing sekali walaupun aku pernah kesini berbelas tahun dahulu. Banyak perubahan yang ketara tetapi masih tidak dapat menandingi kehidupan yang selesa dan tenang semasa aku bertugas di KL dulu. Terasa sedikit sesalan namun ia harus diteruskan juga. Minggu kedua juga seperti minggu pertama. Lebih teruk lagi, komputer masih belum aku terima. Minggu ketiga, aku ke segamat untuk melihat keadaan projek disana. Terasa tenang sedikit.

Hari ini aku kembali ke pejabat di Pasir Gudang, mujur Shukri datang melawat. Jika tidak, mungkin bertambah tertekan dibuatnya.

Tuesday, April 22, 2008

Kembali ke gagang...

Kurang dua minggu lagi, aku akan berubah angin ke tempat baru. Bukanlah baru sebenarnya cuma kembali ke tempat lama yang aku rasa sudah banyak berubah. Aku akan memulakan tugas sebagai pengurus di syarikat aku mula-mula bekerja dulu awal bulan Mei nanti. Walaupun berat rasa hendak meninggalkan Kuala Lumpur yang sudah mula sebati dengan diri ini, langkah ini perlu aku ambil demi kemajuan diri dan kerjaya. Disamping itu, aku rasa ini juga masa yang sesuai untuk menjaga kedua orang tua aku yang tinggal berdua saja di kampung.
Masih lagi ramai teman-teman yang belum tahu tentang rancangan aku ini. Insya'allah aku akan sampaikan kepada mereka apabila tiba waktunya kelak. Aku hanya ingin mengelakkan dari dianjurkan majlis perpisahan kerana bagi aku, kami tidak berpisah hanya jarang berjumpa.
Doakan semoga aku berjaya.

Tuesday, April 15, 2008

Tempat Baru...

Di KLIA
Ketika ini Nurul sudah pun berada di London dengan selamatnya. Terimakasih juga pada Joe yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut ketibaan Nurul. Sekurang-kurangnya ada tempat mengadu dan meminta bantuan jika terjadi apa-apa di sana nanti.

Sebelum itu, sepanjang dua minggu terakhir di Malaysia ini, kami sempat berkaraoke, ke Sanctuary bersama dengan Sheera, Yus, Meng, Ajax, Ila dan ramai lagi. Ada juga teman yang mengadakan jamuan perpisahan untuk Nurul sehari sebelum penerbangannya.

Sesuatu yang melucukan apabila aku, Sheera dan Yus cuba untuk membuat kejutan buat Nurul sebelum dia berangkat. Kami mengatakan tidak akan menghantarnya di KLIA namun dalam diam-diam kami sudah ke situ. Tetapi dalam perjalanan, Nurul pula yang memintas kereta kami. Dari kami mahu membuat kejutan, kami pula yang dikejutkan.

Semoga Nurul akan berjaya dan bergembira di sana.

Monday, March 31, 2008

Bersama Gajah...

Semalam, aku mengikut rombongan Hareeff bersama dengan anak-anaknya ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dekat Temerloh. Nurul juga ikut serta. Sebenarnya perjalanan ini diatur oleh Seth, bapa kepada rakan anak-anak Hareeff. Kami hanya mengikut saja program ini. Mengikut perancangan, kami akan ke pusat konservasi untuk melihat gajah-gajah yang dijinak di latih untuk membantu dalam menjinakkan gajah liar.

Kami tiba di sana jam 11.30 pagi dan selesai mendaftar dan membayar yuran terus saja kami ke tepi sungai untuk berehat sambil makan-makan. Ternyata anak-anak mereka semua gembira dan tidak sabar untuk bermain-main dengan gajah. Sementara menunggu gajah-gajah itu tiba jam 2.15, kanak-kanak yang berjumlah seramai 12 orang itu mandi manda di sungai dan kemudian dibawa menonton video serta makan tengahari.
Menghampiri jam 2 petang, semakin ramai pelancung tiba. Mujur kami sudah mendapatkan tempat yang selesa di tepi sungai. Tepat jam 2.15, gajah-gajah sudah mula dibawa ke sungai untuk dimandikan. Pelawat kemudian dibenarkan memberi makanan kepada gajah-gajah tersebut sebelum dibawa berjalan di atas gajah-gajah itu.

Kemuncak acara adalah bermandi bersama-sama gajah tersebut di Sungai. Dua ekor anak gajah yang masih kecil dibawa keluar waktu ini. Setelah puas bermain dengan gajah, kami pun bersiap untuk pulang.

Setiba di rumah jam 6 petang, aku terus terlelap selepas membersihkan diri. Sememangnya aku keletihan kerana Aku terpaksa berkerja pada hari Sabtu sehingga petang, dan malamnya aku bersama Nurul ke Redbox untuk berkaraoke sehingga jam 2 pagi. Mujur kami terpaksa bangun awal pada hari Ahad. Jika tidak, sudah tentu kami akan bernyanyi sehingga pusat karaoke itu ditutup.

