Friday, April 13, 2007

Bincang...

Aku ke gym petang semalam. Diluar kebiasaan aku sekarang ini, aku sertai kelas bodysteps. Seronok kerana dapat mengeluarkan peluh yang banyak. Selain itu, aku melakukan senaman kardio yang lainnya.

Selesai gym, aku bertemu dengan Eddy dan Bard untuk membincangkan percutian ke Bangkok akhir bulan Jun nanti. Sebetulnya, aku merancang untuk pergi sendirian tetapi bila aku bertanya pada Eddy samada mahu ikut atau tidak, akhirnya Eddy dan teman-temannya seramai lima mahu ikut serta. Perbincangan lebih menjurus kepada tempat penginapan dan aturcara di sana nanti. Seperti kebiasaannya, apabila sudah ramai, banyak pula idea yang datang. Aku hanya membiarkan mereka dengan idea mereka, yang penting pada aku adalah tempat tinggal sewaktu berada di sana nanti. Yang lainnya, boleh dirancang waktu di situ nanti.


Thursday, April 12, 2007

Jangan...

Jangan... Jangan pandang belakang, tapi kalau pandang pun tak pe. Memang boleh dikatakan filem 'Jangan Pandang Belakang' adalah antara filem seram tempatan yang benar-benar menyeramkan yang pernah aku tonton. Walaupun efeknya kurang nyata, tetapi impak seram itu kadang kala membuatkan bulu roma aku berdiri. Aku sedikit kecewa dengan jalan ceritanya yang meleret di permulaan cerita. Aku mengharapkan lebih banyak adegan membuang saka itu ditunjukkan kerana itu memang ada dalam budaya orang melayu. Terlalu singkat. Boleh dikatakan klimaks agak lemah atau tiada klimaks. Bab-bab seram yang sama boleh ditonton dalam mana-mana filem seram Korea atau Jepun.

Sebelum menonton wayang dengan Ajeem, aku sempat ke gym terlebih dahulu. Sempat berbual dengan beberapa orang kenalan yang agak lama tidak bersua.

Sementara itu, perkembangan terbaru, aku sudah tidak boleh 'chat' di pejabat. Semuanya sudah disekat. Bertambah bosanlah hari-hari ku ini.

Esok aku dipanggil untuk berjumpa dengan orang kuat sebuah syarikat yang bakal aku pergi untuk temuduga. Katanya perjumpaan biasa saja sebelum temuduga nanti.

Wednesday, April 11, 2007

Sedia atau tidak? ...

Hari Selasa memang dinanti-nantikan. Tidak sabar rasanya untuk masuk kelas intermediate steps. Selepas kegagalan untuk melakukan gerakan dalam kelas intermediate/advance steps semalam dengan baik, aku mengharapkan kelas hari ini lebih menyeronokkan. Ternyata hari ini lebih menarik kerana aku dapat melakukan setiap gerakan dengan betul. Terdetik seketika untuk masuk ke kelas basic steps kerana Kak Nor pernah bertanya tapi mungkin bukan waktunya lagi.

Semalam aku terima panggilan dari Yusri meminta aku menghantar CV aku kepadanya secepat mungkin. Walaupun aku sedikit teruja tetapi aku cuba untuk mengawal perasaan kerana majikan Yusri adalah klien project terbaru kami. Aku tidak pasti bagaimana untuk bertindak dan sudah pasti boss aku sendiri tidak gembira dengan perkembangan ini. Aku juga tidak pasti samada aku sudah bersedia untuk berpindah atau tidak.

Selesai gym, aku sempat membeli barangan dapur di Cold Storage dan terus pulang. Saiful dan temannya masih lagi menumpang di rumahku. Aku membawa mereka ke Nailis untuk makan malam. Seperti biasa banyak perkara diborakkan sehingga kami pulang kerumah.

Tuesday, April 10, 2007

Demam Lagi?...

Setelah lebih lima hari tidak ke gym, aku mengikuti kelas intermediate/advance steps semalam di Wisma SPK. Aku tiba agak awal dan melakukan senaman lazim seperti biasa. Aku berlari dan mengayuh. Apabila hampir waktu kelas bermula, aku terasa seperti hendak demam namun aku teruskan juga. Kali ini, papan di susun memanjang di kiri dan kanan kami sebaris. Begitu juga dengan baris di belakang. Kami akan menggunakan papan-papan di kiri dan kanan dan juga di belakang. Seperti biasa, aku hanya dapat melakukan separuh daripada rutin sepenuhnya. Selebihnya aku hanya melihat.

Pulang ke rumah, aku terasa sakit-sakit sendi seperti hendak demam. Aku memakan ubat dah terus tidur. Habis basah bantal aku dengan peluh. Hari ini masih terasa sedikit demam. Harap-harap petang nanti bertambah baik kerana aku ingin masuk kelas steps lagi.

Semalam aku berjumpa dengan NA di KLCC untuk menyampaikan sesuatu padanya. Kami sempat minum dan berborak di La Cucur sebelum aku ke gym.

Monday, April 09, 2007

Kerja...

Hari ini aku kembali semula ke pejabat dengan kerja-kerja biasa yang aku lakukan. Masih lagi terasa penat dari 4 hari terlibat dengan rakaman iklan. Hari ini juga aku dapat rasakan banyak kerja yang perlu aku lakukan terutama dengan projek baru yang masih lagi belum mendapat ahli projek mereka dan sering meminta pertolongan dariku untuk membantu. Aku kadang-kadang tidak faham mengapa sehingga kini sudah hampir dua bulan, masih belum dapat mengumpulkan keseluruhan ahli projek untuk menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya. Apakah mereka merasa lebih mudah untuk meminta bantuan dariku setiap kali memerlukannya?...

Sudah hampir dua bulan projek ini diberi kepada kami. Sudah hampir dua bulan juga klien masih belum melihat keseluruhan ahli projek dipersembahkan kepada mereka. Aku rasa, tahap kepercayaan dan kesabaran pihak klien juga sudah mulai goyah. Aku cuma berharap mereka tahu apa yang mereka lakukan sebelum klien bertukar fikiran...

Sunday, April 08, 2007

Orang Seni...

Diam tak diam, sudah selesai empat hari aku berada di lokasi dan aku keletihan yang amat sangat. Manakan tidak, semalam aku ke studio jam 11.30 pagi dan pulang jam 5 pagi tadi. Walaupun watak aku tidak seberapa tetapi watak utama tidak dapat menjiwai wataknya menyebabkan aku terpaksa mengulang semula lakonan bersamanya. Pelakon lain amat mudah menjayakan watak mereka. Hanya seorang ini saja masih tidak dapat menyerlahkan lakonannya. Aku dibenarkan pulang jam 4.45 pagi tadi. Tiba di rumah aku terus mandi dan tidur.

Terfikir aku sejenak, kehidupan orang seni, begini rupanya. Aku lebih memahami kerjaya orang seni sekarang. Aku juga lebih menghargai kerja-kerja mereka. Perlu ada tahap kesabaran yang tinggi. Persoalan sekarang ini... apakah aku akan melakukannya sekali lagi jika ada peluang?... Mungkin, kalau bayarannya setimpal dengan usaha aku ... he he he

Aku masih letih, aku nak tidur...

Friday, April 06, 2007

Pengalaman...

Meletihkan. Itu saja yang boleh aku katakan. Walaupun tugas aku hanya sedikit, tetapi ulang rakaman yang berkali-kali dan menunggu untuk set disiapkan sememangnya memenatkan. Betul kata orang, penantian itu suatu penyiksaan. Namun, krew dan pelakon-pelakon yang ramah membuatkan aku agak selesa setelah dua hari bersama mereka.

Semalam sebelum pulang, aku diberitahu untuk ke studio jam 8 pagi. Aku bangun seawal 6.30 pagi untuk bersiap ke set. Aku membiarkan telefon bimbit aku di luar bilik. Sebaik aku memeriksanya, ada pesanan ringkas memberitahu aku tidak diperlukan hari ini. Aku pun terus menukar baju dan terus ke pejabat. Sebaik tiba di pejabat aku menerima panggilan memberitahu aku diperlukan di set. Aduh!... dan aku diperlukan dengan kadar SEGERA!

Aku pun pulang ke rumah untuk menukar pakaian. Sambil itu telefon bimbit berdering bertalu-talu memanggil aku untuk ke set dengan cepat. Tiba di sana, aku terus menukar baju dan terus memulakan rakaman. Begitu rupanya kerja-kerja di belakang tabir walaupun kelihatan indah di kaca tv.

Aku berada di set sehingga jam 2 petang berkerja dengan seorang pelakon dari Thailand. Selebihnya aku cuma diminta untuk menunggu. Akhirnya aku dibenarkan pulang sekitar jam 10.30 malam dan minta untuk datang ke set jam 11 pagi hari ini. Aku terima pesanan ringkas memberitahu untuk ke lokasi petang pula. Harap-harap hari ini selesai semua tugas aku.

Sebagai orang baru, pengalaman ini amat menyeronokkan. Aku dapat melihat bagaimana warga seni berkerja. Seronok bertemu dengan mereka dan aku juga mendapat kenalan baru. Satu perkara yang pasti, makanan dan minuman sentiasa tersedia. Pasti bertambah berat badan aku selepas ini... he he he

Thursday, April 05, 2007

Indah?...

Aku kepenatan. Seharian aku berada di situ seawal jam 8 pagi. Sarapan disediakan namun aku segan dan sedikit was-was untuk makan. Aku cuma menanti di situ sebelum aku dipanggil Jessi untuk masuk ke dalam. Aku diperkenalkan dengan warga kerja di situ. Aku mencari satu sudut untuk duduk dan lihat kerja-kerja dilakukan. Tidak lama kemudian, aku diminta untuk menyalin pakaian. Aku turutkan sahaja.

Aku terus dipanggil ke set untuk rakaman yang pertama. Kerjaku agak mudah, cuma melangkah ke hadapan dan menghulurkan produk kepada pelakon utama... he he he.

Sebenarnya aku terlibat dalam pembikinan iklan untuk satu produk pencuci serbaguna. Walaupun perkara yang aku perlakukan agak mudah, namun kami terpaksa mengulang perkara yang sama banyak kali. Terlalu banyak. Di luar pengetahuan aku, selain iklan untuk siaran tempatan, aku juga harus melakukannya untuk siaran Thailand dan Korea. Setiap negara akan mempunyai dua versi iklan ini di mana sasaran penontonnya ada golongan berumur dan yang muda. Bermakna, aku perlu melakukannya untuk enam versi tetapi di Malaysia pula ada tiga bahasa. Jadi kesemuanya, aku perlukan untuk sepuluh versi.
Hari ini saja, aku sempat melakukan untuk tiga versi. Aku keletihan kerana banyak mengulang di samping menunggu untuk set disediakan kembali. Sering bila aku melihat iklan di kaca TV, aku terasa alangkah indahnya dunia mereka. Tetapi terlalu berbeza dengan dunia sebenar. Namun, ini adalah satu pengalaman yang berharga buat aku, selain wang saku untuk perbelanjaan... he he he.

Tuesday, April 03, 2007

Baru?...

Telefon berdering. Jam sudah menunjukkan 12.15 tengahmalam. Waktu tidur aku.Disusuli pula dengan pesanan ringkas. Aku lihat. Jess dari Mugshot meminta aku menelefonnya kembali. Aku pun terus mendail nombornya. Ada tugasan untukku rupanya.

Siangnya aku sempat ke kelas intermediate/advance steps. Seperti biasa, aku masih lagi terkial-kial dengan setiap langkah aku walaupun kali ini bersendirian tanpa berkongsi papan dengan orang lain. Namun, aku tetap cuba sedaya upaya aku. Aku meninggalkan kelas lebih awal memandangkan Saiful sudah tiba di KL Sentral seawal jam 8 mlm. Selepas membersihkan diri aku terus menjemputnya.

Petang ini, aku ada sesi temuduga untuk kerja baru. Aku sedikit gementar kerana sudah lama aku tidak membuat kerj-kerja untuk project. Aku harap masih lagi ingat sedikit sebanyak perkara berkaitan tugasan-tugasan itu.

Apakah aku akan ke tempat baru selepas ini?...

Monday, April 02, 2007

Kemas...

Satu lagi hujung minggu berlalu. Tidak ada aktiviti yang aku rancang. Jess mengajak aku keluar menari tetapi aku sudah agak lama tidak keluar malam terasa malas pula. Aku habis masa lapang dengan berehat dan mengemas rumah yang sudah lama terbiar. Jess pula sempat memberitahu dia menghabiskan RM710 waktu jualan gudang Lo'real yang lepas. Walaupun aku sudah mendapatkan barangan yang dia mahu, keesokannya dia pergi sendiri dan menghabiskan wang sebanyak itu.

Sabtu aku ke gym seperti biasa kemudian Ariff mengajak untuk berurut. Aku mengikut saja. Selesai mengurut aku menemankannya untuk membeli hadiah harijadi untuk teman anaknya. Malam itu, aku tidur awal.

Ahad, Ariff datang mahu menonton Konsert AF5 di rumah aku. Aku menyediakan macaroni goreng sebagai hidangan makan tengahari.

Hari ini, Saiful akan tiba dari Bintulu. Dia akan menumpang rumah aku selama seminggu untuk bercuti. Aku juga terpaksa menemankan dia dan keluarganya ke majlis perkahwinan yang aku sendiri tidak tahu siapa pengantinnya.

Friday, March 30, 2007

Perubahan?...

