Monday, September 29, 2008

Ulangtahun Ibu...

Khamis lalu merupakan ulang tahun hari lahir ibuku yang ke 63. Kali ini memang aku berada di rumah untuk sama-sama meraikannya. Tahun-tahun yang sudah hanya telefon menjadi pengganti diri.

Selesai kerja pada hari itu aku bergegas pulang dan singgah di Jusco Permas Jaya untuk mendapatkan kek dari Secret Recipe. Tiba di rumah sekitar jam 6.30 petang. Abang dan kakak ipar beserta anak-anak saudara tiba sejurus waktu berbuka. Tidak banyak yang dihidangkan kerana masing sudah dipesan supaya tidak membazir. Abang membelikan ibu ayam KFC kegemarannya.

Patung comel dibuat daripada gula


Selepas makan malam, anak-anak saudara menyanyikan lagu "Happy Birthday" untuk ibu. Walaupun sederhana sahaja sambutannya ibu kelihatan gembira. Namun, Ibu kelihatan semakin dimamah usia. Segala jasanya tidak ternilai. Aku mahu sentiasa mengingati ibu seperti anak patung comel yang aku letakkan di atas kek cokelat itu. Sentiasa di situ dan tidak pernah berubah.

Sunday, September 21, 2008

Letih, Lemah dan Lesu...

Terasa sakit-sakit sendi badan dan batuk serta tekak yang kering, tanda-tanda nak demam tu. Mungkin sebab kurang rehat agaknya. Semester baru sudah pun bermula dan aku perlu ke kelas seawal jam 7.30 pagi. Tiga subjek ditawarkan seperti biasa tetapi yang agak menyakitkan hati adalah kelas hanya ada pada hari Sabtu. Mujur kesemua kelas jatuh pada hari Sabtu tidak bekerja. Lebih menyakitkan hati, aku ada kelas selama 2 jam di awal pagi, kemudian kelas seterusnya bermula 4.20 petang dan 6.30 petang hingga ke malam. Tak pernah dalam sejarah aku terpaksa menghadiri kelas di malam hari.

Minggu pertama, hanya dua kelas dilangsungkan manakala kelas malam dibatalkan. Aku tiba awal pagi kerana kelas sepatutnya bermula jam 7.30 pagi tetapi tutor hanya tiba hampir jam 8 sebelum mengadu kelas terlalu awal. Aku kurang gemar dengan tutor subjek ini kerana sebutan bahasa inggeris dan melayunya begitu pelat sekali. Selesai kelas, aku pun terus bersedia untuk pulang ke rumah sementara menantikan kelas petang. Namun, kereta aku terhalang. Bukan aku sahaja malah ramai lagi yang tidak dapat mengalihkan kereta disebabkan pelajar-pelajar yang lewat tiba meletakkan kereta tanpa memikirkan orang lain. Sudahnya, aku hanya duduk di ruang lobi sehingga kelas seterusnya.

Kelas kedua bermula jam 4.20 petang sehingga 6.20 petang dan almaklum la, ini bulan Ramadhan seharusnya pulang awal ke rumah untuk persediaan berbuka. Mujur jalan agak selesa dan aku tiba di rumah sebelum waktu berbuka.

Selama aku berkuliah di Shah Alam, semua kelas yang aku pilih hanya pada hari ahad dan belum pernah lagi sehingga malam hari. Mungkin aku akan pindahkan semula ke Shah Alam untuk sesi akan datang.

Hujung minggu lalu, minggu kedua aku hanya meletakkan kereta ditepi jalan untuk memudahkan aku pulang. Ternyata berjaya. Namun sedikit mengecewakan, kelas malam ditunda pula ke hari Ahad. Baru saja aku hendak berehat.

Sabtu malam aku berbuka di Hotel Mutiara bersama teman-teman yang dianjurkan oleh kontraktor. Selesai berbuka, teringin pula untuk berkaraoke. Terus kami ke Pelangi Plaza untuk sesi melalak sehingga jam 12 tengah malam. Pertamakali semenjak aku pindah ke JB ini aku keluar sehingga lewat malam.

Tuesday, September 16, 2008

Setahun Lebih Matang...

Diam tak diam, sudah 15 hari berpuasa dan hari ini masuk hari yang ke 16. Sempat aku berbuka puasa 2 kali diluar bersama teman-teman. Semalam juga merupakan ulangtahun hari lahir aku yang ke berapa ya... rahsia. Ibu menyediakan laksa Johor sebagai juadah berbuka. Adik dan abang serta kakak ipar dan anak-anak buah juga tiba dengan sebiji cheese kek. Aku mendapat sebuah jam tangan dari abang dan 'ang pow' dari Ibu.