Persandingan...

Dua minggu lalu, aku pulang ke kampung untuk meraikan majlis persandingan adik bongsu tetapi tidak lama kerana Aku terpaksa menghadiri kelas pada hari Ahad. Kebetulan cuti Maulidur Rasul, aku pulang awal dan mengambil cuti pada hari Jumaat. Majlis nikah dan kenduri dibuat pada hari Sabtu untuk kedua-dua belah pihak bagi memudahkan sanak saudara berkumpul.

Hampir kesemua saudara mara sebelah bapa aku hadir dan sebahagian dari sebelah ibu. Di pihak lelaki pula ramai yang hadir. Akad nikah berlangsung jam 9 pagi dan majlis resepsi pada pukul 12 tengahari sehingga jam 5 petang. Aku sempat menyanyikan beberapa buah lagu memandangkan tidak ramai yang mahu menyanyi. Sehinggakan ada permintaan dari tetamu he he he...


Sebaik selesai majlis aku terus memandu pulang ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan lagi tugasan yang masih tertinggal sedikit lagi. Aku tiba di rumah hampir jam 10 malam dan sempat juga menyaksikan konsert pertama AF6.

Esoknya, Sheera mengajak untuk berkaraoke seperti biasa. Mujur aku sempat memeriksa jadual kelas untuk hari ini kerana sudah ditunda ke jam 2.45 petang. Dari karaoke aku terus ke kelas pulang 2 jam kemudian. Sheera, Yus, Ila dan Nurul mahu kerumah untuk menonton DVD '27 Dresses". Ceritanya agak hambar.

Selesai menonton aku mengajak mereka untuk makan malam di gerai makanan laut kegemaran aku tetapi Sheera terpaksa pulang. Tinggal aku, Yus, Ila dan Nurul sajaha yang kesana. Mujur mereka suka dengan masakan yang dipesan.

Monday, March 17, 2008

Ku Menunggu...

Ku di sini seperti selalu,
membilang waktu berlalu....

Ya, Aku masih lagi di sini menunggu waktu yang berlalu. Aku masih menantikan sesuatu sebelum aku boleh meneruskan perancangan yang sudah dibuat.

Seminggu yang lalu aku agak sibuk tetapi bukan dengan kerja-kerja di pejabat tetapi dengan aktiviti luar dan tugasan yang perlu dihantar. Seperti biasa aku tetap meluangkan masa untuk berkaraoke dengan Nurul tetapi kali turut disertai Chong Wei. Tak dapat dinafikan dia mempunyai suara yang merdu.

Selain itu aku juga sempat ke Camp 5 untuk memanjat dinding bersama Su. Perancangan asalnya, Sheera, Yus dan Shidi mahu ikut sama tetapi akhir hanya kami berdua saja yang pergi. Sememangnya aku sudah hampir lupa dengan langkah-langkah sebelum memanjat dan kami hanya memerhatikan orang lain membuatnya sebelum kami mencuba sejam kemudian. Aku rasa kami perlu ke sana lebih kerap lagi.

Minggu lalu aku dihubungi oleh sebuah agen untuk mencari pekerja dan aku diminta ke pejabat mereka untuk ditemuduga. Aku rasa aku gagal dalam temuduga itu.

Buat pertamakalinya juga minggu lalu aku ke Taiping menemani Hareeff yang tidak dapat memandu kerana sakit pinggang. Sebuah pekan yang agak kecil tetapi bersih. Aku meluangkan masa di Mc Donald sehingga Hareeff selesai dengan mesyuaratnya.

Thursday, March 06, 2008

Angin Perubahan...

Shhh...dengarkan dan rasakan... angin perubahan sudah mulai meniup sepoi-sepoi bahasa. Menunggu detik bertiup deras.

Gila Karaoke...

Aku rasa aku sudah sampai ketahap gila karaoke. Nurul pula sentiasa saja bersedia untuk menemani aku. Hampir setiap minggu, Sabtu dan Ahad, kami akan ke pusat karaoke Redbox Plus di Pavilion menyanyi untuk beberapa jam. Pekerja-pekerja di situ juga sudah kenal dengan nama Nurul. Minggu lalu, kami bermula sesi petang jam 3 pagi kerana Nurul mahu aku menyiapkan tugasan yang masih lagi terbiar. Hampir jam 10 pagi aku dikejutkan dengan panggilan dari Joe mengajak aku sarapan bersama. Baru aje 2 bulan lepas dia balik, ini dia balik sekali lagi. Banyak duit agaknya atau rindu pada seseorang.

Kami bersarapan di Kg Baru sebelum dia ke Bukit Bintang dan aku pulang ke rumah. Nurul tiba untuk menumpangkan aku ke Pavilion. Kami menyanyi dari jam 3 petang sehingga 6 petang sebelum ke Plaza Low Yat untuk mendapatkan perkakasan komputer. Dalam perjalan pulang, kami sempat singgah untuk makan ais-krim di Haagen Dazs. Sudahnya, tugasan aku masih lagi terbiar.