Ketika melangkah masuk ke dalam dewan, aku lihat sudah ramai orang walaupun baru sejam dibuka. Aku pun dengan segera ke kaunter yang berdekatan tetapi terlalu ramai orang berkerumun. Seperti pasar keadaannya. Ada yang duduk di lantai, ada yang seperti tidak tahu apa yang mahu dibuat, ada yang tolak menolak. Aku jadi bingung sekejap. Tapi aku pun terus aje menyambar mana-mana yang aku sempat dan lihat. Tapi kali ini, tidak banyak minyak wangi yang dijual. Kebanyakkannya barangan penjagaan kulit saja.

Sebenarnya aku berada di jualan gudang oleh Lo'real Malaysia tapi satu produk Lo'real pun tak kelihatan. Yang ada cuma Biotherm, Lancome, Ralph Lauren, Giorgio Armani, Shu Eumura dan beberapa jenama lagi. Aku hanya membeli barangan pesanan Jess saja memandangkan produk yang aku mahu tidak ada. Ajeem yang datang bersama aku hanya menunggu di luar kerana orang ramai berasak-asak dan menolak-nolak.

Kemudian kami terus ke Isetan untuk membeli-belah. Ajeem akan berpindah ke tempat kerja baru. Berbanding dengan tempat lama, dia harus berpakaian lebih kemas. Selepas membeli beberapa helai kemeja, kami terus makan tengahari bersama Jess. Selesai makan tengahari, kami ke Low Yat kerana Ajeem juga mahu mendapatkan external hard drive di sana. Tak cukup lagi, kami ke Isetan semula untuk membeli-belah lagi. Bayangkan aku melakukan itu semua dalam waktu kerja... he he he.

Petangnya, aku menonton wayang bersama Jess di Berjaya Times Square. Sementara menunggu waktu, kami minum di Starbucks. Tiba-tiba aku teringin untuk melihat barangan perhiasan diri di salah satu gerai di situ. Jess juga selalu membeli barangan yang ada di situ. Kebetulan, juru jual itu kenal dengan Jess. Jess menyarankan aku membeli cincin dan gelang tangan serta subang. Perubahan?... Aku membeli sebentuk cincin dan gelang tangan. Subang?... aku belum bersedia ke arah itu. Jess mendapatkan sepasang subang atas saranan aku. Walaupun dia tidak bertindik, subang magnet yang dibeli (aku yang bayar sebenarnya) kelihatan menarik. Jess gembira dengan subang itu dan mungkin akan bertindik selepas ini.

Selesai menonton, kami terus ke warung makanan laut kegemaran kami. Mungkin disebabkan hujung bulan, ramai yang sudah mendapat gaji, kelihatan ramai orang melayu di situ. Mujur, kami mendapat tempat dan makanan tiba agak awal juga. Seperti biasa makanan memang sedap. Jess belanja. Baru dapat bonus katanya...

Wednesday, March 28, 2007

Lama Tak Jumpa...

Aku ke gym petang semalam untuk kelas intermediate steps. NA dan temannya, Sharon pun ada bersama. Bagi aku, kelas ini lebih mudah berbanding dengan kelas advance. Keseronokkan terasa apabila aku dapat melakukan setiap gerak langkah dengan tepat. NA kebingungan dari awal dan Sharon terus keluar dari studio di pertengahan kelas.

Niat aku untuk meneruskan senaman kardio terbantut apabila betis aku kekejangan. Aku terus hentikan latihan dan bersiap untuk pulang. Di bilik persalinan, aku bertemu dengan Kast yang mencari-cari loker yang kosong tetapi waktu itu memang penuh.

Aku bersiap dan berjanji untuk berjumpa dengan NA untuk menyampaikan suratnya. Selesai aku solat maghrib, panggilan aku ke NA sebanyak empat kali tidak berjawab. Aku memutuskan untuk menunggu sebentar dan duduk di foyer Suria. Tiba-tiba aku disapa oleh Zarina. Sudah agak lama aku tidak bertentang mata dengannya. Sejak dia berpisah dengan Yus, hampir dua tahun sudah berlalu walaupun kami masih berhubung melalui email. Dia masih seperti dulu cuma mungkin lebih berisi. Aku rasa kehidupannya bertambah baik berbanding dulu. Setelah berbual seketika, aku pun mengambil keputusan untuk pulang memandangkan NA masih tidak menjawab panggilan aku.

Tiba di rumah, aku mendapat panggilan dari NA mengatakan dia sudah pulang dan tidak dapat menjawab panggilan aku kerana telefonnya jatuh ke bawah tempat duduk dalam keretanya. Sekurang-kurangnya aku tahu dia berada dalam keadaan selamat.

Kebelakangan ini, memang tidak ada kerja langsung di pejabat. Aku mengambil kesempatan ini untuk membuat kerja-kerja kelab sukan. Segala lapuran mengenai aktiviti dibawah tanggungjawab aku sudah aku selesaikan termasuk segala perkara berkaitan dengan kewangan. Sekarang ini aku sedang merangka sesi pertandingan paintball dan juga berkhemah di Air Terjun Bekelah. Selain itu, kami juga akan mengadakan sekali lagi jamuan makan perpisahan MD yang bakal meninggalkan kami. Seperti biasa, tugas aku... hiburan... he he he

Tuesday, March 27, 2007

Badut Lagi...

Setelah seminggu aku berehat, semalam buat pertama kalinya aku ke gym semula. Aku cuba berlari dan mengayuh basikal. Alhamdulillah, aku terasa badan aku mampu untuk melakukannya. Namun, tujuan utama aku ada untuk kelas intermediate/advance steps. Kak Nor bertanyakan khabar aku dan kami pun duduk bercerita sedikit sebelum kelas bermula. Sempat juga Kak Nor mengusik aku tentang orang yang bertanya kenapa aku tidak hadir minggu lalu. Aku sudah tahu siapa gerangan orang itu...

Sebelum ke gym, aku menemankan Jess untuk minum petang di KLCC. Sebenarnya Jess mengajak aku untuk shopping tetapi aku ingin ke gym, jadi hanya sempat untuk minum dan berborak sahaja. Aku berjanji akan menonton wayang bersamanya Khamis ini dan terus makan malam di makanan laut kegemaran aku.

Kelas semalam ternyata membuatkan aku hilang punca dan kelihatan seperti badut tetap dalam kelas. Untuk lebih adil kepada peserta yang mahir, Kak Nor melakukan rutin yang agak rumit. Aku hanya mampu mengikuti separuh saja dan itu juga hanya sebelah sahaja. Apabila bertukar posisi, aku kehilangan segalanya... he he he. Masih banyak yang perlu aku belajar. Aku lebih banyak melihat dari tepi bagaimana mereka yang sudah mahir melakukannya. Kali ini, setiap dua orang akan berkongsi empat papan. Kalau tak kena gaya akan bertembung dengan rakan di hadapan dan juga tepi. Tapi rutin kali ini memang menarik tetapi terlalu pantas buat aku.

Perancangan Shi dan aku mungkin tidak dapat diteruskan memandangkan masih ada masalah dengan video yang telah kami ambil itu. Tapi di satu sudut lain, Shi sudah mendapatkan passport barunya. Mungkin di lain kali agaknya...

Monday, March 26, 2007

Shooting...

Aku berkaraoke semalam dengan Shi, Yus, Meng, Ila dan seorang teman Yus, G. Aku tiba paling awal dan kesempatan ini aku gunakan untuk 'memanaskan' suara. Sudah agak lama aku tidak dapat menyanyi kerana batuk teruk dan aku tidak pasti samada aku dapat menyanyikan nada tinggi seperti biasa. Namun, percubaan demi percubaan, aku dapat lakukannya.

Hari Sabtu, aku sepatutnya pergi ke dua sessi casting berlainan. Yang pertama, berjalan dengan lancar. Aku suka dengan cara pengarah itu mengarah. Dia mahukan aku relaks dan tenang. Dia mahukan aku berlakon seperti diriku sendiri dan bukan watak yang sepatutnya aku lakunkan. Cara pengarahannya membuatkan aku tenang tanpa rasa tertekan. Maklumlah, aku bukan pelakon... he he he

Sessi yang kedua di Jalan Ampang agak mengecewakan kerana aku pulang tanpa casting. Aku menunggu hampir sejam dan kelihatan orang yang datang lewat dari aku dipanggil masuk lebih awal dari aku. Aku terus tinggalkan tempat itu. Malamnya, aku hanya menonton konsert AF5 yang aku rasakan semakin hambar dan tiada seri langsung.

Hari ini sepatutnya ada sessi shooting aku bersama dengan Shi. Kami lakukan sedikit di BSC dan di rumah aku. Namun, setelah selesai shooting, rancangan mengalihkan dari mini DVD ke komputer menghadapi masalah. Shi akan cuba untuk menyelesaikan masalah itu sebelum kami teruskan projek ini.

Aku letih... tidur awal semalam. Kesihatan aku sudah bertambah baik. Malam ini aku akan ke SPK untuk kelas intermediate/advance.

Saturday, March 24, 2007

Casting lagi...

Semalam aku pulang awal ke rumah dan terus tidur. Tidak pernah aku berbuat begitu namun aku cuba untuk merehatkan diri agar aku kembali sihat seperti biasa. Aku begitu rindukan gym. Badanku masih terasa lemah-lemah. Sekitar jam 8 aku bangun dan membersihkan diri. Aku goreng ayam yang masih lebihan dari jamuan minggu lalu dan keropok yang sudah lama ada dirumah tapi masih belum tersentuh. Kemudian aku tidur awal.

Hari ini, aku perlu ke casting sekali lagi. Keputusan dari casting untuk watak doctor itu seperti yang aku duga, aku tidak berjaya. Untuk hari ini, aku perlu membawa watak seorang ayah dengan dua orang anak belasan tahun. Mungkin aku tidak cukup tua untuk watak ini, tapi tak salah mencuba.

Tekak aku kering, mulut aku masih belum boleh merasa seratus peratus. Antibiotik sudah aku habiskan satu pusingan. Mungkin aku perlu berjumpa dengan doktor sekali lagi. Mungkin boleh dapat MC lagi... he he he

Thursday, March 22, 2007

Chermin...

Cuba pandang ke dalam cermin dan lihat apa yang anda nampak?...Aku baru saja menonton filem 'Chermin'. Mengisahkan Nasrin, telah digunakan oleh roh moyangnya yang ingin membalas dendam terhadap suaminya yang berkahwin lain. Roh moyangnya hidup di dalam satu cermin antik yang dijumpai ibu Nasrin di dalam setor rumah mereka. Lalu, cermin itu digantikan dengan cermin bilik Nasrin yang sudah retak. Dari situlah segalanya bermula. Satu cerita seram yang simple dan tidak begitu mengerikan. Jalan ceritanya sudah boleh diagak. Mungkin aku perlu tonton 'Jangan Pandang Belakang' pula dibulan hadapan.

Selesai menonton, aku berjumpa dengan Shidi dan Arjit di MAC. Kebetulan hari ini pelancaran set rangkaian Barbie. Arjit seperti biasa mahukan sesuatu yang baru namun hampa kerana tidak satu pun rangkaian terbaru ini sesuai dengan kulitnya... he he he. Ning Baizura dan Yanie juga berada situ selain Syazliana. Aku terus pulang selepas itu kerana Ajeem ingin meminjam kamera untuk acara konvokesyennya nanti. Tiba-tiba kepala aku terasa pening sekarang ini...

Wednesday, March 21, 2007

Buka Minda...

Aku baru saja menyaksikan cerita 'Bridge to Teribithia' di KLCC tadi. Mengisahkan Jess dan Leslie dari latar belakang yang berlainan akhir menjadi kawan baik. Leslie banyak mengajar Jess untuk menjadi lebih terbuka dengan keadaan persekitarannya dan lebih berani menghadapi kehidupan. Bersama-sama, mereka seolah hidup dalam alam khayalan ciptaan sendiri. Begitulah mereka berdua setiap hari sehingga Leslie ditemui mati tatkala Jess keluar ke muzium bersama gurunya. Jess merasa sungguh sedih dan menyalahkan dirinya atas kematian Leslie. Namun pengajaran dari Leslie tidak pernah dilupakan. Buka minda dan impikan apa yang anda mahu.

Sebelum menonton, aku sempat bertemu dengan NA untuk menyampaikan CD Nidji. NA akan mendapat tiket percuma untuk showcase Nidji hujung minggu ini. Sementara itu, di pejabat tidak banyak yang berlaku. Kerja sekarang ini tidak banyak, masing-masing banyak duduk berehat.

Tuesday, March 20, 2007

Pitam?...

Aku terasa lemah seluruh badan, kakiku hampir tidak mampu lagi untuk berdiri. Aku keluar sebentar untuk mendapatkan seteguk air. Kembali semula, keadaan masih sama. Lalu aku terus tinggalkan kelas dengan memberitahu Kak Nor bahawa aku masih kurang sihat lagi. Aku terasa seperti mahu pitam.

Sebelum kelas bermula, sempat Kak Nor bertanyakan kenapa aku tidak hadir semalam. Ada juga orang lain yang bertanyakan kehilangan aku. Tapi Kak Nor masih berahsia. Sengaja tidak mahu memberitahu. Aku sangkakan aku sudah cukup kuat untuk mengikuti kelas hari ini. Ternyata aku tewas. Aku juga terasa lapar. Baru aku teringat kembali, aku cuma makan semangkuk bubur siang tadi. Mujur Jess menghantar sms mengajak aku makan malam. Terus saja aku ke Chilis.

Esok, Ulangtahun hari lahir Jess. Sebelum ke Chilis, aku singgah untuk membelikan hadiah buat Jess. Seperti biasa menu aku mesti yang sama. Selain Jess, Mei Li juga ada. Banyak topic yang menggelikan hati jadi perbualan kami. Dari soal agama sehinggalah ke masalah seksual. Selesai makan, aku pun pulang. Kepala terasa berat namun masih belum mahu tidur.

Esok... Esok aku terpaksa kerja... hu hu hu

Monday, March 19, 2007

Ganas...