Khamis lalu, aku sempat berbuka di Hyatt Regency, JB dipelawa oleh rakan sekerja yang baru mendapat bonus agak lumayan. Sabtunya pula aku berbuka di Redbox Plus, Pavillion bersama-sama Sheera, Ila dan Yus. Marlin tiba agak lewat namun aku menerima sehelai baju T sebagai hadiah harijadi. Kami berada di sana sehingga jam 3 pagi.

Ahad itu, setelah sekian lama tidak ke situ, aku ke rumah makcik awal pagi untuk mendapatkan kuih. Rasanya aku hanya ke situ setiap Ramadhan sahaja. Makcik dan Naza sudah keluar awal pagi untuk membeli bekalan membuat kuih. Yang tinggal hanya bibik dan pakcik. Selesai mengambil kuih dan berborak dengan pakcik, aku pun pulang ke KL. Sebelum bertolak balik ke JB, aku sempat singgah untuk menukar size baju yang dibeli Marlin dengan restu Marlin. Aku menukar ke size S dan memilih warna hitam.

Sepanjang perjalanan aku begitu mengantuk sekali. Hampir 3 kali berhenti untuk melelapkan mata sebentar. Sempat membeli kuih-muih untuk berbuka di R&R Machap. Tiba di rumah hampir jam 5.30 petang, terasa mengantuk sekali namun aku tetap juga menonton TV sementara menantikan waktu berbuka tiba.

Monday, September 08, 2008

Ramadhan Datang Lagi...

Pejam celik, pejam celik sudah hampir 5 bulan aku bekerja di tempat baru. Ketika ini aku sudah berpuasa hampir 8 hari di bulan Ramadhan yang mulia ini. Bezanya kali ini aku berpuasa di rumah bersama ibu dan bapa.

Agak lama juga aku sunyi dari menulis di blog ini. Namun aktiviti masih lagi berjalan seperti biasa. Sempat juga bersiar-siar ke Melaka sebelum menghadiri kursus kepimpinan untuk pengurus-pengurus di Kelana Jaya.

Rancangan ke Melaka sebenarnya dibuat setelah rancangan asal ke A Famosa Waterpark tidak menjadi. Mujur beberapa rakan yang masih ingin meneruskan rancangan berjalan-jalan ini tetapi terus ke Bandar Melaka. Mujur Marlin dan Hedra sanggup menumpangkan kami buat semalaman di rumah mereka berhampiran pantai Klebang.

Marlin menjadi pemandu jalan kami sewaktu bersiar-siar di Jonker Street. Sempat juga makan malam di penempatan orang-orang keturunan Portugis sebelum berkaraoke di Jetty.

Pulang ke KL pada hari esoknya, aku terus mendaftar masuk ke hotel untuk kursus keesokkan harinya. Selama tiga hari di situ, ternyata banyak yang perlu aku belajar dari segi pengurusan. Sememangnya bermanfaat.

Memandangkan minggu berikutnya hari Isnin dan Selasa adalah cuti umum di Johor, aku mengambil kesempatan dengan mengambil cuti panjang. Pertama kali dalam sejarah, kereta aku rosak di tengah jalan (sebenarnya di tepi jalan) dan buat pertama kalinya juga aku mendapatkan bantuan Kurnia Auto Assist untuk menunda kereta ke pusat servis. Rupanya, bateri lemah.

Demam karaoke sudah melanda Hedra dan sabtu itu, Hedra dan Marlin sanggup ke KL untuk berkaraoke bersama-sama. Masih lagi tidak puas. Mungkin akan ada lagi sesi selepas raya nanti.

Thursday, August 21, 2008

Mungkinkah...

Mungkin aku takkan bersendirian seperti sekarang ini jika aku ke sekolah ini dulu...

Thursday, August 14, 2008

Siar-siar ke Kota Baru

Ya. Memang aku kesibukkan kebelakangan ini. Terpaksa ke Kuantan kemudian Segamat. Sememangnya kerja aku memerlukan aku berada bersama anak-buahku untuk membantu menyelesaikan masalah kerja. Namun, aku sempat juga ke Kota Baru bersama Sheera dan kakaknya Jumaat lalu.