Rancangan asal hari Ahad adalah untuk sesi memanjat dinding atau 'wall climbing' di Camp 5, One Utama tapi tersasar pula. Aku dan Nurul ke Redbox sekali lagi. Kali ini dari jam 11 pagi sehingga 4.30 petang. Kami diberi lebih masa dan bilik yang agak luas untuk 2 orang. Mungkin pekerja di situ sudah mula kenal dengan kami.

Ahad ini, kelas aku ditunda kerana pilihanraya. Kalau berkesempatan, aku akan berkaraoke dengan Sheera pula. Nurul pulang untuk mengundi. Sheera, seperti aku tidak mendaftar pun. Yus pula sibuk dengan tugasnya sepanjang minggu ini dan juga minggu depan. Tak sabar pula nak ber'pesta' dengan dia orang berdua ni. Boleh gamat jadinya...

Sunday, February 24, 2008

Aku di Pulau Sipadan...

Aku sekarang ini sedang menggunakan internet di Borneo Diver Resort di Pulau Mabul. Rancangan bercuti ke sini dibuat oleh Khalid sejak awal Disember lalu. Aku memang sudah lama memendam hasrat untuk ke sini kerana mahu melihat dengan sendiri keindahan taman laut di Pulau Sipadan. Akhirnya, aku tiba di sini 23 haribulan lalu bersama teman-teman seramai 11 orang.

Hampir saja rancangan aku ke sini gagal disebabkan oleh bebanan kerja di pejabat. Namun, aku dapat melepaskan diri kerana kerja-kerja itu bukan dibawah tanggungjawab aku sebenarnya. Sabtu pagi seawal jam 2.30 pagi, Zue sudah menunggu untuk sama-sama ke rumah Khalid sebelum bertolak ke LCCT. Penerbangan dijadualkan berlepas jam 7.10 pagi dan kami tiba di Tawau lebih kurang jam 9.30 pagi dan terus ke Semporna. Di sana kami makan tengahari dahulu sebelum bertolak ke Pulau Mabul.

Di hadapan chalet Mabul Resort...


Perjalanan yang mengambil masa sejam tidak terasa sebaik kami menjejakkan kaki di Pulau Mabul. Kami telah disambut oleh Ramesh, Pengurus Mabul Resort sebelum diberikan serba sedikit taklimat mengenai resort ini serta kemudahan-kemudahan yang disediakan. Memang diluar jangkaan aku. Resort ini lengkap dengan WIFI dan juga penggunaan internet percuma. Bagasi kami juga diangkut oleh pekerja resort dari bot sehinggalah ke dalam chalet. Kami terpaksa berkongsi tiga orang satu chalet untuk menjimatkan kos. Chalet amat selesa dengan pendingin hawa dan kipas. Air panas juga ada di bilik mandi.


Kami agak bernasib baik kerana Borneo Divers ada menyediakan kursus pendek untuk menyelam. Ia mengambil masa lebih kurang 2 atau 3 jam sebelum membuat selaman yang pertama. Kursus ini membolehkan kami selam ke tahap kedalaman 12 meter saja dan tempoh sah laku sijil hanya dua minggu saja. Sebaik kami meletakkan barang di dalam chalet dan menukar pakaian, kami terus ke kolam renang untuk mengikuti kursus selaman itu. Memang teruja. Selesai kursus, kami mandi manda di kolam renang sebelum bersiap untuk makan malam.

Tekun mendengar taklimat dari Amanda...


Keesokannya kami sudah tidak sabar lagi untuk menyelam buat pertama kalinya. Setelah semua bersedia dan diberikan taklimat terakhir, kami pun membuat terjunan ke dalam air. Diving Instructor Amanda dan Diving Master Melvin menemani kami turun kebawah sedalam 12 meter. Saat aku menenggelamkan diri, aku sudah dapat merasakan keperitan pada telinga akibat tekanan air laut. Aku terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk menyesuaikan diri. Semakin aku turun, semakin sakit telinga aku. Aku terpaksa berhenti beberapa kali sehinggakan aku terfikir untuk terus naik ke permukaan. Akhirnya aku berjaya juga untuk turun ke dasar laut dan bergerak di sekitarnya.


Berjaya turun ke dasar...

Waktu seakan pantas berlalu dan kami pun diarahkan untuk naik ke permukaan. Sememangnya satu pengalaman yang baru dan menarik buatku. Dari situ kami pulang untuk makan tengahari sebelum ke Pulau Sipadan pula. Di sana kami hanya snorkelling saja. Sememangnya aku suka dengan keindahan alam semulajadi darat dan laut di kawasan ini. Banyak penyu yang berenang-renang selain ikan dalam kumpulan yang besar. Karang di laut juga indah dan berwarna-warni.