Sungguh mengerikan. Ganas dan kejam... aku baru sahaja lepas menyaksikan cerita '300'. Mengisahkan Leonidas, Raja Sparta yang cuba melawan Xesxes, Raja Parsi yang berkuasa. Banyak adegan-adegan ganas dan kejam yang di paparkan. Selain sedikit unsur seksual. Namun, aku faham mengapa Leonidas tidak mahu tunduk kepada Xesxes walaupun dia di kenali sebagai raja kepada segala raja malah bertahap dewa?...Kerana Xesxes kelihatan seperti seorang 'drag queen'... he he he.

Aku sebenarnya mendapat cuti sakit untuk dua hari. Tetapi aku juga sudah ada temu janji pada pukul 11 pagi hari ini dengan Yus. Kali ini, Yus berpesan supaya jangan cukur misai dan janggut kerana produser mahu aku kelihatan lebih tua untuk watak sebagai doktor dalam iklan ini. Aku antara yang disenarai-pendekkan untuk iklan yang aku pergi casting minggu lalu. Produser mengatakan dia suka dengan lakunan aku kerana kelihatan bersahaja disamping kefasihan aku berbahasa mandarin berbanding calon lain. Namun, klien kurang pasti kerana aku kelihatan muda dan mereka mahukan seorang doktor yang lebih berusia. Aku dimekapkan oleh makeup artis untuk kelihatan tua siap dengan rambut dan misai beruban. Dengan keadaan kurang sihat, aku gagahi juga. Aku tidak pasti aku telah melakukan yang terbaik. Selesai casting, aku terus pulang dan ubat yang aku ambil menjadikan aku mengantuk dan terus tertidur. Bangun dari tidur, seluruh tubuhku dan cadar basa dengan peluh.

Aku terus bersiap untuk ke gym kerana aku mahu mengikut kelas intermediate/advance steps. Setibanya di KLCC, aku merasakan badan aku masih lemah dan belum sihat sepenuhnya aku pun terus membeli tiket untuk menyaksikan 300.

Sunday, March 18, 2007

Memang Demam...

Sah...Aku sudah bersin banyak kali sepanjang hari ini.Hingus meleleh. Batuk bertalu-talu. Aku benci. Aku tidak dapat bercakap, kerana setiap kali aku cuba bercakap, aku akan batuk. Aku risau. Aku ada tugasan penting hari Isnin yang perlu aku lakukan dan ini akan membukakan peluang baik untukku bagi tugasan-tugasan akan datang.

Tengahari tadi aku ke The Mall untuk membeli belah. Terlupa aku MATTA Fair sudah bermula. Parking di sana penuh. Aku kemudian terus ke SOGO mujur ada parking. Namun barangan yang aku mahu tidak terdapat di situ. Aku menaiki LRT untuk ke The Mall dan balik semula ke SOGO untuk mengambil keretaku. Selesai membeli belah, terus pulang ke rumah untuk masak. Aku sudah menjemput teman-teman berkhemah untuk makan malam di rumah. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar. Makanan juga cukup dan tidak berlebihan. Seronok juga sekali-kali berkumpul di rumah dengan mereka. Ternyata sudah lama mereka tidak menjejakkan kaki di rumahku kerana dek kesibukan aku dengan teman-teman lain.

Hari ini aku menyediakan Soto, Macaroni goreng, ayam goreng, pudding jagung dan kek cokelat. Hampir kesemua yang dijemput hadir kecuali Yusnor seorang. Gembira bila aku lihat makanan habis dan cuma tinggal sedikit lagi soto untuk aku nikmati esok hari... he he he...

Aku demam...uhuk! Uhuk! Uhuk!

Thursday, March 15, 2007

Demam?...

Hari ini, aku masuk kelas bodystep yang telah lama aku tinggalkan. Seronok juga bila dicampur adukkan dengan steps intermediate yang telah aku pelajari. Selesai kelas, aku teruskan dengan berlari dan mengayuh basikal tetapi hari ini terasa letih yang amat sangat. Aku terasa badan ku panas seperti hendak demam. Harap-harap esok aku sihat kerana aku ada casting yang perlu aku lalui esok. Minggu ini saja, aku sudah menjalani lima sessi casting namun satu pun belum lagi berhasil tetapi aku akan tetap berusaha.

Lusa, aku menjemput rakan-rakan berkhemah untuk makan malam di rumah ku. Sudah agak lama aku tinggalkan mereka kerana kesibukkan dengan teman-teman lain. Sekarang ini, aku punya waktu untuk diluangkan bersama mereka. Lagipun, tahun ini banyak aktiviti mendaki gunung yang akan aku sertai bersama mereka. Inilah masanya untuk membuat perbincangan dengan lebih lanjut disamping bertanya khabar sesama kami.

Wednesday, March 14, 2007

Haunted Spirit...

Aku baru saja lepas menonton 'Haunted Spirit' di KLCC tadi. Aku ditemani oleh Ajeem. Sememangnya aku suka dengan filem genre seram. Walaupun disarankan oleh Shi untuk menonton '300', namun aku tetap memilih 'Haunted Spirit'. Mungkin esok lusa aku akan cuba tonton '300'. Cerita kali ini sebenarnya memang menyeramkan tetapi jalan ceritanya agak kurang kemas. Permulaannya agak perlahan tetapi menjadi pantas di pertengahan cerita. Namun, yang paling menyakitkan hati adalah sekumpulan penonton yang kurang adap bila berada di dalam panggung. Sepanjang filem berlangsung, mereka bercakap sesama mereka dengan nada yang kuat.

Tengahari tadi aku keluar sebentar kerana aku dipanggil untuk casting iklan. Kebetulan kerja-kerja pejabat sudah aku bereskan dan boss pun tidak ada di pejabat, aku ambil kesempatan ini untuk ke Damansara Kim dan Pusat Bandar Damansara. Ada dua tempat aku perlu ujibakat. Aku cuma membuat apa yang termampu dan seterusnya menunggu panggilan dari mereka samada berjaya atau tidak.

Mukhsin...

Semalam, aku menonton Mukhsin bersama Ajeem selepas kelas intermediate steps. Seperti filem-filemnya Yasmin Ahmad yang lain, jalan ceritanya mudah tetapi menarik dan banyak realiti kehidupan yang dipaparkan secara halus. Berbanding Sepet, aku lebih menyukai Mukhsin. Selepas menonton Sepet, aku tidak teruja untuk menonton Gubra. Selesai menonton, kami makan malam di Nailis.

Dalam kelas Intermediate Steps, agak ramai juga muka baru yang hadir. NA kurang sihat dan tidak dapat ikut serta. Tiba-tiba aku terlihat kelibat CW yang masuk agak lewat. Samada aku tidak pernah menyedari kehadirannya di dalam kelas sebelum ini atau mungkin aku sememangnya tidak pernah ambil tahu. Pergerakan aku semakin baik dan beberapa langkah yang aku pelajari pada hari isnin dapat aku gunakan kali ini. Ternyata aku dapat melakukan sepenuhnya dari awal hingga selesai. Waktu berlalu begitu cepat tatkala aku sedang dalam keseronokan. Tak sabar untuk menunggu kelas minggu depan atau aku terus saja ke kelas Advance Jumaat ini.

Tuesday, March 13, 2007

Badut III...

Sekali lagi aku menjadi badut di dalam kelas Intermediate/Advance Steps semalam. Hanya aku seorang kerana yang lain mampu melakukannya dengan baik. Namun, rakan-rakan yang lain sering memberi perangsang dan ini menaikkan lagi semangat aku. Petang ini ada lagi Intermediate Steps, ini lebih mudah bagiku dan tak sabar rasanya untuk ke gym petang ini.

Tengahari semalam aku makan tengahari bersama Jess di Izzi Corner. Aku kebosanan di pejabat lalu mengajak Jess ke situ. Selesai makan terus ke Haagen Dazs untuk menikmati ais krim. Harap-harap tak bertambahlah berat badan aku.

Sunday, March 11, 2007

Impian Yang Nyata?...

Malam tadi memang gila. Aku tak pernah merasa begitu walaupun kadang-kadang perangai aku memang sukar diduga. Apatah lagi dikelilingi oleh teman-teman yang agak gila juga. Sam begitu gembira sekali menjadi penari latar kepada kami yang menyanyi. Aku, Sheera, Yus dan Meng terpaksa menyanyikan semua lagu yang dipilih oleh Sam dan teman wanita Meng memandangkan kedua-duanya tidak menyanyi.

Kami meraikan ulangtahun hari lahir Sam dengan mengadakan sessi karaoke bersama. Aku yang sudah batuk beberapa hari terpaksa menyanyikan lagu-lagu rock 80'an yang menjadi pilihan Sam (oopsss!!!). Walaupun bernada tinggi aku tetap cuba sedaya upaya untuk menyanyi. Mujur Yus ada untuk membantu. Memang diluar jangkaan. Yus tahu banyak lagu yang aku sendiri tidak. Malam ini juga aku melihat sisi Yus yang lebih ceria dan gila-gila. Selalunya dia kelihatan pendiam dan malu-malu. Sheera seperti biasa dengan vokal mantapnya memang membuat aku kadang-kadang mencemburui bakatnya. Meng?... Kami membiarkan dia menyanyikan lagu-lagu yang susah untuk dibawa kerana jika kami yang nyanyi, lagu itu tetap hancur... he he he.

Dan pagi ini...

Impian Jadi Kenyataan...

Saturday, March 10, 2007

Aku atau Dia?...

Aku baru saja mengambil tempat, tiba-tiba aku menjadi resah. Aku kah?... Tak pernah terjadi begini. Kemudian ia hilang dengan tiba-tiba seperti mana ia datang. Aku lega sebentar. Tiba-tiba ia datang lagi. Kali ini aku mencium ketiak ku. Tiada bau. Aku hairan dari mana datangnya bau itu. Lalu aku menjenguk ke kiri dan kanan, ternyata ada seorang berbangsa india sedang melakukan senaman tidak jauh dari aku. Aku cuba pastikan sekali lagi. Aku atau dia?...Ya, sah bau itu datang darinya. Aku tidak jadi untuk meneruskan senaman kerana bau itu amat meloyakan dan terus aku menuju ke ruang rehat. Terfikir sejenak, apakah mereka tidak dapat merasainya?...

Selesai gym, aku pulang setelah membeli sedikit keperluan dapur. Sememangnya aku tidak mempunyai apa-apa perancangan malam semalam kerana hari ini aku ada sedikit tugas perlu diselesaikan atas permintaan teman baik aku. Jadi aku perlukan rehat yang secukupnya.

Aku baru saja kembali dari tugasan tadi. Aku tidak mengharap cuma kadang-kala aku terasa puas bila dapat membantu teman-teman. Tunggu saja nanti keputusannya.

Thursday, March 08, 2007

Kalut...

Pengumuman rasmi telah dibuat petang semalam. Seluruh pejabat kecoh dengan berita ini. Walaupun sejak dari pagi lagi aku telah diberitahu oleh seseorang, aku hanya buat acuh tak acuh saja.

Agak memeranjat juga Pengarah Urusan syarikat tempat aku bekerja, meletakkan jawatan. Berbagai spekulasi timbul, berbagai teori diungkit.Namun, sudah sekian lama aku dengar mereka memang tidak pernah sebulu. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif sememangnya tidak berfikiran seiring. Masing-masing mahu menegakkan fahaman mereka juga keegoan menutup segala pintu perbincangan.

Ketua Pegawai Eksekutif yang berbangsa asing itu akan mengambil alih segala tugas Pengarah Urusan berkuat-kuasa serta merta. Aku sendiri kurang faham dengan hala tuju syarikat ini. Khabar angin terbaru bertiup kencang, projek terbaru kami akan ditarik balik. Samada ditarikbalik atau tidak, kedua-duanya akan memberikan implikasi yang buruk. Namun, jika ditarikbalik itu adalah lebih baik.

Aku juga mendapat khabar, menjelang tahun 2009 semua kakitangan akan dipindahkan ke Johor. Nampaknya aku akan meninggalkan juga kota ini dan membawa segala kenangan pahit manis bersama...

Wednesday, March 07, 2007

Suka! Suka! Suka!...

Ya! Aku berjaya. Kali ini aku dapat melakukan semuanya dengan baik. Bukan saja dengan baik malah aku dapat melakukannya mengikut peringkat lain. Aku melihat seseorang yang biasa mengikuti kelas bodystep, terkial-kial mengikut rentak. Timbul sedikit perasaan riak di hati. Namun aku sedar masih banyak lagi yang perlu aku pelajari.

Keseronokkan terasa apabila semua langkah-langkah dalam kelas step intermediate semalam dapat aku lakukan. NA tidak dapat hadir kerana ada perkara yang perlu diselesaikan. Semalam kelas agak penuh dan ditambah pula dengan sedikit renovasi yang dilakukan, studio terasa agak sempit. Ada beberapa orang yang baru pertama kali mengikuti kelas manakala yang lain muka-muka biasa. Aku pulang seusai kelas dan bertemu dengan Kast di ruang persalinan.

Aku membeli sedikit barang dapur sebelum terus pulang ke rumah. Pagi tadi aku menyediakan ayam goreng, macaroni goreng, puding jagung dan kek cokelat untuk dibawa ke pejabat. Sebetulnya, Isnin lepas kami mengadakan jamuan makan tapi disebabkan keletihan dari memanjat gunung hujung minggu lepas, aku langsung tidak membawa apa-apa juadah. Sebagai ganti, aku membawanya hari ini.

Tuesday, March 06, 2007

Badut II...

Aku cuba sedaya upaya, namun masih gagal. Ku lihat kiri dan kanan, semuanya sekata dan senada. Hanya aku yang masih terkial-kial. Aku seperti badut.