Bertolak selepas selesai solat Jumaat, terus memandu menuju ke Kuala Trengganu. Singgah sebentar di Masjid Terapung untuk solat Asar. Sepanjang jalan ke Kota Baru terasa seolah-olah satu perjalanan yang tak berpenghujung. Akhirnya sampai juga sekitar jam 9 malam dan terus daftar masuk ke Hotel Sentosa. Lucunya, kakak Sheera sangkakan aku tidak mahu ke hotel yang agak selesa tetapi mahal sedikit. Aku pula berfikiran begitu terhadapnya. Akhirnya, kami tidak dapat tidur dengan lena kerana hotel masih lagi seperti hotel-hotel tahun 60 an. Dengan lantai mozeknya, perabut kayunya dan kipas angin.

Awal pagi, kami bersarapan di Pasar Besar Siti Khadijah sebelum terus ke Rantau Panjang. Setelah puas berbelanja, kami pulang semula ke Kota Baru untuk mencari homestay yang sudah ditempah di Pantai Cahaya Bulan. Memandangkan kedudukannya yang terlalu jauh dari bandar, kami membatalkan hasrat untuk bermalam di situ dan terus ke bandar untuk mendapatkan hotel pula. Mujur Hotel Ridel mempunyai dua lagi bilik yang kosong. Ternyata bilik hotelnya selesa dan menarik. Harga juga agak berpatutan. Sebelum itu sempat kami makan tengahari di Pusat Kraftangan Kelantan.


Pusat Kraftangan Kelantan


Malamnya, Ezz yang berada di Kota Baru menghadiri kenduri kawin rakannya mengajak makan di Restoran Chiengmai. Selesai makan, kami pulang ke hotel dan kebetulan hotel Ezz hanya 5 minit berjalan kaki dari tempat kami. Sempat singgah berborak di kopitiam sebelum pulang ke bilik dan tidur.

Bilik standard di Hotel Ridel


Hari Ahad, selesai sarapan kami terus ke Kuala Trengganu untuk melawat Masjid Kristal dan sempat membeli keropok lekor losong. Aku tiba di Kuantan sekitar jam 6 petang. Hasrat hati ingin tidur tetapi aku terpaksa menyiapkan kerja untuk dihantar keesokkannya.

Masjid Kristal

Letih tetapi seronok.

Monday, August 04, 2008

Ke Hulu, Ke Hilir...

Sejak kebelakangan ini memang ternyata aku begitu sibuk sekali. Selain ke Segamat, aku juga perlu ke Kuantan untuk membantu staf aku yang masih lagi baru untuk menggantikan staf yang berhenti. Tiga minggu di Kuantan, aku banyak makan durian berdekatan dengan hotel tempat aku tinggal. Dalam waktu yang sama juga, peperiksaan akhir berjalan dengan lancarnya. Hanya mengharapkan keputusan yang baik.

Aku juga sempat bersama-sama dengan Sheera dan teman-teman meraikan ulangtahun hari lahir Yus di Bayu Beach Resort, Port Dickson. Walaupun hanya semalam sahaja di situ, sememangnya menyeronokkan.

Sekarang ini aku berada di Segamat setelah dipanggil oleh Pengarah Projek untuk membantu menyelesaikan satu tugasan. Dua hari sebelum itu, aku berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat. Ternyata aku sering ke hulu ke hilir sejak akhir-akhir ini, aku letih...

Tuesday, July 08, 2008

Amazing Hunt 2008 - Astro@15

Minggu lalu, walaupun kesibukan, aku tetap sempat menyertai pencarian harta karun anjuran Astro@15. Aku pun tidak pasti apa sebenarnya acara ini sebelum hari pertandingan. Aku hanya bersetuju menyertai kawan-kawanku seramai 3 orang lagi. Sememangnya aktiviti yang dianjurkan menarik sekali.

Seawal jam 5.30 pagi aku sudah bersiap dan menantikan ketibaan Suzi, Nizam dan Zue. Sebaik saja mereka sampai, kami terus meletakkan pelekat kereta. Kami mendapat No. 33.

Sebaik melapurkan diri pada sekretariat, kami diberi sarapan pagi dan seterusnya taklimat ringkas. Kami berlepas jam 8 pagi dan destinasi pertama kami di minta ke Tugu Kebangsaan dan mengambil gambar berempat di hadapan tugu itu serta perlu mencuci gambar tersebut dan dihantar di garisan penamat. Seterusnya kami diarahkan ke KLCC untuk mendapatkan arahan seterusnya. Kami perlu ke 'Eye on Malaysia' untuk mengira jumlah gondola yang terdapat di situ. Dari situ kami ke Hentian Genting Sempah untuk ujian yang pertama.