Di Pulau Sipadan...

Dari Pulau Mabul kami ke Tawau semula. Semalam di situ sudah cukup untuk mem'bangkrap'kan teman-teman aku. Banyak hasil-hasil mutiara dan kraftangan yang dijual selain ikan kering yang menjadi kegemaran ramai. Aku hanya membeli 2 helai t-shirt untuk diriku.

Kami pulang ke KL pada hari Selasa menaiki pesawat Air Asia jam 8.40 malam. Sememangnya pengalaman kali ini membuatkan aku teruja untuk mengambil lesen penuh menyelam untuk rancangan tahun hadapan pula...

Tuesday, February 19, 2008

New Delhi...

Sebaik selesai bercuti, aku diminta ke New Delhi dengan beberapa orang rakan sepejabat untuk menghadiri mesyuarat pertama bagi projek terbaru kami. Bertolak petang Isnin lalu, kami tiba lewat malam di Delhi dan sebaik saja aku melangkah keluar dari pesawat, aku dapati hawa agak sejuk. Berbeza sekali dengan Mumbai yang sering aku kunjungi. Kami dibawa terus ke rumah tumpangan di kawasan South Extension, antara kawasan elit di Delhi kerana kebanyakkan hotel penuh. Rumah tumpangan ini agak selesa lengkap dengan WiFi dan katil pemanas. Kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi waktu tempatan untuk menyiapkan agenda mesyuarat yang masih belum selesai. Hawa semakin dingin aku rasakan, mujur ada katil pemanas.

Aku tidur jam 4.30 pagi dan bangun jam 7 untuk bersiap ke mesyuarat yang dijadualkan jam 11 di Hotel Intercontinental Delhi. Agak jauh juga dari rumah tumpangan kami. Seperti biasa, mesyuarat agak kelam kabut sedikit tetapi selesai juga sekitar jam 3.30 petang. Aku sudah mempunyai rancangan untuk berjalan-jalan dan membeli-belah tetapi semua hotel yang kami singgah, sudah penuh. Terpaksa juga pulang ke rumah tumpangan yang kami duduki malam tadi. Hancur berkecai segala rancangan aku untuk hari itu.


Sedang mencari hotel, sempat bergambar depan teksi...


Keesokkannya aku dan Kesuma sudah bersiap awal pagi sebelum bersarapan dan terus ke Janpath, destinasi membeli-belah yang pertama. Terdapat banyak barangan yang aku suka namun aku tidak membeli apa-apa pun kerana banyak masa terbuang menemankan Kesuma. Ada saja barang yang diborongnya. Kain, Baju, Daun Teh dan macam-macam lagi. Dari situ kami ke Sarojini Nagar pula. Di sini lebih kurang seperti pasar di Chatuchak di Bangkok. Banyak juga barangan yang aku hendak tetapi aku hanya membeli 4 helai sarung kusyen.

di Sarojini ketika membeli langsir dan sarung kusyen...

Kemudian kami terus arah South Extension untuk makan malam di Mc Donald sebelum itu aku sempat membeli sehelai jaket kononnya untuk menahan sejuk kerana ada peruntukkan syarikat. Kawasan ini sudah hampir dengan rumah tumpangan kami. Sebaik tiba di rumah tumpangan jam 7.30 kami bergegas mengemas dan terus ke lapangan terbang jam 8 malam. Agak ramai manusia dia lapangan terbang dan mengambil masa hampir dua jam untuk daftar masuk bagasi dan melepas imigrasi.


Tiba di KL, aku hanya mahu tidur saja. Sebaik tiba di KL Sentral, aku singgah bersarapan di Mc Donald sebelum mengambil teksi untuk pulang. Selalunya aku hanya menggunakan LRT tetapi kali ini aku agak keletihan dan malas untuk berebut dengan penumpang-penumpang. Seharian aku tidur di rumah saja.

Monday, February 18, 2008

Tahun Baru Cina 2008

Sudah lebih dua minggu aku tidak menulis dan selalunya disebabkan oleh kesibukan tugas di pejabat ataupun tugasan-tugasan yang perlu aku siapkan. Bermula dengan Tahun Baru Cina, kemudian ke New Delhi dan pulang selain terpaksa meluangkan masa untuk mengulangkaji pelajaran, aku terasa begitu letih sekali.

Tahun Baru Cina kali ini aku tidak pulang ke kampung seperti biasa tetapi sudah merancang untuk berkelah di Ulu Yam atau FRIM saja bersama Sheera, Yus, Nurul dan Shidi. Dalam saat-saat akhir, Sheera menukar lokasi untuk berkelah dan terus ke Eagle Ranch Resort di Port Dickson. Kami pernah berkhemah di situ tahun lalu tetapi kali ini atas permintaan kakaknya, Sheera akur dengan rancangan itu dan kami juga terpaksa untuk ikut sama. Satu kejutan kecil pada hari kami bertolak, kedua ibubapa Sheera juga ingin ikut sama. Mujur ada satu lagi kekosongan di chalet. Walaupun agak tergesa-gesa, namun percutian ini menyeronokkan juga kerana Nurul ada bersama dan Nik juga aku undang menggantikan Shidi yang terpaksa menarik diri disaat akhir.