Semalam, buat kali keduanya aku mengikuti kelas intermediate/advance steps. Memandangkan Tahun Baru Cina sudah berlalu dengan penutupnya sabtu lepas, ramai yang hadir terutamanya orang-orang cina. Selain aku, Kak Nor dan seorang lagi, yang lain adalah cina. Tapi aku disangka cina juga oleh seseorang yang menegur aku minggu lalu. Dia menyarankan aku agar ke depan untuk memudahkan penglihatan dalam bahasa kantonis. Aku membalas dengan mengatakan aku malu dan tidak berganjak.

Seperti juga minggu lalu, aku masih lagi terkial-kial dengan beberapa langkah yang agak pantas. Namun, dengan perangsang dari beberapa ahli, aku yakin aku akan dapat melakukannya dalam beberapa bulan lagi.

Monday, March 05, 2007

Kata...

Aku menjadi gusar kerana mereka masih tidak turun untuk makan malam. Sebagai penyelaras, menjadi tanggungjawab aku memastikan setiap orang berada dalam keadaan baik dan selamat. Aku mengarahkan mizan untuk mengenjuk mereka sekali lagi. Namun hampa. Kak Ti menyusul kemudian, diikuti oleh Din. Namun tetap sama.

Makan malam diteruskan tanpa peserta-peserta wanita kerana peserta-peserta lelaki sudah lapar dan lama menunggu. Aku dengan berat hati meneruskan juga makan malam itu.

Sebenarnya, aku berada di puncak Gunung Datuk sabtu lepas. Ini merupakan salah satu aktiviti rekreasi kelab sukan syarikat tempat aku bekerja. Seramai 3 orang dari pejabat di HQ manakala 10 orang dari pejabat di Johor. Aku juga mengajak 3 lagi sahabat yang berpengalaman untuk membantu mengendalikan aktiviti ini. Aku tidak mampu melakukannya berseorangan.

Bertolak dari Kuala Lumpur dan Johor masing-masing, kami bertemu di Tol Plaza Pedas-Linggi. Berehat untuk makan tengahari sebentar sebelum bersiap sedia di kaki gunung. Tepat Jam 2.14 petang, kami mula mendaki. Cuaca agak mendung pada kali ini dan hujan sedikit selepas satu jam kami mendaki. Peserta paling awal berjaya sampai ke puncak selepas 2 jam 30 minit. Diikuti dengan yang terakhir sekitar 3 jam.

Namun, walaupun diberitahu renjer bahawa hari ini di puncak tidak ada yang berkhemah, kami dapati kawasan perkhemahan sudah penuh. Aku pun berbincang dengan mereka untuk menginjak sedikit supaya kami dapat berkhemah sama. Mujur mereka memahami dan memang sudah begitu lumrah bagi yang biasa berkhemah, sentiasa membantu sesama walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Kami juga berkenalan dengan Din dan Atoi yang kebetulan hanya mendaki berdua. Akhirnya, kami berkhemah bersama dengan mereka dan juga makan bersama.

Cuaca di puncak memang baik. Redup dan sejuk. Seperti yang diharapkan, hujan tidak turun sepanjang kami berkhemah di puncak. Waktu makan malam terjadi sedikit pertelingkahan di kalangan peserta wanita akibat dari kata-kata yang hanya sekadar gurauan. Itu menjadi punca mereka dimahu ikut makan malam. Aku terpaksa biarkan saja. Selesai makan, kami naik ke puncak batu untuk menikmati pemandangan waktu malam. Bulan mengambang namun udara sejuk tanpa angin bertiup. Setelah lebih kurang sejam di sana, angin mula bertiup dan terasa dingin yang amat sangat. Kami pun turun semula ke khemah dan tidur sekitar jam 3 pagi.

Keesokkannya, waktu menyediakan sarapan, kumpulan wanita dari Johor mahu pulang lebih awal. Aku membiarkan saja. Mungkin mereka perlu bergerak lebih awal kerana perjalanan ke Johor lebih lama lagi berbanding kami yang tinggal di KL. Kami yang tinggal, meneruskan sarapan pagi dan kemudian turun ke punca mata air untuk mandi manda. Agak jauh dan curam tapi menyeronokkan. Ini adalah kali pertama aku ke situ walaupun ini adalah kali ke-3 aku mendaki Gunung Datuk. Nyaman sungguh.

Lebih kurang jam 12.30 tengahari setelah berkemas, kami pun turun dan tiba di kaki gunung sejam kemudian. Setelah membersihkan diri, kami pun bertolak pulang dan singgah untuk makan di warung cendol terkenal di Rembau. Aku tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Aku keletihan yang amat sangat.

Saturday, March 03, 2007

Makan Malam...

Malam tadi, aku makan malam bersama Ezz, Sheera, Yus dan Ajeem. Kebetulan juga semalam adalah ulangtahun hari lahir Ajeem. Yang keberapa?... Biarlah rahsia. Aku membawa mereka ke warung makanan laut yang terletak di Bukit Bintang. Ketam masak daun kari, udang mentega, lala sup, koey teow goreng, nasi goreng, wantan goreng dan sotong kangkung menjadi menu kami. Walaupun agak banyak namun habis juga dimakan. Aku agak puas hati juga dengan hidangan kali ini. Aku pasti mereka semua juga. Manakan tidak, Ezz makan ketam sehingga penuh kedua dua belah tangannya.

Aku terpaksa pulang awal kerana ada temu janji untuk menguruskan aktiviti mendaki gunung hari ini. Ezz, Sheera dan Yus terus berlegar di Bukit Bintang tatkala aku dan Ajeem beransur pulang.

Friday, March 02, 2007

Gunung Datuk...

Esok, sekali lagi aku akan mendaki Gunung Datuk. Ini merupakan kali ketiga buat diriku. Sebenarnya ini ada salah satu tanggungjawab terhadap kelab sukan yang perlu aku galas. Walaupun terasa seperti malas, aku perlu jalankan juga tanggungjawab ini.

Sepanjang minggu ini aku agak sibuk dengan tugas di pejabat selain menguruskan aktiviti mendaki ini. Agak gementar juga kerana ini adalah pertama kali aku mengatur ekspidisi mendaki untuk teman-teman sepejabat. Risau dengan reaksi mereka. Aku berharap segalanya akan berjalan dengan lancar.

Thursday, March 01, 2007

Maaf...

Tak terlintas akan begini
Ku harap tenang namun kusut jua
Hati tak pernah membenci
Hanya tak mampu berdepan memandang
Kemesraan bersamanya
Cuba mengerti fahami
Indah yang sementara masih dihati

Tuesday, February 27, 2007

Badut...

Aku bagaikan badut semalam. Jika sebelum ini, ada badut-badut lain tapi kali ini aku bersendirian. Namun, aku takkan mengaku kalah. Aku pasti akan usaha dengan lebih gigih. Aku akan belajar dan berlatih dengan tekun lagi. Pasti...

Semalam, buat pertamakalinya aku mengikuti kelas Steps Intermediate/Advance. Aku sepatutnya masuk ke kelas ini 2 minggu lalu tetapi aku kurang yakin dengan kemampuan aku. Atas dorongan Kak Nor, aku cuba juga. Dan ternyata, aku kelihatan seperti badut. Banyak pergerakan yang aku gagal lakukan tapi Kak Nor tetap memberi perangsang. Aku akan cuba lagi minggu depan... aku tak akan menyerah. Ada kalanya, kita pasrah tapi ada kalanya kita harus gagahi juga. Aku yakin aku akan teruskan juga...

Selesai mandi, aku bertembung dengan salah seorang peserta kelas tadi yang agak mahir. Dia bertanyakan samada aku akan datang lagi minggu depan. Mungkin aku boleh belajar dari dia. Tak sabar aku menunggu minggu depan...

Monday, February 26, 2007

Kak Ti Belanja Makan...

Semalam aku dan NA berkaraoke seperti biasa. NA diminta oleh rakan sepejabatnya untuk menyanyi di majlis makan malam tahunannya hujung minggu ini. Namun dia masih tidak tahu lagu apa yang sesuai dengan nada suaranya. Fauzee tiba lebih 2 jam lewat. Aku rasakan vocal aku bertambah baik dengan latihan-latihan yang aku buat. Mungkin aku perlu belajar teknik-teknik menyanyi dengan baik dari Linda. Fauzee juga sudah boleh melakukan 'falsetto' dengan baik sekarang ini walaupun pada awal dulu, dia tidak mampu.

Rancangan untuk menonton wayang dengan Ajeem dibatalkan pada saat akhir, kerana tidak ada waktu yang sesuai. Aku terus ke gym dan bertemu Eddy di sana.

Selesai gym aku terus pulang dan bersiap untuk berjumpa dengan Nizam dan Kak Ti untuk mengambil barang-barang perkhemahan untuk aktiviti kelab sukan hujung minggu ini. Mujur tidak susah untuk mencari rumah Kak Ti. Aku dibawa ke restoran makanan siam (tak ingat namanya) di kawasan gombak. Makanannya biasa-biasa saja. Yang penting, untuk pertamakalinya, Kak Ti belanja kami makan...

Sunday, February 25, 2007

Cemas...

Aku membacanya beberapakali, aku cemas. Hatiku berdetak-detik kencang. Lalu aku membacanya sekali lagi. Benarkah apa yang aku baca, aku pasrah...

Ternyata betul. Aku membaca sekali lagi satu persatu dan aku periksa dengan teliti. Ya, memang betul. Dan aku sudah dapatkan semua bahan-bahannya awal siang tadi. Maklum la, ini kali pertama aku akan memasak daging kicap lada hitam. Dan tetamu jemputan pula dikenali sebagai pengkritik hebat juga... he he he

Malam tadi, aku dan Ajeem menjemput Shi, Yus, Eddy, Zam, dan Fadz untuk makan malam di rumahku. Idea ini timbul apabila Ajeem mengatakan ada seekor ikan siakap lebihan dari jamuan makan malam di rumahnya yang masih berada dalam peti sejuk. Dia mahu aku memasaknya, aku pun setuju dan mengajak Shi, Yus dan Eddy. Dari seekor ikan, melarat pula ke daging dan sayur. Dari tiga orang, melarat ke tujuh orang termasuk aku. Panggilan dari Zam tengahari tadi mengajak aku makan malam, tapi aku mengajaknya ke rumah bersama temannya, Fazd.

Sejujurnya, aku memang tidak pandai masak tetapi aku suka mencuba. Buat pertamakalinya, aku menyediakan daging masak kicap lada hitam. Aku meminta resipi dari ibuku. Kemudian, Ajeem membeli seekor lagi ikan siakap untuk distim. Kami juga menyediakan Pak Choy bersos tiram. Ikan siakap yang asal itu, aku goreng dan dibuat ikan masam manis. Ternyata percubaan aku menjadi. Ajeem menyediakan ikan stim dan hasilnya agak baik. Tetapi agak cemas juga kami dengan penerimaan tetamu. Alhamdulillah, lauk habis. Sebenarnya, nasi yang di masak tidak mencukupi... he he he.. sudahnya aku tidak menjamah pun. Tapi aku rasa seronok.

Tengahari sabtu, aku merancang berkaraoke dengan seorang teman tetapi sudah penuh. Aku teruskan dengan mengemas rumah. Selesai kerja-kerja itu, aku membuat kek cokelat yang telah aku beli bahan-bahannya dan juga jeli sebagai pencuci mulut untuk makan malam nanti.

Selesai makan, kami duduk menonton TV dan berborak. Zam yang pada mulanya berasa agak segan dengan teman-temanku, juga sudah berasa lebih selesa. Namun mereka harus pulang awal. Kami terus berborak sehingga lewat malam sambil menjamu dengan buah-buahan dan ais krim.

Friday, February 23, 2007

Hairan...

Semalam, seperti biasa aku ke gym setelah selesai kerja. Singgah sebentar untuk membeli baju tak berlengan di BUM, Klcc. Terus aku ke gym dan melakukan senaman biasa yang aku lakukan. Aku lebih banyak membuat senaman cardio berbanding weights memandangkan aku akan mendaki Gunung Datuk hujung minggu depan. NA juga ada di sana dan aku berjumpa dengannya setelah selesai kelas bodystepnya.

Selesai gym, kami makan di California Pizza Kitchen. Kami memesan pizza dan salad. Ternyata salad kali ini lebih menarik berbanding salad Chilies minggu lalu. NA mengajak aku menghadiri makan malam tahunan syarikat tempatnya berkerja. Tapi tarikhnya bertembung dengan aktiviti mendaki gunung aku minggu depan. Mujur teman lelakinya menawarkan diri untuk menemankannya... he he he. Aku hairan kenapa NA tidak mahu mengajak teman lelakinya bersama...

Wednesday, February 21, 2007

Krisis?...

Pagi semalam aku ke gym. Setelah 3 hari tidak bersenam, aku terasa seperti berat badan. Seawal jam 11 pagi aku sudah berada di sana. Tidak ramai yang datang mungkin kerana masih bercuti. Ketika aku masuk ke bilik persalinan, aku terjumpa Shihan dan berborak sebentar. Ada beberapa soalan yang diajukan pada aku. Dan aku menjawabnya sambil lewa. Katanya, 'apa-apa call Shihan, ok?'... he he he. Terimasih Shihan...

Aku lihat pada jadual kelas, ternyata ada bodystep petang ini dan aku seperti teringin untuk masuk tapi terasa berat hati. Aku pun batalkan niat itu dan terus ke bilik mandi setelah selesai dengan senaman aku. Dalam aku menuju ke situ, bertembung dengan Shihan sekali lagi. Dia memanggil aku kearahnya lalu bertanya 'ada krisis ke?'. Aku hanya tergelak dan terus berlalu...