Antara ujian yang harus kami lalui adalah meminum sebotol coke 1.5L dalam masa 5 minit, berenang di sungai Hutan Lentang, makan sotong mentah, makan biskut dengan wasabe dan akhir sekali menaiki motor mini.

Acara minum coke

Makan sotong mentah

Sememangnya aktiviti kali ini menyeronokkan. Kami tinggal di Sanctuary Resort, tempatnya biasa saja. Pada malam harinya kami diraikan dalam majlis makan malam dan penyampaian hadiah. Kami mendapat tempat ke-13.

Naik motor mini

Keesokkan harinya sudah dijadualkan acara permainan tetapi kami harus bergegas pulang jam 1.30 pagi kerana adik Nizam meninggal dunia.

Tuesday, June 17, 2008

Langkah Seiring...

Ahad lalu, aku bersama beberapa orang teman telah menyertai acara mencari harta karun anjuran AWAM (All Women Action Society, Malaysia) bertempat di Berjaya Times Square. Cadangan asal Am, aku mengajak Sheera, Shidi dan Ila untuk ikut sama. Am, Alex, Din menjadi rakan kumpulan aku, manakala Sheera, Shidi dan Ila satu kumpulan. Acara tahunan ini buat pertamakalinya dibuka kepada peserta lelaki. Bertemakan 'Equal Footing' demi membanteras penganiayan terhadap kaum wanita, AWAM juga meraikan ulangtahun yang ke 20 tahun ini.

Bermula dari Berjaya Times Square menuju ke Lot 10 melintasi Hotel Istana melepasi Hotel Radius melalui Plaza Bukit Bintang dan akhirnya kembali semula ke Berjaya Times Square semula. Acara bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 1 tengahari. Diikuti pula dengan acara lelongan barangan dari selebriti iaitu peserta-peserta The Amazing Race Asia II dan cabutan bertuah. Seperti sudah diduga, tiada satu pun yang kami dapat.

Aku dan Shidi kemudian ke Low Yat untuk mencari CPU baru. Akhirnya aku memilih CPU Acer yang kecil comel aje. Namun, proses membelinya mengambil masa hampir dua jam dek kelembaban pekerja-pekerja di kedai itu.

Akhirnya, aku dan Shidi kembali ke BTS untuk lepak sebentar dengan Sheera dan Ila yang masih belum pulang. Aku hanya bertolak pulang ke JB jam 7 petang. Mujur perjalanan agak selesa dan tidak banyak kereta.


Tuesday, June 10, 2008

Singapura...

Cuti sempena Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong Sabtu lalu, memberi aku peluang untuk bercuti ke Singapura. Cadangan asal seorang teman yang akhirnya menarik diri dari rancangan ini, hanya Shidi dan aku saja meneruskan pelan ini.

Jumaat malam, Aku mengambil Shidi di Lapangan Terbang Senai sebelum menuju ke hotel di Johor Baru. Sebaik saja daftar masuk, Shidi mencadangkan agar terus saja masuk ke Singapura walaupun ketika itu sudah jam 1 pagi. Terus saja kami ke stesen teksi di Plaza Seni dan terus menuju ke apartment Wardah berhampiran Orchard Road.

Awal pagi esok, kami terus ke Vivo City untuk mendapatkan tiket ke Pulau Sentosa. Hampir separuh hari di sana, kami kembali untuk bertemu dengan Wandi dan Fariz, teman-teman Shidi di Singapura. Makan tengahari di situ bersama Wardah sebelum kami kembali semula ke Pulau Sentosa untuk mencuba Luge yang mengasyikkan itu. Sempat berlumba-lumba untuk menang.

Kembali semula ke pulau besar, kami terus ke Orchard Road untuk membeli-belah sebelum makan malam dan terus pulang. Memang terlalu singkat tetapi menyeronokkan. Ini sebagai permulaan dan mungkin boleh merancang untuk akan datang.


Monday, May 26, 2008

Masih di Sini...

Sudah agak lama aku tidak menulis. Semenjak bekerja di syarikat baru, hati ini menjadi tidak tenteram. Terasa tidak serasi dengan persekitaran baru, terasa payah untuk menyesuaikan diri. Masuk minggu keempat, masih lagi cuba untuk memujuk hati.

Hari pertama di sini, terasa begitu asing sekali walaupun aku pernah kesini berbelas tahun dahulu. Banyak perubahan yang ketara tetapi masih tidak dapat menandingi kehidupan yang selesa dan tenang semasa aku bertugas di KL dulu. Terasa sedikit sesalan namun ia harus diteruskan juga. Minggu kedua juga seperti minggu pertama. Lebih teruk lagi, komputer masih belum aku terima. Minggu ketiga, aku ke segamat untuk melihat keadaan projek disana. Terasa tenang sedikit.