'Chalet' kami...


Berehat...


Hari pertama kami di situ sudah lewat petang kerana jalan agak sesak. Sebaik tiba, kami hanya berehat dan berjalan-jalan di sekitar resort itu. Ternyata sudah ada penambahan chalet-chalet baru di sini. Niat untuk ke pantai terpaksa kami batalkan kerana sudah hampir tiba waktu pintu pagar dikunci. Waktu malam, kami memulakan api untuk barbeku yang kami bawa bersama. Selesai makan malam, kami berbual sehingga jam 1 pagi sebelum masuk tidur.



Berlakon aje yang mengipas tu...


Keesokkannya, aku bangun awal pagi untuk menyediakan sandwich tuna yang sudah agak lama aku tidak buat. Selesai sarapan, aku, Nurul dan Nik terus ke pantai. Kali ini pantai kelihatan bersih sekali berbanding tahun lepas dimana sampah terbuang merata-rata. Setelah puas bergambar di sana, kami terus ke kolam renang dan bermain bola bersama Sheera.

Acara renang berirama...

Kami daftar keluar sekitar jam 12 tengahari dan terus kembali ke KL. Sebaik saja kami menurunkan Nik, aku dan Nurul terus saja ke Pavilion untuk berkaraoke. Gila agaknya kami berdua ni....

Monday, February 04, 2008

Cuti atau tidak...

Pejam celik, pejam celik, Februari sudah menjengah. Berlalu sudah January 2008. Bagaikan baru saja semalam menyambut tahun baru bersama teman-teman. Seperti biasa, hari pertama bulan Februari ini merupakan cuti umum untuk wilayah persekutuan dan memang dinanti-nantikan. Memandangkan cuti kali ini jatuh pada hari Jumaat, kami mendapat hujung minggu yang panjang. Tetapi dek kesibukkan kerja di pejabat, terdengar ura-ura cuti dibekukan. Namun, lega rasanya apabila tidak ada yang bersuara. Aku pun seperti biasa, membuat rancangan untuk hujung minggu.

Aku ke gym awal pagi itu dan merancang solat Jumaat di Masjid Asy-Syakirin di KLCC sebelum berkaraoke dengan Nurul dan Shidi, namun sebaik saja aku selesai di gym aku menerima panggilan untuk masuk ke pejabat. Terpaksa aku merubah segalan perancangan yang sudah diatur. Sekitar jam 5 petang kerja aku sudah diselesaikan dan aku terus ke Pavilion untuk bertemu dengan Nurul dan kami menonton wayang bersama. Lewat malam kami ke Oldtown Kopitiam di jalan Yap Kwan Seng. Fendi, Nisha, Arman dan teman wanitanya serta Ajeem datang kemudian. Kami berborak sehingga dinihari sebelum pulang.

Sabtu pagi, aku berangan untuk menyertai ujibakat AF6 namun ketika aku berada di situ, begitu ramai sekali orang yang masih berbaris untuk mendapatkan nombor. Aku pun terus ke KLCC untuk makan tengahari sebelum ke Pavilion untuk berkaraoke dengan Nurul dan Shidi.

Hari Ahad, setelah sekian lama bercuti dan juga terlepas kelas pertama dua minggu lalu, aku kembali semula ke tutorial bersama-sama teman yang lain. Kali ini, aku rasakan semua tutor agak baik cara penyampaiannya dan tidak membosankan. Namun ada seorang pelajar yang agak menjelikkan dan kelihatan seperti 'blur' saja dan ada ketikanya mengganggu perjalanan kelas. Aku terus pulang sebaik selesai kelas dan hujan sebaik aku tiba di rumah.

Monday, January 28, 2008

Hujung Minggu Yang Sibuk...

Sememangnya aku tidak menjangka sama sekali, hujung minggu kali ini begitu padat dengan aktiviti selain kerja-kerja di pejabat.

Sabtu pagi bermula dengan sarapan bersama Azam di Oldtown Kopitiam. Sudah agak lama aku diajak makan bersama namun tidak pernah berkesempatan dan kali ini aku cuba juga untuk memenuhi permintaannya. Sebaik saja selesai aku terus ke rumah Hareeff kerana sudah berjanji untuk bermain badminton bersama anak-anaknya dan teman-teman. Aku bukanlah seorang pemain badminton sebenarnya. Cukup hanya membalas balik pukulan, tidak lebih dari itu. Namun, kerana aku terpaksa bermain dengan seorang ibu yang juga seorang hakim mahkamah tinggi, aku gagahi juga walaupun aku tewas kepadanya. Ternyata aku senang dengan permainan ini dan jika berkesempatan untuk bermain lagi, pasti aku akan turut serta. Buat pertama kalinya, aku berpeluh sehingga basah baju kerana sebelum ini aku memang agak payah untuk berpeluh walau berhempas pulas di gym.