Aku terus ke Jalan Masjid India untuk menggunting rambut. Selesai, aku pun pulang kerumah dan Ariff tiba tidak lama kemudian. Agak lama tak bersua dengan dia. Fauzee ajak untuk berkaraoke di Sogo. Aku pun setuju memandangkan sudah beberapa kali dia mengajak. Linda dan seorang temannya pun ada. Lewat malam, Ajeem datang untuk mengambil barangnya dan makan bersama-sama aku. Aku menggoreng kepak ayam saja. Kami makan sambil borak-borak kosong.

Bercuti di PD...

Aku terjaga dari tidurku kerana alat penggera dari sebuah kereta berbunyi diawal pagi. Lalu aku bangun dan terus ke pc untuk menulis.

Tahun baru cina baru saja masuk hari keempat. Aku tidak pulang ke kampung untuk meraikan bersama keluarga pada tahun ini. Aku tidak pasti kenapa hatiku berat untuk pulang. Lantas aku dan beberapa orang teman, membuat rancangan untuk berkhemah di PD. Pada asalnya hanya aku, Edi dan Ajeem saja yang akan ke sana tetapi Shi dan Yus juga tidak mempunyai rancangan, jadi aku ajak mereka sekali dan mereka setuju.

Edi dan Ajeem tidur di rumahku pada hari sabtu malam supaya mudah untuk bergerak awal. Pagi ahad itu, setelah bersiap, aku terus ke rumah Shi untuk mengambilnya dengan Yus sekali. Tiba di sana, kami dijamu dengan teh-o dan jemput-jemput pisang. Sedap tapi sikit aje, segan nak makan lebih-lebih... he he he. Sempat berbual dengan ibu Shi dan banyak cerita yang kami dengar darinya.

Perjalanan ke Port Dickson melalui lebuhraya agak sesak ketika melalui seremban dan juga jalan baru ke sana. Namun, kami tiba sekitar jam 1 tengahari dan terus mendaftar masuk. Khemah didirikan dan Shi terus memasak nasi untuk hidangan makan tengahari. Shi telah menyediakan lauk 'ayam bersos' dan sayur kacang buncis goreng dari rumah. Edi terus menggoreng telur. Makan tengahari agak ringkas tetapi mengenyangkan. Selesai makan, kami berehat dan tidur. Aku menyediakan minum petang dengan menu cucur udang. Petangnya, kami berjalan-jalan ke pantai dan melihat persekitaran resort tersebut. Teman-teman Shi dan Yus juga kebetulan berada di situ dan menyewa salah sebuah chalet di situ. Kami mengambil kesempatan untuk meninjau ke tempat mereka.

Waktu malam tiba, kami pun bersedia untuk BBQ. Jenuh juga untuk menghidupkan bara api namun akhirnya, berjaya juga. Hanya ayam dan daging kambing saja yang dipanggang. Walaupun ringkas tapi tetap mengenyangkan. Selepas mandi, kami dapat ada karaoke terbuka rupanya. Aku dan Shi yang 'kaki' karaoke ini memang tidak melepaskan peluang lansung. Banyak juga lagu yang kami nyanyikan secara solo dan duet. Bagus juga persembahan kami malam itu... he he he

Kami tidur sekitar jam 1 pagi. Masing-masing keletihan. Aku tidur satu khemah bersama dengan Ajeem, Yus dengan Shi manakala Edi bersendirian.

Esok pagi, hujan renyai sedikit. Mujur tidak lebat. Aku bangun dan menyiapkan sarapan. Seperti biasa, menu aku ialah sandwic tuna dan corned beef. Selesai sarapan, kami terus ke kolam renang dan berehat di dalam jacuzzi. Aku dan Edi sempat juga berenang di kolam utama. Kemudian kami menuju ke kawasan permainan dan mencuba Go-kart, Memanah dan Paintball Target Shoot. Masih teringat ketika di Genting tahun lalu, Shi tidak dapat mencuba Go-Kart kerana tidak menepati had ketinggian tetapi kali ini had di sini lebih rendah. Jadi kami berempat kecuali Ajeem, terus berlumba di litar itu. Memanah juga agak meletihkan terutama bahagian lengan tangan. Akhirnya, aku dan Shi mencuba target shooting dengan paintball kerana tidak cukup ahli untuk bermain 'perang'. Sekurang-kurangnya diperlukan 6 orang, kami cuma berlima. Mungkin dilain waktu...

Kami keluar dari Eagle's Ranch Resort sekitar jam 6 petang dan terus menuju Umbai untuk menikmati makanan laut di situ. Setelah beberapa kali tersesat jalan, akhirnya kami tiba sekitar jam 9 malam. Terlalu ramai orang di situ. Mujur kami mendapat tempat parking kereta dengan mudah. Juga mendapat tempat duduk tetapi mengambil masa yang agak lama untuk dibersihkan. Shi dan Yus memesan makanan. Udang, Ketam, Ikan dan kupang antara menu yang dipesan. Menyelerakan. Selesai makan, terus pulang ke KL. Aku mengantuk. Ajeem menggantikan aku untuk memandu sehingga kesemua teman-teman sudah dihantar ke rumah masing-masing.

Aku keletihan. Tiba di rumah lebih kurang jam 1 pagi, aku terus mandi dan tidur.

Friday, February 16, 2007

Tidak Sabar...

Esok akan bermulanya cuti panjang. Tak sabar rasanya hendak merehatkan diri. Perancangan sudah diatur, hanya tinggal untuk mendapatkan peralatan dan barangan perkhemahan saja. Oh! Ya, aku sudah mengaturkan untuk berkhemah di Port Dickson memandangkan Shi, Yus dan rakan-rakan bukan jenis lasak sangat, memadai di Eagle's Ranch Resort sajalah. Di sini terdapat berbagai kemudahan termasuk permainan, riadah dan pantai juga tidak jauh dari tempat kami berkhemah.

Kebelakangan ini aku semakin kemaruk untuk ke gym. Hanya dua yang aku suka lakukan ketika ini. Intermediate steps dan membina badan. Semalam aku ke gym seperti biasa dan beberapa teman mengajak untuk masuk kelas bodysteps namun aku menolak. NA pun sudah 'menempah' sebuah board untuk aku. Seperti biasa aku akan berlari sejauh lima kilometer sebelum aku melakukan latihan yang seterusnya. Tapi semalam aku mengayuh basikal selama dua puluh minit dan kakiku hampir kejang. Selesai gym aku, NA dan Shidee terus ke Chilies untuk makan malam. Masih ramai yang menunggu giliran seperti semalam. Hampir setengah jam menunggu, kami mendapat tempat. Cadangnya hendak makan yang ringan-ringan saja, sudahnya tak terhabis makanan yang dipesan.

Hari ini akan ada jamuan sempena tahun baru cina, hari asyura dan sambutan harilahir di pejabat. Aku menjadi penyelaras bagi pihak kelab sukan, walaupun aku bukan salah seorang ahli jawatankuasa, namun aku tetap menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Aku menyiap 'trifle' dan kek batek. Macam tak jadi aje.. he he he

Esok aku akan menemankan Ajeem untuk membeli pakaian untuk hari konvonya nanti. Selain itu aku perlu membeli barangan untuk berkhemah. Tak sabar rasanya untuk bersantai, bbq dan paling dinantikan hidangan yang bakal shi masak untuk kami nanti.

Thursday, February 15, 2007

Aku Bingung...

Aku kebingungan, terus membuatkan aku pening kepala sejenak. Tak pernah aku lakukan perkara yang sebegini. Namun aku perlu juga untuk menguasainya. Tekad aku sentiasa kuat. Jangan mudah putus asa...

He he he.. sebenarnya semalam aku ke gym untuk mengikuti kelas intermediate steps. Nic digantikan oleh Kak Nor dan semalam hanya ada tujuh orang saja termasuk aku dan NA. Seronok. Walaupun gerakan yang diajar Kak Nor itu banyak yang berpusing, aku masih mampu untuk mengikutinya. Kerana banyak berpusing, aku bingung dan pening sekejap. NA ternyata tidak dapat mengikuti langkah-langkah yang diajar kerana sememangnya dia sudah pening sebelum masuk ke kelas. Akhirnya dia bertambah pening, sehinggakan gerakan "around the world" yang disukainya juga terbabas.

Semalam ada yang mahu berkenalan dengan aku. Ternyata pintu hati aku sudah tertutup buat masa ini. Tunggulah tiga tahun lagi, itu pun kalau aku masih ada perasaan... Aku tak mahu permainkan perasaan orang dengan kata-kata cinta yang murahan tapi tidak bermakna...kosong.

Wednesday, February 14, 2007

Cinta...

Semalam aku ke gym lagi mengikuti kelas Intermediate Steps yang aku suka. Aku berjumpa Kak Nor sebelum itu, sangkanya aku akan mengikuti kelas di SPK pada hari Isnin tapi aku tidak kesana. Kali ini aku sudah mula biasa dengan gerak langkah yang diajar. Aku dapat ikut dari awal hingga akhir. Petang ini, Kak Nor akan mengambil kelas gantian dan aku diajaknya hadir sama.

Selesai kelas aku terus pulang kerana ada jamuan makan malam di rumah Ajeem. Amin meraikan teman-teman yang sudah lama tidak berjumpa kerana melanjut pelajaran di London sekaligus sebagai jamuan perpisahan kerana dia akan memulakan tugas di Dubai, Sabtu ini. Makanan yang dihidangkan ringkas tetapi menarik. Lebih kepada gaya fusion, tetamu dijamu dengan sup labu sebagai pembuka selera. Diikuti dengan ikan siakap stim bersos ala asam pedas berserta kerabu mangga dan nasi. Diakhiri dengan pencuci mulut, aiskrim perisa kopi. Ternyata suasana meriah dengan gelak ketawa dan kerenah tetamu.

Tahun baru cina akan menjelang tak lama lagi. Seringnya aku balik ke kampung untuk meraikan bersama keluarga tapi kali ini aku mengambil keputusan untuk berada di KL saja. Niat hendak ke Genting Highland aku batalkan apabila memikirkan situasi sesak di atas sana. Eddy mencadangkan picnic di Hutan Lipur Lentang, Karak. Aku pun setuju lalu mengajak Ajeem dan Shi. Ternyata mereka juga teruja. Terlintas pula untuk berkhemah semalam di sana dan aku ajukan cadangan ini pada mereka semua. Shi agak keberatan kerana terdapat berbagai cerita kurang enak di Hutan Melintang itu. Aku juga pernah mendengarnya. Lalu Yus mencadangkan untuk ke Sungai Gabai. Cadangan ini diterima ramai. Aku tidak sabar menantikan hari Ahad ini...

Hari ini, Hari Kasih Sayang... walaupun kadangkala aku kelihatan kaku, hati sekeras batu, aku tetap mempunyai perasaan. Perasaan kasih, sayang, cinta...Pada kalian yang mengenali diri ini, walaupun siapa pun kamu, walau jauh di mata, kamu semua tetap dekat di hati.
Aiman sayang semua.

Monday, February 12, 2007

Dah Tukar...

Baru saja balik dari Aussino, IKANO. Dapat dah sarung bantal yang tak disertakan dalam bungkusan yang aku beli semalam. Yeay... boleh tukar sarung tilam dan bantal baru malam ni.

Tadi aku kesana dengan Ajeem. Singgah sekejap di IKEA untuk membeli barangnya dan makan tengahari di Damansara Kim. Seronok boss tak de hari ni... he he he

Relaks...

Hari-hariku dipenuhi dengan beriadah di gym. Hari sabtu, aku ke gym dahulu sebelum berkaraoke dengan rakan-rakan sepejabat. Ramai yang datang hari itu. Mujur mereka datang lambat sedikit, puas aku menyanyi dahulu. Walaupun ramai tetap menyeronokkan. Terserlah bakat masing-masing. Aku dapat perhatikan mana diantara mereka yang benar-benar berbakat untuk diketengahkan waktu annual dinner nanti. Aku pulang ke rumah setelah selesai berkaraoke. Tidak ada yang aku buat kecuali mengemas rumah yang dah lama terbiar... he he he...

Hari ahad, aku berkaraoke lagi, kali ini dengan NA. Memandangkan hanya kami berdua, aku mengajak Amir untuk turut serta. Mujur Amir lapang pada waktu itu dan kebetulan sudah agak lama aku tidak berkaraoke dengannya. Hari ini, memang puas menyanyi. Walaupun NA yang beria mahu berlatih untuk persembahan annual dinnernya nanti, tetapi dia tak banyak menyanyi. Akhirnya aku dan Amir yang menyanyi hingga hampir hilang suara. Banyak lagu-lagu bernada tinggi dan rock kapak yang popular sekitar tahun 80'an kami nyanyikan... he he he...

Aku ke Ikea selepas karaoke dan NA juga turut serta. Aku ingin membeli cadar baru namun NA menyarankan aku membelinya di Aussino. Kami terus ke sana dan aku mendapat apa yang aku mahukan. Niat untuk minum di Uncle Lim bertukar dengan makan malam di Sakae Sushi. Selesai makan malam aku pun pulang, dengan rasa tak sabarnya ingin menukar cadar baru tetapi kecewa kerana set yang aku beli itu tidak disertakan sarung bantal walaupun sudah tertera di luar bungkusan itu. Aku harus menukarnya hari ni...

Ternyata hujung minggu ini agak relaks bagi ku kerana semua kerja rumah sudah siap termasuk menggosok baju kerja. Aku tidak terkejar-kejar... relaks saja...

Sementara itu, aku telah meng'upload'kan satu list lagu yang bermakna buat aku masa ini...dengarkanlah...

Thursday, February 08, 2007

GamarJobat...