Hari ini aku kembali ke pejabat di Pasir Gudang, mujur Shukri datang melawat. Jika tidak, mungkin bertambah tertekan dibuatnya.

Tuesday, April 22, 2008

Kembali ke gagang...

Kurang dua minggu lagi, aku akan berubah angin ke tempat baru. Bukanlah baru sebenarnya cuma kembali ke tempat lama yang aku rasa sudah banyak berubah. Aku akan memulakan tugas sebagai pengurus di syarikat aku mula-mula bekerja dulu awal bulan Mei nanti. Walaupun berat rasa hendak meninggalkan Kuala Lumpur yang sudah mula sebati dengan diri ini, langkah ini perlu aku ambil demi kemajuan diri dan kerjaya. Disamping itu, aku rasa ini juga masa yang sesuai untuk menjaga kedua orang tua aku yang tinggal berdua saja di kampung.
Masih lagi ramai teman-teman yang belum tahu tentang rancangan aku ini. Insya'allah aku akan sampaikan kepada mereka apabila tiba waktunya kelak. Aku hanya ingin mengelakkan dari dianjurkan majlis perpisahan kerana bagi aku, kami tidak berpisah hanya jarang berjumpa.
Doakan semoga aku berjaya.

Tuesday, April 15, 2008

Tempat Baru...

Di KLIA
Ketika ini Nurul sudah pun berada di London dengan selamatnya. Terimakasih juga pada Joe yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut ketibaan Nurul. Sekurang-kurangnya ada tempat mengadu dan meminta bantuan jika terjadi apa-apa di sana nanti.

Sebelum itu, sepanjang dua minggu terakhir di Malaysia ini, kami sempat berkaraoke, ke Sanctuary bersama dengan Sheera, Yus, Meng, Ajax, Ila dan ramai lagi. Ada juga teman yang mengadakan jamuan perpisahan untuk Nurul sehari sebelum penerbangannya.

Sesuatu yang melucukan apabila aku, Sheera dan Yus cuba untuk membuat kejutan buat Nurul sebelum dia berangkat. Kami mengatakan tidak akan menghantarnya di KLIA namun dalam diam-diam kami sudah ke situ. Tetapi dalam perjalanan, Nurul pula yang memintas kereta kami. Dari kami mahu membuat kejutan, kami pula yang dikejutkan.

Semoga Nurul akan berjaya dan bergembira di sana.

Monday, March 31, 2008

Bersama Gajah...

Semalam, aku mengikut rombongan Hareeff bersama dengan anak-anaknya ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dekat Temerloh. Nurul juga ikut serta. Sebenarnya perjalanan ini diatur oleh Seth, bapa kepada rakan anak-anak Hareeff. Kami hanya mengikut saja program ini. Mengikut perancangan, kami akan ke pusat konservasi untuk melihat gajah-gajah yang dijinak di latih untuk membantu dalam menjinakkan gajah liar.

Kami tiba di sana jam 11.30 pagi dan selesai mendaftar dan membayar yuran terus saja kami ke tepi sungai untuk berehat sambil makan-makan. Ternyata anak-anak mereka semua gembira dan tidak sabar untuk bermain-main dengan gajah. Sementara menunggu gajah-gajah itu tiba jam 2.15, kanak-kanak yang berjumlah seramai 12 orang itu mandi manda di sungai dan kemudian dibawa menonton video serta makan tengahari.
Menghampiri jam 2 petang, semakin ramai pelancung tiba. Mujur kami sudah mendapatkan tempat yang selesa di tepi sungai. Tepat jam 2.15, gajah-gajah sudah mula dibawa ke sungai untuk dimandikan. Pelawat kemudian dibenarkan memberi makanan kepada gajah-gajah tersebut sebelum dibawa berjalan di atas gajah-gajah itu.

Kemuncak acara adalah bermandi bersama-sama gajah tersebut di Sungai. Dua ekor anak gajah yang masih kecil dibawa keluar waktu ini. Setelah puas bermain dengan gajah, kami pun bersiap untuk pulang.

Setiba di rumah jam 6 petang, aku terus terlelap selepas membersihkan diri. Sememangnya aku keletihan kerana Aku terpaksa berkerja pada hari Sabtu sehingga petang, dan malamnya aku bersama Nurul ke Redbox untuk berkaraoke sehingga jam 2 pagi. Mujur kami terpaksa bangun awal pada hari Ahad. Jika tidak, sudah tentu kami akan bernyanyi sehingga pusat karaoke itu ditutup.