Selesai bermain badminton aku terus ke pejabat Yus kerana sudah berjanji dengan Arnee dan Fadil untuk mengadakan sesi casting di sana. Kebetulan pula sedang aku menunggu, aku terima panggilan dari Jessy meminta aku casting untuk sebuah iklan baru. Hampir 2 jam di situ, waktu sudah hampir 3.30 petang aku terpaksa bergegas ke One Utama untuk mengikuti kursus asas memanjat atau 'rock/wall climbing' di Camp 5 yang dijadualkan bermula jam 4 petang. Kepayahan mencari ruang meletak kereta menyebabkan aku terlewat 15 minit. Su dan Shidi sudah berada di sana sejak awal lagi. Eddy yang tiba 10 kemudian juga mengalami masalah mencari ruang letak kereta.

di dalam Camp 5

Hampir 45 minit dibelakang jadual, kami terus diperkenalkan kepada asas-asas memanjat oleh Zack, seorang ahli dalam bidang ini yang berasal dari Australia. Selama 2 jam pertama, banyak asas-asas secara teori diajar kepada kami. Selepas dari itu, kami dibiasakan pula dengan peralatan memanjat dan akhirnya dengan langkah-langkah memanjat yang betul. Ternyata agak seronok dan teruja dengan aktiviti kali ini. Akhir kursus tamat sekitar jam 8 malam setelah kami diarahkan untuk memanjat beberapa kali. Sijil penyertaan juga diberikan.



Pertama kali mencuba

Semalam, hari ahad aku bangun sekitar jam 7.30 pagi untuk membuat sedikit kerja-kerja pejabat kerana sepanjang hari ini sehingga lewat malam aku akan berada di luar. Seawal jam 10 pagi, Shidi datang mengambil aku menuju ke The Curve untuk sessi berkaraoke. Tiba di sana, pintu masuk Redbox masih tertutup. Kami terus bersarapan di kopitiam terdekat. Selesai makan, sekali lagi kami ke Redbox, masih lagi tertutup. Aku diberitahu Ila sudah berada di sana. Rupanya kami ke pintu yang salah, Ila juga mengalami masalah yang sama. Mujur Sheera ingatkan kami. Sebaik kami masuk ke bilik karaoke, Ila sudah memilih beberapa buah lagi tetapi masing-masing seperti hilang mood untuk menyanyi. Sheera dan Yus tiba setengah jam kemudian dan sessi karaoke pun bermula. Seperti biasa, memang kami tidak pernah puas tetapi terpaksa juga pulang kerana waktu sudah tamat.

Selesai di Redbox kami menuju ke Green Apple untuk bertemu dengan Ezz dan Zaza. Pertamakalinya aku bertemu dengan Zaza, orangnya peramah dan ceria. Pertamakali juga aku makan donut di Green Apple. Memang lembut dan tidak terlalu manis. Aku dan Shidi terpaksa pulang awal kerana mahu bersiap ke Stadium Putra di Bukit Jalil untuk menyaksikan Anugerah Juara Lagu ke-22. Sebaik tiba di situ, kami lihat barisan kepintu masuk amat panjang. Mujur aku mendapat tiket VIP dan kami di tempatkan dua baris dari pentas. Fendi, Nisha dan Siti datang agak lewak menyebabkan aku agak marah kerana terpaksa menunggu lama. Walau apapun, persembahan malam itu agak mantap dan menghiburkan. Ternyata aura Mawi masih lagi utuh tatkala dia naik ke pentas, penonton bersorak sakan. Namun, kegembiraan aku adalah kerana ini...


bersama Dato' Siti Nurhaliza...

Friday, January 25, 2008

Khabar Gembira?...

Minggu lalu, aku dan teman-teman sepejabat dikejutkan dengan berita syarikat akan dijual. Masing-masing sepertinya panik dan kelam-kabut. Ditambah pula dengan kisah saham syarikat digantung urus-niaga di bursa saham. Akhirnya, semalam Datuk Pengerusi ber'suara' dan memberikan penjelasan melalui surat pekeliling dan email kepada setiap pekerja. Semua yang kabur sudah jelas dan aku hanya mengharapkan segala keputusan yang dibuat akan membawa keuntungan kepada semua pihak termasuk aku sendiri dengan harapan saham syarikat akan naik lebih tinggi...he he.

Semalam juga kami menerima sebuah khabar gembira lagi. Segala usaha aku ke Mumbai, walaupun hanya menghantar tender telah berbaloi. Kami mendapat sebuah projek yang agak besar dan yang membuat aku tersenyum lebar adalah kerana tender ini adalah dibawah peyeliaan aku. Namun tanpa kerjasama semua pihak, kejayaan ini tidak akan berhasil. Semoga aku akan bekerja lebih kuat untuk meningkatkan prestasi aku tahun ini.