Pelawaan seorang rakan sekerja untuk menyaksikan 'Gamarjobat' beraksi di Actor Studio pada mulanya ku tolak. Aku sudah membuat temujanji untuk malam bersama Jess. Namun, pada saat akhir aku mengajak Jess untuk menonton bersama kerana ada dua lagi tiket percuma sebenarnya. Ternyata itu langkah yang paling bijak aku buat... ha ha ha...

Tak dapat aku gambarkan persembahan yang diberikan oleh duo Gamarjobat ini. Memang menghiburkan, menggelikan hati, menakjubkan. Bukan itu saja, ia juga satu persembahan yang interaktif. Penonton di baris hadapan harus bersedia kerana bila-bila saja mungkin diajak naik ke pentas.

Malam ini, penonton terdiri dari pelanggan corporate HSBC yang dijemput khas dan ternyata kalangan penonton agak 'sporting' apabila diajak naik ke pentas. Tak kering gusi dari awal sehingga akhir persembahan. Pada sesiapa yang berkemampuan, aku galakan untuk tonton persembahan ini. Tak merugikan... apalagi bila ianya percuma untuk aku...

Tiba di BSC, aku dan Jess ke Chilis untuk makan malam dahulu. Pada mulanya, kami rancang untuk makan di Chilis KLCC tetapi menukar plan apabila aku mendapat jemputan ke Actor Studio itu.

Pandangan Kosong?...

Semalam aku menonton wayang sekali lagi. Kali ini genre yang aku suka. Cerita hantu dari Thailand berjudul "Unseeable". Ternyata jalan ceritanya lain dari yang pernah aku lihat sebelum ini. Menariknya tentang filem ini, semua watak dalam cerita ini adalah hantu. Cuma mereka tidak sedar mereka sudah mati kerana mereka masih lagi mengharapkan keadaan akan kembali kepada asal. Nual masih mengharapkan suaminya akan kembali kepadanya. Suaminya, Chob juga mengharapkan dapat bertemu Nual dan berusaha untuk memberitahu Nual bahawa dia mati dibunuh. Chob sebenarnya dibunuh oleh isteri pertamanya tatkala dia meminta untuk bercerai dan mahu tinggal bersama Nual. Tidak ada sesiapa yang mengetahui tentang kematian Chob kecuali ketua pembantu rumah. Namun, dia juga mati ketika terjatuh dari tangga selepas menyaksikan Chob dibunuh oleh isteri pertamanya. Mayatnya disimpan di stor. Eh! Panjang pulak cerita... Namun, Nual yang gagal mencari suaminya telah membunuh diri dengan menggantung dirinya. Mmm... lebih menarik kalau tonton wayangnya dari mendengar cerita aku.

Seperti biasa sebelum itu aku ke gym. Melakukan senaman lazim yang aku lakukan. Setelah itu aku ke foodcourt untuk makan malam dan terserempak dengan NA bersama buah hatinya, mungkin...he he he.

Di pejabat, tidak banyak yang aku lakukan kerana sekarang ini memang kurang kerja. Masa aku dihabiskan dengan membuat kertas kerja untuk aktiviti kelab sukan yang akan datang. Buat masa ini, aku merancang untuk mendaki gunung datuk di rembau, negeri sembilan awal bulan mac. Kemudian diikuti dengan mendaki gunung ledang di bulan april. Aku bukannya ahli jawatankuasa kelab sukan yang dipilih namun aku berasa selesa untuk membuat kerja-kerja yang sudah biasa aku lakukan. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi memikirkan masalah yang remeh temeh. Aku tidak lagi menoleh ke belakang dengan kesedihan, hanya pandangan kosong...

Wednesday, February 07, 2007

Kenapa?...

Jam 4 pagi, aku terjaga dari tidur. Terasa panas badan dan tidak dapat tidur dengan lena walaupun penghawa dingin sudah terpasang sejak awal lagi. Teringat malam tadi aku makan kebab campur. Ada daging kambing. Mungkin itu punca aku terasa panas badan. Kebiasaanya yang berlaku apabila aku makan daging kambing. Terasa rahang aku membengkak dan sukar untuk membuka mulut. Lalu aku bangun dan menulis di sini sambil menahan kesakitan. Ada juga perkara yang membuatku tidak lelap sejak malam tadi. Biarlah ...

Petang semalam aku ke gym mengikuti kelas intermediate steps. Terasa seronok sangat. Kali ini setiap orang akan berpusing sekitar 3 board yang di kongsi dengan orang lain. Aku tiba sejurus sebelum kelas bermula. Sebenarnya aku tertinggal beg gym yang sudah aku sediakan awal namun waktu aku ke pejabat, aku terlupa mengambilnya dan aku terpaksa pulang ke rumah dahulu sebelum ke gym. Sewaktu hampir tiba di gym, jalan sesak. Mujur aku tiba tepat pada waktunya. NA pun tiba pada waktu yang sama. Aku mengambil tempat di baris belakang, tapi Kak Nor mendesak aku ke baris hadapan. Akhirnya aku setuju untuk berada di baris kedua. Ternyata kelas kali ini lebih menarik dan berada di kedudukan hadapan sebenarnya lebih mudah untuk megikuti setiap langkah. Selesai kelas, aku duduk berborak dengan NA dan Kak Nor. Tak jemu-jemu dia memberi perangsang kepada kami. Mungkin aku akan ke Wisma SPK untuk kelas Intermediate/Advance Steps setiap Isnin.

Selesai gym, aku terus ke surau dan kemudian makan di foodcourt. Di sinilah aku memesan kebab yang bercampur daging kambing itu. Sedang aku makan, terdetik dalam hati untuk menonton wayang. Aku terus membeli tiket dan menonton cerita 'Blood and Chocolate'. Filem mengisahkan percintaan serigala jadian dengan manusia. Agak lembab diawal cerita tetapi semakin rancak menuju penghujungnya.

Sudah hampir jam 5 pagi, aku masih tidak dapat melelapkan mata. Ternyata ada sesuatu yang menghambat fikiranku sejak aku pulang dari menonton filem. Persoalan demi persoalan timbul dan aku cuba untuk tidak mengendahkannya. Tapi aku tak berdaya ... aku sememangnya sensitif. Sensitif dengan persekitaran, sensitif terhadap perasaan aku, sensitif terhadap perasaan orang lain. Dan jalan terbaik adalah berdiam diri ... Aku tidak pasti apa niatnya dan aku bingung memikirkan ... Kenapa? ...

Sunday, February 04, 2007

Tapi.. di mana ya...

Semalam aku ke gym awal pagi. Seperti selalunya, aku melakukan senaman cardio dan weights sedikit. Waktu aku bersiap untuk pulang, aku terlihat seseorang yang pernah berkerja dengan aku, mungkin lebih lima atau enam tahun lalu. Aku lupa namanya dan aku hanya mendiamkan diri. Dia sedang berbual dengan anaknya. Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil. Rupanya dia masih ingat padaku. Setelah berbual sejenak, aku minta diri untuk pulang.

Keluar dari gym aku terus ke KLCC, untuk membeli belah. Sekali lagi, aku terserempak dengan seorang mat salleh yang pernah bekerja sama dengan ku 3 tahun lepas. Itu pun kebetulan dia memandang ke belakang dan terlihat aku, dan aku pun terlihat dia. Dia seolah-olah cuba mengingati di mana pernah berjumpa dengan aku. Lalu aku pun menyebut nama syarikat yang kami pernah bekerja. Dan tiba-tiba dia ingatannya kembali pada waktu kami bekerja di pantai timur dulu.

Dari situ aku terus ke BSC kerana ada janji temu dengan Shi untuk berkaraoke. Shi datang sejam lewat disebabkan kesesakan lalu lintas. Puas aku menyanyi sendirian sementara menunggu Shi tiba. Yus pun tiba lewat. Tapi aku berpuas hati dengan persembahan kali ini... he he.. Manakan tidak?... Shi memilih beberapa lagu duet yang tak pernah aku nyanyikan.

Lewat petang, kami menonton filem 'Holiday' bersama Is. Lama tak bertemu dengan Is. Ternyata Is kelihatan kurus sekarang ini. Cerita 'holiday' ni memang kelakar. Selesai menonton, kami pulang mungkin kerana masing-masing masih berdiet. Semuanya tak mahu makan... he he he...

Tengahari tadi aku ke gym lagi. Aku membuat senaman yang lazim aku buat. Sempat berbual dengan Vivian. Selesai gym aku ke klcc. Niat hati nak shopping tapi tak sempat pun. Aku keletihan. Terus aku pulang. Hari ini aku memakai baju baru dan seluar dalam baru. Hari ini feng shui baik,kata jess. Aku ikutkan saja...

Saturday, February 03, 2007

Aku Bukan Patung...

Aku bukan umpama patung yang tiada perasaan. Aku juga bukan pelakon, sepertinya hati ini tidak terkesan. Aku hanya insan biasa yang tidak upaya menahan...

Ku tak upaya...

kiranya kau tahu
apa yang tersimpan di hati
hanya tuhan yang mengerti
betapaku kecewa

air mata ini adalah luahan duka
tidak pernah kau mengesatnya
sekalipun tangisan darah

aku tak upaya, ku tak berupaya
meraih cintamu
biarpun kuserah segalanya

aku tak upaya, ku tak berupaya
biar apapun yang kan terjadi
menantimu... selamanya...

aku tak upaya, ku tak berupaya
hanya tuhan saja yang menduga
aku redha... tak berdaya...

Friday, February 02, 2007

2 hb Februari...

Aku baru saja pulang dari gym. Hari ini seperti biasa aku melakukan senaman cardio dan sedikit weights training. Tiba-tiba aku teringat hari ini 2 hb Februari...

Selesai gym, aku terus ke Isetan untuk membeli sehelai dua t-shirts. Jess mengingatkan aku untuk membeli baju baru kerana ada feng shui yang perlu diikuti... he he. Aku bukan percaya sangat tapi ada alasan untuk membeli baju baru...Tapi aku ternampak beberapa helai baju kerja seeds yang belum aku miliki... he he he... esok la. Aku pun terlupa bawa kad ahli.

Sekarang aku cuma duduk merehatkan diri sambil mendengar lagu kegemaran ku sekarang ini 'Ku tak upaya' nyanyian Karen. Musykil juga aku dengan penyanyi yang tak dikenali ini. Suaranya boleh tahan dan aku rasa mampu menggugat penyanyi yang sedia ada sekarang.

Wednesday, January 31, 2007

Selesai...

Akhirnya, selesai juga kursus yang aku ikuti selama tiga hari ini. Tiada yang dapat aku katakan, hanyalah 'letih'. Aku sememangnya kepenatan dan mengharapkan esok aku dapat berehat secukupnya. Kebetulan esok cuti hari wilayah, aku harap dapat berehat dan tenangkan fikiran sepanjang hari.

Kursus yang aku ikuti tadi aku rasakan tidak memberi manfaat yang banyak kerana sememangnya aku sudah berada ditahap itu. Aku mahu tahap yang lebih tinggi namun aku teruskan juga dan menganggap ia sebagai satu ulang kaji.

Dari segi lain, banyak yang telah berlaku sepanjang minggu ini. Ada yang manis, ada yang pahit, baik buruk... semuanya aku terima. Temuduga yang aku pergi, aku berjaya namun ganjarannya tidak memadai dan aku terpaksa menolak. Insya'allah, masih ada peluang lain yang lebih baik untukku.

Kursus...

Pulang saja dari Melaka, aku perlu menghadiri kursus kerjaya selama 3 hari bertempat di Grand Seasons Avenue. Tak jauh dari rumahku. Hari pertama agak membosan dengan kehadiran orang-orang yang tidak pernah mengikuti atau menggunakan perisian komputer ini sedangkan ini adalah kursus advance. Pensyarah terpaksa membuat sedikit ulangkaji atau pengenalan kepada mereka. Dari 10 peserta, ternyata hanya 6 orang yang muncul dan seorang lagi menghilangkan diri setelah selesai sesi pagi.

Hari kedua dengan hanya 5 orang, kursus berjalan dengan lebih lancar walaupun salah seorang peserta wanita memang tidak tahu menahu langsung malah tidak pernah mendengar jenama perisian komputer yang digunakan. Tapi kami saling bantu membantu. Ternyata peserta yang lain datang dari latar belakang yang agak sama kecuali aku dari minyak dan gas.

Dari pengamatan aku, kursus ini mudah bagiku sebab aku sudah menggunakan segala fungsi yang ada dalam perisian ini. Aku menjangkakan kursus ini akan diajar dengan perisian yang terbaru. Namun begitu, sijil yang akan aku terima mengiktiraf kebolehan aku secara rasmi.

Hari ini adalah hari terakhir. Aku berharap kursus akan bertambah seronok dan tidak mengantuk seperti semalam.

Isnin dan semalam aku sempat ke gym. Aku melakukan senaman kardio dan weights seperti biasa. Namun semalam, aku mengikuti kelas intermediate steps. Sudah lama aku tinggalkan kelas steps atau bodysteps. Ternyata menyeronokkan walaupun terkial-kial dengan beberapa langkah yang baru. Namun dengan sokong dari Kak Nor, aku harap akan dapat melakukan dengan lebih baik lagi untuk kelas yang akan datang.

Aku tidak sabar menantikan hari Khamis ini memandangkan hari cuti umum bagi KL. Aku terlalu letih dan aku hanya mahu rehat. Mungkin aku akan berkaraoke bersama teman-teman khamis ini dan juga sabtu bersama shi. Sudah agak lama tidak bertemu dengan shi. Kain sarinya masih lagi bersamaku.

Monday, January 29, 2007

A Famosa Resort...

Belum sempat aku berehat secukupnya sejak pulang dari Mumbai, aku terpaksa pergi ke A Famosa Resort, Melaka untuk sessi teambuilding ahli jawatankuasa kelab sukan jumaat lalu. Aku sebenarnya tidak terpilih sebagai ahli jawatankuasa kelab sukan tetapi entah macamana ditarik untuk ikut serta.