Persandingan...

Dua minggu lalu, aku pulang ke kampung untuk meraikan majlis persandingan adik bongsu tetapi tidak lama kerana Aku terpaksa menghadiri kelas pada hari Ahad. Kebetulan cuti Maulidur Rasul, aku pulang awal dan mengambil cuti pada hari Jumaat. Majlis nikah dan kenduri dibuat pada hari Sabtu untuk kedua-dua belah pihak bagi memudahkan sanak saudara berkumpul.

Hampir kesemua saudara mara sebelah bapa aku hadir dan sebahagian dari sebelah ibu. Di pihak lelaki pula ramai yang hadir. Akad nikah berlangsung jam 9 pagi dan majlis resepsi pada pukul 12 tengahari sehingga jam 5 petang. Aku sempat menyanyikan beberapa buah lagu memandangkan tidak ramai yang mahu menyanyi. Sehinggakan ada permintaan dari tetamu he he he...


Sebaik selesai majlis aku terus memandu pulang ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan lagi tugasan yang masih tertinggal sedikit lagi. Aku tiba di rumah hampir jam 10 malam dan sempat juga menyaksikan konsert pertama AF6.

Esoknya, Sheera mengajak untuk berkaraoke seperti biasa. Mujur aku sempat memeriksa jadual kelas untuk hari ini kerana sudah ditunda ke jam 2.45 petang. Dari karaoke aku terus ke kelas pulang 2 jam kemudian. Sheera, Yus, Ila dan Nurul mahu kerumah untuk menonton DVD '27 Dresses". Ceritanya agak hambar.

Selesai menonton aku mengajak mereka untuk makan malam di gerai makanan laut kegemaran aku tetapi Sheera terpaksa pulang. Tinggal aku, Yus, Ila dan Nurul sajaha yang kesana. Mujur mereka suka dengan masakan yang dipesan.

Monday, March 17, 2008

Ku Menunggu...

Ku di sini seperti selalu,
membilang waktu berlalu....

Ya, Aku masih lagi di sini menunggu waktu yang berlalu. Aku masih menantikan sesuatu sebelum aku boleh meneruskan perancangan yang sudah dibuat.

Seminggu yang lalu aku agak sibuk tetapi bukan dengan kerja-kerja di pejabat tetapi dengan aktiviti luar dan tugasan yang perlu dihantar. Seperti biasa aku tetap meluangkan masa untuk berkaraoke dengan Nurul tetapi kali turut disertai Chong Wei. Tak dapat dinafikan dia mempunyai suara yang merdu.

Selain itu aku juga sempat ke Camp 5 untuk memanjat dinding bersama Su. Perancangan asalnya, Sheera, Yus dan Shidi mahu ikut sama tetapi akhir hanya kami berdua saja yang pergi. Sememangnya aku sudah hampir lupa dengan langkah-langkah sebelum memanjat dan kami hanya memerhatikan orang lain membuatnya sebelum kami mencuba sejam kemudian. Aku rasa kami perlu ke sana lebih kerap lagi.

Minggu lalu aku dihubungi oleh sebuah agen untuk mencari pekerja dan aku diminta ke pejabat mereka untuk ditemuduga. Aku rasa aku gagal dalam temuduga itu.

Buat pertamakalinya juga minggu lalu aku ke Taiping menemani Hareeff yang tidak dapat memandu kerana sakit pinggang. Sebuah pekan yang agak kecil tetapi bersih. Aku meluangkan masa di Mc Donald sehingga Hareeff selesai dengan mesyuaratnya.

Thursday, March 06, 2008

Angin Perubahan...

Shhh...dengarkan dan rasakan... angin perubahan sudah mulai meniup sepoi-sepoi bahasa. Menunggu detik bertiup deras.

Gila Karaoke...

Aku rasa aku sudah sampai ketahap gila karaoke. Nurul pula sentiasa saja bersedia untuk menemani aku. Hampir setiap minggu, Sabtu dan Ahad, kami akan ke pusat karaoke Redbox Plus di Pavilion menyanyi untuk beberapa jam. Pekerja-pekerja di situ juga sudah kenal dengan nama Nurul. Minggu lalu, kami bermula sesi petang jam 3 pagi kerana Nurul mahu aku menyiapkan tugasan yang masih lagi terbiar. Hampir jam 10 pagi aku dikejutkan dengan panggilan dari Joe mengajak aku sarapan bersama. Baru aje 2 bulan lepas dia balik, ini dia balik sekali lagi. Banyak duit agaknya atau rindu pada seseorang.