Tuesday, January 22, 2008

Saintis?...

Sudah masuk minggu ketiga bulan Januari, 2008. Sedar tak sedar agak pantas masa berlalu. Sudah kembali ke alam realiti, kerja banyak menanti. Namun, rezeki masih lagi menjengah di awal tahun ini. Aku ditawarkan dua iklan walaupun hanya watak sampingan tetapi disebabkan pertembungan jadual, aku hanya mendapat satu sahaja. Kata orang jangan tamak. Mujur aku tidak terima yang satu lagi kerana penggambaran dibuat di tengah-tengah padang waktu tengahari.

Kali ini, aku menjadi saintis walaupun hanya dalam iklan, terasa puas. Untuk babak aku, ada lima orang lagi 'saintis' lain. Pertama kali aku bertemu dengan Isabelle, Alastair, Bernie, Habibah dan Nedim ketika kami hadir ke sesi fitting pakaian Rabu lalu. Ketika itu semua membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan orang lain. Penggambaran dijalankan pada hari Ahad di Green Cow Studio, Bandar Sri Damansara.

dalam makmal...

Aku dikehendaki berada lokasi seawal 7.30 pagi untuk menyiapkan diri. Sepuluh minit sebelum waktu, aku sudah berada di sana dan bersarapan sebelum bersiap untuk penggambaran. Bertemu dengan 'saintis-saintis' lain, hanya sekadar senyum. Selepas dari itu, kami berada di set untuk latihan dan seterusnya penggambaran. Dari jam 9 pagi sehinggalah selesai sekitar jam 6 petang, akhirnya kami mulai mesra dan membuat lawak sesama sendiri kerana kebosanan menunggu set diubai suai. Isabelle merupakan warga tempatan cina berdarah perancis disebelah ibunya. Alastair dan Bernie pula berasal dari UK dan bertugas di sini. Nedim dan Habibah pula merupakan warga Bosnia yang melanjutkan pelajaran di UIA. Akhirnya kami lega kerana penggambaran selesai dan kami dibenarkan pulang. Aku menghantar Nedim dan Habibah ke UIA, sementara juru mekap kami ke Kg Baru.

CSI TEAM - Isabelle, Habibah, Alastair, aku, Nedim dan Bernie...

Aku suka dengan gambar set yang diambil sewaktu penggambaran. Terasa puas...

Tuesday, January 15, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah 1429

Aku meraikan tahun baru hijrah kali ini di Mumbai. Niat hati untuk tinggal dua malam di sana akhir menjadi tiga malam kerana tiada tempat untuk penerbangan balik. Semenjak konsulat Malaysia dibuka di Mumbai, semakin ramai pelancong dari India ke Malaysia. Seperti biasa, ramai yang sudah memesan barangan yang hendak dibeli dan sudah sifat aku tidak mahu mengecewakan sesiapa, aku cuba juga untuk mencari walaupun hampa.


Stesen Keretapi Ville Parle


Trip kali ini membuatkan aku teruja kerana buat pertamakalinya setelah tujuh kali ke sana, aku memberanikan diri untuk menaiki keretapi menuju ke bandar. Dari hotel aku berjalan ke Stesen Ville Parle, kira kira 15 minit perjalanan. Setelah aku mendapatkan maklumat yang secukupnya, aku mendapatkan tiket dan terus ke platform 2. Walaupun waktu sudah melewati jam 10 pagi, masih ramai lagi yang berasak-asak di dalam gerabak. Aku berjaya untuk masuk juga ke dalam gerabak. Mujur ada yang berhati mulia memberikan aku tempat duduk walaupun ramai yang berdiri di dalam gerabak sebelum aku masuk. Setengah jam kemudian, aku sudah tiba di Churchgate, stesen terakhir dan terus keluar menuju ke Crawford Market. Berbanding dengan teksi yang sering aku ambil perjalanan mengambil masa satu jam dan aku terpaksa membayar sekitar RM100. Kali ini aku hanya membayar Rupee 8 bersamaan dengan 80 sen sahaja. Aku tersenyum sendirian...

Dalam gerabak bersesak-sesak...


Puas aku berpusing di sekitar bandar untuk mencari Crawford Market, lenguh rasanya. Cuaca agak panas dan sentiasa berdebu. Setelah berjalan selama satu jam, akhirnya aku menjumpainya namun barangan yang dikehendaki tidak ada disitu. Aku terus mengambil teksi menuju ke Colaba Causeway kerana di situ ada barangan yang aku mahu. Setelah mendapatkan apa yang aku kehendaki aku terus ke stesen Churchgate semula untuk pulang ke hotel. Sepanjang jalan dari stesen Ville Parle ke hotel aku tersenyum lagi. Manakan tidak, setelah sekian lama aku membayar ratusan ringgit untuk ke tempat yang sama, hari ini aku hanya membayar 80 sen sahaja. Puas hati aku.