Selama tiga hari di sana, aku keletihan yang amat sangat. Bukan sekadar aktiviti riadah malah sessi brainstorming juga diadakan. Namun, aku cuba sedaya upaya untuk menyertai setiap aktiviti dan aku dapat rasakan aku bukan saja sekadar turut serta saja, malah memberikan idea-idea yang bernas. Aku harap dapat kekal sikap positif ini untuk selamanya.

Aku merasa paling seronok dalam sessi brainstorming untuk mencari visi dan misi kelab sukan. Ahli-ahli dibahagikan kepada empat kumpulan dan masing-masing perlu memberikan visi dan misi masing-masing. Ahli kumpulan aku 'The Great Thinker' terdiri dari mai, nor, adi dan aku sendiri. Adi banyak membantu dalam mengetengahkan idea-idea.

Selain itu, acara mini explorace juga mengamatkan. Diadakan di Water Park, kami tak melepaskan peluang mencuba semua permainan air yang ada sebelum kami pulang bersiap
untuk makan malam di Umbai. Makanan laut hidangan malam ini. Aku kenyang...

Rancangan seterusnya pada asalnya adalah bersiar-siar di Bandar Hilir, Melaka tapi ramai yang sudah mengantuk dan keletihan. Ahli-ahli yang masih segar teruskan perjalan ke situ, manakala aku dan beberapa orang lain teman terus pulang ke bungalow dan tidur.

Esok paginya, akibat keletihan, sessi senamantua dibatalkan. Selesai sarapan, sessi brainstorming dijalankan sekali lagi. Kali ini untuk menyenarai aktiviti bagi tahun 2007 hingga akhir 2008.

Kami bertolak pulang sekitar jam 3 petang selepas selesai makan tengahari. Aku tiba di rumah jam 4 petang. Aku teramat letih dan terus terlelap sekejap.

Satu peristiwa yang tidak mungkin aku lupakan semasa di sana adalah semasa aku dan fauzi mandi di kolam renang. Setelah kami terjun dan berenang beberapa ketika, fauzi dengan tidak semena-mena membuka penutup perangkap sampah kolam renang itu dan terdapat seekor tikus mati di dalamnya. Terus kami berhenti berenang. Namun, apabila teman-teman yang lain mahu berenang pula, kami terus memberi galakan. Selesai mereka berenang, kami pun tunjukkan apa yang kami jumpa sebelum itu... ha ha ...

Aku perlu menghadiri kursus selama 3 hari selepas ini. Mujur hanya di KL. Aku letih...

Wednesday, January 24, 2007

Pulang...

Aku selamat tiba di KLIA pagi tadi jam 6.30 pagi. Selesai menunggu bagasi, sekitar jam 7 aku terus menaiki ERL ke KL Sentral dan adikku sudah menunggu. Tiba di rumah jam 8 pagi aku terus bersiap untuk ke pejabat setelah dimaklumkan oleh setiausaha boss untuk datang kerja juga pada hari ini.

Aku cuba untuk menulis dari Mumbai sebelum aku pulang tapi ada masalah sedikit untuk membuka blogspot dari situ. Hari Isnin dan Selasa masa kami habis dengan bermesyuarat. Cuma diwaktu malam, Shariff mengajak lagi aku untuk ke pub menyaksikan band yang beraksi di situ. Hotel Orchid tempat tinggal kami ternyata menghidangkan makanan yang tidak halal namun kami terpaksa juga makan makanan vegetarian yang dihidangkan.

Semalam kami checkout waktu pagi setelah selesai sarapan dan terus ke mesyuarat. Selesai sekitar jam 4 ptg, kami meminta driver untuk menghantar kami ke shopping complex tapi ternyata tidak ada shopping complex yang besar seperti di Malaysia ini. Namun, aku berhabis juga duit dengan membeli loket berlian untuk ibu ku dan subang intan untuk adikku. Aku sendiri tidak membeli apa-apa untuk diriku.

Keluar dari shopping complex itu, aku dan shariff berjalan-jalan di sekitar kawasan itu dan ternyata kawasan itu memang terdapat ramai orang islam. Kami sempat menjamah nasi beriayani di sebuah restoran yang terkemuka di situ. Sebelum itu kami terjumpa kedai menjual sari yang murah-murah. Aku sempat membeli sepasang masing-masing untuk Shi dan Is. Aku harap mereka suka dengan hadiah ini.

Sepatutnya, aku dijadualkan ke Gunung Ledang mengikuti aktiviti team building bersama ahli-ahli kelab sukan syarikat. Namun, perancangan itu ditunda dan kami akan berehat di A Famosa, Melaka. Aku keletihan sebenarnya tapi aku terpaksa juga hadirkan diri untuk aktiviti ini.

Baru sebentar tadi, aku mendapat panggilan untuk temuduga. Aku berdoa semoga berjaya dan Insya'allah kerjaya aku akan lebih teratur dengan pendapatan yang agak baik dari sekarang.

Sunday, January 21, 2007

Balik...

Aku menulis dari bilik Hotel Orchid, Mumbai. Aku bosan. Aku nak balik...

Penerbangan ke Mumbai semalam begitu lancar dan tiba tepat pada waktunya. Entah kenapa aku seperti berat hati untuk datang ke sini. Selain Ariff dan Ajeem, tiada orang yang menghantar sms selamat jalan kepada aku. Sedih terasa. Sepanjang pernerbangan, aku menangis beberapa kali. Harap-harap penumpang di sebelah aku tidak perasan aku mengesat airmataku.

Pagi tadi, aku dengan shariff menyewa teksi berjalan-jalan sekitar Mumbai. Tak banyak yang dapat di lihat, jadi kami terus ke Gateway of India. Di sini memang terdapat banyak barangan yang boleh dibeli sebab murah harganya. Aku membeli souvenir untuk teman-teman dan sudah menghabiskan hampir RM200 saja di sini. Shariff sempat membeli kain sari dan jaket kulit serta teropong yang sudah lama di idam-idamkan. Kami menggunakan perkhidmatan kereta sewa setengah hari saja memandangkan masing-masing sudah letih dan pemandu kereta seolah-olah tidak mahu membawa kami ke tempat-tempat shopping yang murah kerana mereka tidak mendapat komisen dari situ.

Sekarang ini aku sedang duduk berehat sambil menulis. Tidak sabar rasanya aku hendak pulang...

Friday, January 19, 2007

Cuba...

Persiapan aku ke Mumbai sudah hampir selesai semuanya. Kalau tidak ada aral, hari ini akan dapat visa dari kedutaan tetapi kerja aku masih lagi tidak siap. Hati aku seolah-olah memberontak. Aku sendiri tidak tahu kenapa.

Semalam, aku telah mencuba beriadah di gym lain. Aku menuju ke Wisma SPK yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Pertama kali ke situ terasa segan juga namun ketibaan aku disambut dengan satu suara yang agak familiar... "terbalik, terbalik, belah sana..." Bila aku toleh ke belakang, rupa-rupanya suara Kak Ros yang dulunya bertugas di gym Maxis. Terasa sedikit lega kerana ada yang kenal akan diriku.

Lalu Kak Ros menunjukkan tempat bersalin pakaian dan kebetulan waktu itu akan ada kelas BodyStep, aku pun ikut serta. Ternyata memang tidak ramai orang di situ. Aku suka dengan suasana yang tidak sesak. Selesai kelas, aku melakukan cardio exercise selain membuat weights.

Selesai di gym aku mahu ke equatorial hotel untuk solat maghrib tetapi hujan lebat. Mujur di Wisma SPK juga ada surau cuma memerlukan kebenaran guard untuk memberi laluan. Aku mulanya tinggalkan keretaku di KLCC kerana sangka aku, parking di Wisma SPK mahal. Setelah aku selidik, ternyata caj parking amat murah sekali. RM1.60 sekali masuk selepas jam 5.30 petang. Hmmm... selamat tinggal menara maxis...

Aku berasa kurang sihat beberapa hari ini. Demam agaknya. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana setiap kali waktu tidur, hidungku berair dan tersumbat. Ini menyukarkan pernafasan aku dan tidur aku terganggu. Aku sudah mulai batuk dan tekakku terasa perit. Aku harap kesihatan aku tidak terjejas teruk semasa di Mumbai nanti.

Thursday, January 18, 2007

Sinar...

Tak dapat dinafikan sehingga hari ini aku masih mengharapkan satu keajaiban akan terjadi. Namun semalam telah menyedarkan aku bahawa aku perlu menerima hakikat. Dan hari ini, aku mesti bangkit dengan sinar yang baru. Lupakan yang lalu kerana yang lalu sudah tidak bermakna dan tidak akan kembali lagi.

Aku sempat ber'chatting' dengan seorang kenalan yang sudah agak lama tidak bertanya khabar. Namun, bukan diri aku yang ditanya khabarnya tetapi orang lain. Dia lebih mengetahui tentang orang itu dari diriku sendiri tetapi masih lagi mahu bertanya pada aku. Terdetik dalam hati kenapa perlu begitu?... Segala yang diketahuinya telah membuatkan aku pasti, tidak ada jalan berpatah balik. Aku terus tersedar. Dari kesedaran itu, aku telah melakukan sesuatu buat pertama kali. Sesuatu yang aku kira agak gila namun aku tak akan menyesal.

Aku akan terus pandang ke depan.

Wednesday, January 17, 2007

Malas...

Pasti! Ternyata yang aku mahu elakkan hampir pasti terjadi. Aku diarahkan ke Mumbai sekali lagi untuk perbincangan dengan sebuah syarikat di sana. Seorang rakan setugas akan bersama aku kali. Aku begitu teruja untuk ke Anugerah Juara Lagu ke-21 di Bukit Jalil Ahad ini tetapi ternyata hampa kerana penerbangan ke Mumbai pada malam harinya. Namun, itu tugas yang seharusnya aku lakukan. Yang pasti, perjalanan kali ini tiada lagi membeli-belah untuk teman yang aku sayang walaupun sudah diperuntukkan sehari untuk kami bercuti di sana. Sebenarnya aku malas untuk ke Mumbai lagi...

Semalam, seseorang menegur aku di lobby bangunan pejabat. Nama aku dipanggil. Aku tergamam sekejap. Aku cuba amati dan cuba ingat kembali siapa dia tetapi ternyata aku tak berdaya. Lalu aku bertanya 'errr... saya kenal awak?'. Dia mengenalkan dirinya 'VASU'. Hah! VASU?... iya.. ingatan aku kembali semula. Dia teman dari sekolah rendah hinggalah tamat SPM. Sudah hampir err.. bertahun kami tak jumpa. Aku sememangnya tak sangka dia masih ingat rupa aku. Katanya, rupa aku masih tidak berubah. Err... maksudnya setelah sekian lama, aku masih lagi seperti dulu, hodoh?... Vasu bekerja di bangunan yang sama denganku. Mungkin selepas ini kami boleh berbual panjang kerana pagi itu aku sudah berjanji dengan teman untuk sarapan.

Aku sempat chat panjang dengan Shi. Rindu sangat pada mereka semua. Mungkin Shi memahami situasi aku tetapi dia turut memahami si dia itu. Yang pasti, tanpa pengetahuan Shi, aku menangis sewaktu chat dengannya walaupun sudah aku katakan aku tidak akan menangis lagi. Puncanya bila aku menceritakan kisah sewaktu aku membeli hadiah untuk tahun baru buat teman-teman yang aku sayang. Waktu itu, aku tercari-cari hadiah yang sesuai untuk Shi dan Is. Tapi mudah untuk memilih hadiah untuk mereka. Tapi yang seorang itu, aku memang buntu. Lantas aku terus memanggilnya dan bertanya apa yang dia mahukan. Dia menyatakan mahu satu set kunci rumah aku. Aku terharu. Aku menangis gembira dan sedih. Aku hampir memberikan hadiah itu kepadanya. Aku tanya berkali-kali samada dia benar-benar maksudkan apa yang dia inginkan. Namun tiada jawaban pasti. Aku terus ke KLCC untuk membelikan satu gelang yang aku harap dia hargai. Itu pertama kali aku menangis kerana seseorang. Aku hargai pemberian teman-teman aku berupa bantal bucuk, permainan dart dan sebentuk cincin yang sangat aku suka tetapi sudah aku simpan terus di dalam kotaknya. Mmm... aku sudah menyimpang dari cerita asal.

Aku makan malam di Nailis dengan Ajeem dan Abg Am. Terhibur sedikit hati aku bila bersama mereka. Aku terasa mengantuk sangat malam tadi sebab malam sebelumnya aku tak dapat tidur langsung. Aku hanya baring di katil menantikan subuh. Selesai solat aku terus bersiap ke pejabat. Itulah waktu yang paling awal aku ke pejabat dalam keadaan kerja yang tidak sibuk. Tetapi malam tadi juga tidak menyenyakkan. Pagi ini aku bangun terasa seperti demam sedikit. Aku harap ini tidak berpanjangan atau aku terpaksa melupakan Mumbai...

Tuesday, December 26, 2006

Krismas...

Krismas baru saja berlalu. Hari ini sudah mula bekerja semula. Terasa belum puas bercuti panjang tapi apa nak buat?...

Jumaat malam yang lepas, aku dan NA menghadiri Anugerah Skrin di PWTC. Satu acara yang membosankan tapi terpaksa juga hadir sebab dah beri persetujuan awal. Namun, waktu cocktail party, sempat juga bergambar bersama selebriti tempatan. Memandangkan ramai pelakon, tak terasa teruja untuk bergambar dengan mereka. NA sempat juga bergambar dengan beberapa artis ni.