Kami bersarapan di Kg Baru sebelum dia ke Bukit Bintang dan aku pulang ke rumah. Nurul tiba untuk menumpangkan aku ke Pavilion. Kami menyanyi dari jam 3 petang sehingga 6 petang sebelum ke Plaza Low Yat untuk mendapatkan perkakasan komputer. Dalam perjalan pulang, kami sempat singgah untuk makan ais-krim di Haagen Dazs. Sudahnya, tugasan aku masih lagi terbiar.

Rancangan asal hari Ahad adalah untuk sesi memanjat dinding atau 'wall climbing' di Camp 5, One Utama tapi tersasar pula. Aku dan Nurul ke Redbox sekali lagi. Kali ini dari jam 11 pagi sehingga 4.30 petang. Kami diberi lebih masa dan bilik yang agak luas untuk 2 orang. Mungkin pekerja di situ sudah mula kenal dengan kami.

Ahad ini, kelas aku ditunda kerana pilihanraya. Kalau berkesempatan, aku akan berkaraoke dengan Sheera pula. Nurul pulang untuk mengundi. Sheera, seperti aku tidak mendaftar pun. Yus pula sibuk dengan tugasnya sepanjang minggu ini dan juga minggu depan. Tak sabar pula nak ber'pesta' dengan dia orang berdua ni. Boleh gamat jadinya...

Sunday, February 24, 2008

Aku di Pulau Sipadan...

Aku sekarang ini sedang menggunakan internet di Borneo Diver Resort di Pulau Mabul. Rancangan bercuti ke sini dibuat oleh Khalid sejak awal Disember lalu. Aku memang sudah lama memendam hasrat untuk ke sini kerana mahu melihat dengan sendiri keindahan taman laut di Pulau Sipadan. Akhirnya, aku tiba di sini 23 haribulan lalu bersama teman-teman seramai 11 orang.

Hampir saja rancangan aku ke sini gagal disebabkan oleh bebanan kerja di pejabat. Namun, aku dapat melepaskan diri kerana kerja-kerja itu bukan dibawah tanggungjawab aku sebenarnya. Sabtu pagi seawal jam 2.30 pagi, Zue sudah menunggu untuk sama-sama ke rumah Khalid sebelum bertolak ke LCCT. Penerbangan dijadualkan berlepas jam 7.10 pagi dan kami tiba di Tawau lebih kurang jam 9.30 pagi dan terus ke Semporna. Di sana kami makan tengahari dahulu sebelum bertolak ke Pulau Mabul.

Di hadapan chalet Mabul Resort...


Perjalanan yang mengambil masa sejam tidak terasa sebaik kami menjejakkan kaki di Pulau Mabul. Kami telah disambut oleh Ramesh, Pengurus Mabul Resort sebelum diberikan serba sedikit taklimat mengenai resort ini serta kemudahan-kemudahan yang disediakan. Memang diluar jangkaan aku. Resort ini lengkap dengan WIFI dan juga penggunaan internet percuma. Bagasi kami juga diangkut oleh pekerja resort dari bot sehinggalah ke dalam chalet. Kami terpaksa berkongsi tiga orang satu chalet untuk menjimatkan kos. Chalet amat selesa dengan pendingin hawa dan kipas. Air panas juga ada di bilik mandi.


Kami agak bernasib baik kerana Borneo Divers ada menyediakan kursus pendek untuk menyelam. Ia mengambil masa lebih kurang 2 atau 3 jam sebelum membuat selaman yang pertama. Kursus ini membolehkan kami selam ke tahap kedalaman 12 meter saja dan tempoh sah laku sijil hanya dua minggu saja. Sebaik kami meletakkan barang di dalam chalet dan menukar pakaian, kami terus ke kolam renang untuk mengikuti kursus selaman itu. Memang teruja. Selesai kursus, kami mandi manda di kolam renang sebelum bersiap untuk makan malam.

Tekun mendengar taklimat dari Amanda...


Keesokannya kami sudah tidak sabar lagi untuk menyelam buat pertama kalinya. Setelah semua bersedia dan diberikan taklimat terakhir, kami pun membuat terjunan ke dalam air. Diving Instructor Amanda dan Diving Master Melvin menemani kami turun kebawah sedalam 12 meter. Saat aku menenggelamkan diri, aku sudah dapat merasakan keperitan pada telinga akibat tekanan air laut. Aku terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk menyesuaikan diri. Semakin aku turun, semakin sakit telinga aku. Aku terpaksa berhenti beberapa kali sehinggakan aku terfikir untuk terus naik ke permukaan. Akhirnya aku berjaya juga untuk turun ke dasar laut dan bergerak di sekitarnya.