Keesokannya, sekali lagi aku merayau sekitar Mumbai Utara ke sebuah shopping kompleks di sana. Ini juga kali pertama aku menjejakkan kaki ke sebuah shopping kompleks di sana. Aku mendapatkan maklumat dari hotel namun disarankan untuk mengambil teksi kesana. Sebaik keluar dari hotel, aku menaiki bajaj atau lebih kurang tuk-tuk di Thailand itu untuk ke Inorbit. Agak jauh juga dan aku terpaksa membayar Rupee 200 untuk perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku berlegar-legar di sekitar kompleks itu selama 3 jam walaupun ia hanay sebuah kompleks yang kecil. Waktu pulang semula ke hotel, aku mendapatkan maklumat ke stesen keretapi yang terdekat. Ternyata aku hanya perlu membayar bajaj Rm1.70 untuk ke stesen Goregoan dan 40 sen untuk ke Stesen Ville Parle. Sekali lagi aku tersenyum lebar.


Setibanya di hotel aku berehat sebentar sebelum terus ke airport. Aku sudah daftar keluar sejak jam 12 tengahari lagi. Selalunya, aku akan dibawa dengan kereta hotel untuk ke airport tetapi aku terkejut kali ini aku menaiki sebuah bas hotel dan hanya aku seorang sahaja penumpang di dalamnya. Seperti biasa, penerbangan balik pada jam 12 tengahmalam dan aku terpaksa menunggu 6 jam lagi sebelum berlepas. Letih rasanya....

Tuesday, January 08, 2008

Lagi-lagi Mumbai...

Sudah seminggu menjengah tahun baru. Aku kesibukan dek tugas-tugas di pejabat namun aku masih lagi sempat menghadiri satu sesi casting untuk dua iklan yang berlainan di tempat yang sama. Kerja-kerja di pejabat hampir siap. Aku berkerja pada hari Sabtu dan malamnya aku menonton 'Atonement' bersama Am di KLCC.

Ahad, aku berkaraoke dengan Joe dan Fendi di Pavilion dan menonton 'Warlords' setelah puas menyanyi walaupun sebenarnya masih lagi belum puas. Sebelum itu kami sempat menjamah donut 'Jco' yang menjadi kegilaan ramai.

Aku dijadualkan ke Mumbai lagi malam nanti. Aku berjaga sepanjang malam tadi untuk menyiapkan sedikit lagi kerja-kerja pejabat. Sekali lagi aku terpaksa berada lebih lama di sana kerana penerbangan pulang penuh.

Tuesday, January 01, 2008

Selamat Datang 2008...

Semalam, aku meluangkan masa menyambut Tahun 2008 bersama teman-teman. Semua teman-teman rapatku ada bersama dan aku terasa sungguh gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar. Aku menyediakan spaghetti bolognaise selain pencuci mulut yang lain. Sheera dan Yus pula membawa ayam goreng dan apple struddel. Sedap. Arm dan Mad Nor membawa aiskrim seperti biasa. Fendi yang membawa kek datang bersama Joe yang sempat pulang dari London selain Peet, Ajeep dan seorang teman. Ajeem juga bergegas ke rumah sebaik tiba dari Bandung. Ezz, Shidi dan Ila juga ada. Mujur makanan yang disediakan cukup dan tidak berlebihan. Sebaik menjelang tahun baru, kami mengadakan sessi bertukar-tukar hadiah. Seronok dengan gelak- tawa teman-teman.

Diam tak diam tahun 2007 sudah meninggalkan kita. Menoleh kebelakang, banyak perkara yang tidak disangka berlaku dalam hidupku. Antaranya, menyambung pelajaran dan juga terbukanya peluang aku terlibat dengan bidang pengiklanan.

Sepanjang tahun lalu aku kerap ke Mumbai atas urusan kerja. Dalam perkiraan aku lebih dari lima kali, sehinggakan aku terpaksa menyambut Hari Raya Haji di sana. Aku juga berpeluang ke Perth sekali lagi dibulan Mei. Aku juga sempat bercuti ke Bangkok sekali lagi bersama-sama Nurul, Eddy, Bad dan teman-teman yang lain pada bulan Julai. Impian aku untuk ke Pulau Perhentian juga tercapai dalam bulan September bersama Eddy dan Bad serta teman-teman. Setelah hampir 9 tahun, aku berjaya mendaki Gunung Tahan sekali lagi buat kali ketiga.

Tahun 2007 juga, aku ada membeli beberapa barangan yang menjadi idaman aku antaranya komputer riba dan juga sebuah kamera.

Semoga tahun 2008 lebih membawa sinar yang lebih baik dari segi kerjaya atau pun peribadi.