Sabtu pagi, seperti biasa aku ke gym untuk kelas BS. Petangnya, aku menemankan arif untuk membeli belah kelengkapan rumah di IKEA. Malamnya, aku bermain boling dengan Shi, ND, IS, dan Farah. Kali ni permainan aku lebih baik berbanding kali terakhir aku bermain. Lebih baik dari ND… he he he. Lepas dari itu, kami lepak di Piccolo Mondo untuk makan malam.

Ahad pagi, sekali lagi aku ke gym. Farah dan ND ada. Selesai bersenam, terus ke Sushi King untuk makan tengahari dan masing-masing pulang sekitar jam 3 petang. Lebih kurang 6 ptg, arif call minta aku menemankan Dino yang ada di KL waktu ini. Dino mahu diurut, jadi tujuan kali ini ke rumah urut yang biasa di langgani Dino. Malamnya, kami makan di tupai-tupai dan minum kopi di Dome, KLCC. ND pula mengajak untuk clubbing selepas itu. Jam yang teruk menyebabkan kami batalkan niat itu dan terus ke Nailis untuk minum-minum.

Isnin pagi, sekali lagi aku ke gym. Farah, ND dan NA pun ada. Selesai bersenam, terus ke Nasi Ayam di Bukit Bintang untuk makan tengahari. Sekitar jam 3 petang, masing-masing pulang. Jam 6 petang sekali lagi arif call meminta bantuan untuk memasang kelengkapan rumah yang dibelinya. Selesai saja kerja-kerja itu, kami pun makan malam di Kedai Nasi Ayam Linda Onn.

Kebelakangan ini, aku sentiasa resah. Pada mulanya, aku tak faham kenapa aku berperasaan begini. Sekarang, aku pasti, aku di lamun cinta. Cinta?.. Aku takut tapi itu hakikatnya. Siapa? Kata orang, kadang-kadang kita tak menghargai cinta orang yang rapat dengan kita, tapi bila dia pergi, barulah terasa kehilangan yang amat sangat. Dia tidak kemana, cuma dia sudah ada yang punya setelah menunggu sekian lama. Aku terasa kehilangan…Aku harus hapuskan perasaan ini..

Monday, December 18, 2006

Kenapa...

Aku tak pasti samada ini perasaan sedih, terkilan atau apa. Sepanjang dua hari yang lepas aku lebih banyak bermurung dari kebiasaan diri aku. Aku rasa aku tahu puncanya tapi aku cuba menidakkannya. Mungkin juga kerana sikap sesetengah kawan-kawan yang menyakitkan hati.. mungkin juga.

Sabtu lepas aku masih sempat berkaraoke dengan NA, MN, ND dan Farah. Shi tak sempat bersama walaupun pada mulanya sah akan hadir. Sebenarnya, aku sepatutnya membantu harif untuk mengemas rumahnya tetapi memandangkan permintaan rakan-rakan untuk berkumpul setelah beberapa minggu tidak sempat berjumpa, aku turutkan saja untuk berkaraoke. Agak menyedihkan sebab ND tiba sejam lewat dan Shi langsung tak hadir. Tak ingat pulak samada dia orang ni minta maaf atau tidak. Mungkin itu salah satu punca aku murung beberapa hari ni. Lebih menyakitkan hati bila ND, MN dan Farah pulang lebih awal kerana mahu ke gym. Sudahnya, aku dengan NA saja yang meneruskan berkaraoke walaupun pada awalnya bukan rancangan aku.

Ahad pula, aku bermain boling dengan rakan2 berkhemah. Ramai juga yang hadir. Kali ini ND, Shi dan Yus ikut serta. Permainan hari ini agak baik walaupun agak lama aku tidak bermain. Selesai boling, terus ke Ampang Yong Tau Hu. Hampir sejam di sana kami pun pulang. Pada awalnya, MN sepatutnya mengikut kami ke Ampang Yong Tau Hu tetapi, bila dia terserempak dengan kawan-kawannya, dia terus ubah plan. Ini bukan kali pertama dia buat macam tu. Aku agak terkilan juga.

Aku harap perasaan murung ini akan berlalu...

Tuesday, December 12, 2006

Aidin...

Sabtu lepas, aku ngan Shi di jemput ke parti besday Aidin. ND tak dapat ikut sebab ada kenduri di rumah adiknya. Tidak susah untuk mencari rumah Aidin ni, Cuma mungkin jauh sikit dari bandar.

Mengikut kad jemputan, hadirin di galakan untuk berpakaian mengikut tema tigger the tiger atau winnie the pooh. Aku ngan Shi siap memakai t-shirt berwarna jingga tapi bila tiba di rumah Aidin, cuma kami berdua saja yang mengikut tema.

Makanan yang dihidangkan agak simple tapi mengenyangkan. Tak lama kemudian, Alman tiba. Letih menjaga Alman ni, orangnya teramat lasak. Lega sebentar mak ayah Alman ni sebab ada orang menjaganya. Besday boy pulak si Aidin, leka tidur dan tak mahu bangun. Kecewa ibunya sebab tak dapat meneruskan acara memotong kek. Seronok dengan keletah budak-budak comel ni.

Esoknya, aku, ND dan NA berkaraoke sakan. Ini juga merupakan sessi latihan aku untuk pertandingan karaoke sempena annual gathering akan datang bulan depan. Pilihan lagu sudah ada, cuma aku masih perlu banyak latihan intensive...

Bingung...

Minggu yang lalu, aku dengan Na ke gym untuk mengikuti kelas tarian buat pertama kali. Memang sudah lama kami merancang untuk mengikuti kelas tersebut apatah lagi kali ini akan di ajar tarian salsa. Tiba hari yang ditunggu-tunggu, aku dan NA pun masuk la kelas tersebut. Pada awalnya cuma beberapa orang saja yang ada termasuk lebih kurang empat warga emas.

Aku sangkakan kelas akan berjalan dengan lancar tanpa halangan tetapi silap. Dengan tidak di sangka-sangka, salah seorang warga tua ini menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap aku dan NA. Sehingga kini aku masih tidak pasti punca kelakuannya yang sebegitu.

Mungkin dia kurang senang kerana aku boleh menari lebih baik dari dia. Ntahlah, aku sendiri tak pasti. Cuma aku tahu, tiba-tiba dia dengan suaranya yang lantang mengatakan aku dan NA menari tidak mengikut rentak. Tetapi guru tarian mengatakan kami berdua bagus.

Kali keduanya, juga dengan suara lantangnya, dia kata kami menghadang penglihatannya. Aku dan NA agak terkejut kerana kami memang sudah berada di tepi namun kami tetap juga berdiam diri sambil bergerak ke tepi lagi supaya memberi laluan padanya. Kami lebih tersentak apabila skali lagi dia mengatakan bahawa kami belum diajar oleh guru tetapi kami sudah mahu mengajar. Memang terkedu jadinya.

Kesimpulan kami, dia mempunyai masalah peribadi sendiri mungkin dan kami tidak mahu terlibat sama. Aku dan NA pun meneruskan mempelajari lengguk salsa itu. Rasa terkilan memang tersemat dalam hati tetapi kami cuba melupakannya. Tidak lama kemudian kami terasa lega kerana guru tarian menyuruh kami membuat demo kepada rakan-rakan lain. Tetapi warga tua itu sepertinya tidak puas hati, turut mahu menunjukkan bakatnya.

Sampai hari ini, aku masih bingung dengan sikap warga tua tersebut.

Thursday, December 07, 2006

Mumbai ...

Minggu lepas aku ke Mumbai untuk menghantar tender. Ini kali pertama aku ke Mumbai sekaligus India. Agak gementar juga perasaan kali ini. Seperti tender-tender antarabangsa yang lain, tender akan dibuka di hadapan setiap penender. Kelihatan seperti transparent tetapi cuma tuhan yang tahu.

Aku dijadualkan berlepas pukul 7.20 petang 28hb November lalu. Sehingga ke pukul 4.30, aku masih lagi menunggu untuk persiapan terakhir. Tiba di KL Sentral aku diberitahu perlu untuk mengubah sesuatu dalam tender yang sudah di bungkus rapi. Bayangkan 4 kotak yang aku bawa perlu di buka dan digantikan dan dibungkus semula?.. aku pasrah..

Tiba di Mumbai, lebih kurang pukul 9 malam waktu tempatan. Hotel Park Plaza yang aku tinggal itu terletak di puncak bukit tetapi jalan ke situ kelihatan sepertinya estet getah di Malaysia. Aku terasa sedikit takut. Terbayang-bayang di ingatan tiba-tiba kenderaan hotel di rampas oleh pengganas. Syukur semua selamat.

Hotel kediaman memang mewah cuma sedikit jauh dari pekan terdekat. Setelah check-in, aku pun berehat sebentar sebelum mula membuka bungkusan kotak-kotak tender dan mengubah apa-apa yang perlu. Setelah siap, aku biarkan saja dulu. Aku di bungkus esok pagi sebab masih banyak waktu sebelum tender di tutup. Aku pun tidur tidak lama kemudian sekitar jam 1 pagi.

Jam 8 pagi aku bangun untuk membungkus semula kotak-kotak yang sudah dibuka itu. Terasa bangga bila semua kotak sudah siap dibungkus dengan cantik dan dilabel. Setengah jam kemudian aku mendapat panggilan dari Kes kerana ada lagi perubahan perlu dibuat dan fail akan dihantar melalui email. Aku terkedu sekejap. Dalam memikirkan apa yang perlu dibuat aku pun membersihkan diri dan terus ke Business Centre untuk menggunakan kemudahan IT di situ.

Akhirnya, selesai jam 1 tengahari dan aku terus berkejar ke ofis client di Bandra yang terletak lebih kurang 30 minit perjalanan jika laluan tidak sesak. Alhamdullilah, aku tiba lebih kurang 15 minit sebelum waktu tutup. Sebenarnya, ada beberapa lagi peristiwa yang berlaku selepas dari itu tapi biarlah aku simpan dalam hati saja.

Dari situ aku terus balik ke hotel, dan berehat. Esoknya, aku mengambil kenderaan hotel dan membuat lawatan sehari sekitar Mumbai. Aku sempat membeli-belah di sekitar Gateway of India. Memang murah-murah barang di sana malah boleh tawar-menawar lagi. Tidak banyak yang aku beli tapi cukup untuk keluarga dan rakan-rakan. Malamnya, pulang semula ke sini dengan penerbangan tengah malam dan tiba di KLIA jam 7.20 pagi.

Satu pengalaman yang menarik tapi Bandar Mumbai bagi aku sedikit menggerunkan. Orangnya terlalu ramai dengan tahap kehidupan yang berbeza membuatkan aku amat bersyukur aku dilahirkan di Malaysia.

Monday, November 20, 2006

Raya...

Dah agak lama aku tak menulis di sini. Kenapa?.. mungkin malas agaknya, mungkin juga sibuk dengan kerja. Tapi mungkin sebab kekurangan idea.

Memandangkan masih lagi di dalam bulan raya ini, banyaklah rumah berbuka di sana sini. Yang pertama sekali adalah di rumah nd. Aku dan shi turut membantu bersama. Ini adalah rumah terbuka raya kami bertiga. Lebih kurang 30 tetamu jemputan hadir. Alhamdulillah, habis juga soto yang aku sediakan. Juga mendapat banyak pujian.

Seminggu selepas itu, aku ke rumah makcik pula. Ada kenduri doa selamat dan rumah terbuka. Niat ke situ awal untuk membantu tetapi dah ramai yang berada di situ. Aku pun tidak mahu mengganggu tugas mereka, aku pun tidur untuk melepaskan penat. Waktu maghrib di ikuti dengan solat jemaah, bacaan yasin, tahlil dan di sudahi dengan solat isya' berjemaah.

Selesai saja solat isya', jamuan pun di hidangkan. Ramai juga tetamu makcik dan rakan-rakan naza yang datang. Ada yang aku kenal, ada yang tidak. Nenek pun ada. Aku pulang sekitar jam 10 malam. Letih.

Sebelum itu, awal minggu ini seperti biasa di department ada buat jamuan raya sedikit. Dari hasil kutipan dari teman-teman dan tajaan beberapa individu, jamuan yang di adakan agak berjaya. Aku menyediakan kek batik, trifle dan butter cake. Kek batik mendapat pujian dari MD. Makanan yang terhidang juga agak banyak dan hampir cukup untuk seluruh warga kerja sebenarnya walaupun tidak di jemput semua.

Sabtu lepas, aku, shi dan nd mengadakan sekali lagi rumah terbuka untuk jemputan-jemputan yang tidak hadir pada kali pertama dulu. Kali ini juga, ramai yang hadir. Agak letih juga melayan dan menyediakan hidangan sebenarnya. Tapi puas kerana makan juga hampir habis. Malamnya aku bergegas ke rumah abg man yang kebetulan juga mengadakan rumah terbuka. Ketika aku sampai, ramai sudah berada di situ. Aku agak malu kerana ramai yang tidak aku kenali. Aku terus ke bilik TV dan berjumpa dengan basha. Kebanyakan masa aku berada di situ dan sebenarnya aku tidak menjamah langsung juadah di situ.

Keesokkannya, aku menemankan arif membeli-belah di midvalley. Arif ada jamuan formal di waktu malam dan mencari baju untuk di kenakan dengan jacketnya. Mujur dapat satu yang murah dan sesuai dengannya.

Pulang ke rumah, aku agak keletihan. Mujur tidak ada yang ada keluar pada waktu ini. Hujan pun turun dengan lebat sebenarnya menjadikan suasana sejuk dan nyaman.

Cukuplah rumah terbuka setakat ini. Aku perlu menjaga berat badan agar tidak naik lagi selepas turun sebanyak 3 kilo sepanjang bulan puasa lalu.