Berjaya turun ke dasar...

Waktu seakan pantas berlalu dan kami pun diarahkan untuk naik ke permukaan. Sememangnya satu pengalaman yang baru dan menarik buatku. Dari situ kami pulang untuk makan tengahari sebelum ke Pulau Sipadan pula. Di sana kami hanya snorkelling saja. Sememangnya aku suka dengan keindahan alam semulajadi darat dan laut di kawasan ini. Banyak penyu yang berenang-renang selain ikan dalam kumpulan yang besar. Karang di laut juga indah dan berwarna-warni.

Di Pulau Sipadan...

Dari Pulau Mabul kami ke Tawau semula. Semalam di situ sudah cukup untuk mem'bangkrap'kan teman-teman aku. Banyak hasil-hasil mutiara dan kraftangan yang dijual selain ikan kering yang menjadi kegemaran ramai. Aku hanya membeli 2 helai t-shirt untuk diriku.

Kami pulang ke KL pada hari Selasa menaiki pesawat Air Asia jam 8.40 malam. Sememangnya pengalaman kali ini membuatkan aku teruja untuk mengambil lesen penuh menyelam untuk rancangan tahun hadapan pula...

Tuesday, February 19, 2008

New Delhi...

Sebaik selesai bercuti, aku diminta ke New Delhi dengan beberapa orang rakan sepejabat untuk menghadiri mesyuarat pertama bagi projek terbaru kami. Bertolak petang Isnin lalu, kami tiba lewat malam di Delhi dan sebaik saja aku melangkah keluar dari pesawat, aku dapati hawa agak sejuk. Berbeza sekali dengan Mumbai yang sering aku kunjungi. Kami dibawa terus ke rumah tumpangan di kawasan South Extension, antara kawasan elit di Delhi kerana kebanyakkan hotel penuh. Rumah tumpangan ini agak selesa lengkap dengan WiFi dan katil pemanas. Kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 pagi waktu tempatan untuk menyiapkan agenda mesyuarat yang masih belum selesai. Hawa semakin dingin aku rasakan, mujur ada katil pemanas.

Aku tidur jam 4.30 pagi dan bangun jam 7 untuk bersiap ke mesyuarat yang dijadualkan jam 11 di Hotel Intercontinental Delhi. Agak jauh juga dari rumah tumpangan kami. Seperti biasa, mesyuarat agak kelam kabut sedikit tetapi selesai juga sekitar jam 3.30 petang. Aku sudah mempunyai rancangan untuk berjalan-jalan dan membeli-belah tetapi semua hotel yang kami singgah, sudah penuh. Terpaksa juga pulang ke rumah tumpangan yang kami duduki malam tadi. Hancur berkecai segala rancangan aku untuk hari itu.


Sedang mencari hotel, sempat bergambar depan teksi...


Keesokkannya aku dan Kesuma sudah bersiap awal pagi sebelum bersarapan dan terus ke Janpath, destinasi membeli-belah yang pertama. Terdapat banyak barangan yang aku suka namun aku tidak membeli apa-apa pun kerana banyak masa terbuang menemankan Kesuma. Ada saja barang yang diborongnya. Kain, Baju, Daun Teh dan macam-macam lagi. Dari situ kami ke Sarojini Nagar pula. Di sini lebih kurang seperti pasar di Chatuchak di Bangkok. Banyak juga barangan yang aku hendak tetapi aku hanya membeli 4 helai sarung kusyen.

di Sarojini ketika membeli langsir dan sarung kusyen...

Kemudian kami terus arah South Extension untuk makan malam di Mc Donald sebelum itu aku sempat membeli sehelai jaket kononnya untuk menahan sejuk kerana ada peruntukkan syarikat. Kawasan ini sudah hampir dengan rumah tumpangan kami. Sebaik tiba di rumah tumpangan jam 7.30 kami bergegas mengemas dan terus ke lapangan terbang jam 8 malam. Agak ramai manusia dia lapangan terbang dan mengambil masa hampir dua jam untuk daftar masuk bagasi dan melepas imigrasi.


Tiba di KL, aku hanya mahu tidur saja. Sebaik tiba di KL Sentral, aku singgah bersarapan di Mc Donald sebelum mengambil teksi untuk pulang. Selalunya aku hanya menggunakan LRT tetapi kali ini aku agak keletihan dan malas untuk berebut dengan penumpang-penumpang. Seharian aku tidur di rumah saja.